Kenyataan kontroversi Rhoma
Irama
Dari Jakarta
SEKERAS mana
sekalipun tembok keegoan seseorang lelaki itu, ada masanya, mereka juga tidak
mampu untuk menahan air mata daripada jatuh.
Apa lagi bagi
lelaki normal yang dikurniakan perasaan dan emosi, sekali hatinya terusik,
tentu sekali air mata akan jatuh dari kelopak matanya.
Lalu, apabila
seniman Rhoma Irama menangis di hadapan wartawan pada sidang akhbar baru-baru
ini, ia menjadi tajuk berita utama di Indonesia.
Air mata Rhoma
menjadi bahan perbualan ramai sehinggakan sebilangan besar peminat setia Raja
Dangdut Indonesia ini turut sama merasa pilu melihat artis pujaan mereka.
Reaksi Rhoma tempoh
hari berlaku di luar kawalannya selepas kenyataan beliau disalah faham oleh
banyak pihak.
Rhoma, yang kini
seorang ahli politik kecewa kerana niat dan maksud sebenar beliau ketika
menyampaikan ceramah dilihat dari sisi negatif.
Sebagai umat Islam,
Rhoma memikul tanggungjawab mengingatkan mereka yang seagama dengannya mengenai
kepentingan memilih seorang muslim sebagai pemimpin.
“Saya memetik sepotong ayat al-Quran yang menyebut bahawa orang yang
beriman dilarang memilih orang kafir sebagai pemimpin. Apakah itu menjadi satu
kesalahan," soal Rhoma mengenai salah faham musuh-musuh politiknya.
Kontroversi ini
tercetus selepas beliau memberikan ceramah di Masjid Al Isra di Tanjung Duren,
Jakarta pada hujung bulan lalu.
Beliau didakwa
telah menggunakan isu agama, bangsa dan etnik sebagai modal kempen pilihan raya
Gabenor Jakarta.
Dalam siri kempen
membantu calon Gabenor Jakarta, Fauzi Bowo itu, Rhoma menegaskan, jika seorang
muslim memilih pemimpin yang bukan sesama Islam maka mereka akan menjadi musuh
Allah.
Fauzi Bowo dan
wakilnya, Nachrowi Ramli berhadapan dengan persaingan calon lain untuk kerusi
Gabenor Jakarta iaitu Joko Widodo (Jokowi) - Basuki Tjahaja Purnama (Ahok).
Berbanding Fauzi,
Nachrowi dan Joko, hanya Ahok seorang sahaja calon yang bukan beragama Islam.
Justeru, apabila
Rhoma menyampaikan peringatan bahawa umat Islam harus memilih pemimpin yang
merupakan seorang muslim beriman, hal ini mencetus rasa kurang senang di
kalangan pihak yang tidak berpuas hati dengan mendakwa beliau mahu mencetus
ketegangan kaum.
Rhoma tentu sekali
mempunyai pandangan tersendiri dalam menangani isu ini.
Sebagai orang yang
berpengetahuan luas dalam agama, tentu sekali beliau menghormati Jokowi dan
Ahok dalam konteks berbangsa dan bernegara.
“Saya sayang mereka. Tapi tetap dalam konteks memilih pemimpin, saya
harus menyampaikan perintah Allah. Saya juga mohon pengertian umat bukan
Islam," tegas Rhoma meminta semua pihak jangan dengan mudah menuding jari
ke arahnya.
Dalam konteks
berbangsa dan bernegara, Islam tegas Rhoma, memerintahkan umat Islam supaya
menghormati dan mencintai umat daripada agama lain.
Toleransi
Bahkan, dalam Islam
sendiri diberi penekanan bagaimana memupuk toleransi terhadap pelbagai cabaran
agama.
“Namun, untuk urusan memilih pemimpin, harus dipilih yang seagama.
Sekali lagi, saya katakan ini bukan isu agama, bangsa atau etnik.
“Misalnya saya katakan Jokowi itu Jawa dan agamanya Islam. Lalu Fauzi
itu Betawi dan Nara juga Betawi, agamanya Islam. Sedangkan Ahok sukunya Cina
dan agamanya Kristian. Rakyat harus tahu siapa calon mereka," katanya
lagi.
Raja Dangdut
tersohor itu juga mempertahankan pendiriannya bahawa menyampaikan ayat kitab
suci di rumah ibadat termasuk di masjid bukan suatu kesalahan.
“Bahkan semua agama juga akan menerima kenyataan ayat kitab suci di
rumah ibadat," jelas Rhoma.
Majoriti umat Islam
tentu sekali akan bersetuju dengan mesej ceramah yang disampaikan oleh Rhoma.
Tidak kurang juga,
ramai yang yakin bahawa air mata merupakan perlambangan kejujuran seseorang
kerana ia bahasa kalbu.
Dan air mata
kekesalannya ekoran salah faham mereka yang tidak mengenali Islam diyakini
tertumpah kerana kejujurannya.
Barangkali juga,
Rhoma tidak begitu berasa tertekan terhadap mereka yang salah faham mengenai
mesej ceramah beliau.
Namun, yang
sangat-sangat digusarkan beliau pada ketika ini ialah rasa kasihan kepada
golongan yang keliru itu kerana terpaksa memikul dosa akibat melarang beliau
menyampaikan maksud ayat-ayat al-Quran.
Atas rasa sedih
yang terlalu mendalam itu, Rhoma mempertahankan prinsipnya bahawa sebagai
penceramah agama, dia sekadar menyampaikan mesej yang jelas dan terang supaya
masyarakat faham.
Persoalan yang
turut mengundang perdebatan dalam konteks kontroversi Rhoma ini, apakah menjadi
kesalahan apabila umat Islam kini berkongsi ilmu agama mengenai umat seagama?
Apakah dalam
keterbukaan manusia era masa kini yang dengan mudah menerima kemasukan budaya
asing pada masa sama menyekat suara-suara ulama atau mereka yang bijak pandai
dalam hal ehwal Islam bercakap mengenai agama?
Tentu sekali
persoalan-persoalan ini membuatkan Rhoma bimbang apa akan jadi pada umat Islam
seandainya hukum syariat tidak dipanjangkan kepada mereka yang jahil mengenai
agama.
Justeru, beliau
sendiri menolak untuk meminta maaf kepada pasangan Jokowi-Ahok seperti yang
disarankan sesetengah pihak kerana yakin berada di kedudukan yang benar.
"Saya tidak
perlu meminta maaf kepada kelompok Jokowi-Ahok kerana saya tidak berbuat salah.
Tiada soal perdamaian juga kerana kami tidak pernah bermusuh," kata Rhoma
lagi.
Mungkin juga
kontroversi ini menjadi debat yang panjang kerana mesej ceramah itu disampaikan
oleh Rhoma Irama - satu nama yang sangat sinonim dengan perkembangan muzik
dangdut Indonesia.
Tetapi, apa
salahnya kalau orang seperti Rhoma yang sudah mendalami ilmu agama selama
bertahun-tahun bercakap mengenai kebenaran?
Inilah masalahnya
apabila agama diheret dalam kancah perdebatan politik.
Agama itu adalah
suatu urusan yang sangat suci yang tidak perlu dicemari dengan
pandangan-pandangan bersifat individualistik.
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment