Monday, 11 June 2018

Kesan gigitan pada kain kafan



POLIS belum mengenal pasti haiwan yang meninggalkan kesan gigitan pada kain kafan jenazah bayi yang hilang di Kulim, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi berkata, haiwan terbabit mungkin biawak atau anjing namun masih belum boleh dipastikan lagi.
Katanya, pihaknya sudah menghubungi pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontingen Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K9) yang menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam dengan bantuan imam masjid terbabit.
"Hasil pemeriksaan tidak menunjukkan tanda positif dan dipercayai adalah daripada tindakan binatang kerana terdapat kesan gigitan pada kain kafan jenazah terbabit.
"Sebelum kejadian itu, kawasan terbabit hujan dan berkemungkinan menyebabkan tanah mendap sehingga haiwan yang datang ke situ mengoreknya dan membawa lari jasad bayi itu," katanya.
Ahmad Nasir berkata, bayi perempuan itu difahamkan meninggal dunia akibat rotavirus dan setakat ini jasadnya masih belum ditemui.
Tanah perkuburan itu juga berhampiran dengan kawasan hutan berbukit yang berkemungkinan dibawa masuk ke dalam hutan menyebabkan sukar untuk menemui mayat bayi malang itu.

AJK masjid dan orang ramai menggali semula kubur itu untuk mencari jenazah bayi terbabit namun gagal menemuinya. FOTO Azahar Hashim
Sementara itu, penggali kubur di tanah perkuburan itu yang enggan dikenali berkata, kehilangan jasad bayi itu hanya diketahui orang awam selepas melihat kain kafan berada di atas tanah perkuburan selain mendapan di kawasan kubur, 7 malam kelmarin.
"Ketika kejadian itu, kebetulan ada majlis tahlil yang diadakan di masjid terbabit yang turut dihadiri ahli jawatankuasa (AJK) masjid.
"Orang ramai kemudian memaklumkan kepada AJK sebelum mereka ke kubur itu dan terkejut melihat kesan mendapan dan kain kapan berselerakan," katanya.
Katanya, AJK masjid dan orang ramai kemudian menggali semula kubur itu untuk mencari jenazah bayi terbabit namun gagal menemuinya.
"Mereka (AJK) masjid kemudian meminta waris jenazah bayi itu membuat laporan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Ini adalah kejadian kali pertama terjadi di kawasan ini kerana sebelum ini perkara seperti ini tidak berlaku," katanya.
"Kami masih tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan," katanya.

-Metro

Friday, 8 June 2018

Dibakar kekasih cemburu

KLANG: Hanya kerana cemburu, seorang lelaki bertindak membakar teman wanitanya di rumahnya di Andalas di sini, pagi semalam.
Akibat perbuatan suspek, mangsa yang berusia 24 tahun melecur 60 peratus di bahagian badan sebelum dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 52 tahun, yang melawat wanita berkenaan di hospital terbabit kira-kira jam 10 pagi semalam.
"Mangsa memaklumkan dia bergaduh dengan teman lelakinya yang berusia 24 tahun ketika berada di rumah lelaki berkenaan di Andalas di sini, sehingga dipukul dengan getah paip di bahagian badan.
"Suspek kemudian menyimbah petrol ke badan mangsa sebelum menyalakan api menyebabkan mangsa terbakar," katanya ketika dihubungi hari ini.
Shamsul Amar berkata, mangsa dan juga suspek yang bekerja sebagai mekanik dibawa ke hospital terbabit oleh untuk rawatan lanjut.
"Suspek cedera pada kedua-dua tangan akibat kejadian itu dan turut dibawa ke hospital berkenaan di mana lelaki itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut ketika menerima rawatan," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai bermotifkan cemburu.
"Berlaku perselisihan faham antara suspek dengan mangsa yang berpunca daripada perasan cemburu hingga mengakibatkan mereka bergaduh.
"Pergaduhan antara pasangan yang sudah menjalinkan hubungan sejak setahun lalu itu menjadi serius apabila lelaki berkenaan gagal mengawal emosi dan bertindak memukul mangsa menggunakan getah paip serta menyimbah petrol lalu membakar mangsa," katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

-BH

Bayi ditanam 7 jam ditemui selamat

SAO PAULO: Seorang bayi perempuan dijumpai selamat selepas tujuh jam ditanam hidup-hidup oleh keluarganya di Brazil, kata pendakwa raya semalam, susulan operasi menyelamatkannya.
Jururawat menghubungi pihak berkuasa selepas mengetahui bayi itu ditanam sejurus selepas kelahirannya Selasa lalu di Taman Negara Xingu di negeri Mato Grosso, yang dihuni ramai penduduk pribumi Brazil.
Polis menyiarkan video menunjukkan pegawai mengorek pasir keluar dari lubang cetek pada waktu malam, kemudian menarik bayi yang masih bogel, dengan tali pusatnya masih ada.
Moyang bayi itu, anggota puak Kamaruya, ditahan, kata pendakwa Paulo Roberto do Prado.
"Kami menyiasat sama ada ini adalah cubaan membunuh bayi atau dia menyangka bayi berkenaan sudah meninggal dunia.
"Walaupun ditanam semalam tujuh jam, maklumat yang kami peroleh bayi itu sihat," katanya.
Bayi berkenaan dibawa ke Cuiaba, ibu negeri Mato Grosso, kelmarin dan diletakkan dalam unit rawatan rapi neonatal.
Keluarganya memberitahu polis bayi berkenaan jatuh selepas dilahirkan dalam bilik air.
Namun polis mengesyaki mereka cuba menyembunyikan perkara sebenar.
"Disebabkan bapanya enggan mengaku bayi itu anaknya dan ibu pula baru berusia 15 tahun, mereka disyaki cuba membunuh bayi itu," kata polis. 

- AFP/Metro

Thursday, 7 June 2018

Rahsia hitam si isteri



Moscow: Seorang lelaki yang terkejut selepas menemui tengkorak manusia di kebun kentang miliknya menjadi lebih ketakutan apabila isterinya memberitahu mayat itu adalah suami pertama yang dibunuhnya 21 tahun yang lalu.
Lelaki itu menggali tanah di kebun kentang bersebelahan rumahnya di kampung Luzino di Omsk, Siberia apabila menemui tengkorak dan beberapa tulang manusia.
Dia yang terkejut memaklumkan penemuan itu kepada isterinya tetapi wanita berusia 60 tahun itu dengan tenang berkata, “Jangan bimbang, ia adalah suami pertama saya”.
“Tanam semula tulang itu dan lupakan. Kita tidak akan memberitahu polis,” tambahnya.
Wanita itu kemudian mengaku membunuh suami pertamanya kira-kira 21 tahun lalu, menetak lelaki berusia 52 tahun berkenaan dengan kapak sebelum menanam mayat mangsa di kebun kentang miliknya.
Katanya, dia bertindak demikian kerana mempertahankan diri selepas suaminya pulang dalam keadaan mabuk dan memukulnya.
Selepas membunuh suaminya, wanita itu membuat cerita bahawa mangsa tidak pulang ke rumah selepas pergi bekerja.
Dia kemudiannya meneruskan kehidupannya seperti biasa dan berkahwin sekali lagi.
Bagaimanapun, suami kedua wanita itu tidak mengendahkan permintaannya dan segera membuat laporan polis mengenai penemuan mayat berkenaan.
Jawatankuasa Siasatan Russia berkata, wanita itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan berdepan hukuman penjara 10 tahun sekiranya didapati bersalah membunuh suaminya itu.

-Metro

Disekat ikut tabligh, pemuda maut kelar diri

Keadaan mangsa sewaktu ditemui lewat malam semalam.
Keadaan mangsa sewaktu ditemui lewat malam semalam.
SANDAKAN - Gara-gara dihalang mengikuti aktiviti Jemaah Tabligh oleh ibu bapanya, seorang pemuda maut selepas dipercayai mengelar dirinya menggunakan sebilah gergaji di Taman Nuri, Batu 7 di sini lewat malam semalam.
Dalam kejadian lebih kurang pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 19 tahun ditemui bapanya dalam keadaan menyayat hati dan berlumuran darah di bahagian belakang dapur kediaman terbabit
Hasil pemeriksaan terhadap fizikalnya mendapati mangsa cedera parah pada bahagian leher dan badan akibat dikelar dengan gergaji sepanjang 30 sentimeter.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, sebelum insiden mangsa dikatakan mengalami kemurungan sejak tiga hari lalu selepas ibu dan bapanya melarang dia mengikuti aktiviti tabligh. 
Dimaklumkan, mangsa merupakan salah seorang anggota Jemaah Tabligh yang aktif di sekitar daerah Sandakan.
"Hasil siasatan awal turut mendapati semalam mangsa telah dibawa ke Lapangan Terbang Sandakan untuk dihantar ke Kuala Lumpur untuk bekerja tetapi mangsa enggan dan terus pulang ke rumah.
"Bagaimanapun, selepas pulang lelaki itu tidak menunjukkan sebarang reaksi dan tidak mahu berbual sehingga dia dijumpai terbaring dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah sambil tangan kirinya masih memegang sebilah gergaji yang terletak pada bahagian dada," katanya kepada Kosmo! hari ini.
Tambah Mohd. Azhar, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan luka mahupun pergelutan.
Mangsa seterusnya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Duchess of Kent dekat sini untuk proses bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - K! ONLINE

Tuesday, 5 June 2018

Zulin dilamar ahli politik Indonesia?



KUALA LUMPUR: Entri petikan surah dan foto gaun perkahwinan dimuat naik Zulin Aziz sejak beberapa hari lalu, seolah-olah memberi bayangan hati pelakon dan penyampai radio Suria FM itu sedang berbunga.
Menambahkan lagi spekulasi, BH Online beroleh maklumat kononnya ada jejaka dari Indonesia, melamar Zulin, Sabtu lalu.
Khabarnya, jejaka itu bukan calang-calang orang, sebaliknya ahli politik di republik berkenaan.
Bertanyakan Zulin mengenai gosip itu, dia tidak menafikan dirinya didekati jejaka dari seberang.
"Iya... Memang benar. Cuma saya tak mahu terlalu galak bercerita... Biarlah dulu. Kita doa yang baik-baik, Insya-Allah," katanya.
Ditanya lebih lanjut mengenai jejaka itu, Zulin memberitahu, mereka berkenalan ketika dia bercuti di Indonesia, tahun lalu.
"Kami hanya kenal begitu saja. Saya tak duga, dia benar-benar mahu membawa perkenalan ini ke tahap yang lebih serius.
"Saya sendiri pun tidak melayannya sangat," katanya.
Namun, Zulin memberitahu, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.
"Sudah lama saya bersedia ke arah itu. Cuma sebelum ini, saya sering diuji dengan percintaan yang tak pasti," katanya.
Baru-baru ini, Zulin memuat naik foto seorang model menggayakan gaun perkahwinan dengan keterangan berbunyi:
"Insya-Allah, Amin. Semoga dipermudahkan."
Selain itu, Zulin turut berkongsi petikan surah yang antara lain bermaksud 'dan Dia maha mengetahui segala isi hati'.
Semalam, Zulin memuat naik pula luahan hati yang antara lain berbunyi:
"Allah sebaik-baiknya perancang. Apa yang kita hendak, tidak selalunya indah dan kadang-kadang, apa yang kita tak mahu itulah yang terbaik.
"Aku sudah beri mereka waktu. Ternyata yang aku kehendaki tidak menghargai waktu yang diberi, malah mensia-siakan dan menghukum waktu dalam segala hal.
"Hari ini, kita sihat, esok belum tahu. Hari ini kita hidup, esok belum tentu, begitu juga jodoh. Hari ini dijodohkan, esok juga belum pasti. Jadi aku buka hati lalu pilih dan tawakal," luahnya.
Zulin turut berharap peminat mendoakan yang terbaik untuknya.
"Doakanlah yang baik-baik. Apa yang bakal terjadi semuanya masih rahsia. Semoga dipermudahkan dan diberkati Allah," katanya.

-BH

Terjun perigi diseru 'suara'


WARGA emas mendakwa mendengar 'suara ghaib' hingga menyebabkannya terjun ke dalam perigi di sebuah rumah terbiar di Kampung Lembah Sireh, Kota Bharu, hari ini.
Bagaimanapun, mangsa Derahim Awang, 67, tidak cedera dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan.
Difahamkan, lelaki itu bertindak terjun ke dalam perigi sedalam 0.5 meter itu yang terletak 30 meter dari rumahnya pada 11.30 pagi.
Kejadian itu disedari oleh keluarganya sebaik kelibat mangsa tidak kelihatan lalu keluar mencarinya di sekitar kampung termasuk ke rumah terbiar dan menuju ke perigi.
Keluarga mangsa yang terkejut memaklumkan kepada pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim Pegawai Bomba Kanan II Tengku Marzuki Tuan Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.49 pagi.
Menurutnya, tujuh anggota ke lokasi berkenaan bagi mengeluarkan mangsa dari dalam perigi itu dalam tempoh kurang 30 minit.
“Ketika sampai mangsa yang memakai baju dan berkain pelikat dalam keadaan kesejukan dan pasukan kita menggunakan peralatan khas untuk membawanya keluar,” katanya.

-Metro

Monday, 4 June 2018

'Jangan pisahkan kami'


“BANTU saya dan jangan pisahkan kami hanya kerana cucu beragama Islam,” kata M Manikam, 51, berhubung status penjagaan cucunya yang kehilangan ibu, seorang mualaf dalam kemalangan, kelmarin.
Manikam berkata, cucunya, Nur Insyirah Imani Abdullah, 6, kini di bawah jagaannya selepas ibu kanak-kanak itu yang juga anak Manikam meninggal dunia selepas terjatuh dari lori dinaikinya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Menurutnya, arwah anaknya, Aisyah Ponmoli Abdullah, 25, satu-satunya anak yang memeluk agama Islam dan dia bersedia menjaga cucunya itu buat sementara waktu walaupun berlainan agama.

NUR Insyirah Imani Abdullah, 6, sugul ketika pengebumian ibunya, Aisyah Ponmoli Abdullah, 25, di tanah perkuburan Islam Raja Jumaat, Lukut, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
“Dia (Nur Insyirah) akan terus bersekolah di Tadika Taman Wawasan, Lukut. Saya mengalu-alukan sebarang bantuan daripada mana-mana pertubuhan Islam dan kalau boleh, saya nak jaga dia sampai bila-bila.
“Saya akan jaga dan sekolahkan cucu saya seperti anak lain. Semua anak-anak saya (abang Aisyah) sayangkan adik bongsu mereka walaupun dia beragama Islam.
“Tolong jangan pisahkan saya dengan cucu kerana sebelum ini hubungan kami tiada masalah walaupun berlainan pegangan agama,” katanya ketika ditemui ketika pengebumian jenazah Allahyarham Aisyah di Port Dickson, semalam.
Jenazah disembahyangkan di Masjid Lukut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raja Jumaat, Lukut.
Manikam berkata, Aisyah yang juga ibu tunggal bekerja sebagai pekerja am di KLIA dan memeluk Islam selepas mendirikan rumah tangga dengan seorang warga India.
Bagaimanapun, pasangan itu berpisah kira-kira dua tahun lalu apabila lelaki itu pulang ke negara asal.
Sementara itu, wakil Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata, masalah penjagaan anak ibu tunggal mualaf itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

-Metro

Juruterbang Rusia disangka mati 30 tahun lalu di Afghanistan ditemui masih hidup

GAMBAR dipercayai Pantelyuk ketika menyertai peperangan

MOSCOW – Seorang juruterbang Rusia yang hilang dan dipercayai telah mati selepas pesawatnya ditembak jatuh 30 tahun lalu ketika campur tangan Kesatuan Soviet di Afghanistan ditemui masih hidup selain berhasrat untuk pulang ke tanah air, kata seorang veteran tentera Rusia kelmarin.
Ketua pasukan Rusia daripada unit komando bersama Rusia-Amerika Syarikat dan ketua pasukan payung terjun Kesatuan Soviet, Valery Vostrotin enggan mendedahkan nama juruterbang itu atas alasan kerahsiaan.
“Dia masih hidup. Penemuan ini suatu yang amat mengagumkan. Dia kini memerlukan bantuan,” katanya kepada agensi berita RIA Novosti.
Pesawat juruterbang itu ditembak jatuh pada tahun 1987 dan dia kini dipercayai berusia lebih 60 tahun, kata Timbalan Ketua Pertubuhan Veteran Persaudaraan Pertempuran, Vyacheslav Kalinin.
Menurutnya, juruterbang itu berkemungkinan berada di Pakistan kerana Afghanistan memiliki beberapa kem yang menempatkan banduan perang.
Sementara itu, RIA Novosti mela­porkan ketika perang yang berlaku antara tahun 1979 dan 1989, sebanyak 125 pesawat Soviet ditembak jatuh di Afghanistan.
Sementara ketika tentera Soviet ditarik keluar pada tahun 1989, kira-kira 300 anggota disenaraikan sebagai hilang. Sejak itu, hanya 30 orang ditemui dan kebanyakannya telah pulang ke tanah air masing-masing.
Akhbar Kommersant pula melaporkan bahawa hanya seorang juruterbang Soviet ditembak jatuh ketika kejadian pada tahun 1987 itu.
Juruterbang itu dikenali sebagai Sergei Pantelyuk dan berasal dari daerah Rostov, selatan Rusia. Dia hilang bersama pesawatnya sebaik berlepas dari lapangan tentera udara Bagram.
Ketua Pertubuhan Veteran tempatan berkata, ibu dan adik Pantelyuk masih hidup. 

– AFP/Kosmo

Friday, 1 June 2018

Insiden jururawat beri bantuan pernafasan sambil lihat telefon disiasat

jururawat
Insiden video tular seorang jururawat terlatih memberi bantuan pernafasan kepada pesakit sambil melihat telefon bimbit.
JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor memandang serius terhadap insiden video tular seorang jururawat terlatih sedang memberi bantuan pernafasan kepada seorang pesakit sambil melihat telefon bimbit.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, makluman dan siasatan awal pihak JKN Johor serta Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini telah mengesahkan bahawa pesakit tersebut dalam rawatan di HSA dan siasatan mendalam terhadap insiden itu kini sedang dijalankan.
"JKN Johor dan HSA telah pun berjumpa dengan waris keluarga bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci serta memberi penjelasan dan berbincang mengenai perkara ini.
"Anggota Jawatankuasa Penyiasatan yang terdiri daripada pakar-pakar dan penyelia jururawat dari HSA dan JKN Johor telah memulakan siasatan," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook JKN Johor hari ini.
Dr. Selahuddeen berkata, pihak HSA sememangnya mempunyai tatacara pengendalian pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan sambil menunggu untuk dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pihak JKN serta HSA memandang serius terhadap kakitangan yang tidak mematuhi ketetapan tersebut.
Beliau berkata, jika terdapat unsur kecuaian hasil daripada penyiasatan itu, maka kakitangan yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas.
Katanya, arahan penambahbaikan serta-merta juga telah dikeluarkan kepada pihak HSA serta peringatan kepada lain-lain hospital bagi memastikan kepatuhan terhadap tatacara pengendalian pesakit dipatuhi sepenuhnya.
Dr. Selahuddeen turut mengingatkan masyarakat bahawa pengambilan gambar dan video di fasiliti Kementerian Kesihatan adalah tidak dibenarkan terutamanya gambar atau video pesakit di dalam wad atau klinik kerana ia melanggar etika serta kerahsiaan pesakit.
"Individu yang mempunyai aduan atau cadangan membina terhadap perkhidmatan yang diberikan di fasiliti Kementerian Kesihatan dinasihatkan berhubung secara terus dengan pihak hospital atau klinik berkenaan agar penambahbaikan perkhidmatan dapat dilakukan serta-merta," katanya. 

- Bernama /Kosmo