Wednesday 15 May 2013

Disebalik bantahan meluas, Pakatan akui akan bergerak ke hadapan tidak lama lagi

OLEH  CLARA CHOOI
KUALA LUMPUR, 15 Mei — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah mengakui perhimpunan awam selepas Pilihan Raya 2013, walaupun disokong secara besar-besaran, tidak lama lagi akan kehabisan tenaga dan tidak akan memberikan kesan untuk mengubah keputusan pilihan raya baru berakhir itu.
Disebalik tuntutan untuk diadakan pilihan raya semula, ahli Parlimen PR baru dilantik mengatakan acara tersebut hanyalah bertujuan mengekalkan momentum bagi pembangkang untuk memberi peringatan kepada rakyat Malaysia, majoriti 51 peratus pengundi telah menolak Barisan Nasional (BN), walaupun gabungan itu kembali berkuasa.

Mereka bersetuju sedang berada dalam pertempuran kalah kemungkinan direncanakan untuk mereka, walaupun mengakui kewujudan saluran undang-undang bagi mencabar keputusan di kawasan-kawasan tertentu di mana mereka percaya mempunyai bukti penipuan mencukupi.

Akan tetapi, walaupun majoritinya merasakan perhimpunan diperlukan, beberapa pemimpin dalam PR bersetuju sudah sampai masanya untuk bergerak kehadapan dan mengakui kekalahan sebelum rakyat Malaysia mula melihat pemimpin mereka sebagai benar-benar gagal.

“Apa yang boleh saya katakan? Berapa banyak kali kita jangka penyokong kita akan keluar untuk perhimpunan ini? Akhirnya, kemarahan ini akan berakhir dengan kegagalan dan kita mesti bergerak ke hadapan,” kata seorang pemimpin kanan PR kepada The Malaysian Insider dengan syarat namanya tidak disiarkan.

“Hakikatnya ialah kita bukan kerajaan pada hari ini dan ya, kita mengiktiraf keputusan pilihan raya, walaupun apa yang sesetengah daripada pemimpin-pemimpin kita katakana.”

Seorang lagi pemimpin terkenal bersetuju dengan pandangan tersebut dan mengatakan perhimpunan-perhimpunan ini akan menjejaskan imej PR, terutamanya mereka yang dipilih mula mengabaikan tanggungjawab kerana mahu mengikuti perhimpunan yang tiada kesudahan.

“Sesetengah daripada kita menang dan kita diharapkan, sekurang-kurangnya menggunakan kuasa yang ada di tangan kita untuk menjadi pembangkang yang kuat dan digeruni,” kata pemimpin tersebut.

Pemimpin lain yang bercakap kepada The Malaysian Insider memberitahu perhimpunan-perhimpunan tersebut mesti disalurkan secara positif untuk memastikan ianya mencapai tujuan, bukan untuk meminta diadakan pilihan raya semula secara besar-besaran akan tetapi untuk menunjukkan kepada pentadbiran Najib sebahagian besar segmen di Malaysia tidak mengiktiraf kerajaan baru.

“Kesan daripada perhimpunan ini ianya menunjukkan kekecewaan rakyat terhadap keputusan tersebut,” kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

“Tetapi yang penting, ianya disalurkan secara positif untuk menunjukkan apa yang kita lakukan adalah mendedahkan penipuan, mendedahkan pembohongan, dan kita tidak melakukan ini secara tidak sah.”
Apabila ditanya apakah beliau mengiktiraf keputusan Pilihan Raya 2013, ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu membalas, “Kita dalam DAP telah mengatakan sebelum ini, kita memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang oleh kerana beliau adalah calon perdana menteri kita.”

PR gagal merampas Putrajaya pada pilihan raya 5 Mei minggu lepas dengan majoriti kecil, mendapat 89 kerusi Parlimen berbanding BN 133, lebih tujuh kerusi berbanding dengan apa yang mereka perolehi pada Pilihan Raya 2008.

Akan tetapi gabungan pembangkang itu mengadu ditipu apabila keputusan keseluruhan gagal untuk mencerminkan trend undi popular, menyaksikan PR mendapat 51 peratus berbanding BN 48 peratus, keputusan yang mereka dipersalahkan atas amalan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan penipuan undi oleh musuh-musuh politik mereka.

Pemimpin de facto PR Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan rancangan untuk bersara secara serta merta dan mengadakan bantahan keputusan pilihan raya, mengetuai pasukannya dalam beberapa siri perhimpunan untuk membuktikan majoriti daripada pengundi Malaysia menyokong mereka.
Selepas mengetuai bantahan di Petaling Jaya dan Pulau Pinang, PR mengadakan perhimpunan ketiga di Ipoh, hujung minggu lalu, dimana Anwar berikrar tidak akan mengalah sehingga keputusan pilihan raya disahkan dan dakwaan PR mereka sekarang ini seharusnya berada di Putrajaya.

Ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli memberitahu The Malaysian Insider perhimpunan raksasa perlu untuk menunjukkan PR tidak akan menerima apa-apa kekalahan disebabkan penipuan tanpa melawan.
Beliau juga mengatakan PR akan mencabar keputusan pilihan raya menggunakan proses mahkamah, dan metod kedua adalah untuk membawa isu ke mahkamah pandangan umum dengan mengadakan perhimpunan seperti itu untuk menunjukkan rakyat Malaysia juga membantah penipuan undi.

“Kita harus menguruskan kedua-dua… sebab itu, selain daripada menggunakan proses mahkamah biasa, kita juga harus teruskan mendidik dan mengetengahkan kepada orang awam, penipuan memang berlaku.

“Legitimasi kerajaan dipertaruhkan jadi kita mesti gunakan apa yang ada, tidak kira di mahkamah atau mahkamah pandangan umum,” katanya.

Pengarah strategi PKR itu turut memberitahu The Malaysian Insider walaupun terdapat pilihan undang-undang bagi PR, gabungan itu masih berlawan dalam pertempuran kalah dalam percubaan untuk mencabar keputusan pilihan raya.

“Hakikatnya — sistem ini dicipta oleh BN. Kita menggunakan undang-undang yang ditulis BN. Ianya adalah berat sebelah dan direka untuk berpihak kepada mereka.

“Kita tidak terlalu berharap cara ini akan membawa kejayaan. Tetapi kita harus melakukannya.. kerana kita tidak bolehkan matikan kemarahan orang ramai dan hanya mengalah,” terang beliau.
“Adalah tidak bertanggungjawab bagi kita untuk mengatakan kepada penyokong – susah untuk menang. Mari bergerak ke hadapan,” tambah beliau.

Menambah kata-kata rakan PR, ahli Parlimen Shah Alam mengatakan isu pentingnya adalah untuk memastikan orang awam terus membantu PR bagi memberikan tekanan kepada kerajaan - memastikan semua pilihan raya akan datang diteliti dengan lebih rapat.

Beliau mengatakan rakyat Malaysia yang mengundi untuk PR, 51 peratus daripada pengundi mengharapkan pemimpin mereka untuk berjuang dan perhimpunan selepas pilihan raya ini sebagai salah satu cara untuk menunjukkan pemimpin PR tidak melupakan penyokong mereka.

“Kita boleh terus berikan tekanan walaupun Najib tidak akan melayan kita. Tetapi, kita berharap akan memenangi sebahagian fraksi dalam BN,” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mengatakan, dengan memastikan isu ini terus hidup, tumpuan kepada kerajaan Najib menjadi lebih tinggi, mengetengahkan setiap kesilapan langkah yang perdana menteri atau pasukannya mungkin atau tidak mungkin lakukan.

“Kita tidak akan biarkan hakikat kita telah ditipu dilupakan. Kita tidak boleh biarkan penyokong kita mengalah,” katanya.

PR telah mengadakan empat perhimpunan selepas pilihan raya setakat ini, setiap satu menerima kehadiran lebih sepuluh ribu rakyat Malaysia berpakaian hitam untuk menunjukkan “kematian demokrasi”. Perhimpunan kelima akan diadakan pada malam ini di Johor.

-The Malaysian Insider

No comments: