KUALA LUMPUR: Entri petikan surah dan foto gaun perkahwinan dimuat naik Zulin Aziz sejak beberapa hari lalu, seolah-olah memberi bayangan hati pelakon dan penyampai radio Suria FM itu sedang berbunga.
Menambahkan lagi spekulasi, BH Online beroleh maklumat kononnya ada jejaka dari Indonesia, melamar Zulin, Sabtu lalu.
Khabarnya, jejaka itu bukan calang-calang orang, sebaliknya ahli politik di republik berkenaan.
Bertanyakan Zulin mengenai gosip itu, dia tidak menafikan dirinya didekati jejaka dari seberang.
"Iya... Memang benar. Cuma saya tak mahu terlalu galak bercerita... Biarlah dulu. Kita doa yang baik-baik, Insya-Allah," katanya.
Ditanya lebih lanjut mengenai jejaka itu, Zulin memberitahu, mereka berkenalan ketika dia bercuti di Indonesia, tahun lalu.
"Kami hanya kenal begitu saja. Saya tak duga, dia benar-benar mahu membawa perkenalan ini ke tahap yang lebih serius.
"Saya sendiri pun tidak melayannya sangat," katanya.
Namun, Zulin memberitahu, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.
"Sudah lama saya bersedia ke arah itu. Cuma sebelum ini, saya sering diuji dengan percintaan yang tak pasti," katanya.
Baru-baru ini, Zulin memuat naik foto seorang model menggayakan gaun perkahwinan dengan keterangan berbunyi:
"Insya-Allah, Amin. Semoga dipermudahkan."
Selain itu, Zulin turut berkongsi petikan surah yang antara lain bermaksud 'dan Dia maha mengetahui segala isi hati'.
Semalam, Zulin memuat naik pula luahan hati yang antara lain berbunyi:
"Allah sebaik-baiknya perancang. Apa yang kita hendak, tidak selalunya indah dan kadang-kadang, apa yang kita tak mahu itulah yang terbaik.
"Aku sudah beri mereka waktu. Ternyata yang aku kehendaki tidak menghargai waktu yang diberi, malah mensia-siakan dan menghukum waktu dalam segala hal.
"Hari ini, kita sihat, esok belum tahu. Hari ini kita hidup, esok belum tentu, begitu juga jodoh. Hari ini dijodohkan, esok juga belum pasti. Jadi aku buka hati lalu pilih dan tawakal," luahnya.
Zulin turut berharap peminat mendoakan yang terbaik untuknya.
"Doakanlah yang baik-baik. Apa yang bakal terjadi semuanya masih rahsia. Semoga dipermudahkan dan diberkati Allah," katanya.
-BH
No comments:
Post a Comment