'Imam Mahadi' bukan orang terganggu emosi
KEJADIAN amuk di Jabatan Perdana Menteri Putrajaya pada 9 Julai
lalu menarik perhatian masyarakat kerana dua perkara. Pertama, kemunculan
seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahadi dan kedua, seorang ibu
mempunyai dua anak sanggup menemani lelaki itu meskipun baharu berkenalan
kurang sebulan.
Wanita itu dikatakan telah dipukau atau terkena ilmu hitam.
Lelaki yang mengakui dirinya sebagai Imam Mahadi itu pula dikhuatiri
terpengaruh dengan ajaran sesat dan kemungkinan berhadapan dengan masalah
mental berdasarkan kecelaruan matlamatnya ke Putrajaya sambil membawa sebilah
pedang samurai.
Mengakui diri sebagai Imam Mahadi sebenarnya bukanlah perkara
baru dalam sejarah agama sama ada oleh penganut Islam mahupun penganut
Kristian. Gerakan menggunakan agama bagi melancarkan revolusi ataupun keganasan
pernah dikenali sebagai pemberontakan messaniah, yakni kebangkitan kelompok
bersenjata untuk menyerang sesuatu entiti dan menekankan sebarang ritual
keagamaan.
Kisah pemimpin agama yang bangun memberontak atau melancarkan
revolusi terhadap pemerintah banyak berkait rapat dengan hasrat untuk
menyelamatkan manusia daripada mengkhianati agama.
Ketika penjajah Sepanyol memperluaskan pengaruhnya di Filipina,
telah muncul pemimpin agama yang bernama Apolonario Dela Cruz (1815-1841) dari
San Jose sehingga penangkapannya dikaitkan dengan kecelaruan mental. Beliau
kemudiannya dijatuhi hukum bunuh.
Berlainan dengan apa yang berlaku di Putrajaya apabila lelaki
mengamuk itu melibaskan pedang samurai ke arah orang ramai setelah dihalang
memasuki Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri.
Konsep Imam Mahadi sebagai penyelamat telah menimbulkan sentuhan
mistik yang berjaya mempengaruhi sebahagian besar golongan beragama yang
bersikap pesimistik, yakni mempercayai secara membuta-tuli ajaran yang
diperturunkan oleh guru-guru agama tertentu.
Dalam masyarakat Malaysia, yakni ketika pengikut-pengikut
al-Arqam mempercayai secara mistiknya kehebatan Ashaari Muhammad sebagai
pemimpin yang berasal dari Bani Tamim. Beliau didakwa hadir ke dunia untuk
menyelamatkan manusia daripada kehidupan yang buruk. Setelah merasakan
kedudukannya begitu kuat dengan pengikut yang ramai dan merata tempat, Ashaari
akhirnya membuat perancangan untuk melakukan gerakan menjatuhkan kerajaan.
Kumpulan tersebut kemudiannya diperintah dibubarkan, manakala
Ashaari Muhammad dikenakan tahanan buang daerah dan pengikut-pengikutnya mulai
berpecah.
Persoalan kemunculan Imam Mahadi bukanlah sesuatu yang baharu
dalam masyarakat. Bahkan dalam masyarakat Kristian, penganut-penganutnya
percaya suatu hari, Imam Mahadi akan muncul untuk menyelamatkan manusia setelah
mereka diselamatkan oleh Nabi Isa a.s. daripada mewarisi “dosa besar."
Dosa besar itu disebabkan oleh Nabi Adam a.s. yang ingkar
larangan Tuhan ketika di syurga dan akhirnya dicampakkan ke dunia sebagai
balasan.
Bagi penganut Islam, sama ada dalam kalangan Ahli Sunnah Wal
Jamaah atau Syiah, mereka yakin bahawa Imam Mahadi akan muncul pada akhir zaman
sebagai menyelamatkan keadaan umat yang berkonflik sesama sendiri dan telah
semakin jauh dengan pegangan agama.
Keyakinan ini berkembang kerana memang ada hadis yang menyebut
hal tersebut dan istilah “al-Mahdi" dikatakan berasal daripada kata kerja
hada-yahdi yang bermaksud “membimbing" atau “memberikan petunjuk".
Pada abad pertama Hijrah, banyak orang mengakui dirinya sebagai
Imam Mahadi berdasarkan pandangan bahawa asal usul keturunannya bukanlah hanya
dari nasab keturunan Fatimah al-Zahra (puteri Nabi Muhammad SAW). Imam Mahadi
akan muncul tanpa menurut nasab keturunan tertentu, yang pasti ialah mereka
yang beragama Islam.
Mengisytiharkan diri sebagai Imam Mahadi merupakan satu bentuk
sikap melampau hasil daripada tafsiran sendiri terhadap dalil yang disabdakan
oleh Rasullullah SAW, bahawa imam itu benar-benar akan muncul sebelum hari
kiamat.
Kemunculan itu juga menandakan kiamat benar-benar dekat, tidak
seperti ramalan sesetengah manusia berdasarkan tahap keintelektualannya
sendiri. Misalnya, kaum Maya yang berasal dari Amerika Latin meramalkan ‘hari
terakhir’ dalam kalendar mereka ialah pada 20.12.2012, sedangkan ia adalah
tarikh terakhir dalam satu pusingan atau dikenali sebagai Baktun. Satu pusingan
bermakna tiga ribu tahun.
Sikap melampau dalam mengamalkan ritual agama dan mentafsirkan
asas-asas kepercayaan berdasarkan dalil pemikiran sendiri adalah salah dalam
Islam. Islam mempunyai sikap yang tetap dalam menentukan sesuatu fenomena
kejadian dan kehancurannya.
Islam telah membentuk doktrinnya berdasarkan hukum-hakamnya yang
tersendiri. Persoalan dasar tidak boleh berubah manakala persoalan kehidupan
bersosial, prinsipnya tidak akan berubah, perubahannya adalah pada
sifat-sifatnya yang memerlukan penyesuaian dengan corak kehidupan manusia.
Pola pemikiran melampau itu amat ditentang oleh Islam. Menerusi
ketegasan yang diteladankan oleh Rasullullah SAW, kehidupan dalam nilai-nilai
berhemah dan sederhanalah yang akan menyelamatkan Islam. Sikap melampau atau
terlalu mencari kesalahan orang lain itulah sebenarnya membawa kepada
ketakjuban yang melampau ke atas kebolehan sendiri.
Ulama salaf tidak menonjolkan kelebihan melampau. Bahkan, dari
segi ilmu mereka sentiasa memantapkannya dengan penuh tawaduk dan sikap
merendah diri. Allahyarham Buya Hamka misalnya pernah membuat kesimpulan:
“Ketika saya membaca sebuah buku, saya rasakan diri sayalah yang paling pandai;
tetapi apabila saya membaca seribu buku, ternyata diri sayalah yang paling
bodoh berbanding orang ramai."
Begitu dengan sikap merendah diri Imam al-Ghazali. Beliau tidak
pernah mengakui dirinya sebagai seorang yang pakar walaupun beliau dilantik
sebagai pengurus pendidikan di sebuah pusat pengajian ilmu-ilmu agama pada
zamannya.
Ilmu semata-mata tidak membawa apa-apa makna, tetapi jika
beramal tanpa ilmu juga ia merupakan satu tindakan yang berbahaya.
Untuk itulah Islam mengajarkan umatnya supaya sentiasa belajar
dan menuntut ilmu, dengan ilmu itulah akan menggerakkan diri untuk memahami
bahawa pencapaian tertinggi seseorang itu ialah mendekatkan diri dengan Allah
SWT.
Bagi sesetengah orang, dengan hanya mempunyai sedikit ilmu,
dicubanya untuk menduga samudera yang dalam. Dalam percubaan itulah akhirnya
tersesat hingga menyebabkan diri terkorban.
Maknanya, insiden yang berlaku pada petang Isnin di Putrajaya
mempunyai kebenarannya apabila menganggap pengetahuannya sudah lengkap dan
mantap.
Seseorang yang menganggap dirinya mempunyai kemantapan ilmu
menyebabkannya cenderung membalutkan emosinya dengan sikap melampau manakala
tindakannya terarah kepada penyerangan dan melepaskan geram.
Jika mereka mempunyai pengikut yang ramai, maka mereka semakin
cenderung untuk bersikap melampau sehingga mengambil tindakan dalam bentuk
kekerasan.
Imam Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap melampau. Maka sesungguhnya
umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama."
(Riwayat Ahmad, Nasai, Ibn Majah dan Al-Hakim).
Golongan pelampau ikut menjadikan aksi radikal sebagai kemuncak
penentangan. Tindakan tersebut sebenarnya bertentangan dengan perintah Allah
SWT, kerana al-Quran tidak pernah meminta manusia supaya bertindak ganas hatta
ketika berdepan dengan musuh semasa berperang.
DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD. TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
No comments:
Post a Comment