Moscow: Seorang lelaki yang terkejut selepas menemui tengkorak manusia di kebun kentang miliknya menjadi lebih ketakutan apabila isterinya memberitahu mayat itu adalah suami pertama yang dibunuhnya 21 tahun yang lalu.
Lelaki itu menggali tanah di kebun kentang bersebelahan rumahnya di kampung Luzino di Omsk, Siberia apabila menemui tengkorak dan beberapa tulang manusia.
Dia yang terkejut memaklumkan penemuan itu kepada isterinya tetapi wanita berusia 60 tahun itu dengan tenang berkata, “Jangan bimbang, ia adalah suami pertama saya”.
“Tanam semula tulang itu dan lupakan. Kita tidak akan memberitahu polis,” tambahnya.
Wanita itu kemudian mengaku membunuh suami pertamanya kira-kira 21 tahun lalu, menetak lelaki berusia 52 tahun berkenaan dengan kapak sebelum menanam mayat mangsa di kebun kentang miliknya.
Katanya, dia bertindak demikian kerana mempertahankan diri selepas suaminya pulang dalam keadaan mabuk dan memukulnya.
Selepas membunuh suaminya, wanita itu membuat cerita bahawa mangsa tidak pulang ke rumah selepas pergi bekerja.
Dia kemudiannya meneruskan kehidupannya seperti biasa dan berkahwin sekali lagi.
Bagaimanapun, suami kedua wanita itu tidak mengendahkan permintaannya dan segera membuat laporan polis mengenai penemuan mayat berkenaan.
Jawatankuasa Siasatan Russia berkata, wanita itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan berdepan hukuman penjara 10 tahun sekiranya didapati bersalah membunuh suaminya itu.
-Metro
No comments:
Post a Comment