Saturday, 15 September 2012

Tangisan di sisi mayat ibu

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Ravale Savarinathan
 
E-mel ArtikelNORMAYA...ditemui mati
                NORMAYA...ditemui mati
BAGAN DATOH: Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan dipercayai menangis berjam-jam sebelum ditemui di sisi mayat ibunya di kuarters guru di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, di sini, pagi kelmarin.
Mayat Normaya Mokhtar, 33, yang juga guru Bahasa Jepun di sekolah berkenaan dan dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung, ditemui rakan yang ke rumahnya jam 8 pagi kelmarin.
Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menghantar SMS, malam Rabu lalu, namun tidak dibalas, menyebabkan dia beranggapan mangsa sibuk.
“Saya pelik apabila mendapat tahu dia tidak hadir ke sekolah (pagi kelmarin) menyebabkan saya ke rumahnya yang tidak jauh dari sekolah itu. Sebaik tiba di rumahnya, saya dapati pintu rumah tertutup rapat biarpun berkali-kali dipanggil, namun tiada jawapan.
“Saya segera memeriksa keadaan sekeliling rumah dan mendapati kunci pendua disimpan di hadapan rak kasut rumah berkenaan sehingga membolehkan saya membuka pintu hadapan rumahnya,” katanya.
Menurutnya, sebaik melangkah masuk, dia terus mencari rakannya di setiap ruang sebelum mendapati mangsa terbaring di ruang bilik tidur utama dan bayinya berada di sisi.
“Dia ditemui dalam keadaan pucat dan terbaring di atas katilnya bersama bayinya yang menangis. Doktor yang memeriksa keadaannya selepas itu memaklumkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurut seorang lagi saksi yang enggan dikenali, dia terdengar tangisan bayi berpanjangan sehari sebelum mengetahui berita kematian guru berkenaan, namun dia tidak mengambil apa-apa tindakan.
“Arwah seorang guru bahasa Jepun dan sudah mengajar di sekolah berkenaan sejak lebih dua tahun lalu. Dia sangat disenangi rakan-rakan dan suka membantu,” katanya. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Mangsa meninggal dunia lewat petang Rabu lalu, namun hanya diketahui jiran dan rakan yang ke rumah mangsa pagi esoknya. Setakat ini polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut namun turut menjalankan siasatan bagi mengesan jika ada unsur jenayah,” katanya.
Difahamkan, mangsa dipercayai menetap di rumah berkenaan bersama bayinya yang berusia tujuh bulan, manakala suami bekerja di Johor Bahru.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Gajah petang kelmarin.
Sementara itu, Exco Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika dihubungi merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kematiannya satu kehilangan besar bagi warga pendidik.
“Saya dimaklumkan pengurusan sekolah berkenaan mengenai perkara itu. Saya sepatutnya mewakili Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, namun terpaksa menghantar wakil kerana terbabit dengan program lain,” katanya.



sumber: Metro

Misteri pengarah filem hina nabi


LOS ANGELES - Seorang lelaki dari negeri California mengaku dia memainkan peranan di sebalik pembikinan filem yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW sekali gus mencetuskan bantahan hebat umat Islam terutamanya di Mesir dan Libya kelmarin.
Lelaki berkenaan, Nakoula Basseley Nakoula yang mengamalkan ajaran Kristian Koptik dan pernah didapati bersalah kerana melakukan jenayah kewangan memberitahu agensi berita Associated Press (AP) bahawa dia memainkan peranan mengurus dan membekalkan logistik untuk produksi tersebut.
Lelaki berusia 55 tahun itu turut mengaku dia adalah pengurus syarikat yang menerbitkan filem berjudul Innocence of Muslims itu.
Namun, dalam satu temu bual dekat sini kelmarin, Nakoula menafikan dia mengarahkan filem biadap itu.
Sebaliknya, dia menyatakan mengenali penulis dan pengarah Innocence of Muslims, Sam Bacile.
Bagaimanapun, nombor telefon yang dihubungi AP pada Selasa lalu untuk menelefon Bacile didapati menggunakan alamat sama dengan lokasi di mana Nakoula ditemui.
Rekod mahkamah persekutuan AS menunjukkan Nakoula mempunyai beberapa nama lain termasuk Nicola Bacily dan Erwin Salameh.
Lelaki itu menyatakan bahawa Bacile menyokong kebimbangan berhubung layanan buruk umat Islam terhadap penganut Kristian Koptik.
Namun, Nakoula menafikan dia menyamar diri sebagai Bacile.
Semasa temu bual tersebut di luar rumahnya, lelaki itu menunjukkan lesen memandunya untuk mengesahkan identitinya tetapi dia menggunakan ibu jari untuk menutup nama tengahnya, Basseley.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang paderi yang mencetuskan kemarahan umat Islam dengan membakar beberapa naskhah al-Quran, Terry Jones menyatakan, dia sempat berbual dengan Bacile melalui telefon kelmarin.
Jones berkata, lelaki berkenaan menghubunginya beberapa minggu lalu untuk mempromosikan filem tersebut.
"Saya tidak menemui dia. Sam Bacile bukan nama sebenarnya.
"Saya cuma bercakap dengannya melalui telefon. Dia tentu bersembunyi dan tidak mendedahkan identitinya," kata Jones.
Bacile sebelum ini menyatakan dia dilahirkan di Israel, berusia 56 tahun dan berketurunan Yahudi.
Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam projek filem berkenaan, Steve Klein memberitahu kelmarin bahawa Bacile merupakan nama samaran pengarah filem tersebut dengan dia seorang penganut Kristian.
Terdahulu, beberapa pegawai di Israel berkata, tiada rekod ditemui menyatakan Bacile seorang rakyatnya.
Menurut Klein, sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq, Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti Mesir terlibat dalam filem Innocence of Muslims.
"Kebanyakan mereka enggan memberitahu nama sebenar kerana mereka takut," kata Klein.
Sementara itu, YouTube telah menarik balik klip video filem itu di Mesir dan Libya kelmarin. Namun, video berkenaan masih boleh diakses di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.
Dalam perkembangan terbaharu, pihak berkuasa Libya membuat beberapa tangkapan berhubung serangan ke atas Kedutaan AS di Benghazi
"Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kehakiman telah memulakan siasatan dan mengumpulkan bukti dengan beberapa orang telah ditangkap," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wanis Al-Sharif.
Namun, beliau enggan memberikan butiran terperinci berhubung bilangan orang yang ditangkap atau latar belakang mereka kerana tidak mahu menjejaskan siasatan. - Agensi /kosmo
 

Thursday, 13 September 2012

Hina Nabi, Duta AS mati ditembak

Penduduk Mesir yang mengadakan tunjuk perasaan mengoyakkan bendera Amerika dari Kedutaan Amerika di Kaherah, kelmarin sebagai membantah filem Innocence of Islam yang menghina Nabi Muhammad. -AP
 
KAHERAH 12 Sept. - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Christopher Stevens terbunuh di Benghazi akibat ditembak dalam insiden bangunan Kedutaan AS di negara itu semalam diserang beribu-ribu penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan membantah penerbitan sebuah filem yang didakwa menghina Nabi Muhammad.
Tiga lagi rakyat AS turut terbunuh akibat terkena tembakan.
Di Kaherah hampir 3,000 penunjuk perasaan, kebanyakan mereka penyokong pergerakan Salafis, berkumpul di Kedutaan AS di Kaherah untuk menyuarakan bantahan yang sama.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan memanjat bangunan Kedutaan AS dan menggantikan bendera negara kuasa besar itu dengan kain rentang yang tertulis 'Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah' dan membakar bangunan konsulat berkenaan.
Polis Mesir terpaksa campur tangan untuk memujuk penunjuk perasaan beredar dan kini masih terdapat beratus-ratus orang berkumpul di luar kedutaan berkenaan.
Di timur Benghazi, pegawai Kementerian Dalam Negeri Libya, Wanis al-Sharef berkata, Stevens maut bersama tiga pegawai AS lain ketika sekumpulan besar penunjuk perasaan menyerbu pejabat konsulat AS di Benghazi, dengan lelaki bersenjata bertindak melepaskan tembakan.
Katanya, pasukan keselamatan Libya tidak mampu berbuat apa-apa ekoran jumlah penunjuk perasaan yang terlalu ramai.
Timbalan Perdana Menteri Libya, Mustafa Abu Shagur mengesahkan kematian Stevens dalam akaun laman web Twitternya.
Seorang saksi berkata, terdapat penunjuk perasaan yang melepaskan tembakan senjata automatik dan roket pelancar grenad ke arah bangunan terbabit ketika mereka bertempur dengan pengawal Libya yang ditugaskan mengawal kedutaan tersebut.
Kejadian itu merupakan yang pertama terhadap bangunan diplomatik AS di kedua-dua negara sejak bekas pemimpin, Muammar Gaddafi dan Hosni Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan di kedua-dua negara itu pada tahun lalu.
Tunjuk perasaan itu tercetus ekoran sedutan filem, Innocence of Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California, yang disiarkan dalam laman YouTube dengan menggambarkan Nabi Muhammad pernah tidur dengan ramai wanita, mengisahkan pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.
Filem tersebut turut dilaporkan akan digunakan oleh ekstremis anti Islam, Terry Jones, yang pernah mencetuskan kontroversi cuba membakar al-Quran, untuk berkempen membenci Islam di AS.
Bacile yang berketurunan Yahudi Israel berkata, Islam merupakan 'kanser' dan dia berharap filemnya itu dapat menunjukkan kepada dunia mengenai kelemahan Islam. - AP/AFP

Anggap musibah peluang baiki diri


11/09/2012 - 07:55:52 AM Lokman Ismail
 
Sesungguhnya Allah SWT menurunkan peringatan melalui musibah supaya manusia memperbetulkan atau meninggalkan amalan dosa dilakukan. Allah SWT menurunkan musibah kecil sebelum musibah besar sebagai satu peringatan.

Allah memaafkan dosa dilakukan jika manusia insaf dan bertaubat. FirmanNya: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada kesusahan (bala bencana) maka adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu.” (Surah asy-Syura, ayat 30)

Penghapus dosa

Ada juga dosa dihapuskan Allah SWT melalui pembalasan dalam bentuk musibah. Setiap musibah menimpa orang beriman adalah kiffarah (penghapus) kekotoran dosa.

Oleh itu, orang beriman berasa bertuah dikenakan musibah sebagai pembalasan. Mereka sedar walaupun seberat mana musibah di dunia ini, tentulah tidak seberat diterima di akhirat. Di dunia masih ada ruang untuk memperbaiki kesalahan dan bertaubat.

Pengampunan dosa dengan cara musibah berkesan jika menginsafi musibah itu, yakni menerima dengan reda, sabar dan bertaubat. Sebaliknya, jika tidak ada keinsafan, bahkan menyalahkan Allah terhadap apa dialami, maka musibah itu bakal menimbulkan musibah lebih buruk.

Firman Allah bermaksud: “Mereka yang ditimpa musibah mengucapkan: Kita semua kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan kembali. Mereka itulah akan mendapat keberkatan sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan juga orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 156-157)
Justeru, apabila berdepan musibah, tindakan pertama perlu dilakukan ialah reda dengan apa berlaku. Sesiapa menerima musibah dengan reda akan mendapat keredaan Allah. Beruntunglah siapa mendapat reda Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah.”
(Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)

Tabah hadapi musibah

Sebesar mana musibah menimpa perlu dihadapi dengan tabah. Anggaplah musibah menimpa sebagai peluang memperbaiki kehidupan. Ada sinar harapan menanti bagi orang sabar.

Amalan membunuh diri akibat menanggung musibah ditegah dalam Islam. Membunuh diri bukan penyelesaian masalah, sebaliknya mencipta masalah lain kepada kaum keluarga. Individu membunuh diri berdepan pembalasan maha pedih di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW: “Jangan sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana menimpanya. Kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah dia memohon dengan berkata: Ya Tuhanku, hidupkan aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Musibah diturunkan membabitkan banyak orang seperti wabak penyakit dan bencana banjir, kemarau, gempa bumi dan ribut. Musibah ditanggung semua orang tanpa mengira tahap keimanan dan ketakwaan.

Dalam hal ini, musibah itu perlu diusahakan bersama untuk mengatasinya. Mungkin ia berpunca tindakan seseorang atau segelintir saja, tetapi kesannya ditanggung semua. Sebab itu, sebarang tindakan buruk perlu dihalang agar tidak membabitkan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah.” (Riwayat Tirmizi)

Sesungguhnya dengan keyakinan, keimanan, ketakwaan, iltizam, istiqamah dan keinsafan dapat menghadapi sebarang musibah menimpa diri sendiri, orang tersayang, keluarga dan negara dengan perasaan tenang dan berserah kepada-Nya.
Sumber: Berita Harian

Monday, 10 September 2012

Pahlawan Syurga


Abu Ayub al-Ansari pembela Rasulullah
10/09/2012 - 07:53:32 AM   
 
Sewaktu utusan Madinah pergi ke Makkah untuk mengangkat sumpah setia atau baiah yang diberkati terkenal dengan 'Baiah Aqabah kedua', Abu Ayub Al-Ansari termasuk antara 70 orang Mukmin yang menghulurkan tangan kanan mereka ke tangan kanan Rasulullah serta berjabatnya dengan kuat, berjanji setia menjadi pembela.

Rumah pilihan Rasulullah
Abu Ayub al-Ansari Khalid bin Zaid, cucu Malik bin Najar, adalah insan yang dilimpahi nasib yang baik kerana ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, rumahnya telah dipilih menjadi tempat tinggal sementara Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW memilih untuk tinggal di tingkat bawah rumah Abu Ayub al-Ansari tetapi apabila memikirkan dirinya berdiri dan tidur di tempat yang lebih tinggi dari Rasulullah SAW, Abu Ayub al-Ansari terasa menggigil.

Beliau kemudian dengan penuh adab mempelawa Baginda tinggal di tingkat atas dan Baginda bersetuju. Nabi tinggal di rumah Abu Ayub al-Ansari hingga Masjid Nabawi dan biliknya di sebelah masjid.

Sejak orang Quraisy berniat jahat terhadap Islam dan merancang untuk menyerang tempat hijrahnya Baginda di Madinah, Abu Ayub al-Ansari mengalihkan aktivitinya berjihad ke jalan Allah bermula dengan Perang Badar.

Sedia korban harta, nyawa

Ringkasnya di semua medan tempur, dia tampil sebagai pahlawan berani yang bersedia mengorbankan harta serta nyawa untuk Allah Rabbul Alamin. Malah, sesudah Rasulullah wafat pun beliau tidak pernah ketinggalan berjuang di medan perang.

Sewaktu berlaku pertikaian antara Ali dan Muawiyah, Abu Ayub al-Ansari berdiri di pihak Ali tanpa ragu-ragu kerana dialah imam yang dibaiah oleh kaum Muslimin.

Selepas kematian Ali dan Muawiyah menjadi Khalifah, Abu Ayub al-Ansari menyendiri, berzuhud dan bertakwa kepada Allah. Tidak ada apa diharapkan daripada dunia selain tempat berjuang bersama pejuang lain.

Abu Ayub al-Ansari memohon kepada Allah untuk syahid dalam peperangan dan ketika turut serta dengan barisan tentera Islam menuju Konstantinopel, beliau luka parah.

Apabila ditanya panglima pasukan waktu itu, Abu Ayub al-Ansari memberitahu apabila tiba ajalnya nanti beliau ingin dikebumikan sejauh jarak dapat ditempuh ke arah musuh.

Ternyata itulah yang diperoleh beliau dan beliau dikebumikan di lokasi di mana tentera Islam berjaya mengalahkan musuh. Itulah Abu Ayub al-Ansari yang berwasiat jasadnya dibawa ke medan perang hingga tiba di tempat tentera Muslim mencapai kemenangan.

Diubah suai daripada buku Siri 100 Pahlawan Syurga Jilid 2
Sumber: Berita Harian

Saturday, 8 September 2012


Ibadat   umrah
Oleh MOHD. RAZALI ZAKARIA  

DI antara satu umrah dengan satu umrah yang lain itu adalah penebus dosa di antara tempoh keduanya. Inilah di antara mafhum hadis yang diriwayatkan daripada Sahih Bukhari.
Umrah dari segi bahasanya adalah ziarah. Manakala dari segi syarak ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bila-bila masa untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

Umrah terdiri daripada 5 rukun iaitu :-

* Niat3

* Tawaf

* Saie

* Bercukur atau bergunting

* Tertib

Umrah boleh dilakukan sepanjang tahun. Bagi mereka yang rindukan Baitullah al-Haram peluang mengerjakan umrah tidak dilepaskan begitu sahaja.

Bermula pada bulan Mac kebiasaannya, jemaah dari Malaysia akan mula mengunjungi Mekah sehinggalah bulan Ramadan.

Namun begitu, bagi mereka yang menunaikan haji, peluang menunaikan umrah tidak dilepaskan begitu sahaja.

Bagi bakal-bakal haji yang menunaikan umrah sepanjang musim haji ada dua tempat di mana mereka selalu memulakan niat.

Bagi bakal haji yang memasuki Mekah dari Madinah akan berniat Umrah di Bir Ali lebih kurang 10 kilometer dari Kota Madinah. entara itu, bagi bakal haji yang terus ke Mekah aka
Bagi bakal haji yang menunaikan umrah kali pertama biasanya pihak Tabung Haji melalui Muassasah Tawwafah Asia Tenggara akan membimbing jemaah untuk melakukan tawaf dan saie. Setelah selesai saie, mereka perlulah bercukur atau bergunting. Maka selesailah ibadat umrah.

Sementara menunggu hari wuquf perbanyakkan umrah sunat. Berhati-hatilah ketika melakukan umrah sunat. Jaga larangan Ihram supaya ibadat umrah sempurna. Jagalah kesihatan supaya menjelang hari wuquf, bakal haji dapat menunaikan haji pula.

* MOHD. RAZALI ZAKARIA ialah Pengurus (Penerbitan Haji), Lembaga Tabung Haji
Sumber: Utusan

Tatu Jupe dikecam
Pelakon kontroversi Indonesia, Julia Perez atau Jupe menayangkan tatu kalimah azan di badannya di Jakarta, baru-baru ini. - AGENSI

JAKARTA 6 Sept. - Tindakan pelakon Julia Perez menjadikan satu daripada kalimah azan sebagai tatu di belakang badannya, menyebabkan dia dikecam oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI).
Ketua Umum Pimpinan Pemuda Pusat Muhammadiyah, Dr. Saleh Partaonan Daulay menganggap perbuatan itu sebagai satu penghinaan dan meminta masyarakat mengenakan sekatan sosial terhadap pelakon beragama Islam tersebut.
“Ia adalah perbuatan yang disengajakan dan masyarakat perlu memberi pengajaran kepada dia dengan tidak memanggilnya membuat persembahan.
“Perbuatannya ini bukanlah satu contoh yang baik dan industri hiburan juga perlu bertindak dengan tidak lagi menawarkannya berlakon," katanya ketika dihubungi KapanLagi.com, semalam.
Tatu dengan terjemahan ‘Marilah menuju kejayaan’ tersebut dilukis di bahagian belakang badan pelakon yang turut dikenali sebagai Jupe itu.
Saleh berkata, sebagai seorang selebriti, dia tidak sepatutnya memberi contoh yang buruk.
“Ayat yang dikumandangkan ketika azan tidak sepatutnya dijadikan tatu kerana tindakan itu sama seperti mempersendakan kitab suci al-Quran," katanya. - AGENSI 

Thursday, 6 September 2012


‘Elak KL jadi Palestin’     
06/09/2012 - 09:00:08 AM Oleh Khairul Azran Hussin 

Shah Alam: Tokoh pergerakan Islam terkenal Palestin, Sheikh Raed Salah meminta umat Islam di Malaysia menghargai erti kemerdekaan yang dinikmati ketika ini.

Mengambil contoh perpecahan di Palestin berikutan kegagalan mencapai perpaduan antara Fatah dan Hamas, pemimpin utama Gerakan Islam Wilayah Palestin itu berkata, semua umat Islam perlu bersatu tanpa mengira fahaman dan ideologi jika mahu Islam dihormati. 
 

Beliau berkata, penduduk Malaysia perlu bersyukur dengan keamanan yang ada, apatah lagi rakyatnya tidak berdepan dengan kemiskinan, kemunduran dan tekanan politik daripada pemerintah.

Harapan dunia Islam

“Apabila saya datang ke Malaysia, saya berasakan satu perasaan tenang dan harapan untuk dunia Islam. Ini satu contoh kejayaan dan diharap kejayaan ini dapat dibawa ke negara Islam yang lain.

“Sebab itu, umat Islam di Malaysia perlu menghargainya dan sebagai orang Palestin, kita tahu betapa susah dan mahalnya harga menuntut kemerdekaan,” katanya berucap pada Majlis Aman Palestin di sini, semalam.

Sheikh Raed berkata, akibat keganasan dan penindasan berterusan Israel yang merancang membina kuil Yahudi di kawasan Masjid al-Aqsa, umat Islam Palestin kini hanya menguasai kurang daripada tiga peratus tanah di bumi mereka sendiri.
Kesan kekejaman Yahudi

“Masjid al-Aqsa kini menanti detik untuk roboh kerana mengalami banyak rekahan dan retakan berpunca daripada kegiatan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel menggali kawasan bawah tanahnya atas alasan mencari bukti peninggalan warisan Yahudi,” katanya.

Israel juga merancang membina kuil Yahudi di kawasan Masjid al-Aqsa yang menjadi Tanah Suci ketiga umat Islam selepas Makkah dan Madinah.
Sumber: Berita Harian

Regangan Otak: Ermmmmm


Isteri minta cerai suami ketagih menjeling

05/09/2012 - 03:52:44 AM
 

Dubai: Seorang ibu kepada empat orang anak, memfailkan tuntutan cerai di mahkamah keluarga Ras Al Khaimah selepas mengadu tidak tahan dengan sikap suaminya yang suka menjeling dan tersenyum dengan wanita lain.

Pegawai mahkamah Jassim Makki berkata, wanita berusia awal 30-an itu memberitahu, setiap kali mereka pergi membeli belah suaminya seperti ‘ketagih menjeling’ dan asyik memandang semua wanita yang lalu lalang sambil tersenyum kepada mereka.
  

Suami nafi tuduhan
  

Bagaimanapun, akhbar harian Alittihad melaporkan, suami wanita itu yang namanya tidak didedahkan, menafikan tuduhan berkenaan sebaliknya mendakwa isterinya cemburu.

“Dia menganggap semua wanita yang lalu lalang berhampiran saya akan tertarik kepada saya. Saya rasa dia takut kepada bayang-bayangnya sendiri. Dia juga tidak pernah berhenti mengintip perbualan telefon dan mendengar percakapan saya,” katanya yang dipetik Alittihad.

Alittihad melaporkan, pihak mahkamah kini berusaha memujuk wanita berkenaan menarik balik tuntutan cerai, demi masa depan anak mereka. - Agensi


 

 

Monday, 3 September 2012


Langkah bendung amarah
03/09/2012 - 05:12:14 AM Oleh Syed Abi Ghufran Syed Ahmad Al-Idrus 
 
Perbanyak ingatkan Tuhan, ubah posisi supaya dapat kawal godaan syaitan

Iblis datang kepada Nabi Musa dan berkata: “Engkaulah yang dipilih oleh Allah sebagai rasul-Nya dan Kalimullah sedangkan aku seorang makhluk biasa yang ingin juga bertaubat kepada Tuhan. Maka tolonglah aku semoga taubatku diterima. Nabi Musa merasa gembira lalu ia berwuduk dan sembahyang kemudian ia berdoa: “Ya Tuhan, iblis adalah makhluk-Mu dan dia ingin bertaubat maka terimalah taubatnya.” 

Maka diturunkan wahyu kepada Nabi Musa: “Ya Musa, dia tidak akan bertaubat. Jawab Musa: Ya Tuhan, dia mahu bertaubat. Maka turun wahyu kepada Nabi Musa: Aku telah menerima permintaanmu Musa maka suruhlah ia sujud kepada kubur Adam maka Aku akan menerima taubatnya.”  

"Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api dan api hanya boleh dipadamkan dengan air, maka apabila salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil air sembahyang" - Riwayat Abu Daud
 
Nabi Musa sangat gembira dan menyampaikan suara wahyu itu kepada iblis. Tiba-tiba iblis marah dan sombong serta berkata: “Aku tidak sujud kepadanya pada masa hidupnya, bagaimana aku hendak sujud kepadanya selepas kematiannya?

Lalu iblis berkata: Hai Musa kerana engkau telah menolongku, maka kini engkau berhak menerima hadiah daripadaku, maka aku berpesan kepadamu tiga perkara iaitu ingatlah kepadaku ketika marah sebab aku di dalam tubuhmu mengikut saluran darah, ingatlah kepadaku ketika menghadapi musuh semasa di medan perang sebab aku datang kepada anak Adam mengingatkan kepadanya keadaan isteri, anak, hartanya sehingga dia lari ke belakang dan awaslah iaitu ketika duduk sendirian dengan wanita yang bukan mahram sebab aku sebagai utusannya kepadamu dan utusanmu kepadanya.”

Perasaan marah adalah sifat tercela yang paling banyak membawa kebinasaan kerana perlakuan sedemikian akan mengakibatkan tindak balas anggota badan memukul, memaksa dan membunuh. Sementara dalam hatinya timbul rasa dendam, dengki dan gembira jika bala menimpa orang dimarahi.

Sebaliknya, dia berasa dukacita dan marah jika mereka mendapat nikmat lalu berazam akan membuka rahsianya. Kesemua itu sebab menjadikan seseorang rosak binasa.
Imam al-Ghazali berkata, berlakunya sifat marah itu kerana urat saraf manusia ditarik oleh syaitan. Ini bererti orang yang suka marah telah mengikat persahabatan dengan syaitan.

Daripada Abu Hurairah, seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Wasiatkan kepadaku. Sabda Baginda SAW: Jangan marah. Kemudian beliau berulang kali bertanya. Sabda Baginda SAW: Jangan marah.” (Riwayat al-Bukhari)

Janganlah marah ialah jangan menurut hawa nafsu kemarahan bukan melenyapkan sama sekali nafsu itu kerana kemarahan adalah satu-satunya daripada tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.

Kita seharusnya mengatasi sifat marah dengan ilmu pengetahuan dan tindakan susulan berbentuk ucapan kalimah Allah. Ilmu pengetahuan inilah yang mengetahui tidak ada sebab untuk kita marah kecuali kita mengingkari sesuatu berlaku atas kehendak Allah SWT.

Rentetan daripada itu, ucapan ‘Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk’ wajar diucapkan bagi menghilangkan sifat marah dalam diri.

Marah itu berpunca daripada syaitan. Jika kemarahan masih belum reda dan berhenti dengan ucapan tadi, hendaklah duduk jika kita berdiri. Kalau duduk, hendaklah berbaring tetapi jika kemarahan masih berlarutan dan sukar reda, hendaklah kita mengambil air sembahyang.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api dan api hanya boleh dipadamkan dengan air, maka apabila salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil air sembahyang.” (Riwayat Abu Daud)

Sabda Rasulullah SAW lagi: “Ketahuilah bahawa marah itu seperti bara api dalam jantung (hati) anak Adam. Adakah tidak kamu melihat ketika marah pada kedua-dua matanya dan bengkak urat lehernya, maka sesiapa yang mendapat sesuatu daripada sedemikian itu, maka hendaklah ia memukul pipinya dengan bumi.” (Riwayat at-Tarmizi)

Menahan kemarahan adalah perlakuan terpuji. Allah SWT berfirman: “Dan orang yang sabar menahan marah.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Mudah-mudahan kita semua termasuk dalam golongan orang yang mampu menahan perasaan marah dan akhir sekali mendapat rahmat serta pembalasan sewajarnya daripada Allah SWT. 
Sumber; Berita Harian