Tuesday, 30 August 2016

Lelaki pulang ke rumah selepas sehari dikebumikan





Bengkulu: Penduduk kampung Desa Rindu Kedui di sini, gempar selepas seorang lelaki tiba-tiba kembali semula ke rumahnya selepas sehari dia meninggal dunia dan dikebumikan.
Lelaki yang dikenali sebagai Hamid, 65, itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bengkulu pada Khamis lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri beberapa hari lalu.
Pihak hospital kemudiannya menghubungi keluarga Hamid yang datang sebelum menguruskan dan mengebumikan jenazah lelaki itu pada hari yang sama.
Sehari selepas itu, beberapa penduduk kampung menemui Hamid masih hidup dan sihat di Bengkulu serta segera membawanya pulang ke kampung.
Keluarga Hamid dan penduduk kampung terkejut dan panik apabila melihat lelaki itu masih hidup selepas sehari dikebumikan.
Cucu Hamid, Riska Yulia Antika berkata, keluarganya sangat terkejut apabila melihat lelaki itu masih hidup dan segera membuat laporan polis.
Katanya, mereka juga bingung kerana lelaki yang dikebumikan sehari sebelum itu memiliki wajah dan ciri fizikal sama seperti Hamid.
“Datuk saya mengalami masalah mental dan jarang pulang ke rumah.
“Pada hari Khamis lalu pihak hospital memberitahu dia sudah meninggal dunia selepas ditemui terbaring di tepi jalan di Bengkulu,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis, Raden Tri Wahyu Budiyanto berkata, pihaknya menyiasat kes berkenaan dan akan berusaha untuk mengenal pasti identiti sebenar jenazah yang dikebumikan keluarga Hamid. 

- Agensi/Metro

Monday, 29 August 2016

Imam wanita mahu cabar lelaki




Copenhagen: Sebuah masjid pertama yang diketuai wanita dibuka secara rasmi di sini dengan mengadakan solat Jumaat yang diimamkan oleh wanita.
Lebih 60 wanita memenuhi Masjid Mariam di tengah bandar ibu negara Denmark ini untuk menunaikan solat berkenaan yang diimamkan oleh Saliha Marie Fetteh sementara Sherin Khankan menjadi bilal.
Selain menjadi imam, Saliha juga membaca khutbah bertema ‘Wanita dan Islam dalam dunia moden.’
Menurut laporan, sebahagian mereka yang hadir ialah peganut agama lain atau tidak ada agama.
Masjid itu dibuka secara tidak rasmi Februari lalu dan ia mengambil masa enam bulan untuk melakukan persiapan sebelum solat Jumaat pertama dapat diadakan.
Bagaimanapun, sepanjang beberapa bulan lalu, lima perkahwinan sudah dilangsungkan di masjid itu dan tiga lagi dalam senarai menunggu - termasuk beberapa perkahwinan antara penganut agama berbeza.
Masjid itu dikatakan merangka piagam perkahwinannya sendiri berdasarkan empat prinsip penting - poligami bukan pilihan, wanita berhak untuk menceraikan suami, perkahwinan akan terbatal jika berlaku keganasan psikologi atau fizikal dan jika berlaku perceraian, wanita mempunyai hak yang sama terhadap anak.
Sherin yang berasal dari keluarga pelarian Syria - bapa Islam, ibu Kristian - berkata, masjid itu berhasrat mencabar penguasaan kaum lelaki dalam Islam dan mengaku mendapat tentangan daripada anggota keluarga dan rakan mengenai hasratnya menjadi imam.
Dia tidak menutup kepalanya kecuali ketika sembahyang dan itu katanya, adalah fahamannya mengenai ajaran Islam.

- Agensi/Metro

Patah mayat sebelum angkat

Orissa: Satu video menunjukkan pekerja hospital mematahkan mayat seorang wanita tua supaya mudah dimasukkan ke dalam karung sebelum mengangkatnya menggunakan kayu, kejadian kedua berkait dengan kekurangan ambulans sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai di India.
Video berkenaan menunjukkan pekerja sebuah hospital di Orissa mematahkan pinggul wanita berusia kira-kira 80 tahun yang mati selepas dilanggar kereta api dan memasukkannya ke dalam karung untuk diangkat.
Ia muncul sehari selepas satu video menunjukkan seorang lelaki terpaksa berjalan sejauh enam kilometer dari hospital sambil mengangkat mayat isterinya yang mati kerana batuk kering.
Kedua-dua kejadian yang berlaku di Orissa, negeri di timur India. Video mengenainya yang dikongsi secara meluas di media sosial dan rangkaian televisyen mengundang kecaman orang ramai mengenai layanan pihak berkuasa terhadap penduduk miskin.
“Ini amat menyedihkan. Kami akan siasat. Kami akan mengambil langkah bagi memastikan ambulans yang mengangkat mayat,” kata Ketua Menteri Orissa, Naveen Patanik.
Hospital awam di India enggan menyediakan ambulans untuk membawa mayat, memaksa keluarga si mati menyewa kereta mayat dengan kos yang tinggi.
Sistem kesihatan awam di India berdepan kekurangan infrastruktur dan tenaga manusia dengan kerajaan hanya membelanjakan kurang lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Bank Dunia.

-Metro

Friday, 26 August 2016

Abang tembak adik kerana pakai skirt

Marisa Putorti
VIBO VALENTIA - ITALI . Seorang gadis ditembak di bahagian lutut kerana abangnya tidak menggemari cara dia berpakaian.
Marisa Putortì, 21 mengatakan abangnya Demetrio, 25 bagaikan dirasuk ketika mengacukan pistol ke arahnya pada hari kejadian.
Kata Marisa, dia dan abangnya tidak rapat dan Demetrio sering mengawal gerak-geri dan tingkah laku mangsa.
"Semua yang saya buat tidak kena pada matanya. Dia akan marah kalau saya memakai persolekan atau memakai skirt. Bercakap dengan lelaki juga membuatkan dia marah," kata Marisa dipetik laporan Mirror.
Sementara itu, polis sudah menahan Demetrio selepas dia menyerah diri di balai polis berdekatan.
Polis kini menyiasat bagaimana Demetrio memperolehi senjata api yang digunakan dalam kejadian tersebut.

-Sinar

Thursday, 25 August 2016

Perbahasan haram burkini tambah hangat




Nice: Perbahasan hangat berhubung pengharaman burkini di Perancis semakin menjadi-jadi apabila imej seorang wanita memakai pakaian itu dikelilingi polis di pantai di sini menjadi viral.
Gambar berkenaan yang sumbernya tidak jelas mencetuskan kegemparan di Twitter dengan ramai yang menyifatkannya sebagai tindakan polis memaksa wanita itu menanggalkan pakaiannya.
“Soalan hari ini: Berapa ramai anggota polis diperlukan untuk memaksa seorang wanita menanggalkan pakaian di khalayak ramai?” tulis Andrew Stroehlein, Pengarah Media Human RIghts Watch Eropah di Twitter.
Seorang aktivis yang menggunakan nama Sihame Assbague menulis, kejadian itu menjadikan Perancis bahan ketawa dunia.
Aktivis wanita Perancis pula berkata, dia amat malu dengan kejadian berkenaan.
Nice antara 15 bandar Perancis yang mengharamkan burkini, pakaian renang yang menutup seluruh tubuh penggunanya, kecuali muka dan tapak tangan, di pantai.
Mereka yang didapati memakai burkini di kawasan yang diharamkan itu diancam denda.
Majlis Negara, mahkamah pentadbiran tertinggi Perancis akan mengkaji permohonan Liga Hak Asasi untuk membatalkan pengharaman itu yang dikuatkuasakan di 15 pantai di seluruh Perancis. 

- Agensi/Metro

Kepala budak 4 tahun tersekat di sofa



Tongren: Seorang budak berusia empat tahun diselamatkan anggota bomba selepas kepala dia tersekat dalam sebuah sofa.
Kanak-kanak itu dipercayai melihat lubang pada sofa berkenaan dan mahu melihat di dalamnya.
Kejadian berlaku di sebuah salun kecantikan di bandar Tongren, wilayah Guizhou, China.
Ibunya terpaksa menelefon bomba untuk mendapatkan bantuan selepas mendapati kepala anaknya tersangkut pada sofa berkenaan.
Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan gunting untuk memotong pelapik sofa itu sebelum memecahkan rangka kayunya.
Mujur kanak-kanak itu diselamatkan tanpa sebarang kecederaan 

- Agensi/Metro

Wednesday, 24 August 2016

Tiada perasaan



Bogota: Seorang lelaki tidak menunjukkan sebarang reaksi walaupun sebilah pisau besar tertusuk di belakangnya.
Kejadian dirakam di sebuah hospital di Barranquilla, Colombia. Gambar menunjukkan klelaki itu langsung tidak menunjukkan sebarang perasaan ketika dirawat sekumpulan doktor.
Seorang jururawat memotong bajunya sambil diperhatikan orang ramai termasuk ada yang merakam video menggunakan telefon pintar.
Tidak diketahui apa yang berlaku kepada lelaki itu, atau keadaannya selepas itu.
Barranquilla yang terletak di utara Colombia, bandar utama yang popular dalam kalangan pelancong dan ahli perniagaaan. Colombia memang mempunyai kadar jenayah tinggi yang berkait rapat dengan kegiatan dadah sejak 1970-an.
Walaupun pelbagai usaha dijalankan kerajaan, Colombia masih menjadi pengeluar kokain terbesar dunia.
Malah tiga bandarnya tersenarai sebagai antara 50 paling berbahaya di dunia, mengikut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015.
Tiga bandar itu adalah Palmira, Cali dan Pereira di tempat ke-45.

 - Agensi/Metro

Tuesday, 23 August 2016

Kayuh basikal dari China untuk tunai haji


Taif: Seorang lelaki warga China tiba di bandar ini selepas mengayuh basikalnya sejauh 8,150 kilometer untuk menunaikan haji.
Lelaki berkenaan, Mohammad dikatakan berlepas dari kediamannya di Xinjiang di barat laut China.
Ketibaannya di Taif disambut oleh anggota sebuah kelab peminat basikal bandar berkenaan.
Presiden kelab, Nayef Al Rawas berkata, dia berharap kelab peminat basikal bandar lain juga akan meraikan Mohammad.
Selepas tinggal seketika di Taif, Mohammad diiringi anggota kelab itu untuk menuju ke Makkah.
Laporan akhbar tempatan, Sabq, bagaimanapun tidak menyebut bila Mohammad berlepas dari Xinjiang.
Kira-kira 14,500 masyarakat Islam China akan menunai Rukun Islam Kelima itu tahun ini.
Sehinggga Jumaat lalu, sebanyak 37 penerbangan sewa khas membawa 11,000 jemaah negara itu sudah tiba di Arab Saudi.
Meskipun berdepan cabaran, idea untuk mengayuh basikal atau menunggang motosikal untuk menunaikan haji atau umrah menjadi minat dalam kalangan Muslim, khususnya dari Asia.
Pada Mei 2014, 12 rakyat Malaysia menunggang motosikal dari Kuala Lumpur ke Madinah.
Dengan lapan motosikal dan sebuah van, kumpulan itu merentas 12 negara dan berhenti di 53 bandar sebelum tiba di tanah suci itu. 

- Agensi/Metro

Monday, 22 August 2016

Dendam isteri




Beijing: Seorang wanita menikam suaminya di khalayak ramai kerana berang apabila lelaki itu curang dalam perkahwinan mereka.
Kejadian itu dirakam orang ramai dengan lelaki terbabit terduduk di tengah-tengah jalan raya manakala bajunya berlumuran darah.
Pasangan itu kemudian bertengkar sebelum lelaki itu cuba berdiri untuk beredar dari situ.
Namun, wanita itu yang nyata tidak berpuas hati menghampiri suaminya dan menikamnya lagi menyebabkan lelaki terbabit menjerit kesakitan.
Mangsa kemudian cuba beredar dari situ sambil memegang sisi badannya sebelum video itu tiba-tiba terhenti.
Kecederaan sebenar dialami mangsa tidak diketahui, begitu juga lokasi dan tarikh kejadian.
Video itu dimuat naik ke LiveLeak.com dan dilihat lebih 22,000 kali.

-Metro

Nyawa masih panjang




Sydney: Seorang pemancing ikan bernasib baik tidak mati apabila serampang yang digunakan untuk menangkap ikan menusuk lehernya.
Rakaman video mengenai kejadian itu, dipercayai dari Jepun, menunjukkan lelaki berkenaan kelihatan tenang ketika diperiksa oleh doktor di sebuah hospital.
Video yang dimuat naik ke satu laman Facebook peminat pancing ikan mendapat banyak ulasan dengan ramai pengguna menyatakan terkejut kerana lelaki itu masih selamat.
Bagaimanapun, ia tidak menyatakan mengenai tahap kecederaan lelaki berkenaan atau bagaimana ia berlaku.

-Metro