Monday, 29 April 2013

Tiga orang terlibat dalam ritual membunuh bayi di Chile menyerah diri

SANTIAGO - Tiga orang daripada kumpulan ajaran sesat yang membuat ritual mengorbankan bayi demi menyelamatkan bumi dari kiamat pada Disember tahun lalu lalu telah menyerah diri kelmarin, kata polis Chile.

Bayi tersebut telah dibakar hidup-hidup pada 23 November 2012 di sebuah ladang berhampiran dengan bandar Quilpe, 110 kilometer di barat Santiago.

Polis memberitahu, salah seorang wanita yang diburu dari kumpulan tersebut kerana terlibat dengan pembunuhan itu telah ditahan kelmarin.

Peguam wanita tersebut dalam hujah pembelaan berkata anak guamnya itu tiada pada hari pembunuhan dan meminta supaya pemeriksaan psikiatri dilakukan terhadapnya.

Polis sedang memburu ketua kumpulan ajaran sesat yang juga bapa kepada bayi tersebut, Gustavo Castillo Gaete, 36, yang dipercayai melarikan diri ke Peru. Castillo dipercayai telah meniduri lima orang wanita dalam kumpulan itu yang diberikan dadah khayal.

Menteri Dalam Negeri Peru, Wilfredo Pedraza berkata, Castillo telah memasuki negara tersebut pada 19 Februari lalu bersama-sama empat orang yang lain sebelum Chile mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.

“Pihak polis tempatan sedang berusaha memberkas mereka," ucap Pedraza pada Jumaat lalu. - AFP/Kosmo

No comments: