Semangat tentera Islam
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SELEPAS Zaid bin
Harithah, Jaafar bin Abi Talin dan Abdullah bin Abi Rawahah gugur syahid,
bendera Islam kini menunggu kemunculan ketua baru untuk menjulangnya sebagai
tanda tentera Islam tetap bertahan dan sama sekali tidak akan menyerah kalah
pada pihak musuh.
Sedangkan
Rasulullah SAW tidak menyebut siapa pengganti kepada ketiga-tiga ketua panglima
tentera Islam yang telah gugur syahid itu.
Ini menyebabkan
tentera Islam sedikit kucar-kacir kerana tiada pemimpin mengambil alih bagi
menerajui dan menentukan hala tuju perjuangan mereka.
Namun seorang
sahabat yang dahulunya pernah berjuang di Perang Badar, Thabit bin Aqram terus
bertindak mengambil bendera Islam lalu dijulang bendera tersebut tinggi ke
udara.
Melihatkan bendera
Islam berkibar-kibar di udara, lalu seluruh tentera Islam segera berkumpul pada
bendera tersebut bagi menantikan arahan daripada kepimpinan baru pasukan.
Tsabit sama sekali
tidak bermaksud untuk mengambilalih peranan ketua panglima tentera Islam, malah
sambil mengibarkan bendera itu, beliau melaung-laungkan suaranya: "Wahai
sekalian, orang Islam! Lantiklah seorang di kalangan kamu untuk menjadi ketua.
Segeralah kamu lantik demi mempertahankan maruah dan agama Allah ini!"
"Kamulah yang
menjadi ketua kami, wahai Tsabit," seru seorang anggota tentera Islam.
"Aku tidak
layak untuk mengepalai barisan tentera ini," balas Tsabit.
Namun apabila
melihat seorang sahabat (yang dahulunya adalah musuh ketat Islam), Khalid bin
Al-Walid adalah antara anggota tentera Islam yang mula-mula sampai dan menghampirinya,
Tsabit terus menyerahkan bendera Islam itu kepada Khalid.
Alangkah
terkejutnya Khalid dengan tindakan Tsabit itu.
"Wahai Tsabit,
bukankah kamu lebih tua? Malah kamu sebelum ini merupakan Ahli Badar (anggota
tentera Badar), tentulah kamu yang lebih layak untuk menjadi ketua berbanding
aku," soal Khalid.
Lalu Tsabit pun
menjawab: "Ambillah wahai Khalid akan bendera ini. Aku tidak mengambil
bendera ini melainkan untuk diserahkan kepada kamu. Sekarang bukan masanya
untuk bertolak-tolakan. Suasana kini semakin genting dan memerlukan seorang
pakar perang dan kamu adalah orangnya."
Disebabkan Khalid
masih baru memeluk Islam dan bimbang ada tentera Islam yang tidak bersetuju
dengan pelantikannya sebagai ketua, lalu Tsabit pun dengan lantangnya berkata;
"Wahai saudara-saudaraku, tetapkanlah di hati kamu bahawa Khalid bin
Al-Walid adalah yang paling layak memegang dan mempertahankan bendera Islam
ini. Dialah yang paling tepat sebagai panglima perang kita!"
No comments:
Post a Comment