Tuesday 20 November 2012

Mahathir:

Orang Arab berani, tapi tak mungkin gerak misi 9/11


20 November 2012


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan kesan serangan 11 September terhadap Amerika dan menyifatkannya sebagai bencana terburuk akibat perbuatan manusia sejak Perang Dunia yang lepas berakhir.


Beliau berkata, peristiwa itu mengakibatkan kematian ratusan ribu rakyat Iraq dan Afghanistan serta beberapa ribu tentera Amerika dan British, selain kemusnahan dunia negara Islam itu



"Ia telah membahagikan dunia kepada Islam dan bukan Islam, serta menabur benih syak wasangka dan kebencian di antara mereka," katanya sambil menambah, peristiwa itu turut menjejas


keselamatan negara di dunia sehingga terpaksa membelanjakan bertrilion dolar untuk langkah keselamatan.


"Namun, ancaman tetap kekal, bukan hanya daripada mereka yang digelar pengganas, malah dari negara berkuasa serta kempen mereka untuk mengubah dunia," katanya ketika berucap pada persidangan antarabangsa berkaitan '9/11 Revisited - Seeking the Truth' di sini, semalam.


Negarawan Malaysia itu juga berkata adalah penting untuk mencari kebenaran di sebalik tragedi 9/11 "kerana apabila kebenaran didedahkan, barulah kita benar-benar bersedia untuk melindungi diri dan keselamatan kita."


Berkongsi pandangan beliau berkaitan serangan udara terhadap Amerika pada 11 September 2001 itu, yang antara lain, membinasakan Menara Berkembar ikonik di New York, Dr Mahathir berkata, tindakan tersebut melibatkan unsur sangat kompleks serta memerlukan perancangan terperinci, pengaturan masa yang tepat selain pelaksanaan berdisiplin.


Beliau turut bercakap panjang lebar berhubung kesukaran yang perlu ditempuh untuk merampas empat pesawat besar bagi melanggar sasaran pada masa sama.


"Saya boleh bayangkan mereka yang terlatih seperti anggota CIA atau Mossad merancang serta melaksanakan operasi sekompleks ini, namun saya tidak pernah terfikir seorang Arab seperti Osama bin Laden mampu merancang dan mengarah serangan udara secanggih ini dari sebuah tempat terpencil di Afghanistan," katanya.


Sambil memohon maaf kepada bangsa Arab, Dr Mahathir berkata: "Merancang dan melaksanakan operasi sekompleks ini bukanlah sesuatu yang mereka boleh lakukan dengan baik.


"Mereka sememangnya amat berani dan sanggup mati demi agama mereka, namun mereka bukanlah seperti anggota Tentera Marin Amerika yang merancang serta melaksanakan pembunuhan Osama bin Laden," kata Dr Mahathir, yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF).

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberi amaran bahawa percubaan akan dibuat untuk memadam laporan berhubung ceramah serta perbincangan pada persidangan itu oleh pihak yang menentang kebebasan bersuara dan kebebasan media.


"Bagaimanapun, media alternatif akan mengecewakan mereka dan mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku pada persidangan ini," katanya.


Dr Mahathir kemudian memberitahu pemberita cadangan penubuhan suruhanjaya bebas antarabangsa bagi menyiasat tragedi 9/11 akan membantu mendedahkan dalang sebenar di sebalik kejadian itu.

Satu resolusi berhubung perkara itu juga diluluskan pada persidangan hari ini.


Dr Mahathir berkata, suruhanjaya itu juga boleh mengesahkan ketepatan laporan berhubung tragedi 9/11 yang disediakan pihak berkuasa Amerika.


Dianjurkan PGPF dan Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur, persidangan itu dihadiri, antara lain, bekas anggota kongres AS Cynthia McKinney, produser filem James Corbett dan bekas anggota Parlimen Eropah Giulietto Chiesa dari Itali. - Bernama

No comments: