Friday 13 July 2012


'Imam Mahadi' bukan orang terganggu emosi


KEJADIAN amuk di Jabatan Perdana Menteri Putrajaya pada 9 Julai lalu menarik perhatian masyarakat kerana dua perkara. Pertama, kemunculan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahadi dan kedua, seorang ibu mempunyai dua anak sanggup menemani lelaki itu meskipun baharu berkenalan kurang sebulan.

Wanita itu dikatakan telah dipukau atau terkena ilmu hitam. Lelaki yang mengakui dirinya sebagai Imam Mahadi itu pula dikhuatiri terpengaruh dengan ajaran sesat dan kemungkinan berhadapan dengan masalah mental berdasarkan kecelaruan matlamatnya ke Putrajaya sambil membawa sebilah pedang samurai.

Mengakui diri sebagai Imam Mahadi sebenarnya bukanlah perkara baru dalam sejarah agama sama ada oleh penganut Islam mahupun penganut Kristian. Gerakan menggunakan agama bagi melancarkan revolusi ataupun keganasan pernah dikenali sebagai pemberontakan messaniah, yakni kebangkitan kelompok bersenjata untuk menyerang sesuatu entiti dan menekankan sebarang ritual keagamaan.

Kisah pemimpin agama yang bangun memberontak atau melancarkan revolusi terhadap pemerintah banyak berkait rapat dengan hasrat untuk menyelamatkan manusia daripada mengkhianati agama.

Ketika penjajah Sepanyol memperluaskan pengaruhnya di Filipina, telah muncul pemimpin agama yang bernama Apolonario Dela Cruz (1815-1841) dari San Jose sehingga penangkapannya dikaitkan dengan kecelaruan mental. Beliau kemudiannya dijatuhi hukum bunuh.

Berlainan dengan apa yang berlaku di Putrajaya apabila lelaki mengamuk itu melibaskan pedang samurai ke arah orang ramai setelah dihalang memasuki Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri.

Konsep Imam Mahadi sebagai penyelamat telah menimbulkan sentuhan mistik yang berjaya mempengaruhi sebahagian besar golongan beragama yang bersikap pesimistik, yakni mempercayai secara membuta-tuli ajaran yang diperturunkan oleh guru-guru agama tertentu.

Dalam masyarakat Malaysia, yakni ketika pengikut-pengikut al-Arqam mempercayai secara mistiknya kehebatan Ashaari Muhammad sebagai pemimpin yang berasal dari Bani Tamim. Beliau didakwa hadir ke dunia untuk menyelamatkan manusia daripada kehidupan yang buruk. Setelah merasakan kedudukannya begitu kuat dengan pengikut yang ramai dan merata tempat, Ashaari akhirnya membuat perancangan untuk melakukan gerakan menjatuhkan kerajaan.

Kumpulan tersebut kemudiannya diperintah dibubarkan, manakala Ashaari Muhammad dikenakan tahanan buang daerah dan pengikut-pengikutnya mulai berpecah.

Persoalan kemunculan Imam Mahadi bukanlah sesuatu yang baharu dalam masyarakat. Bahkan dalam masyarakat Kristian, penganut-penganutnya percaya suatu hari, Imam Mahadi akan muncul untuk menyelamatkan manusia setelah mereka diselamatkan oleh Nabi Isa a.s. daripada mewarisi “dosa besar."

Dosa besar itu disebabkan oleh Nabi Adam a.s. yang ingkar larangan Tuhan ketika di syurga dan akhirnya dicampakkan ke dunia sebagai balasan.

Bagi penganut Islam, sama ada dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau Syiah, mereka yakin bahawa Imam Mahadi akan muncul pada akhir zaman sebagai menyelamatkan keadaan umat yang berkonflik sesama sendiri dan telah semakin jauh dengan pegangan agama.

Keyakinan ini berkembang kerana memang ada hadis yang menyebut hal tersebut dan istilah “al-Mahdi" dikatakan berasal daripada kata kerja hada-yahdi yang bermaksud “membimbing" atau “memberikan petunjuk".

Pada abad pertama Hijrah, banyak orang mengakui dirinya sebagai Imam Mahadi berdasarkan pandangan bahawa asal usul keturunannya bukanlah hanya dari nasab keturunan Fatimah al-Zahra (puteri Nabi Muhammad SAW). Imam Mahadi akan muncul tanpa menurut nasab keturunan tertentu, yang pasti ialah mereka yang beragama Islam.

Mengisytiharkan diri sebagai Imam Mahadi merupakan satu bentuk sikap melampau hasil daripada tafsiran sendiri terhadap dalil yang disabdakan oleh Rasullullah SAW, bahawa imam itu benar-benar akan muncul sebelum hari kiamat.

Kemunculan itu juga menandakan kiamat benar-benar dekat, tidak seperti ramalan sesetengah manusia berdasarkan tahap keintelektualannya sendiri. Misalnya, kaum Maya yang berasal dari Amerika Latin meramalkan ‘hari terakhir’ dalam kalendar mereka ialah pada 20.12.2012, sedangkan ia adalah tarikh terakhir dalam satu pusingan atau dikenali sebagai Baktun. Satu pusingan bermakna tiga ribu tahun.

Sikap melampau dalam mengamalkan ritual agama dan mentafsirkan asas-asas kepercayaan berdasarkan dalil pemikiran sendiri adalah salah dalam Islam. Islam mempunyai sikap yang tetap dalam menentukan sesuatu fenomena kejadian dan kehancurannya.

Islam telah membentuk doktrinnya berdasarkan hukum-hakamnya yang tersendiri. Persoalan dasar tidak boleh berubah manakala persoalan kehidupan bersosial, prinsipnya tidak akan berubah, perubahannya adalah pada sifat-sifatnya yang memerlukan penyesuaian dengan corak kehidupan manusia.

Pola pemikiran melampau itu amat ditentang oleh Islam. Menerusi ketegasan yang diteladankan oleh Rasullullah SAW, kehidupan dalam nilai-nilai berhemah dan sederhanalah yang akan menyelamatkan Islam. Sikap melampau atau terlalu mencari kesalahan orang lain itulah sebenarnya membawa kepada ketakjuban yang melampau ke atas kebolehan sendiri.

Ulama salaf tidak menonjolkan kelebihan melampau. Bahkan, dari segi ilmu mereka sentiasa memantapkannya dengan penuh tawaduk dan sikap merendah diri. Allahyarham Buya Hamka misalnya pernah membuat kesimpulan: “Ketika saya membaca sebuah buku, saya rasakan diri sayalah yang paling pandai; tetapi apabila saya membaca seribu buku, ternyata diri sayalah yang paling bodoh berbanding orang ramai."

Begitu dengan sikap merendah diri Imam al-Ghazali. Beliau tidak pernah mengakui dirinya sebagai seorang yang pakar walaupun beliau dilantik sebagai pengurus pendidikan di sebuah pusat pengajian ilmu-ilmu agama pada zamannya.

Ilmu semata-mata tidak membawa apa-apa makna, tetapi jika beramal tanpa ilmu juga ia merupakan satu tindakan yang berbahaya.

Untuk itulah Islam mengajarkan umatnya supaya sentiasa belajar dan menuntut ilmu, dengan ilmu itulah akan menggerakkan diri untuk memahami bahawa pencapaian tertinggi seseorang itu ialah mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Bagi sesetengah orang, dengan hanya mempunyai sedikit ilmu, dicubanya untuk menduga samudera yang dalam. Dalam percubaan itulah akhirnya tersesat hingga menyebabkan diri terkorban.

Maknanya, insiden yang berlaku pada petang Isnin di Putrajaya mempunyai kebenarannya apabila menganggap pengetahuannya sudah lengkap dan mantap.

Seseorang yang menganggap dirinya mempunyai kemantapan ilmu menyebabkannya cenderung membalutkan emosinya dengan sikap melampau manakala tindakannya terarah kepada penyerangan dan melepaskan geram.

Jika mereka mempunyai pengikut yang ramai, maka mereka semakin cenderung untuk bersikap melampau sehingga mengambil tindakan dalam bentuk kekerasan.

Imam Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap melampau. Maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama." (Riwayat Ahmad, Nasai, Ibn Majah dan Al-Hakim).

Golongan pelampau ikut menjadikan aksi radikal sebagai kemuncak penentangan. Tindakan tersebut sebenarnya bertentangan dengan perintah Allah SWT, kerana al-Quran tidak pernah meminta manusia supaya bertindak ganas hatta ketika berdepan dengan musuh semasa berperang.

DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD. TAHIR

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

No comments: