Sunday, 14 October 2012

Antara Syed Naquib dan Anwar

Oleh Zaini Hassan


PADA Hari Sabtu (22/9/2012), pukul 9 hingga 11 malam, saya dan rombongan Rektor Universitas Ibn Khaldun (UIKA) Bogor, berkesempatan menghadiri kuliah terbuka (Saturday Night Lecture) Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas di Kampus Antarabangsa UTM.

Kuliah rutin Prof. Naquib al-Attas ini diselenggarakan oleh Center for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilization (CASIS) - UTM yang didirikan dan dipimpin oleh Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud. Sebenarnya, tujuan utama delegasi UIKA Bogor ke Kuala Lumpur adalah menandatangani nota persefahaman antara UIKA dengan Universiti Teknologi Malaysia, sebuah universiti besar dengan mahasiswa internasional lebih dari 4,000 orang.

Namun, kami bersyukur sempat juga mengikuti kuliah umum Prof. Naquib al-Attas, yang pernah mengunjungi UIKA di tahun 1990-an. Kota Bogor juga sangat akrab dengan Prof. al-Attas, sebab di masa kecil beliau pernah tinggal di sini. Beliau adalah cucu dari Habib Abdullah bin Muhsin al-Attas, yang di daerah Empang Bogor popular dengan sebutan “Habib Kramat".

Saturday, 13 October 2012

Suatu Ramalan Tepat Terhadap Nasib Anwar Ibrahim


Oleh : Zainuddin Maidin
Selesai sahaja sembahyang raya Aidilfitri di Masjid Negara pada 1 Syawal 1414 (Mac 1994), saya terus ke kediaman Che Ghafar Baba di Bangsar. Beliau tidak lagi menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Saya merasa perlu untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Ghafar sebelum kembali semula ke London untuk mencukupkan tempoh “pembuangan” saya ke London setelah tersingkir dari jawatan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu pada November 1992 yang telah digantikan oleh orang Anwar Ibrahim.
Saya pulang untuk menguruskan kenduri perkahwinan anak perempuan saya dan juga bagi perletakan batu asas bangunan kamplek baru Utusan Melayu di Wangsa Maju oleh Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tetapi tidak jadi dibina. Mungkin kerana tidak diberkati oleh Allah.
Bila saya tiba, Ghafar berada di hadapan rumah bersama seorang Cina. Saya percaya, saya adalah pengunjung pertama dan Ghafar menjemput saya masuk untuk sarapan raya bersama isteri mudanya. Kami bercakap tentang perkembangan-perkembangan politik terakhir dan Ghafar Baba dengan bersahaja dan penuh yakin memberitahu saya “Anwar tidak akan jadi Perdana Menteri.”
Saya bertanya di mana Che Ghafar dapat tahu? Katanya, tunggu sekejap dan dia memanggil orang Cina yang tadi bersamanya dan masih berdiri di hadapan rumah untuk duduk makan bersama kami. “Bagi tahu sama dia,” kata Ghafar, tetapi orang Cina ini takut-takut untuk menyatakan sesuatu kepada saya dan Ghafar memberitahu “Tak apa, Ini kawan saya, tak usah takutlah.”
Orang Cina ini yang saya tidak kenal dan tidak pernah jumpa sebelumnya dalam nada yang teragak-agak memberitahu saya “Anwar tidak sampai,” tidak sampai apa? tanya saya. “Tidak sampai jadi Perdana Menteri,”.katanya.
Dan saya tanya lagi, siapa bilang? jawabnya: Tukang Tilek Cina (Ahli Nujum). Saya tidak percaya kerana terdidik supaya jangan mempercayainya (Ayat 90 Suratul Almaidah: Wahai orang-orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak, judi dan pemujaan barhala dan mengundi nasib dengan batang batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya)
Tetapi hal ini ternyata menjadi realiti, Anwar tidak sampai walaupun hanya seinci lagi dengan kuasa.
Walaupun saya berada di London, tetapi saya mendapat maklumat tentang peranan media cetak terutamanya Berita Harian dan Utusan Malaysia secara agresif mempromo Anwar dan mulai membelakangi Dr. Mahathir sambil mengadakan tekanan terhadap Ghafar supaya tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Ucapan Perdana Menteri Dr.Mahathir di kediaman Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Mokhtar Ahmad pada 10 September 1993 yang meminta pemimpin-pemimpin UMNO supaya” Dont over stay your welcome” telah dieksploitasi oleh Utusan Malaysia dan Beirta Harian sebagai ditujukan kepada Che Ghafar.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Johan Jaafar mengkui kepada saya (dalam interviu untuk buku sejarah Utusan Melayu), bahawa beliau bersama dengan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Nazri Abdullah telah memutarbelit kenyataan Dr.Mahathir itu supaya difahamkan sebagai ditujukan kepada Ghafar.
Apabila Dr. Mahathir tiba di London tidak lama selepas membuat ucapan itu dan meminta saya berjumpa denganya maka pertanyaan saya yang pertama kepadanya ialah kenapakah beliau membuat kenyataan demikian dan Dr. Mahathir menyatakan beliau tidak maksudkan Ghafar malah kata beliau, ucapannya dimulai dengan “saya menyatakan, bahawa saya sendiripun perlu berundur kerana sudah terlalu lama.”
Menyedari Utusan Melayu tidak lagi adil kepadanya setelah orang Anwar Ibrahim mengambil aleh jawatan Ketua Pengarang dari saya, Ghafar telah menelefon Pengerusi Utusan Melayu, Tan Sri Khalid Abdullah pada 24 Jun 1993 jam 12.20 petang supaya melantik Setiausaha Poiltiknya Dr. Alias Mohamed sebagai Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Melayu tetapi Tan Sri Khalid memberitahunya bahawa orang Anwar telah pun dilantik menjadi anggota Lembaga Jabatan Pengarang. (Fakta lebih lengkap terkandung dalam buku sejarah Utusan Melayu yang telah siap saya tulis dan akan diterbitkan tidak lama lagi)
Ghafar Baba terpaksa menarik diri dari bertanding apabila Anwar berjaya memerangkap semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk menghadiri sidang akhbarnya bagi mengumukan kesediaannya bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 23 Ogos 1993. Kebanyakkan mereka tidak sedar akan tujuan sidang akhbar itu dan terpaksa menyatakan sokongan kecuali Wan Mokhtar.
Musa Hitam berada di kediaman saya di Brynston Square London apabila Ketua Pengarang The Star V.K. Chin (Mendiang) menelefon saya mengenai pengumuman Anwar itu dan Musa berkata “Habis.”
Untuk mempastikan Ghafar berundur, Utusan Malaysia pada 14 September 1993 menjadikan berita utama muka satunya “Ramai Yakin Ghafar Tarik Diri” pada hal hanya pandangan seorang ahli politik dan seorang ahli akademik.
Beberapa orang wartawan Utusan menelefon penulis di London memberitahu bahawa Utusan tidak bersikap objektif dalam pemberitaan mengenai persaingan Anwar dan Ghafar, malah beberapa orang wartawan Utusan telah menjadi wartawan envelop dari sogokan Team Wawasan.
Saya tidak rapat dengan Ghafar Baba, tetapi kenal lama dengannya sejak awal tahun 60an. Saya gembira semasa saya menjadi Menteri Penerangan saya dapat bekerjasama dengan wartawan-wartawan bilek berita RTM untuk menyediakan skrip bagi dokumentari Ghafar Baba sebagai pemimpin tulin rakyat. Sebelumnya telah disiarkan kisah Tun Abdul Razak.
Bagaimanapun apabila RTM menyiarkan dokumentari mengenai Tun Dr. Mahathir yang telah pun bersara, salah seorang Setiausaha Politik Perdana Menteri menelefon saya yang ketika itu berada di Cape Town Africa Selatan “Siapa yang suruh you buat progrem ini.” Saya memberitahunya “apa salahnya kerana lain-lain pemimpin UMNO yang bersara juga telah pun disiarkan.”
Ketika itu saya adalah Menteri Penerangan dan dia hanyalah Setisauaha Politik. Ada orang yang menjadi kurang ajar apabila salah menilai dirinya.
Tamrin menilai dirinya sebagai wajar menjadi menteri kerana bapanya Timbalan Perdana Menteri dan Mahathir menjadi “durjana” kerana menjadi penghalang kepadanya.
zamkata.blogspot.com

Wednesday, 10 October 2012

Bersangka baik terhadap nikmat, musibah


Syed Abi Ghufran Syed Ahmad Al-Idrus  
Guna akal waras buat pertimbangan, tabah hadapi ujian

Firman Allah SWT: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216) 
 

Orang yang beriman hendaklah meyakini setiap perkara yang berlaku ke atas dirinya sama ada baik atau buruk, semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali lagi.  

Jika kita berdoa kepada Allah SWT, maka hendaklah bersangka baik jika hajat tidak dimakbulkan. Mungkin Allah SWT mahu beri yang lebih baik”

Jika ditimpa masalah dan musibah, hendaklah kita yakin bahawa di sebalik musibah itu ada hikmahnya tersendiri. Justeru, hendaklah kita bersifat reda kepada ketetapan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada seorang Muslim pun yang mengalami penderitaan, kepenatan, kesakitan, kesulitan, kesedihan dan kebimbangan yang merunsingkannya melainkan dihapuskan sebahagian daripada kejahatannya.” (Riwayat Muslim)

Begitu juga sebaliknya apabila kita diberi nikmat rezeki, maka hendaklah sentiasa berfikir dan bermuhasabah diri, apakah hikmah di sebalik ujian rezeki yang Allah SWT kurniakan ini. Janganlah lupa bersyukur kepada-Nya dengan cara membayar zakat dan bersedekah.

Ini termasuklah nikmat kuasa di tangan yang dikurniakan dan dipinjam seketika oleh Allah SWT supaya digunakan sebaik mungkin untuk kepentingan bersama dan tidak menindas orang bawahan.
Apakah dengan adanya kuasa kita bebas membuat keputusan tanpa memikir hak orang lain atau menjatuhkan sesuatu hukuman berdasarkan kepentingan peribadi. Semua ini ada hikmah melihat sejauh mana kita
menggunakan akal waras ketika diuji oleh Allah SWT dan seterusnya ganjaran pahala atau dosa sebagai habuannya.

Jika kita berdoa kepada Allah SWT, maka hendaklah bersangka baik jika hajat tidak dimakbulkan. Mungkin Allah SWT mahu memberi yang lebih baik daripada apa yang kita minta. Doa adalah ibadah zikir yang Allah SWT suka.

Diriwayatkan daripada Ibn an-Najjar: “Sesungguhnya malaikat Jibril diserahkan (tanggungjawab) memenuhi hajat-hajat Bani Adam. Apabila seorang kafir itu berdoa, Allah SWT berfirman: Wahai Jibril, sempurnakan hajatnya, sesungguhnya Aku tidak suka mendengar permohonannya. Dan apabila seorang hamba mukmin itu
berdoa, Allah SWT berfirman: Wahai Jibril, tahan dulu hajatnya, maka sesungguhnya Aku suka mendengar permohonannya.”

Jika dikurniakan nikmat ilmu, hendaklah bersyukur dan menggunakan ilmu itu seterusnya mengajar kepada orang lain. Seorang guru tidak boleh mengharamkan ilmu yang telah diajar kepada anak muridnya, sama seperti bapa tidak boleh mengharamkan nafkah diberikan kepada anaknya.

Jika seseorang telah mengerjakan sesuatu amalan soleh, maka hendaklah dia bersangka baik dengan Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT akan menerima amalan soleh yang kita lakukan. Ada banyak hadis menyuruh umat Islam bersangka baik dengan Allah SWT ketika saat menjelangnya ajal.

Diriwayatkan, Nabi SAW pada suatu hari telah menziarahi seorang pemuda yang sedang sakit. Maka Nabi SAW bertanya pemuda: Bagaimana keadaan kamu sekarang? Jawab pemuda itu: Demi Allah aku mengharapkan rahmat daripada Allah kerana aku sangat takut disebabkan banyak dosa yang telah aku lakukan. Nabi SAW bersabda kepadanya: Tidak berhimpun dua perkara dalam hati seseorang melainkan diberi oleh Allah SWT apa yang diharapkannya dan dilepaskan dari apa yang ditakutinya.” (Riwayat at-Tarmizi)
Islam menyuruh kita bersangka baik sesama manusia. Menurut Imam al-Ghazali, apabila kita berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak itu belum diberati dosa, sedangkan kita hampir setiap langkah berbuat dosa.

Apabila berdepan dengan orang tua, anggaplah orang tua itu lebih mulia kerana ia lebih lama beribadah daripada kita. Ketika berjumpa dengan orang alim, anggaplah beliau lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang tidak kita ketahui, tetapi beliau mengetahuinya.

Jika melihat orang yang jahil, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia berbuat sesuatu kesalahan atau dosa kerana kejahilannya sedangkan kita berbuat dosa dalam keadaan kita mengetahuinya.

Jika berjumpa orang jahat, janganlah anggap kita mulia atau lebih baik daripadanya tetapi katakanlah bahawa orang jahat itu mungkin di masa tuanya ia bertaubat memohon ampun atas perbuatannya. Sedangkan kita sendiri belum tahu lagi bagaimana akhirnya.

Apabila berjumpa orang kafir, katakanlah dalam hati, si kafir itu belum tentu kafir selamanya, mungkin suatu hari nanti datang keinsafan dalam hatinya, dia memeluk Islam dan semua dosanya diampunkan Allah SWT.

Sedangkan kita sejak lahir lagi sudah memeluk Islam tetapi dosa terus dikerjakan dan pahala belum tentu lagi. Sehubungan itu, kehidupan ini pasti tidak ceria dan menarik jika tidak diuji dengan pelbagai dugaan.
Semuanya pasti ada hikmah tersembunyi. Marilah kita berdoa supaya termasuk dalam golongan orang berbaik sangka terhadap Allah SWT dan sesama manusia. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang terbaik dalam perhubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.
Sumber: Berita Harian

MasyaAllah : Pernahkah kita bersyukur ?


Lelaki tanpa muka
 
 LATIF tak boleh melihat selepas mata dilitupi lapisan ketumbuhan.
 
 
  IBU Latif menangis setiap kali melihat beliau.

KASHMIR: Seorang pemuda buat pertama kalinya menceritakan kehidupannya ‘tanpa muka’ dan bagaimana dia begitu takut keadaannya itu diwarisi oleh anak yang masih dalam kandungan isterinya.
Mohammad Latif Khatana, 32, dari Kashmir, India, tidak boleh melihat atau bekerja kerana mukanya dilitupi lapisan ketumbuhan.
Kerana kehodohannya, ada orang yang sanggup meludah ketika mereka melalui di depannya.
Dia kini begitu gembira selepas wanita yang dikahwinnya hamil tujuh bulan.

Tetapi dia begitu bimbang, anak yang akan dilahirkan itu akan berwajah sepertinya.

“Saya tidak sabar untuk menjadi bapa dan memiliki sedikit kebahagian dalam kehidupan saya. Tetapi saya sentiasa bimbang dan berdoa setiap hari supaya anak saya tidak dilahirkan seperti saya,” katanya.

Latif yang tinggal bersama isteri, Salima, 25, di kawasan pergunungan di Tuli Bana di Jammu dan Kashmir, pergi ke Srinagar selama empat bulan dalam setahun untuk meminta sedekah.

Dia dilahirkan dengan ketumbuhan kecil pada mukanya. Tetapi ketumbuhan itu membesar dan membentuk lapisan daging dan menutup seluruh mukanya. Ia menyebabkan Latif tidak boleh melihat.

“Ibu saya masih menangis setiap kali melihat saya. Dia merasa bersalah dan tidak faham mengapa anak bongsunya ditimpa nasib itu.”

Latif mempunyai dua abang dan tiga kakak dan menjadi satu-satunya anggota keluarga yang menghidap masalah berkenaan.

Tanpa adik beradiknya, kehidupannya akan menjadi begitu sunyi kerana tidak ada orang yang ingin berkawan dengannya.

“Tidak ada orang yang mahu bermain dengan saya. Setiap hari saya dipukul dan diejek oleh kanak-kanak lain di kampung. Saya kehilangan mata kiri ketika berusia lapan tahun. Mereka memanggil saya ‘si mata satu.’”

Apabila dewasa, dia terus berdepan dengan banyak masalah. Dia lelaki yang kuat tetapi kerana tidak dapat melihat dan keadaan mukanya, tidak ada siapa yang ingin menawarkannya pekerjaan.

“Saya terpaksa mengemis dan mengharapkan simpati orang lain supaya dapat memberi makan kepada keluarga.”

Latif kadang-kala memperoleh 400 rupi (RM25) sehari dengan mengemis.

“Pernah tiga gadis berjalan di depan saya. Mereka ludah kaki saya dan berlari sambil menutup mulut dengan selendang masing-masing. Ia begitu memalukan saya.

“Ia juga membuat saya terkejut kerana melihat kekejaman mereka. Saya begitu tertekan selama beberapa hari. Tetapi saya terpaksa bangkit dan meneruskan kehidupan,” katanya.

Empat tahun lalu, Latif menemui jodohnya.

Ibu bapanya berusaha mencarikannya isteri tetapi tidak ada wanita yang sudi berkahwin dengannya, sehinggalah Latif mendengar mengenai Salima.

“Isteri saya hanya mempunyai sebelah kaki. Sudah lama dia berusaha untuk mendapatkan seorang suami.

“Sebaik bertemu, kami sedar bahawa kami dicipta untuk satu sama lain. Kami jodoh yang sesuai kerana masing-masing cacat,” katanya.

Mereka berkahwin pada Ogos 2008 dan kira-kira 400 tetamu hadir pada majlis itu.

Sejak itu, pasangan berkenaan hidup bahagia. –
TS / Harian Metro 

Monday, 8 October 2012

Nabi sedih umat cuai solat

Ibrahim Abdullah

Ketahuilah bahawa bencana dahsyat, perbuatan yang paling buruk, dan aib adalah berpunca daripada kurangnya perhatian masyarakat terhadap mengerjakan ibadah solat lima waktu, solat Jumaat, solat jemaah dan solat sunat yang lainnya.

Pada hal semua itu adalah ibadah yang dengannya Allah SWT meninggikan darjat dan menghapuskan dosa maksiat seseorang. Ibadah solat adalah cara ibadah seluruh penghuni langit dan bumi. 
    
Cuai kerana urusan dunia

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Langit merintih dan memang ia patut merintih, kerana pada setiap tempat untuk berpijak terdapat malaikat yang bersujud atau berdiri (solat) kepada Allah Azzawajalla." (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad).

Orang yang meninggalkan ibadah solat kerana cuai oleh urusan dunia akan malang nasibnya, berat seksaannya, rugi perdagangannya, besar musibahnya, dan panjang penyesalannya. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya bagi orang yang beriman."(An-Nisa : 103).

Abu Hurairah RA meriwayatkan: "Selepas Isyak aku bersama Umar bin Khattab ra pergi ke rumah Abu Bakar as-Siddiq untuk suatu keperluan. Sewaktu melalui pintu rumah Rasulullah SAW, kami mendengar suara rintihan. Kami pun berhenti sejenak. Kami dengar beliau menangis dan meratap: “Ah...andaikan saja aku dapat hidup terus untuk melihat apa yang diperbuat oleh umatku terhadap solat. Ah...aku sungguh menyesali umatku."

Rasulullah menangis
 

 “Wahai Abu Hurairah, mari kita ketuk pintu ini,” kata Umar dan kemudian mengetuk pintu. “Siapa?" tanya Aisyah. “Aku bersama Abu Hurairah.” Kami meminta izin untuk masuk dan beliau mengizinkannya. Setelah masuk, kami lihat Rasulullah SAW sedang bersujud dan menangis sedih, beliau berkata dalam sujudnya: “Wahai Tuhanku, Engkau adalah pengawalku bagi umatku, maka perlakukanlah mereka sesuai dengan sifat-sifat-Mu dan jangan perlakukan mereka sesuai perbuatan mereka.”

“Ya Rasulullah, ayah dan ibuku menjadi tebusanmu. Apa gerangan yang terjadi, mengapa engkau begitu sedih?”

“Wahai Umar, dalam perjalananku ke rumah Aisyah selepas mengerjakan solat di masjid, Jibril mendatangiku dan berkata: “Wahai Muhammad, Allah Yang Maha Benar mengucapkan salam kepadamu, kemudian ia berkata, bacalah.” “Apa yang harus kubaca?” “Bacalah firman Allah yang bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan solat dan menurutkan hawa nafsunya, mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Maryam : 59).

“Wahai Jibril, apakah sepeninggalanku nanti umatku akan mencuaikan solat?”
“Benar, wahai Muhammad, kelak di akhir zaman akan datang sekelompok manusia daripada umatmu yang mencuaikan solat, mengakhirkan solat (hingga keluar dari waktunya), dan menurutkan hawa nafsu. Bagi mereka satu dinar lebih berharga daripada solat.” (Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Umar).

Abu Darda' berkata: “Hamba Allah yang terbaik adalah yang memperhatikan matahari, bulan dan awan untuk berzikir kepada Allah, yakni untuk mengerjakan solat.” Diriwatkan pula bahawa amal yang pertama kali diperhatikan oleh Allah ialah solat. Jika solat seseorang cacat, maka semua amalnya akan ditolak.

Perintah ahli keluarga bersolat

 Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Abu Hurairah, perintahkanlah keluargamu untuk solat, kerana Allah akan memberimu rezeki dari arah yang tidak pernah kamu duga.”

“Barang siapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka ia telah kafir." (Riwayat al-Bazzar dari Abu Darda'). Sabda Rasulullah SAW lagi bermaksud: “Barang siapa bertemu Allah sedang ia mencuaikan solat, maka Allah sama sekali tidak akan mempedulikannya.” (Riwayat Tabarani).

Tindakan liar bukan cara pertahan Rasulullah

Mohammad Fazril Mohd Salleh

 
Nabi Muhammad SAW adalah makhluk terbaik yang diciptakan Tuhan, diutus buat semua dan menjadi rahmat untuk sekalian alam. Kewajipan mentaati Nabi Muhammad adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat disangkal seorang Muslim yang beriman. Malah, menyintai Nabi Muhammad SAW antara kewajipan seorang Muslim yang menjadi tanda keimanannya.

Perjalanan kehidupan baginda Nabi SAW, tidak pernah sunyi daripada dugaan dan cabaran, penghinaan dan cacian yang dilemparkan oleh kaum Musyrikin yang memusuhi Baginda.
Walau apa pun penghinaan dan cacian terhadap baginda Nabi Muhammad SAW, sebagai Muslim, kita mengetahui akan hakikat kemuliaan Nabi secara yakin tanpa sebarang keraguan.

Filem hina nabi

Berikutan insiden penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh Nakoula Basseley Nakoula dari California yang menghasilkan sebuah filem berjudul The Innocence of Muslim dan dimuat naik di laman sosial YouTube, adalah wajar pelajar dan mahasiswa Muslim disarankan untuk memperdalam pengetahuan mengenai peribadi sebenar Nabi Muhammad SAW.

Sebagai Muslim, kita wajib mempertahankan peribadi Nabi SAW daripada sebarang penghinaan. Walau bagaimanapun, tindakan ganas dan liar yang dilakukan oleh demonstrasi dalam siri tunjuk perasaan seluruh dunia sehingga meragut nyawa adalah tindakan yang tidak sewajarnya dilakukan.

Tindakan ganas bangkit fenomena Islamofobia
 
Tindakan terburu-buru yang emosional seperti ini dapat mendatangkan pandangan buruk masyarakat dunia terhadap Muslim dan agama Islam dan membangkitkan fenomena Islamofobia seperti firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah, selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dulu mereka kerjakan” (Al-An'am: 108)

Sekiranya kita ingin membantah dan melakukan perhimpunan aman, itu tidaklah menjadi masalah. Tunjuk perasaan dan demonstrasi yang dilakukan biarlah bertepatan dengan lunas syarak dan akhlak Islami.

Umumnya mengetahui penghasilan filem ini adalah tindakan bodoh seorang pembikin filem yang mempunyai masalah integriti dan terlibat dalam beberapa jenis jenayah. Justeru, selain daripada menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap filem bodoh ini, apa lagi kesan luahan dan tunjuk perasaan kita?

Pastinya Nabi Muhammad SAW akan berbangga dengan umatnya yang cinta dan kasih kepada baginda. Namun, jika akhlak tidak terjaga, kebencian membara dalam hati dan tindakan luar batas sehingga mendatangkan fitnah kepada agama Islam, apakah semuanya ini akan menggembirakan Nabi Muhammad SAW?

Tanpa menafikan peranan aksi tunjuk perasaan dan demonstrasi membantah filem ini, penulis berpandangan, masyarakat dunia jangan melupakan pembantaian yang sedang berlaku ke atas umat Islam dunia yang sedang merana dan memerlukan bantuan segera.

Tunjuk perasaan dan advokasi membantah pembunuhan bangsa Rohingya di wilayah Arakan, Myanmar, krisis berdarah Syria dan penindasan yang tidak berkesudahan di Palestin, Kashmir, selatan Thailand dan lain-lain haruslah sentiasa konsisten.

Kempen kemanusiaan wajar diteruskan

Malah kempen kemanusiaan dan kutipan dana bantuan untuk mangsa krisis kemanusiaan ini wajar terus berjalan dan diperhebatkan. Sekiranya Nabi Muhammad SAW bersama kita, pastinya baginda berbangga dengan tindakan ini kerana asas ajaran baginda Nabi SAW ialah kasih sayang dan saling membantu.

Oleh demikian, masyarakat Malaysia harus bertindak wajar dan bijak memberi fokus dalam setiap tindakan. Amalkan sunnah dan akhlak mulia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW
sebagai manifestasi tanda cinta kasih kita kepada Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad SAW.
 
 sumber: Berita  Harian

Friday, 5 October 2012

Nabi maksum sejak kecil


RUANGAN kali ini mengajak pembaca fokus kepada beberapa perbahasan penting mengenai Rasulullah yang akan menenangkan hati dan mengikat keyakinan bahawa baginda adalah maksum semenjak kecil dan berpegang dengan ajaran Islam.
Sekiranya ada yang berpendapat agama yang dipegangnya adalah agama Nabi Ibrahim, maknanya itu adalah agama Islam kerana semua nabi dan rasul diutuskan untuk menyampaikan ajaran Islam.
Kebingungan dan kecelaruan fikiran umat Islam mengenai Rasulullah sebelum dilantik menjadi Rasul terbit daripada salah faham terhadap firman Allah: Apabila Dia mendapati engkau sesat, lalu Dia mengurniakan engkau hidayah petunjuk. (al-Dhuha: 7)
Melafazkan ungkapan Rasulullah tidak beragama sebelum usia 40 tahun adalah satu penyimpangan yang nyata. Jika berkata demikian, seolah-olah kita membuka ruang kepada masyarakat umum menilai baginda dengan akal cetek dan andaian semata-mata.
Barangkali ungkapan ‘tidak beragama’ itu ada yang tersasar memaksudkannya sebagai atheis atau tidak menganut agama yang benar iaitu seorang musyrik.
Apabila kita menyatakan bahawa baginda tidak beragama sebelum dilantik menjadi nabi, itu akan membawa maksud baginda terdedah melakukan apa sahaja perbuatan maksiat yang mencacatkan maruah dan meruntuhkan moral kerana tiada pegangan yang menjadi benteng daripada melakukan perkara yang keji dan garis panduan bagi membezakan antara dosa dan pahala.
Mengulas mengenai salah faham terhadap ayat ini, Prof Dr. Sayyid Muhammad Alawi al Maliki menyatakan di dalam bukunya al Zakhair al Muhammadiyyah: “Ayat ini sering dieksploitasi oleh sebahagian ahli fitnah yang buta basirah dan tertutup pintu hati sehingga mereka tidak dapat melihat hakikat kedudukan Nabi dan Rasul yang sebenar.
“Mereka hanya melihat Nabi Muhammad SAW sebagai manusia biasa semata-mata yang berjalan di muka bumi, berjalan-jalan di pasar, memikul dosa, melakukan dosa dan kesalahan, pernah hidup dalam kesesatan lalu Allah memberi hidayah kepadanya, pernah hidup dalam kemiskinan lalu Allah memberikannya kekayaan dan dilahirkan dalam keadaan yatim lalu Allah memberi perlindungan kepadanya. Sehinggalah ke akhir perbicaraan yang hanya membangkitkan kekeliruan orang awam kerana ia berdasarkan kepada maksud zahir nas-nas yang terdapat di dalam al Quran dan Sunnah."
Al ‘Allamah al Qadhi ‘Iyadh pula menyatakan dalam kitabnya al Syifa bi Ta’rif Huquq al Mustafa: “Apa yang pasti, para nabi adalah maksum (terpelihara) sebelum dilantik menjadi nabi dan terhindar dari kejahilan tentang Allah dan sifat-sifat-Nya, dan terpelihara daripada merasa ragu walau sedikitpun mengenai perkara ini.
“Terdapat banyak khabar dan athar yang saling mendukung di antara satu sama lain yang mensucikan para nabi daripada kekurangan ini semenjak mereka dilahirkan dan mereka membesar di atas tauhid dan iman."
Beliau menambah lagi: “Tidak pernah seorang pun ahli hadis menaqalkan terdapat seorang daripada mereka yang dipilih menjadi nabi daripada kalangan orang yang dikenali dengan kekufuran dan kesyirikannya sebelum itu."
Oleh itu kita tidak pernah mendengar para nabi dan rasul terdahulu menganut agama yang sesat yang dianuti oleh kaum mereka.
Kemuliaan ini adalah terlebih utama dianugerahkan ke atas Rasulullah dan tiada satu sebab atau dalil yang menghalang baginda daripada mengecapi nikmat dan keistimewaan itu kerana baginda adalah penghulu segala nabi dan rasul.
Jangan sekali-kali kita berpaling kepada pendapat bahawa Rasulullah SAW berada di atas agama kaumnya sebelum Nubuwwah, lalu Allah menghidayahkan Islam kepada baginda kerana Nabi Muhammad SAW dan para nabi yang lain sejak dilahirkan membesar atas ketauhidan dan keimanan.
Sesungguhnya mereka maksum sebelum Nubuwwah daripada jahil tentang sifat-sifat Allah dan mentauhidkan-Nya.
Pendapat ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa Rasulullah bermusafir bersama bapa saudaranya ke Syam, di mana Buhaira melihat tanda kenabiannya. Sedangkan ketika itu baginda masih kecil.
Buhaira mengujinya agar bersumpah dengan berhala al Laata dan al Uzza, lalu baginda menjawab: “Janganlah kamu meminta saya bersumpah dengan kedua-duanya. Demi Allah! Saya tidak pernah membenci sesuatu seperti kebencian saya terhadap kedua-duanya."
Pendapat ini dikuatkan lagi dengan peristiwa Jibril mengeluarkan seketul daging dari hati baginda dengan katanya: “Ini adalah bahagian syaitan dari dalam dirimu." Kemudian dada baginda diisi dengan hikmah dan iman.
Demikianlah seperti yang dinaqalkan daripada al Imam Fakhr al Din al Razi di dalam tafsirnya Mafatih al Ghaib.
Nabi maksum sejak kecil

Tinggal di rumah orang tua kerana anak

Tiga daripada 60 pelajar sekolah agama yang dipilih dari seluruh negara bertanya khabar penghuni Rumah Sejahtera Taman Bahagia dikenali sebagai Jarah ketika membuat lawatan.

MARANG - Ditakdirkan hidup tanpa kasih sayang anak bukan perkara mudah diterima oleh mana-mana insan apatah lagi pada saat usia semakin lanjut.

Sesekali, hati dibaluti perasaan sayu apabila melihat rakan sebaya begitu gembira mempunyai anak yang dapat memberikan perhatian dan kasih sayang serta dapat berteduh di bawah satu bumbung bersama zuriat dikasihi.

“Pak cik rindukan pelukan anak walaupun hanya mempunyai seorang anak, namun pak cik kecewa kerana dia tidak mahu berhenti menagih dadah lalu pak cik mengambil keputusan tinggal di sini,” kata Mohamad, penghuni Rumah Sejahtera Taman Bahagia, di sini.

Warga emas itu berkata demikian ketika menerima lawatan sekumpulan 60 pelajar sekolah agama terpilih seluruh negara menyertai Program Nadwah Kepimpinan Islam di Terengganu.

Mohamad yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia mula menghuni Rumah Sejahtera Taman Bahagia itu sejak Ogos tahun lalu selepas tidak tahan dengan sikap anaknya seorang penagih tegar dan enggan berhenti menagih dadah.
Menurutnya, dia juga kesal terpaksa menyerahkan harta untuk memenuhi kehendak nak yang juga sudah berkeluarga serta mempunyai anak.
“Kerana tidak tahan dan kecewa dengan perangai (anak), pak cik mengambil keputusan mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghuni rumah orang tua ini dengan rela hati,” katanya.
Sumber: Sinar Harian

Thursday, 4 October 2012

Assabiah Islamiah


ASSABIAH secara harfiah bererti fanatisme kesukuan atau golongan. Fanatisme ini melahirkan sikap pembelaan bermati-matian segala hal yang dianggap sebagai milik sukunya sendiri, terutama bersangkutan dengan nilai, tradisi, harta benda dan kekuasaan.
Apabila merasakan adanya ancaman daripada suku lain, maka anggota suatu suku itu tidak akan 'segan-segan' memerangi dan membinasakan suku atau golongan lain.

Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab sering kali mengalami peperangan pertumpahan darah antara suku kerana didorong oleh assabiah atau rasa fanatisme kesukuan yang sangat kuat (assabiah jahiliah). Suku yang kuat mengalahkan suku yang lemah dan akan tampil sebagai di antara suku-suku lain yang ditaklukkannya.

Nabi Muhammad SAW melarang assabiah dalam erti sempit ini, namun menganjurkan assabiah yang yang berasaskan Islam (assabiah Islamiah), iaitu semangat nasional yang berjiwa Islam.

Assabiah merupakan istilah kunci teori Ibnu Khaldun, pemikir Islam dari Tunisia. Dalam bab ketiga bukunya, Muqaddimah, ia membahas masalah assabiah dan kaitannya dengan perkembangan masyarakat dan negara.

Menurut Ibnu Khaldun, tujuan assabiah ialah kekuasaan negara demi kebaikan rakyat. Kerana itu, assabiah tidak cukup hanya dilandasi kekuasaan fizikal yang mungkin saja cenderung kepada kejahatan tetapi juga harus dilandasi moral, iaitu agama dan akhlak.

Dari sudut pandang ini, kelihatan bahawa Ibnu Khaldun memandang positif sikap assabiah.

Istilah assabiah dalam Islam memiliki konotasi yang tidak baik, kerana mengandungi unsur ekstremisme atau sikap patriotik yang berlebihan terhadap kelompok suku atau golongannya, yang merupakan salah satu ciri kehidupan jahiliah (assabiah jahiliah).

Rasulullah SAW sendiri pernah merasa prihatin atas adanya bibit-bibit permusuhan antara suku di kalangan orang Arab. Nabi menentang sikap fanatisme kesukuan (assabiah jahiliah) ini dengan persatuan secara menyeluruh (jemaah; assabiah Islamiah).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (202 Hijrah /817 Masihi - 261 Hijrah /875 Masihi), Rasulullah SAW menegaskan bahawa barang siapa meninggalkan jemaah, lalu mati membela assabiah, maka ia mati secara jahiliah.

Assabiah kesukuan atau golongan diperlukan untuk mendorong seseorang sampai ke puncak kekuasaan. Oleh kerana itu, menurut Ibnu Khaldun, assabiah sangat penting pada awal berdirinya sebuah negara. Bagaimanapun, apabila kekuasaan negara yang diperjuangkan itu telah tercapai, maka assabiah kesukuan harus segera diganti dengan kebangsaan atau nasionalisme.

Dalam Islam, semua manusia, suku dan bangsa memiliki darjat yang sama di hadapan Allah SWT yang membezakan mereka adalah kadar ketakwaan kepada Allah SWT (rujuk az-Zukruf: 13)


 

Muslihat jahat syaitan


SAYA selalu mengalami perasaan waswas dalam ibadah. Setiap kali berwuduk, saya membasuh muka berkali-kali kerana tidak yakin semua bahagian telah tersentuh air. Dalam solat pula, saya sering merasa waswas dengan takbiratul ihram, sama ada ia sudah sempurna atau belum? Akibatnya saya selalu mengulang takbir beberapa kali sebelum meneruskan solat. Tambah menyedihkan apabila di pertengahan solat, ada ketikanya saya lupa dan waswas dengan jumlah rakaat yang telah dikerjakan dan saya sungguh tersiksa dengan keadaan ini. Bagaimanakah cara mengubatinya?

JAWAPAN
WASWAS adalah muslihat syaitan untuk merosak ibadah manusia. Anda bukan satu-satunya orang yang mengalami perasaan seperti ini. Malah ramai di luar sana yang mengalami perkara yang sama.
Saya pernah melihat seseorang yang waswas dalam lafaz niat dalam solat. Ia berkata: Usolli fardu…usolli fardu tanpa pernah masuk ke dalam solat. Ia berjaya masuk ke dalam solat hanya selepas 10 minit kemudian.
Ada juga yang begitu waswas dalam istinjak. Ia belum merasa bersih meski telah membasuh tangannya berkali-kali.
Semua ini tidak lain adalah perangkap syaitan. Orang yang menjadi mangsa biasanya mereka yang belum menguasai ilmu agama dan hukum-hakam dengan sempurna.
Berkata Imam Al-Syarbini dalam kitab Al-Iqna: "Waswas ketika takbiratul ihram adalah permainan syaitan. Sikap ini menunjukkan kelemahan dalam ilmu agama."
Justeru ubat yang paling efektif bagi mengubati penyakit ini adalah ilmu. Pelajarilah ilmu agama secara mendalam dan berdampinglah dengan para ulama. Anda akan melihat bahawa ajaran Islam sebenarnya sederhana lagi mudah. Dan berlebihan dalam ibadah sama sekali tidak disukai oleh Islam.
Dengan ilmu kita tahu bahawa niat sebenarnya di hati, bukan di lisan. Ucapan kalimat usolli hanya untuk membantu menghadirkan niat di hati. Maka mengulang kalimat ini berkali-kali sama sekali bukan tuntutan agama menurut kesepakatan ulama.
Ilmu juga memahamkan kita bahawa pembaziran air sesuatu yang terlarang. Maka, berlebih dalam membasuh anggota wuduk atau beristinjak bukan sahaja tidak dianjurkan, malah tidak disukai. Oleh itu menurutkan bisikan dan waswas hanya menjauhkan kita daripada kesempurnaan ibadah.
Abaikan
Dalam pelbagai hadis, Rasulullah mengajarkan kita agar selalu mengabaikan waswas setiap kali syaitan membisikkannya ke dalam hati kita. Jangan sekali-kali menurut bisikan ini apalagi hanyut dalam tuntutannya. Sebaliknya, mintalah bukti atas kebenaran dakwaannya. Setakat dakwaan tanpa bukti tidak boleh diterima.
Rasulullah SAW bersabda: "Jika syaitan mendatangi salah seorang daripada kamu lalu membisikkan: "Wudukmu telah terbatal", maka katakanlah: "Engkau dusta!" Kecuali jika ia mencium bau atau mendengar suara (kentut)." (riwayat Abu Dawud.
Jika perasaan waswas itu tidak juga hilang, maka lakukanlah perkara yang bertentangan dengannya. Sebab syaitan akan sangat kecewa jika kita bukan setakat mengabaikan perintahnya, malah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah itu.
Seseorang pesakit waswas pernah mendatangi Kyai Zuhri Mutamim, ulama besar di Singapura yang wafat pada 1985. Ia berkata: "Saya selalu merasa waswas setiap kali selepas beristinjak. Saya merasa tangan saya belum bersih meskipun saya telah membasuhnya berkali-kali. Bagaimanakah caranya untuk meyakinkan hati saya bahawa tangan saya telah benar-benar bersih?"
Beliau menjawab: "Ceduklah air dengan kedua tanganmu, lalu minumlah."
Sungguh bijak jawapan beliau.
Zikir
Terakhir, jangan lupa untuk selalu menghadirkan nama Allah setiap saat. Sebab syaitan akan mengecil dan menyusut setiap kali disebut nama Allah SWT.
Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: "Jika seseorang berkata: Bismillah, maka syaitan mengecil hingga sebesar lalat."
Ibnu Kathir dalam Tafsir-nya berkata: "Sanad hadis ini kuat. Ini menunjukkan bahawa apabila hati kita menyebut nama Allah, syaitan akan mengecil dan kalah. Namun apabila kita tidak mengingat Allah, ia menjadi semakin besar dan kuat."
Sebahagian ulama menganjurkan membaca Lailaha illallah setiap kali seseorang merasakan perasaan waswas dalam wuduk, solat atau ibadah lainnya. Sebab kalimat tauhid ini adalah zikir yang terbesar. Demikian anjuran ini terdapat dalam kitab Tuhfat Al-Habib 'ala Syarh Al-Khatib.
Bacaan lain adalah ta'awwuz, yakni membaca: "A'uzubillah minasyaitannirrajim. Maknanya: "Aku berlindung kepada Allah daripada (kejahatan) syaitan yang direjam."
Selain bacaan-bacaan ini, bacalah zikir yang anda mampu. Semakin hati kita penuh dengan zikir, semakin syaitan dan tipu dayanya menjauh daripada diri kita. Wallahu a'lam.