Wednesday 19 June 2013

Jenama semula sekolah jenis kebangsaan - Bekas hakim

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA KUALA LUMPUR 19 Jun 2013 Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, Datuk Mohd. Noor Abdullah hari ini mencadangkan agar sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil dijnamakan semula menjadi sekolah pengajian bahasa. Sekolah yang akan mengajar bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Kalau kita bercakap tentang polisi pelajaran, kini ada 3 aliran iaitu sekolah swasta, sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Apa peranan sekolah jenis kebangsaan? Ada keperluan tentangnya? Kita tukarkan sekolah jenis kebangsaan ini kepada sekolah di mana kita boleh belajar bahasa. Apa sahaja yang telah sekolah kebangsaan sediakan, sekolah jenis kebangsaan tidak perlu lagi menyediakannya, semua orang akan pergi ke sekolah yang sama. Ini boleh memupuk perpaduan,jelas beliau. Mohd Noor yang ditemui dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Syarahan Percambahan Minda bertajuk Kedudukan Sekolah Vernakular dari Perspektif Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan di Villa Puteri, Jalan Tun Ismail di sini berkata, belajar bahasa tidak memerlukan masa yang lama sehingga 6 tahun. Dalam syarahan itu, Mohd. Noor menegaskan kewujudan sekolah jenis kebangsaan bertentangan dengan Artikel 152 (1) yang menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Beliau turut mendakwa kewujudan sekolah jenis kebangsaan juga bertentangan dengan Artikel 8 mengenai kesaksamaan dan Artikel 12 berkaitan diskriminasi. Sekolah jenis kebangsaan Cina dan India antara lain mengajar bahasa Cina dan Tamil. Sementara kerajaan tidak mewujudkan sekolah kebangsaan untuk kaum-kaum lain. Orang Asli dan bumiputera di Sabah dan Sarawak sepatutnya mendapat lebih keutamaan berbanding kaum-kaum lain. Bahasa Melayu seharusnya menjadi bahasa penyatuan di negara ini seperti bahasa Mandarin di negara China dan bahasa Hindi di negara India," kata Mohd Noor.- UTUSAN ONLINE

No comments: