NIBONG TEBAL 24 April - Pentas ceramah digunakan sepenuhnya oleh pembangkang sebagai medan untuk meniupkan sentimen perkauman dan menghina Barisan Nasional (BN) dan penyokong dalam usaha menanam kebencian terhadap parti itu.
Ketua Publisiti DAP, Dr. Hew Kuan Yau yang hadir sebagai penceramah jemputan dalam program anjuran DAP di Taman Berjaya di sini malam tadi beberapa kali mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin Kerajaan Pusat dan BN.
Kuan Yau yang lebih dikenali sebagai 'Superman' di kalangan kepimpinan DAP sememangnya sinonim dengan ucapan berbaur provokasi yang sarat dengan kata-kata kesat dalam ucapannya.
Di hadapan kira-kira 1,000 penyokong DAP malam tadi, Kuan Yau mendakwa kaum Melayu, Cina dan India yang menyokong BN sebagai rakyat yang bodoh selain mendakwa parti itu menanam kebencian di kalangan orang Melayu terhadap DAP.
"Hanya orang Cina yang bodoh akan undi untuk MCA dan Gerakan, hanya orang India yang bodoh akan undi MIC dan hanya Melayu yang bodoh akan undi UMNO.
"Mereka (BN) cuba menakut-nakutkan orang Melayu dengan berkata bila kita (DAP) mentadbir negara kita nak jadikan agama Kristian (sebagai agama rasmi).
"(Bila BN) cakap kepada orang Cina, kita nak tubuhkan negara Islam apabila tadbir negara, ini semua bohong kerana mereka sebenarnya hanya nak takutkan rakyat," katanya.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman dan calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Jawi, Soon Lip Chee.
Sementara itu, Mansor yang juga calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Nibong Tebal terpaksa 'mempromosi' dirinya di hadapan masyarakat Cina yang yang hadir dalam ceramah berkenaan.
Beliau yang merupakan calon yang diimport pakatan pembangkang untuk bertanding di Nibong Tebal dilihat bersungguh-sungguh merayu undi masyarakat Cina di kawasan itu.
Namun usahanya sia-sia apabila ucapannya tidak dipedulikan sebahagian besar hadirin berbangsa Cina yang hadir pada majlis itu yang leka menyerbu kaunter penganjur untuk membeli kemeja-T, bersempena kempen pakatan pembangkang sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-13. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment