Thursday 25 July 2013

‘Saya cabar Rafizi’

Jertih: “Kalau Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli anak jantan, saya cabar beliau sebut semula nama saya dan Datuk Wan Ahmad Wan Omar di luar Dewan Rakyat berkaitan dakwaan kononnya kami rapat dengan pembekal dakwat kekal semasa pilihan raya umum lalu.

“Kami memberi tempoh seminggu bermula hari ini (semalam), untuk beliau berbuat demikian dan jika beliau bertanggungjawab, sebut nama kami selepas itu kami akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya akibat fitnah itu,” tegas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau kesal berikutan wakil rakyat pembangkang itu hanya berani menyebut nama mereka dalam Dewan Rakyat kerana ada imuniti, sebaliknya apabila diminta mengulanginya di luar dewan, beliau hanya menyebut ‘kepemimpinan SPR’.

“Ini adalah satu perbezaan yang amat besar, dalam dewan sebut nama kami tapi di luar tak mahu sebut.

“Saya dan Datuk Wan Ahmad sudah nafikan tuduhan berkenaan yang menjatuhkan reputasi kami, memalukan keluarga seterusnya menjejaskan nama baik SPR,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses membuang undi di beberapa pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di sini, semalam.

Seramai 16,534 pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRK kali ini di lapan pusat mengundi itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut, SK Alor Peroi, SK Kampung Nangka, SK Pulau Perhentian, SK Kampung Nail, SK Kampung Baharu dan SK Bukit Puteri.

Hanya SK Pulau Perhentian ditutup pada jam 3 petang, manakala pusat pengundian lain akan ditutup pada jam 5 petang.

Beliau mengulas dakwaan Pengarah Strategi PKR di Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu bahawa pihak pembekal dakwat kekal mempunyai hubungan rapat dengan Abdul Aziz dan Wan Ahmad.

Rafizi mengulangi dakwaan berkenaan di lobi Dewan Rakyat selepas diminta untuk berbuat demikian oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.-Metro

No comments: