11/09/2012 -
07:55:52 AM Lokman Ismail
Sesungguhnya Allah SWT
menurunkan peringatan melalui musibah supaya manusia memperbetulkan atau
meninggalkan amalan dosa dilakukan. Allah SWT menurunkan musibah kecil sebelum
musibah besar sebagai satu peringatan.
Allah memaafkan dosa dilakukan jika manusia insaf dan bertaubat. FirmanNya: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada kesusahan (bala bencana) maka adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu.” (Surah asy-Syura, ayat 30)
Allah memaafkan dosa dilakukan jika manusia insaf dan bertaubat. FirmanNya: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada kesusahan (bala bencana) maka adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu.” (Surah asy-Syura, ayat 30)
Penghapus dosa
Ada juga dosa dihapuskan Allah SWT melalui pembalasan dalam bentuk musibah. Setiap musibah menimpa orang beriman adalah kiffarah (penghapus) kekotoran dosa.
Oleh itu, orang beriman berasa bertuah dikenakan musibah sebagai pembalasan. Mereka sedar walaupun seberat mana musibah di dunia ini, tentulah tidak seberat diterima di akhirat. Di dunia masih ada ruang untuk memperbaiki kesalahan dan bertaubat.
Pengampunan dosa dengan cara musibah berkesan jika menginsafi musibah itu, yakni menerima dengan reda, sabar dan bertaubat. Sebaliknya, jika tidak ada keinsafan, bahkan menyalahkan Allah terhadap apa dialami, maka musibah itu bakal menimbulkan musibah lebih buruk.
Firman Allah bermaksud: “Mereka yang ditimpa musibah mengucapkan: Kita semua kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan kembali. Mereka itulah akan mendapat keberkatan sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan juga orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 156-157)
Justeru, apabila berdepan musibah, tindakan pertama perlu dilakukan ialah reda dengan apa berlaku. Sesiapa menerima musibah dengan reda akan mendapat keredaan Allah. Beruntunglah siapa mendapat reda Allah.
Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah.”
(Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)
Tabah hadapi musibah
Sebesar mana musibah menimpa perlu dihadapi dengan tabah. Anggaplah musibah menimpa sebagai peluang memperbaiki kehidupan. Ada sinar harapan menanti bagi orang sabar.
Amalan membunuh diri akibat menanggung musibah ditegah dalam Islam. Membunuh diri bukan penyelesaian masalah, sebaliknya mencipta masalah lain kepada kaum keluarga. Individu membunuh diri berdepan pembalasan maha pedih di akhirat.
Sabda Rasulullah SAW: “Jangan sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana menimpanya. Kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah dia memohon dengan berkata: Ya Tuhanku, hidupkan aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Musibah diturunkan membabitkan banyak orang seperti wabak penyakit dan bencana banjir, kemarau, gempa bumi dan ribut. Musibah ditanggung semua orang tanpa mengira tahap keimanan dan ketakwaan.
Dalam hal ini, musibah itu perlu diusahakan bersama untuk mengatasinya. Mungkin ia berpunca tindakan seseorang atau segelintir saja, tetapi kesannya ditanggung semua. Sebab itu, sebarang tindakan buruk perlu dihalang agar tidak membabitkan orang lain.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah.” (Riwayat Tirmizi)
Sesungguhnya dengan keyakinan, keimanan, ketakwaan, iltizam, istiqamah dan keinsafan dapat menghadapi sebarang musibah menimpa diri sendiri, orang tersayang, keluarga dan negara dengan perasaan tenang dan berserah kepada-Nya.
Sumber: Berita
Harian
No comments:
Post a Comment