Thursday 29 August 2013

Kenapa langit gelap gelita?

Taiyuan: Suasana menyentuh perasaan menyelubungi sebuah wad di hospital di Fenxi di Shanxi semalam apabila kanak-kanak yang buta akibat kezaliman peniaga organ bertanya mengapa matahari masih belum muncul tanpa menyedari dia tidak lagi dapat melihat apa-apa selama-lamanya.

Ketika dikelilingi anggota keluarganya, kanak-kanak itu yang hanya dikenali sebagai Guo itu sering bertanya mengapa langit sentiasa gelap gelita.

Menurut bapa saudara Guo, setiap kali soalan diajukan, mereka terpaksa berdalih.

“Ia soalan yang sangat sukar dijawab.

“Apabila perlu kami katakan kepada Guo bahawa matanya cedera dan perlu dibalut dan dia akan sembuh tidak lama lagi,” katanya.

Kelmarin media melaporkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun ditemui tidak sedarkan diri dan berlumuran darah apabila ada pihak tertentu mengorek matanya.

Terdahulu kanak-kanak malang itu disedari hilang ketika bermain-main di luar kediamannya. Jurucakap polis berkata mereka percaya kanak-kanak itu diberi ubat pelali sebelum kornea matanya diambil.

Sementara itu jurucakap polis berkata, mereka menemui kornea mata Guo melekat pada biji mata yang ditinggalkan tidak jauh dari tempat dia ditemui.

“Justeru polis menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan sindiket penyeludupan organ,” katanya.

Menurut jurucakap itu polis masih menyiasat kes berkenaan dan menawarkan ganjaran 100,000 yuan (RM54,476) untuk maklumat yang membawa kepada penahanan suspek yang dikatakan mereka adalah seorang wanita.

- AFP/Metro

No comments: