Wednesday, 8 May 2013

Pengundi Cina salah buat percaturan

KUALA LUMPUR 7 Mei - Pengundi Cina tersalah membuat percaturan kononnya pakatan pembangkang cukup kuat untuk menawan puncuk kepimpinan negara dan sekali gus mampu membela nasib mereka.
Ketua Jabatan Pengajian Cina, Universiti Tunku Tunku Abdul Rahman (UTAR), Dr. Tee Boon Chuan berkata, kemarahan yang ditunjukkan kaum Cina dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu hanya merugikan diri sendiri.
"Pengundi Cina membuat tafsiran di luar jangkaan kononnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas sama kuat seperti DAP," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Boon Chuan berkata, pengundi Cina bukan lari daripada Barisan Nasional (BN) sebaliknya menaruh kepercayaan tinggi terhadap pakatan pembangkang.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia, Ann Wan Seng berkata, salah satu punca kaum Cina beralih sokongan adalah bukan kerana mereka tidak mempercayai kepada BN.
Sebaliknya, katanya, tindakan itu adalah ekoran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang terlalu bermain isu perkauman.
Katanya, mereka tidak berpuas hati dengan tuntutan beberapa NGO yang keterlaluan sehingga menyentuh sensitiviti kaum lain di negara ini.
"Bagi menarik kembali sokongan pengundi Cina, kerajaan seharusnya mengkaji semula kedudukan serta kehendak rakyat Cina yang rata-rata merasakan hak mereka dicabuli," ujarnya.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: