Timbalan Presiden PKR, Azmin AliTimbalan Presiden PKR, Azmin Ali
 
 
SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Mohammed Azmin Ali tekad mahu menyelamatkan parti itu dari sebarang amalan nepotisme yang boleh menghilangkan kepercayaan rakyat.

Katanya, atas kemenangan besar Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, beliau akan memastikan menteri besar yang akan menerajui negeri ini tidak boleh sewenang-wenangnya dipergunakan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

“Atas mandat besar yang diberikan oleh rakyat di Selangor saya mahu pastikan MB adalah seorang yang tidak boleh dicucuk hidung dan ditarik oleh mana-mana pihak yang berkepentingan,” katanya kepada Sinar Harian.

Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor dengan tegas berkata, beliau akan terus menerajui PKR untuk membangunkan kepimpinan yang bersih, tegas, dan tuntas dalam membuat keputusan.

“Saya bertekad untuk menyelamatkan PKR daripada amalan nepotisme,” katanya.

Dalam pada itu Azmin yang Pengerusi PKR Selangor menafikan khabar angin yang dimainkan pihak tertentu yang mendakwa beliau akan meninggalkan parti itu jika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik semula menjadi menteri besar.

“Saya tidak akan meninggalkan perjuangan murni ini dan sesekali tidak akan mengkhianati amanah rakyat yang mahukan perubahan.

“PKR sebati dengan roh dan prinsip perjuangan saya,” katanya.

Mengenai calon menteri besar yang dikatakan sewajarnya diberikan kepada pemimpin Pas, beliau berkata, kerusi menteri besar adalah milik PKR yang akan diwakili individu daripada parti itu.

“Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mendabik dada dengan kemenangan besar PR di Selangor.
“Kejayaan di Selangor ini adalah hasil muafakat PR yang utuh di pelbagai peringkat. Faktor penyumbang kemenangan besar PR di Selangor adalah adalah hasil dasar bersama PR. Ia adalah hasil kerja pimpinan dan anggota parti PR di peringkat daerah dan kampung,” katanya.-Sinar