LOS ANGELES - Seorang lelaki dari negeri California
mengaku dia memainkan peranan di sebalik pembikinan filem yang menghina Islam
dan Nabi Muhammad SAW sekali gus mencetuskan bantahan hebat umat Islam
terutamanya di Mesir dan Libya kelmarin.
Lelaki berkenaan, Nakoula Basseley Nakoula yang
mengamalkan ajaran Kristian Koptik dan pernah didapati bersalah kerana
melakukan jenayah kewangan memberitahu agensi berita Associated Press (AP)
bahawa dia memainkan peranan mengurus dan membekalkan logistik untuk produksi
tersebut.
Lelaki berusia 55 tahun itu turut mengaku dia
adalah pengurus syarikat yang menerbitkan filem berjudul Innocence of
Muslims itu.
Namun, dalam satu temu bual dekat sini kelmarin,
Nakoula menafikan dia mengarahkan filem biadap itu.
Sebaliknya, dia menyatakan mengenali penulis dan
pengarah Innocence of Muslims, Sam Bacile.
Bagaimanapun, nombor telefon yang dihubungi AP
pada Selasa lalu untuk menelefon Bacile didapati menggunakan alamat sama dengan
lokasi di mana Nakoula ditemui.
Rekod mahkamah persekutuan AS menunjukkan Nakoula
mempunyai beberapa nama lain termasuk Nicola Bacily dan Erwin Salameh.
Lelaki itu menyatakan bahawa Bacile menyokong
kebimbangan berhubung layanan buruk umat Islam terhadap penganut Kristian
Koptik.
Namun, Nakoula menafikan dia menyamar diri sebagai
Bacile.
Semasa temu bual tersebut di luar rumahnya, lelaki
itu menunjukkan lesen memandunya untuk mengesahkan identitinya tetapi dia
menggunakan ibu jari untuk menutup nama tengahnya, Basseley.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang paderi yang
mencetuskan kemarahan umat Islam dengan membakar beberapa naskhah al-Quran,
Terry Jones menyatakan, dia sempat berbual dengan Bacile melalui telefon
kelmarin.
Jones berkata, lelaki berkenaan menghubunginya
beberapa minggu lalu untuk mempromosikan filem tersebut.
"Saya tidak menemui dia. Sam Bacile bukan nama
sebenarnya.
"Saya cuma bercakap dengannya melalui telefon.
Dia tentu bersembunyi dan tidak mendedahkan identitinya," kata Jones.
Bacile sebelum ini menyatakan dia dilahirkan di
Israel, berusia 56 tahun dan berketurunan Yahudi.
Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam
projek filem berkenaan, Steve Klein memberitahu kelmarin bahawa Bacile
merupakan nama samaran pengarah filem tersebut dengan dia seorang penganut
Kristian.
Terdahulu, beberapa pegawai di Israel berkata,
tiada rekod ditemui menyatakan Bacile seorang rakyatnya.
Menurut Klein, sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq,
Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti Mesir terlibat dalam
filem Innocence of Muslims.
"Kebanyakan mereka enggan memberitahu nama sebenar
kerana mereka takut," kata Klein.
Sementara itu, YouTube telah menarik balik klip
video filem itu di Mesir dan Libya kelmarin. Namun, video berkenaan masih boleh
diakses di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.
Dalam perkembangan terbaharu, pihak berkuasa Libya
membuat beberapa tangkapan berhubung serangan ke atas Kedutaan AS di Benghazi
"Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian
Kehakiman telah memulakan siasatan dan mengumpulkan bukti dengan beberapa orang
telah ditangkap," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wanis Al-Sharif.
Namun,
beliau enggan memberikan butiran terperinci berhubung bilangan orang yang
ditangkap atau latar belakang mereka kerana tidak mahu menjejaskan siasatan. -
Agensi /kosmo
No comments:
Post a Comment