FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Sehingga apabila dia sampai ke daerah matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur dan dia dapati di sisi-Nya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): Hai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka. Dia berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. (al-Kahfi: 86)
Dia berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya, kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. (al-Kahfi: 87)
Dia berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya, kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. (al-Kahfi: 87)
PENULIS memulakan hal ini dengan kisah Zulkarnain. Kebanyakan ulama dan sejarawan berpendapat: Beliau ialah Iskandar Ibnu Faylabas al-Rumiy, murid Aristotle, ahli falsafah yang digelar guru pertama dan falsafahnya telah tersebar di tengah-tengah umat Islam. Beliau hidup lebih kurang 330 SM seorang penduduk Macedonia, memerangi Parsi, mengalahkan Raja Dara dan mengahwini puteri Raja Dara. Kemudian, beliau meneruskan perjalanannya ke India dan melakukan serangan. Seterusnya, beliau memerintah negara Mesir serta membangunkan Iskandariah.
Bukti menunjukkan beliau ialah Iskandar Zulkarnain. Sejarah belum memastikan lagi adanya seorang raja yang berjaya mengelilingi dunia, melakukan perjalanan dari Timur hingga Barat dan menawan banyak wilayah kecuali beliau.
Abu al-Raihan al-Bairuni adalah seorang ahli astronomi meriwayatkan dalam kitabnya al-Athar al-Baqiyyah an al-Quran al-Khaliyyah telah menyatakan Zulkarnain berasal dari Himyar dan namanya ialah Abu Bakar Ibnu Ifriqish. Beliau telah membawa bala tenteranya ke tepi Laut Tengah, melewati Tunisia, Moroko dan lain-lain. Beliau telah mendirikan kota Afrika sehinggalah keseluruhan benua itu terkenal dengan namanya.
Beliau digelar dengan nama Zulkarnain kerana beliau mempunyai dua tanduk matahari.
Bukti yang menunjukkan beliau seorang Himyar iaitu, gelaran al-Adhwa (orang yang namanya menggunakan Dhu) hanyalah dikenali di negeri Himyar, bukan di Yunan. Beliau memerintah Dawlah Himyar sejak 115 SM sehingga 552M, pemerintahan kedua-dua Dawlah Himyar. Rajanya pula disebut Tahabiah (mufradnya Tubba)
Pada ayat ke-86, Ibnu Kathir berkata: maksudnya, dia berjalan melampaui jalan hingga akhirnya sampai di tempat jauh yang ditempuhinya itu iaitu belahan bumi bahagian barat. Adapun mencapai tempat terbenamnya matahari di langit, maka itu merupakan suatu hal yang tidak mungkin.
Maksudnya dia menyaksikan matahari dengan matanya sendiri terbenam di dalam samudera.
Demikianlah keadaan setiap orang yang pandangannya berakhir sampai pada tepian pantai, di mana dia melihat matahari itu seakan-akan terbenam ke dalam lautan tersebut. Sedangkan matahari itu tidak bersinar dari orbitnya, dia tetap ada pada orbitnya, tidak meninggalkannya. Kata al-Hami-ah diambil daripada salah satu daripada dua cara bacaan iaitu al-Hama-ah yang bererti tanah.
Al-Maraghi berkata: Sememangnya Zulkarnain mahu sampai ke tempat terbenamnya matahari. Oleh itu, beliau menyusuri jalan yang boleh sampai ke tempat tersebut. Akhirnya beliau sampai ke penghujung dunia di arah barat dan berhenti di tepi Lautan Atlantik. Di situ beliau dapati matahari seolah-olah terbenam di dalam mata air yang berlumpur hitam.
Beliau menemui sebuah negeri terakhir - yang tidak ada negeri lagi sesudahnya - iaitu negeri yang diibaratkan seperti lautan kegelapan dan tidak ada pemerintahan tetapi merupakan tempat terbenamnya matahari. Beliau telah berjalan ke Tunisia, kemudian ke Marrakush hingga sampai ke laut tempat beliau mendapati matahari seakan-akan terbenam. Tempat itu berwarna biru, seakan-akan lumpur bercampur air.
Dalam hal ini, Allah SWT memberinya petunjuk melalui ilham: Allah SWT memberinya dua alternatif untuk memerintah tempat tersebut. Pertama membunuh penduduk kafir itu, jika tidak mengakui kekuasaan-Nya. Kedua, mengajar mereka dengan ilmu agama sebagai memperjelaskan syariat dan hukum kepada mereka.
Manakala pada ayat ke-87, Ibnu Kathir berkata: Sangat pedih dan menyakitkan. Dan dalam hal itu terdapat penetapan hari pengembalian dan pembalasan.
Al-Maraghi berkata: Zulkarnain berkata kepada pengawalnya: Orang yang melakukan penganiayaan ke atas dirinya dengan menyekutukan Tuhannya, akan diazab dengan hukuman bunuh. Di akhirat pula dia akan menemui Tuhan serta diazab dengan azab yang dahsyat di dalam neraka jahanam.
Isu berkenaan dengan Zulkarnain juga menjadi polemik di kalangan tokoh ilmuwan sama ada Barat atau Islam. Tetapi yang pentingnya dalam nas Ilahi menunjukkan bahawa beliau adalah seorang raja yang soleh yang menguasai dunia dengan izin Allah SWT. Semoga Allah meramaikan pemimpin yang soleh dalam mengurus atur kehidupan manusia. Amin.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment