Daripada Anas ra katanya, “Tatkala Nabi SAW sedang sakit tenat, Fatimah ra berkata: “Alangkah menderitanya ayahku.” (pada masa itu Nabi Muhammad SAW mendengar) lalu Baginda bersabda: “Ayah tidak menempuh kesusahan lagi selepas hari ini.”

Kemudian selepas wafat Rasulullah SAW Fatimah ra berkata: “Oh ayah” dia sudah menyahut panggilan Tuhannya, “Oh ayah! Syurga Firdauslah tempatnya”, “Oh ayah! Kepada Jibril kami khabarkan.” Apabila Rasulullah SAW telah dimakamkan Fatimah ra berkata: “Wahai Anas, adakah senang hati kamu menimbus tanah ke atas Rasulullah SAW?”
Islam menggariskan beberapa panduan tertentu bagi umat yang menghadapi musibah kehilangan orang tersayang.

Boleh lahirkan kesedihan
Islam membenarkan umatnya melahirkan kesedihan terhadap jenazah tanpa jeritan atau ratapan seperti agama lain. Ini kerana tindakan itu seolah-olah menunjukkan rasa tiada reda dengan takdir yang ditetapkan Allah.

Hadis ini menggambarkan kesabaran seorang anak menghadap ayah tercinta yang sedang sakit tenat dan meninggal.

Kata-katanya Saidatina Fatimah ra selepas Rasulullah dikebumikan adalah untuk menggambarkan rasa dukacitanya bukannya membantah ketentuan Allah.
Menurut huraian ulama, Allah menjadikan nabi-nabi dan wali-Nya menderita sukar menghadapi sakaratul maut hanyalah untuk menambahkan ketinggian darjat mereka. Bagaimanapun, bagi orang Islam yang lain mengalami kesukaran sakaratulmaut adalah sebagai kaffarah (penghapus dosa) daripada kesalahan yang mereka lakukan.

Diuji hadapi sakaratulmaut
Walaupun Nabi Muhammad kekasih Allah, Baginda juga diuji ketika menghadapi sakaratulmaut untuk meningkatkan darjatnya.

Malah, isteri tercinta Baginda, Aisyah turut menggambarkan kesakitan yang dihadapi Rasulullah ketika menghadapi kematian dengan katanya: “Aku melihat Nabi SAW ketika Baginda hampir wafat dan di sisinya sebuah bijana berisi air, dan Baginda memasukkan tangannya ke dalam bijana itu lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda berdoa: "Ya Tuhanku! Berilah aku pertolongan terhadap penderitaan-penderitaan maut atau sakaratulmaut (yang sedang aku hadapi)".

Sakaratulmaut adalah suatu penderitaan yang dialami oleh roh dengan keadaan yang tertentu pada masa roh hendak meninggalkan jasad seseorang.

Ia akan tetap ditempuh oleh setiap manusia dengan pelbagai cara sama ada yang berat dan sukar atau yang mudah dan senang. Berdasarkan hadis ini suatu kesimpulan dapat dibuat bahawa anggapan mengenai beratnya sakaratulmaut itu menandakan kemurkaan Tuhan dan ringannya pula menandakan keredaan Tuhan adalah tidak benar.

Malah, ia sebenarnya bergantung pada kedudukan seseorang itu di sisi Allah SWT, bukan berdasarkan penilaian mata kasar dan mata hati manusia semata-mata.

Pentingnya mengingati dan menginsafi kematian ini sehinggakan perbuatan mengiringi jenazah termasuk enam daripada kewajipan orang Islam terhadap orang Islam lain seperti yang digambarkan dalam hadis daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kewajipan orang Islam kepada orang Islam yang lain ada lima perkara menjawab salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri jemputan dan mendoakan orang bersin”. - Koleksi hadis JAKIM /BH