Janji Allah
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SURAH ini
dikategorikan dalam surah Makkiyah kecuali ayat 48 yang mana dikategorikan
sebagai ayat Madaniyyah. Surah ini keseluruhannya mempunyai 50 ayat. Ia
diturunkan selepas surah al-Humazah. Hubungannya dengan surah sebelumnya ialah
di dalam surah ini Allah SWT bersumpah akan menunaikan isi yang terkandung
dalam surah sebelumnya, yang mengandungi berita ancaman terhadap golongan yang
derhaka dan janji kepada orang Mukmin yang mengerjakan kebajikan.
Firman Allah SWT: Demi
malaikat-malaikat yang diutus untuk membawa kebaikan. Dan (malaikat-malaikat)
yang terbang dengan kencangnya. Dan (malaikat-malaikat) yang menyebarkan
(rahmat Tuhannya) dengan seluas-luasnya. Dan (malaikat-malaikat) yang
membezakan (antara yang hak dan yang bathil) dengan sejelas-jelasnya.
(al-Mursalat: 1-4)
Al-Maraghi berkata:
"Sumpah Allah SWT dengan para Malaikat:
* Yang diutuskan
untuk menyampaikan kebaikan dan ihsan agar disampaikan kepada para Nabi dan
Rasul-Nya.
* Para Malaikat
yang meninggalkan kebatilan dengan cepat sebagaimana angin kencang menerbangkan
tanah dan debu.
* Yang menyebarkan
pengaruh-pengaruh mereka kepada umat-umat dan jiwa-jiwa yang hidup.
* Para Malaikat
yang turun membawa perintah Allah SWT untuk memisahkan di antara yang hak
dengan yang batil dan di antara petunjuk dengan kesesatan.
Ibnu Abi Hatim
meriwayatkan daripada Abi Hurairah, mursalaati 'urfa iaitu para
Malaikat.
Abu Hurairah berkata:
"Yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah Malaikat-Malaikat."
Ibnu Mas'ud
berkata: "Mursalaat itu ialah angin-angin. Maksudnya angin-angin itu
dilepaskan berturut-turut seperti jajaran bulu tengkuk kuda yang berjuntai. Faariqaat
dan Mulqiaat pula bermaksud Malaikat-Malaikat."
Maksud ayat ini
ialah Malaikat-Malaikat itu turun membawa perintah-perintah Allah kepada rasul
iaitu perintah-perintah yang membezakan di antara yang hak dan yang batil dan
mencampakkannya kepada para rasul dalam bentuk wahyu untuk menolak dalihan
manusia dan memberi amaran kepada mereka.
Ibnu Jarir berkata:
"Al-mursilaat iaitu Malaikat atau angin. Manakala al- 'Asifaat
itu ialah angin-angin dan an-Nasyirat itu pula ialah angin-angin yang
menyebar awan di merata penjuru langit."
Firman Allah SWT: Dan
(malaikat-malaikat) yang menyampaikan wahyu untuk menolak alasan-alasan atau
memberi peringatan. Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu itu pasti
terjadi. (al-Mursalat: 5-7)
Al-Maraghi berkata:
"Allah SWT bersumpah dengan para malaikat yang menyampaikan kepada para
rasul tentang wahyu yang mengandungi peringatan kepada makhluk dan ancaman
tentang azab-Nya, apabila mereka melanggar perintah-Nya dan sumpahan Allah SWT
dengan semua sumpah ini ialah merupakan janji Allah SWT iaitu berlakunya hari
kiamat itu merupakan perkara yang benar dan bukanlah perkara yang
mustahil."
Ibnu Kathir
berkata: "Iaitu Malaikat yang turun atas perintah Allah SWT untuk menemui
rasul-rasul-Nya dan menyampaikan wahyu. Para rasul menerima wahyu, baik dalam
rangka memberi alasan kepada umat manusia atau memberi peringatan kepada mereka
tentang seksaan Allah SWT sekiranya mereka menyalahi perintah-Nya."
Dan apa yang
dijanjikan Allah SWT kepada kamu semua yang berupa hari kiamat, peniupan sangka
kala, pembangkitan jasad dan pengumpulan kembali manusia daripada yang pertama
hingga yang terakhir, serta balasan kepada umat manusia yang sesuai dengan amal
perbuatannya, semua itu pasti berlaku dan tidak mungkin tidak berlaku.
Firman Allah SWT: Maka
apabila bintang-bintang telah dihapuskan.Dan apabila langit telah dibelah. (al-Mursalat:
8-9).
Al-Maraghi berkata:
"Maksudnya, apabila cahaya bintang-bintang mula lenyap dan apabila langit
pecah dan terbelah."
Ibnu Kathir
berkata: "Maksudnya, apabila bintang-bintang telah hilang cahayanya dan
apabila langit pecah dan terbelah serta ujung-ujungnya telah digulung."
Sayid Qutub
berkata: "Pada hari berlakunya kiamat itu bintang dihapuskan dan hilanglah
cahayanya dan langit dipecahkan."
Firman Allah SWT: Dan
apabila gunung-gunung telah dihancurkan menjadi debu. (al-Mursalat: 10)
Al-Maraghi berkata:
"Ketika gunung-ganang diterbangkan angin sehingga tidak lagi meninggalkan
kesannya."
Ibnu Kathir
berkata: "Yakni dibawa menghilang sehingga tidak ada sedikitpun sisa yang
tinggal dan tidak pula ada bekasnya."
Firman Allah SWT: Dan
apabila rasul-rasul telah ditetapkan waktu (mereka). (al-Mursalat: 11)
Al-Maraghi berkata:
"Apabila telah ditentukan kepada para rasul waktu untuk pengadilan dan
pemutusan urusan di antara mereka dengan umat mereka."
Al-Aufi
meriwayatkan dari Ibnu Abbas: Iaitu dikumpulkan.
Mujahid berkata:
"Yakni ditangguhkan waktunya."
Sayid Qutub
berkata: "Surah ini mengemukakan satu lagi perkara yang amat besar yang
telah ditangguhkan Allah kepada hari kiamat ini, iaitu masa para rasul
dipanggil untuk mengemukakan hasil pencapaian dakwah Allah SWT yang
diperjuangkan mereka di bumi di sepanjang generasi-generasi manusia."
Marilah sama-sama
kita bertekad untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan mengamalkan segala
perintah agar kita layak menghuni syurga-Nya.
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment