Daim kongsi aspirasi pelbagai kaum
Apabila beliau tidak ke luar negara, Tun Daim Zainuddin akan terperuk di meja komputernya di Wisma YPR (Yayasan Pok Rafeah yang dinamakan mengambil sempena nama Allahyarhamah ibunya). Mejanya bersepah dengan kertas cetakan dan analisis kewangan yang dihantar setiap hari oleh sebuah organisasi diketuai rakannya – bekas Perdana Menteri sebuah negara jiran di Asia. Ruang tamunya pula mempunyai corak yang berlainan. Ia seolah-olah sebuah galeri seni. Beliau memiliki lebih 2,000 lukisan.
Sesetengah lukisan itu kini bernilai 10 kali harga yang dibayarnya dulu. Beliau pernah menjadi Pengerusi Galeri Seni Kebangsaan sebelum menyertai Kabinet. Peguam yang kemudiannya bertukar menjadi pemaju perumahan dan kemudian dua kali sebagai Menteri Kewangan, tidak mempamerkan lukisan itu untuk jualan.
Apabila beliau tidak ke luar negara, Tun Daim Zainuddin akan terperuk di meja komputernya di Wisma YPR (Yayasan Pok Rafeah yang dinamakan mengambil sempena nama Allahyarhamah ibunya). Mejanya bersepah dengan kertas cetakan dan analisis kewangan yang dihantar setiap hari oleh sebuah organisasi diketuai rakannya – bekas Perdana Menteri sebuah negara jiran di Asia. Ruang tamunya pula mempunyai corak yang berlainan. Ia seolah-olah sebuah galeri seni. Beliau memiliki lebih 2,000 lukisan.
Sesetengah lukisan itu kini bernilai 10 kali harga yang dibayarnya dulu. Beliau pernah menjadi Pengerusi Galeri Seni Kebangsaan sebelum menyertai Kabinet. Peguam yang kemudiannya bertukar menjadi pemaju perumahan dan kemudian dua kali sebagai Menteri Kewangan, tidak mempamerkan lukisan itu untuk jualan.
Kegemarannya amat luas. Beliau adalah peminat Shah Rukh Khan. Daim juga seorang pemegang saham sebuah bank yang mempunyai banyak cawangan di Afrika. Beliau juga Pengerusi Jawatankuasa Audit AFC (Persekutuan Bola Sepak Asia). Pada usia 74 tahun, beliau masih bermain badminton, sebilangannya orang muda. Dan, beliau juga memakai jersi replika Manchester United yang ditandatangani oleh Sir Bobby Charlton.
“Saya seorang yang begitu sibuk,” katanya ketika menerima kunjungan wartawan New Straits Times (NST) – Datuk A Jalil Hamid, Rashid Yusof dan Hariz Mohd – dan jurugambar Zahari Zakaria bagi memulakan siri temu ramah yang panjang lebar. Daim yang berjaya membantu mengekang kejatuhan pasaran saham pada 1994 dengan ‘nasihatnya’, bagaimanapun beliau kemudian dilabelkan sebagai ‘ketua pengkomplot’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kemudian timbul minat dalam kalangan pihak media berhubung pandangan bernasnya mengenai politik berikutan ramalannya yang tepat mengenai Pilihan Raya Umum pada Mac 2008. Ini mendorong NST untuk mendapatkan ramalan baru daripadanya. Kami menelusuri pemikirannya mengenai politik sambil sekali sekala mengajukan beberapa persoalan berbentuk provokasi menyentuh pelbagai topik. Sebaik saja temu ramah itu selesai, kami memperoleh perspektif baru dan barulah kami memahami dengan lebih jelas peristiwa politik yang berlaku berikutan Krisis Kewangan Asia pada 1997, mengenai masa depan UMNO, Datuk Seri Najib Razak, Anwar, Tun Dr Mahathir Mohamad, Lee Kuan Yew, kebangkitan China dan Arab Spring atau Kebangkitan Arab (sambil bergurau beliau merujuknya sebagai ‘Kejatuhan Arab’). Sesi soal jawab ini akan disiarkan dalam dua siri. Dalam bahagian pertama ini, sebahagian besarnya berkisar soal politik semasa. “Jika anda tanya saya, antara kedua-duanya, Najib atau Anwar, saya akan pilih Najib,” katanya. Dalam siri kedua esok, banyak lagi perkara disentuh antaranya, termasuk isu utama ketika ‘zaman Mahathir’...
Soalan: Tun, sejak bersara, Tun sudah ditemuramah oleh beberapa akhbar berbahasa Cina, tetapi jarang dengan media arus perdana. Apakah ada sebab tertentu?
Tun Daim: Saya diminta memberi banyak temu ramah tetapi apa yang mereka ingin tahu ialah bila pilihan raya akan diadakan dan apa pula pandangan saya berhubung keputusannya. Jadi sebelum pilihan raya, yang saya jangkakan akan diadakan menjelang bulan depan (ketawa), ini adalah temu ramah saya yang terakhir sebelum pilihan raya.
Saya tidak mahu lagi memberi apa-apa temu ramah kerana anda akan hanya bertanya mengenai pilihan raya, dan letih saya dibuatnya.
Lagipun, saya tidak memberi temu ramah kerana tidak mahu disalah petik apa yang saya katakan. Saya dengar orang kata saya berpendapat BN akan menang di tiga negeri saja. Ini tidak benar. Anda kena baca jawapan saya sepenuhnya. Saya katakan BN khususnya UMNO, mesti bekerja keras, bersatu dan meletakkan calon terbaik untuk menang.
Memang betul saya memberi banyak temu ramah kepada akhbar Cina. Orang Cina ingin memahami pemikiran orang Melayu. Untuk tujuan itu, saya harus tahu apa dalam pemikiran mereka, kebimbangan mereka dan aspirasi mereka. Mereka juga ingin tahu apakah dasar ekonomi kita itu betul. Mereka mahukan keamanan di negara ini dan mereka tahu bahawa untuk memperoleh keadaan aman, mesti ada kestabilan politik.
Apakah anda pernah membaca artikel mereka mengenai dasar kerajaan? Mungkin akan ada orang membisik kepada kerajaan mengenai itu dan ini atau kertas tertentu ataupun penulisnya antikerajaan. Saya katakan ‘Hentikan’ semua ini! Saya sudah membaca artikel mereka. Walaupun mereka mengkritik, mereka bukannya antikerajaan. Kita berhujah dengan fakta dan statistik. Proses berkenaan akan menghasilkan perbahasan yang sihat.
S: Jadi bagi Tun, bersikap kritikal tidak bererti seseorang itu antikerajaan. Apakah maksud Tun pandangan yang diluahkan oleh orang ramai tidak semestinya menjejaskan undi kepada Barisan Nasional?
J: Pastinya. Itulah hujah saya yang utama. Selalunya saya bersetuju dengan perbahasan yang baik. Sejak beberapa tahun lalu, saya juga secara peribadi mendapati ada dasar yang boleh ditentang, tetapi saya masih menyokong kerajaan kerana terdapat banyak dasar yang baik berbanding tidak baik. Bagi rakyat Malaysia, jika anda tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, ya, terus berikan pandangan dan kritikan, tetapi dengan secara membina.
Saya lebih takut jika orang biarkan saja dan tidak peduli. Saya percaya hanya jika anda peduli dan mahu keadaan menjadi lebih baik, baru anda akan memberi pandangan. Sebuah masyarakat yang pasif dan tidak berminat akan menghancurkan negara.
S: Masih mengenai politik yang berkaitan dengan masyarakat Cina, satu perbandingan selari dibuat mengenai DAP dan PAP. Apakah ini perbandingan yang adil?
J: Saya tidak fikir ada apa-apa hubungan. Saya fikir (Lee) Kuan Yew tidak begitu menghormati kepemimpinan DAP. Kualitinya tidak ada. Pada peringkat awal ya, mungkin ketika mereka mempunyai cawangan di sini - apabila Devan Nair ada di sini, dan Zain Azahari menyertai PAP. Zain masih berada di sini dan berkhidmat dalam bidang perundangan. Saya berpendapat terdapat banyak golongan intelek yang menyertai PAP. Ini golongan yang akan mengikut Kuan Yew.
PAP lebih cerdik, dan lebih berkira-kira, pendekatan mereka lebih berhemah. DAP sebenar-benarnya sebuah parti Cina. Ia bukan parti pelbagai kaum. Ia bersifat cauvinistik tetapi mendakwa sebagai Malaysian Malaysia. Anda boleh lihat dalam pemilihan parti yang lalu, ahlinya tidak mahu walau seorangpun Melayu duduk di jawatan tertinggi parti.
Ini amat jelas. Itulah idea Malaysian Malaysia mereka. Tidak kira apa yang didakwa pemimpin mereka, ahli menjadi penentunya. PAS juga mempunyai masalah sama.
Apabila isu kalimah Allah dibangkitkan, pemimpinnya beranggapan kononnya mereka boleh ikut Anwar tetapi ahli pada peringkat akar umbi memberi respon mereka – dengan menolak pendirian pemimpin parti berkenaan. Dan Majlis Syura juga berkata tidak. Sekiranya orang Cina tidak memahami ini, mereka akan menyesal.
S: Bagaimana pula dengan Parti Keadilan Rakyat?
J: PKR sentiasa parti ‘one man show’. Sejarahnya ialah parti yang memperjuangkan Anwar. Mereka adalah bekas ahli UMNO. Kemudian beberapa orang berfikiran liberal menyertai mereka, yang terpengaruh dengan nada keadilan dan kesaksamaan, tetapi pada hakikatnya ia sekadar satu slogan. Ia sebenarnya perjuangan untuk satu orang, bukan pun untuk keadilan. Siapakah yang sudah mereka perjuangkan? Apakah yang diperjuangkan mereka? Lihat saja pendirian mengenai Palestin. Ia adalah persoalan mengenai keadilan dan kemanusiaan. Mereka memberi sokongan kepada Israel.
S: Dan Pakatan Rakyat?
J: Apabila anda dipilih menjadi wakil rakyat, anda berbahas di Parlimen. Kita lakukannya dengan secara bertamadun. Kita memilih orang dan memanggil mereka dengan nama ‘Yang Berhormat’. PKR adalah parti yang lahir di jalanan. Jadi ia akan kembali ke jalanan. Itulah budayanya. Justeru, kita dapat saksikan demonstrasi di jalan raya yang dianjurkan atau disokong oleh mereka. PAS sebelum ini bukan seperti itu. DAP juga bukan macam itu. Anwar sudah beberapa kali menyatakan akan berlaku demonstrasi seperti Arab Spring – jika Pakatan kalah pada pilihan raya akan datang atas alasan kononnya berlaku ‘penipuan’.
Beliau sudah menyediakan perancangan sekiranya mereka kalah pada pilihan raya akan datang. Keseluruhan Pakatan sedang menyediakan pemikiran orang ramai supaya menyalahkan kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pertama, kita bukan negara Arab. dan kedua, jika berlaku penipuan pada pilihan raya umum lalu, bagaimana boleh pakatan menang di empat negeri pada 2008?
Arab Spring akhirnya menjadi kejatuhan Arab (akibat tiada kepemimpinan yang boleh menyatupadukan dan ketidakstabilan).
S: Kejatuhan negara Arab?
J: Anda perlu kaji sejarah Mesir di bawah pemerintahan Raja Farouk barulah dapat memahami mood dan suasana rampasan kuasa 1952. Saya pernah melawat Mesir pada akhir zaman belajar lewat 1950-an dan ia amat menyedihkan saya bagaimana pejuang pembebasan gagal untuk mentadbir negara mereka dengan jayanya.
Mereka gagal menaikkan taraf hidup rakyat dan ketika lawatan akhir saya beberapa tahun lalu, masih berlaku kemiskinan yang sama. Kita perlu membaca buku Revolt of the Nile, tulisan Gamal Nasser yang sangat membimbangkan Barat sehingga mereka menyamakannya dengan Hitler. Kita bukannya dari dunia Arab.
Kita perlu faham latar belakang Asia Barat mengapa ia tidak berlaku dan tidak mungkin berlaku di Timur. Kita mahu kematian di jalanan? Kita mahu melihat pertumpahan darah? (Kebangkitan Kebangsaan Arab berlaku pada Julai 1952 apabila Gamal Nasser, Kolonel dalam pasukan tentera Mesir mengetuai kumpulan ‘Pegawai Pembebasan’ untuk menggulingkan Raja Mesir dan Sudan iaitu Raja Farouk 1.
Kejayaan pemberontakan bersenjata pimpinan Gamal menjadi ikutan beberapa pegawai tentera negara Arab untuk menyingkirkan raja mereka, termasuk jeneral tentera Iraq, Abd al-Karim Qasim pada 1958 bagi menghapuskan kuasa monarki Kesultanan Hashem dan diikuti di Libya dilakukan Muammar Gaddafi yang memimpin sekumpulan pegawai tentera muda menggulingkan Raja Idris 1 pada 1969).
S: Bagaimana keadaan politik Malaysia dan perubahan landskap geopolitik serta peristiwa di tempat lain?
J: China dan Jepun membuktikan kualiti mereka sebagai rakan sejati dengan negara ini ketika kemuncak krisis kewangan Asia. China membuat keputusan untuk tidak menurunkan nilai mata wang, manakala Jepun membantu Malaysia menerusi pinjaman mudah berjumlah AS$5 bilion. Naib Menteri Kewangan, Eisuke Sakakibara kemudian meminta saya supaya tidak memberitahu Amerika Syarikat (AS) mengenai bantuan itu. AS tidak mahu membantu kita atas sebab yang terlalu banyak dan tidak diketahui. Anwar dilihat mempunyai kecenderungan untuk mengikut kehendak AS.
Jika berlaku sesuatu kepada ekonomi Malaysia, AS dan Eropah yang ketika itu ekonominya turut merudum, tidak akan ambil peduli untuk membantu. Jika kita terus mengikut telunjuk Amerika, apa yang akan negara rakan kita fikir? Merekalah yang membantu kita tetapi AS cuba untuk melemaskan kita. China kini menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar, dan ia berkembang.
Presiden Barack Obama dengan segera melawat Myanmar dan dasar luar beliau kini condong terhadap negara rantau Pasifik bertujuan mengimbangi pengaruh China. Ketika ini berlaku krisis ekonomi di Eropah, AS dan Jepun. China, India, Brazil, Russia agak perlahan, maka kita tidak perlu mempunyai pasukan yang salah untuk menguruskan ekonomi. Bahaya yang timbul di sini ialah apabila seseorang tidak mempunyai pengalaman dan terbukti tidak mempunyai keupayaan mengendalikan krisis silam. Ia menimbulkan bahaya kerana kita boleh jatuh terduduk. Dan tiada siapa yang akan membantu kita.
AS, rakan sekutu mereka dan Eropah tidak akan membantu kita. Mereka mementingkan diri sendiri apabila berada dalam kesusahan. Ia memang amat berbahaya jika pakatan pembangkang di bawah pimpinan Anwar menerajui negara. Saya bimbang kerana dia tidak mempunyai ilmu mendalam dalam ekonomi, memerlukan orang di sekelilingnya untuk membantunya. Apa yang perlu difikir dan apa yang perlu dilakukan.
Setakat ini, tiada satu pun idea besar daripada Anwar sebagai penasihat ekonomi kepada Kerajaan Negeri Selangor. Lebih buruk lagi, Selangor gagal mengendalikan isu air yang mana ia amat mengecewakan rakyat dan pelabur.
Sudah tentu mereka akan menyalahkan segala-galanya kepada kerajaan Persekutuan walaupun projek pemindahan air menerusi Loji Langat 2 sudah dirancang sebelum mereka memerintah di negeri itu. Kenapa beliau tidak menjadi penasihat ekonomi kepada Kelantan dan Kedah jika Pakatan Pembangkang mendakwa beliau begitu baik? Fikirkanlah dengan serius. Fikirkan masa depan kita.
Perpaduan kukuh komponen BN syarat menang PRU-13
S: Anwar percaya bahawa beliau ditakdirkan untuk menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.
J: Hakikatnya, nasib manusia ditentukan Tuhan. Anda mungkin hanya tinggal satu denyutan jantung lagi daripada jawatan itu tetapi orang berkata, Tuhan menentukan. Saya fikir Tuhan masih menyayangi Malaysia.
S: Apakah peluang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini? Adakah BN berpeluang mendapat sokongan majoriti dua pertiga?
J: Sekali lagi, soalan berkaitan pilihan raya. Saya katakan BN akan menang. Ia adalah baik kerajaan (BN) berpendapat ia boleh mendapatkan sokongan dua pertiga, yang sepatutnya menjadi sasaran mereka. UMNO mempunyai kira-kira 3.3 juta ahli, MCA kira-kira satu juta, MIC kira-kira 600,000. Itu sudah dikira separuh daripada pengundi.
Sekarang anda hanya perlu sedikit sokongan daripada golongan atas pagar, maka anda berpeluang untuk menang. Tetapi BN mesti meletakkan calon yang bersih, baru diterima pengundi. Tetapi sebelum BN boleh menang, mesti wujud perpaduan dalam gabungan itu. Jika mereka tidak bersatu, pembangkang akan melakukan yang lebih baik.
Itulah apa yang berlaku pada 2008. Kekal bersatu, setia dan tidak sabotaj. Kita memerlukan pemimpin yang stabil dan berpengalaman. Hanya BN mempunyai pengalaman. Kita sudah melalui krisis demi krisis, dan pulih dengan cepat. Kita perlu memujuk pengundi Cina bahawa kita tidak boleh bereksperimen. Lihatlah Jepun. Lihatlah di sekeliling kita. Lihat di Britain. Kaji apa yang sedang berlaku.
S: Secara peribadi, adakah anda mahu melihat Najib memenangi pilihan raya ini?
J: Jika anda bertanya kepada saya, di antara Najib atau Anwar, saya akan pilih Najib. Saya akan memberikan Najib peluang. Berikan beliau mandat dan lihat jika adakah mampu memenuhi kehendak kerana Anwar sudah mempunyai peluang, tetapi dia mensia-siakannya. Saya mahu Najib menang kerana saya tidak fikir Anwar adalah calon tepat untuk menjadi perdana menteri. Saya percaya beliau (Anwar) akan mengacau-bilaukan negara dengan mendapatkan nasihat daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan (Paul) Wolfowitz (bekas Presiden Bank Dunia).
Saya akan menyokong Najib, tetapi beliau mesti memerangi rasuah dan jenayah, mengukuhkan keselamatan negara dan mengkaji sistem pendidikan. Jadikan bahasa Inggeris wajib di semua sekolah kebangsaan. Tanpa bahasa Inggeris kita semua ‘mati’, terutama orang Melayu. Orang Melayu mesti sedar, tanpa bahasa Inggeris mereka tidak boleh bersaing.
Kita mesti bertegas menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Ia bukan satu kesilapan menukar medium arahan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Ia bahasa negara dan perpaduan. Jika tidak bercakap bahasa yang sama bagaimana kita memahami antara satu sama lain. Kesilapan dalam dasar kita mengangkat martabat bahasa Melayu, kita juga perlu mengutamakan bahasa Inggeris. Kita tidak boleh mengabaikan bahasa Inggeris hanya kerana menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca di negara ini. Dan jika boleh, kita harus cuba untuk belajar bahasa Arab, kerana wang mengalir dari negara Arab yang kaya. Mengenai keselamatan negara, setiap hari dalam media dan di televisyen terdapat laporan berita pembunuhan serta pelbagai kejadian jenayah.
Anda mengatakan negara kita selamat, tetapi jika rakyat tidak berasa selamat, maka tanpa mengambil kira statistik, rakyat tidak akan mempercayai anda? Mengenai rasuah, beritahu kepada rakyat bahawa kerajaan amat serius untuk menanganinya tetapi tidak dapat melakukannya sendirian, ia perlu sokongan rakyat. Tingkatkan kesedaran rakyat mengenai keburukan rasuah, babitkan sekolah dalam usaha memerangi rasuah. Didik pelajar.
Jika kerajaan dan rakyat bekerjasama, kita boleh berjaya. Ia adalah satu usaha bersama. Kerajaan tidak boleh melawan rasuah sendirian. Rakyat mestilah bersih dan jujur. Jangan hanya menyalahkan kerajaan. Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Jika rakyat jujur dan bersih, kerajaan juga boleh menjadi bersih. Kerajaan mesti bertegas terhadap mereka yang rasuah.
S: Najib sudah melaksanakan ikrar dan janjinya, adakah ia baik untuk negara?
J: Beri peluang kepada Najib. Lima tahun. Uji beliau. Berikan beliau mandat. Beliau melaksanakan amanah dengan baik, mari kita lihat beliau terus membuktikan kemampuannya dan meneruskan dasar transformasi beliau. Najib juga perlu merombak Kabinet. Bawa masuk muka baru. Orang fikir beliau membawa banyak pemimpin yang ‘kayu mati’ dalam Kabinet. Kebanyakan mereka sudah melepasi era masing-masing.
sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment