MOSCOW – Seorang juruterbang Rusia yang hilang dan dipercayai telah mati selepas pesawatnya ditembak jatuh 30 tahun lalu ketika campur tangan Kesatuan Soviet di Afghanistan ditemui masih hidup selain berhasrat untuk pulang ke tanah air, kata seorang veteran tentera Rusia kelmarin.
Ketua pasukan Rusia daripada unit komando bersama Rusia-Amerika Syarikat dan ketua pasukan payung terjun Kesatuan Soviet, Valery Vostrotin enggan mendedahkan nama juruterbang itu atas alasan kerahsiaan.
“Dia masih hidup. Penemuan ini suatu yang amat mengagumkan. Dia kini memerlukan bantuan,” katanya kepada agensi berita RIA Novosti.
Pesawat juruterbang itu ditembak jatuh pada tahun 1987 dan dia kini dipercayai berusia lebih 60 tahun, kata Timbalan Ketua Pertubuhan Veteran Persaudaraan Pertempuran, Vyacheslav Kalinin.
Menurutnya, juruterbang itu berkemungkinan berada di Pakistan kerana Afghanistan memiliki beberapa kem yang menempatkan banduan perang.
Sementara itu, RIA Novosti melaporkan ketika perang yang berlaku antara tahun 1979 dan 1989, sebanyak 125 pesawat Soviet ditembak jatuh di Afghanistan.
Sementara ketika tentera Soviet ditarik keluar pada tahun 1989, kira-kira 300 anggota disenaraikan sebagai hilang. Sejak itu, hanya 30 orang ditemui dan kebanyakannya telah pulang ke tanah air masing-masing.
Akhbar Kommersant pula melaporkan bahawa hanya seorang juruterbang Soviet ditembak jatuh ketika kejadian pada tahun 1987 itu.
Juruterbang itu dikenali sebagai Sergei Pantelyuk dan berasal dari daerah Rostov, selatan Rusia. Dia hilang bersama pesawatnya sebaik berlepas dari lapangan tentera udara Bagram.
Ketua Pertubuhan Veteran tempatan berkata, ibu dan adik Pantelyuk masih hidup.
– AFP/Kosmo
No comments:
Post a Comment