Jangan biarkan mereka
terlepas!
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
pengarang@utusan.com.my
PAPARAN gambar
seorang wanita dan seorang gadis memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak serta aksi memualkan sekumpulan remaja ketika demonstrasi
Bersih pada 30 Ogos lalu yang dipaparkan oleh Mingguan Malaysia telah
mendapat perhatian ramai.
Penulis sendiri
menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mempersoalkan apakah
perbuatan biadab berkenaan akan dibiarkan begitu sahaja.
Mereka mahu
kerajaan bertindak kerana perbuatan itu sudah benar-benar tidak boleh
dimaafkan.
Apa yang paling
membimbangkan banyak pihak ialah keberanian sekumpulan pemuda mengibarkan
bendera merah putih yang menyerupai bendera Singapura dan Indonesia.
Mereka bertindak
sedemikian bagi menolak Jalur Gemilang yang selama ini menjadi lambang
kedaulatan dan maruah serta martabat rakyat dan negara ini.
Justeru persoalan
yang bermain di fikiran kita ialah apakah perbuatan biadab dan melampaui batas
ini akan dibiarkan begitu sahaja?
Penulis tidak
berhasrat mewujudkan perasaan perkauman tetapi apa yang benar-benar kita
terkilan ialah tindakan seorang wanita bertudung labuh yang hanya tersenyum
melihat seorang gadis memijak gambar Perdana Menteri.
Wanita berkenaan
seolah-olah seronok kerana wajah pemimpin yang mungkin 'musuh politiknya'
dilakukan sedemikian rupa!
Apakah itu
dipanggil kebebasan? Apakah itu dinamakan demokrasi? Apakah itu dianggap cara
untuk melakukan bantahan?
Penulis percaya
tindakan biadab peserta-peserta demonstrasi 'Janji Bersih' berkenaan akan
membangkitkan kemarahan seluruh rakyat negara ini yang cintakan kedamaian dan
mempunyai nilai tata susila yang tinggi.
Tetapi soalnya
apakah kemarahan boleh memastikan perbuatan biadab itu tidak berulang lagi?
Ketika inilah
tumpuan diberikan kepada pihak-pihak yang mempunyai kuasa untuk bertindak dan
bukan sekadar mengeluh apatah lagi memberi amaran.
Keberanian luar
biasa yang ditunjukkan oleh penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan tidak harus
biarkan berterusan.
Kita harus ingat
ini bukanlah kali pertama rakyat negara ini dipaksa menyaksikan adegan
memualkan oleh puak-puak yang kononnya memperjuangkan demokrasi.
Demokrasi apa yang
hendak diperjuangkan kalau tingkah laku sendiri menunjukkan betapa rendahnya
moral kelompok berkenaan.
Begitu juga apabila
mereka mengibarkan bendera merah putih, ia adalah satu perbuatan yang tidak
pernah berlaku dalam sejarah menyambut kemerdekaan negara.
Mana mungkin ketika
negara ini sedang meraikan kemerdekaan, kita membiarkan sekelompok manusia
biadab mencemarinya dengan satu perbuatan yang dianggap sudah melampaui batas.
Jangan lupa suatu
ketika dulu pihak berkuasa pernah mengambil tindakan terhadap sekelompok pemuda
di Terengganu yang membakar Jalur Gemilang, tetapi perbuatan mengibarkan
bendera merah putih kononnya sebagai pengganti kepada Jalur Gemilang
lebih biadab dan bahaya.
Ini bermakna sudah
ada satu keberanian di kalangan sesetengah generasi muda untuk mencabar
undang-undang dan kedaulatan negara.
Perbuatan kelompok
berkenaan tidak harus dibalas dengan hujah politik sahaja, mereka tidak harus
dikategorikan sebagai golongan yang harus dipujuk untuk menyokong kerajaan
sebaliknya, mereka adalah kelompok yang perlu diasingkan daripada masyarakat.
Kita sama sekali
tidak boleh membiarkan kelompok ini berasa bangga dan gembira dengan perbuatan
mereka, apatah lagi apabila ia tersebar luas di seluruh dunia melalui internet.
Pihak berkuasa
perlu menjalankan siasatan segera bagi memburu golongan pemuda yang terlibat.
Mereka ini perlu diberi pengajaran bahawa perbuatan mereka sudah melampaui tata
susila rakyat Malaysia.
Selain itu, kita
juga bertanya apakah komen pakatan pembangkang terhadap perbuatan-perbuatan
biadab yang dilakukan oleh penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan.
Jika mereka tidak
mendesak supaya tindakan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab, jelaslah
perbuatan penunjuk perasaan berkenaan direstui oleh pembangkang.
Jangan lupa, Bersih
adalah idea pembangkang dan sebelum ini pemimpin-pemimpin pembangkang menyertai
himpunan berkenaan kononnya dalam usaha menuntut pilihan raya yang bersih dan
adil.
Oleh itu, mereka
tidak harus lepas tangan apabila ada penunjuk-penunjuk perasaan yang menyokong
Bersih melakukan perbuatan kurang ajar seperti mana di dalam gambar-gambar yang
disiarkan di surat khabar dan internet.
Apa pun, tumpuan
lebih diberikan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan ke atas kelompok manusia
yang dianggap masih berjiwa penjajah dan dianggap tidak berjiwa patriotik itu.
Kalau mereka
berjiwa patriotik dan mempunyai tata susila yang tinggi sudah pasti mereka
tidak akan mengibarkan bendera Merah Putih, tidak akan memijak gambar pemimpin
negara dan melakukan perbuatan lucah di khalayak ramai.
Melalui perbuatan
biadab yang berlaku sudah sampai masanya pihak berkuasa bertegas, memang benar
yang terlibat hanya kelompok kecil tetapi kita tidak harus membiarkan seinci
pun bumi Malaysia ini 'dihuni' oleh kelompok tidak bertamadun tersebut.
Justeru ketegasan
pihak berkuasa amat dinanti-nantikan oleh ramai pihak kerana majoriti rakyat
Malaysia sudah muak dengan tindakan berdasarkan amaran semata-mata.
Apa yang rakyat
ingin lihat ialah kelompok bertanggungjawab dikenakan tindakan
setegas-tegasnya.
Kita tidak boleh
membiarkan kelompok ini dilihat memperkotak-katikkan undang-undang dan berani
melakukan tindakan kerana merasakan ada pihak yang akan tampil membela mereka
atas nama hak asasi manusia.
Apa yang mereka
lakukan bukannya soal hak asasi apatah lagi memperjuangkan kebenaran atau
keadilan tetapi demonstrasi yang diadakan sebenar bertujuan untuk mencemarkan
imej Malaysia di mata dunia, mencabar keberanian pihak berkuasa dan menghina
kepimpinan negara.
Oleh itu apakah
mereka harus dibiarkan begitu sahaja? Segala-galanya terserah kepada pihak
berkuasa menentukannya tetapi apa yang pasti ingatlah kata-kata Raja Muda
Perak, Raja Nazrin Shah yang pernah mengingatkan,"pencerobohan besar
bermula daripada pencerobohan kecil".
Jadi, tidak salah
kalau kita katakan itulah yang dilakukan oleh sekelompok manusia pada malam
menyambut kemerdekaan baru-baru ini, apabila mereka mengibarkan bendera Merah
Putih, memijak gambar pemimpin dan menunjukkan aksi lucah.
Percayalah jika ini
dibiarkan, maka tidak mustahil mereka akan melakukan lebih banyak lagi tindakan
yang memualkan. Jangan biar ini terjadi!
No comments:
Post a Comment