Hidayah Abdus Salam
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Clinton Sipes atau nama Islamnya, Abdus Salam pernah menyertai Kumpulan
Klu Klax Klan (KKK).
SEJAK kecil Clinton
Sipes hidup dalam atmosfera kekerasan yang berpunca daripada keluarganya sendiri.
Terutama menjadi mangsa kekerasan fizikal dan sikap berang bapanya yang
merupakan seorang kaki botol.
Suasana ini
menjadikan Sipes membesar sebagai seorang remaja yang bermasalah, anti sosial,
kaki gaduh, terutama dengan abangnya, rakan-rakan sekelasnya, guru sekolah
bahkan juga terhadap haiwan.
Kebanyakan
kekerasan yang dilakukan oleh Sipes itu memasuki tahap kejam dan sangat sadis.
Sipes hanya suka
berkawan dengan geng-geng budak jahat, yang juga bermasalah sepertinya dengan
kegemaran mereka iaitu minum arak, mengambil dadah, melakukan pelbagai jenayah
gangsterisme dan bersikap sangat rasis.
Seawal usia 13
tahun, Sipes sudah mula menjadi penghuni lokap dan penjara yang sama sekali
tidak membuatkan remaja ini serik.
Di pusat pemulihan,
Sipes semakin cenderung melakukan pelbagai kekerasan dan sifat perkauman yang
semakin menebal. Beliau sangat benci mereka yang berkulit hitam, bangsa Yahudi,
Asia dan golongan birokrat.
Seusai bebas dari
pusat itu, Sipes umpama bom jangka yang menunggu masa untuk meledak.
Bagi menyalurkan
niat jahatnya itu, Sipes menyertai kumpulan-kumpulan yang rasis dan mereka
sering melakukan 'operasi penyerangan' terhadap kelompok-kelompok etnik
tertentu dan melakukan pelbagai jenayah lain.
Sehinggalah pada
usianya 16 tahun, sekali lagi Sipes disumbat ke penjara di California. Dalam
usia remaja itu beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun enam bulan atas
kesalahan merompak dan memiliki senjata api secara haram.
Namun dalam penjara
itu lebih banyak perkara negatif yang dipelajarinya. Sipes bergabung dengan
kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Warga Kulit Putih Ulung' yang membenci
semua orang yang bukan daripada keturunan 'Anglo Saxon'.
Ini membolehkan
Sipes mempunyai jalinan hubungan dengan pertubuhan pelampau yang paling rasis,
iaitu Kumpulan Klu Klax Klan (KKK) atau White Racial Brotherhood
(Kumpulan Perkauman Kulit Putih) bagi membolehkan Sipes meminta dirinya
dibebaskan dengan jaminan KKK.
Sipes semakin aktif
dengan kegiatan KKK selama hampir empat tahun.
Beliau sering
melakukan kekacauan di malam hari dengan melakukan serangan-serangan atas nama
perkauman dan merosakkan harta benda awam yang menyebabkan beliau sering keluar
masuk penjara sehinggalah usianya memasuki 20 tahun.
Acap kali menjadi
buruan polis dan diberi layanan buruk menyedarkan Sipes, seterusnya melahirkan
bibit-bibit penyesalan atas segala perlakuan yang dilakukan selama ini.
Sipes mula
merindukan kedamaian jiwa. Tidak ada sudahnya beliau menjadi jahat jika ia
sedikitpun tidak menjanjikan kedamaian, apatah lagi kebahagiaan dalaman.
Perasaan marah dan benci pada diri mulai menguasai dirinya.
Tekanan itu
menjadikan dia sering terjaga pada lewat malam di dalam penjara mengenangkan
nasib dirinya.
Waktu-waktu
bersendirian di dalam penjara itu membolehkan beliau merenung kembali masa lalu
dan segala kejahatan yang dilakukannya.
"Penyesalan
itu terus membuak-buak, lebih-lebih selepas kelahiran anak perempuan saya.
"Saya mulai
memikirkan soal masa depan, soal jiwa yang terkorban akibat daripada kejahatan
yang saya lakukan selama ini.
"Saya dapat
menggambarkan bagaimana sisa hidup saya yang akan berakhir di penjara kelak.
Sudah tentunya gelap gelita. Pada masa yang sama, terlintas di hati, sesuatu
perlu dilakukan.
"Jelas sekali,
jika saya memilih keburukan, maka saya tidak akan punya masa depan. Keluarga
saya, ibu, abang, mereka semua akan takut kepada saya, sekali gus menjauhkan
diri daripada saya," katanya yang ingin mencintai dan dicintai seperti
mana yang diinginkan oleh semua orang.
Setelah tamat
tempoh tahanan dan dibebaskan, Sipes mula melibatkan diri dengan organisasi hak
asasi terutama agensi yang memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang
teraniaya dan bermasalah sosial seperti dirinya dahulu.
Beliau membantu
menyelesaikan kanak-kanak dan remaja yang bermasalah namun takdir menentukan
beliau terpaksa disumbat ke dalam penjara untuk sekian kalinya atas kesalahan
memiliki bahan-bahan peledak atau bom.
Kali ini di sebuah
penjara Persekutuan, Sipes berpeluang berjumpa dan berkenalan dengan seorang muslim
Amerika keturunan Afrika yang bertugas membantu para tahanan Muslim yang
memerlukan bantuan.
Daripada warga
Muslim inilah muncul keinginan Sipes untuk mengenali Islam.
Sebelum ini beliau
menganggap bahawa Islam itu adalah agama yang eksklusif untuk warga Amerika
yang berketurunan Afrika sahaja.
Sebagai warga kulit
putih, Sipes menolak agama Islam.
Meskipun demikian,
Sipes tetap bertanyakan pelbagai perkara mengenai Islam dan mula berfikir
secara positif mengenai Islam apabila mendapati ajarannya adalah untuk seluruh
manusia, universal tanpa memilih warna kulit, kaum dan etnik.
"Saya mula
tertarik, bagi saya Islam mempunyai ajaran yang sangat benar dan murni,"
katanya.
Sipes kemudiannya
diajak melihat sendiri tahanan-tahanan solat berjemaah dan beliau juga
diberikan senaskhah al-Quran terjemahan untuk beliau baca dan kaji.
Apabila membacanya,
Sipes mula mengakui sepenuhnya kebenaran dan kemurniaan ajaran yang tertulis di
dalam al-Quran itu.
No comments:
Post a Comment