Sunday, 12 May 2013

Pusat refleksologi tawar urutan bogel diserbu

KUALA LUMPUR 12 Mei - Seorang pelanggan lelaki yang sedang diurut dalam keadaan bogel tergamam setelah diserbu sepasukan polis dalam operasi di sebuah pusat urut refleksologi di Taman Bahagia, Sea Park, Petaling Jaya dekat sini malam tadi. Malah, ketika diserbu, tukang urut wanita warga China yang dilanggan lelaki itu juga dalam keadaan tidak berpakaian. Serbuan dilakukan kira-kira pukul 7.10 malam oleh polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya. Sewaktu diserbu, terdapat dua pelanggan sedang diurut manakala tiga lagi wanita sedang menunggu pelanggan. Ketua operasi, Asisten Supritendan Mohamad Nazri Daud berkata, kelima-lima tukang urut wanita iaitu masing-masing seorang warga China, Thailand dan Vietnam serta dua warga Indonesia bersama dua pelanggan serta seorang penjaga premis berusia antara 23 hingga 34 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. "Hasil siasatan mendapati premis berkenaan hanya mempunyai lesen urut kaki namun menawarkan khidmat urut bogel," katanya ketika ditemui selepas operasi di sini. Beliau berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit. Sebelum itu, Mohamad Nazri berkata, pihaknya turut melakukan satu serbuan ke atas sebuah pusat urut di kawasan sama dan menahan empat wanita warga asing terdiri masing-masing dua warga China dan Vietnam. "Semasa serbuan tiada pelanggan berada dalam premis berkenaan namun siasatan mendapati pusat urut terbabit beroperasi tanpa lesen. "Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Kesihatan serta Peraturan 39(b) Akta Imigresen," ujarnya. - UTUSAN ONLINE Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130512/je_02/Pusat-refleksologi-tawar-urutan-bogel-diserbu#ixzz2T1zD3KsN © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: