Monday, 2 April 2018

Bayi dilarikan monyet ditemui mati

OPERASI besar-besaran mencari bayi lelaki berusia 17 hari yang dilarikan monyet di sebuah kampung di Cuttack, Odisha, India semalam berakhir dengan penuh tragik apabila mayat mangsa ditemui terapung di dalam perigi, hari ini.
Hindustan Times melaporkan, bayi itu dilarikan seekor monyet ketika sedang tidur di dalam kelambu di sebelah ibunya di rumah mereka di kampung Talabasta pada pagi semalam.
Ibu bayi itu melihat anaknya dilarikan lalu meminta pertolongan daripada penduduk kampung yang kemudiannya melaporkan kepada pihak berkuasa.
Berpuluh-puluh pegawai hutan yang dibantu penduduk kampung melancarkan operasi mencari bayi itu di hutan berhampiran sebelum mayat mangsa ditemui terapung di dalam perigi di rumahnya.
“Kemungkinan bayi itu terjatuh ke dalam perigi ketika dibawa lari oleh monyet berkenaan,” kata jurucakap polis, Biswaranjan Sahoo.
Katanya, serangan membabitkan monyet sering berlaku di daerah itu, tetapi ini adalah kali pertama haiwan berkenaan melarikan bayi.
“Mayat bayi itu dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya. 

- Agensi/Metro

Friday, 30 March 2018

Ayam ‘tanpa kepala’ boleh hidup

AYAM tanpa kepala ditemukan di Mueang Ratchaburi, wilayah Ratchaburi,

BANGKOK 29 Mac – Seekor ayam ‘tanpa kepala’ di Thailand masih hidup selepas seminggu haiwan itu ‘hilang’ anggota penting itu dan lebih menakjubkan, unggas terbabit tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan mati.
Mail Online melaporkan, ayam luar biasa ditemukan di daerah Mueang Ratchaburi di wilayah Ratchaburi di tengah Thailand dan ia kini dipelihara seorang doktor haiwan dengan menyifatkannya sebagai wira sebenar.
Gambar yang tular merakamkan ayam itu dengan hanya pangkal kepala tanpa wajah serta ber­­da­­rah masih bebas bergerak seperti unggas lain.
Haiwan malang itu kini dipelihara doktor haiwan yang dikenali sebagai Supakadee Arun Thong dan dia dilapor memberikan ayam berkenaan makan menerusi lehernya selain memberikannya antibiotik.
Kata doktor wanita itu, ayam itu agak jinak dan masih memberikan tindak balas yang baik.
“Haiwan mempunyai kehidupannya sendiri dan jika ia mahu terus hidup, kami akan memberi­nya makan,” kata Supakadee.
Bagaimanapun pencinta haiwan itu berkata, dia bimbang lidah ayam itu lambat laun akan tercabut kerana organ tersebut terus mengering.
Namun masih tidak jelas ba­gai­mana haiwan itu hilang kepalanya namun menurut penduduk tempatan unggas terbabit mungkin telah diserang haiwan lain.
Supakadee berkata, dia berharap akan ada pihak yang mahu mengambil dan menjaga haiwan itu.
“Siapa yang mahu mengambil dan menjaganya? Ayam itu perlukan penjagaan sepanjang hayat. Saya perlu akui haiwan ini adalah wira sebenar dengan jiwa yang kental,” katanya.
Untuk rekod, ayam yang terus hidup paling lama di dunia dikenali sebagai Mike. Ia bertahan selama 18 bulan setelah kehila­ngan kepalanya di Utah, Amerika Syarikat (AS) antara tahun 1945 hingga 1947.

-Utusan


Tiba tiba 'gostan' masuk kolam


Florida : Kerana gagal meletakkan kedudukan gear parkir dengan betul, kereta seorang wanita mengundur masuk ke dalam kolam renang menyebabkan suami dan anak perempuannya turut ‘berendam.’
Fox News memetik Pejabat Syerif Daerah Okaloosa berkata di Facebook, wanita itu menyangka keretanya sudah diletakkan dalam keadaan parkir untuk keluar seketika daripada kenderaan berkenaan bagi mengambil wang di dalam rumahnya.
“Rupanya gear tidak dimasukkan sepenuhnya menyebabkan keretanya mengundur ketika suami serta anak perempuannya masih berada di dalam,” katanya.
NBC Miami melaporkan kereta itu hampir tenggelam sepenuhnya namun keluarga wanita itu terselamat tanpa sebarang kecederaan.

-Metro


Thursday, 29 March 2018

Belit dalam bilik air



Sungai Petani: Misteri kehilangan empat ayam peliharaan seorang lelaki sejak seminggu lalu terjawab apabila dia menemui ular sawa batik di dalam bilik air di rumahnya di Kampung Kuala Temekah, Kuala Ketil di sini, semalam.
Pada kejadian jam 2 pagi, ular itu membelit seekor ayam betina yang diletakkan di bilik berkenaan.
Pemilik ayam berkenaan, D Siva Lingga, 36, berkata, sebelum kejadian, dia dan ahli keluarga terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi bising ayam peliharaannya.
Katanya, dia segera memeriksa bilik air sebelum terperanjat apabila mendapati ular sawa berkenaan.
“Saya terus mengarahkan isteri (M Vengatraman, 33) untuk menghubungi talian kecemasan,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.
Siva Lingga berkata, sebelum ini menyangka empat ayam peliharaannya yang hilang itu dicuri.
“Memandangkan ada seekor ibu ayam yang sedang mengeram, saya meletakkan haiwan itu di dalam bilik air rumah bagi mengelakkan ayam itu dicuri,” katanya
Sementara itu, Pegawai APM Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.35 pagi.
Beliau berkata, susulan itu, tiga anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di rumah pengadu tidak lama kemudian, kami terus menangkap ular itu dengan peralatan khas,” katanya.

-Metro

Isteri 'berlakon sakit' bawah kereta polis



Beijing: Seorang wanita di China bertindak merangkak ke bawah kenderaan polis dan berpura-pura sakit sebagai usaha menyelamatkan suaminya yang ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen.
Portal berita Thepaper melaporkan, kejadian berlaku Isnin lalu di Changning, wilayah Henan apabila pasangan yang dikenali sebagai Quan dan Wang itu menunggang motosikal bersama anak perempuan mereka ditahan polis yang melakukan pemeriksaan rutin.
Wang gagal menunjukkan lesen dan dokumen pendaftaran motosikal menyebabkan Quan tiba-tiba mengadu tidak sihat sebelum merangkak di bawah kenderaan polis ketika suaminya mahu dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.
Rakaman video pendek dimuat naik ke media sosial menunjukkan Quan baring di atas jalan dengan separuh badannya di bawah kenderaan polis sambil diperhatikan anaknya yang menangis.
Wanita itu hanya berhenti berbuat demikian selepas sejam apabila paramedik berjaya meyakinkannya untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

-Metro

Wednesday, 28 March 2018

Tertelan cincin berlian ibu


KANAK-kanak dua tahun terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tertelan cincin berlian ibunya dalam kejadian di Zhuhai, wilayah Guangdong, Jumaat lalu.
Kejadian berlaku ketika ibunya terlena kira-kira 10 minit selepas makan tengah hari dan membiarkan anaknya bermain cincin berkenaan.
Kemudian, dia dikejutkan dengan tangisan kuat anaknya sambil menunjukkan jari ke arah mulut dan menyebut ‘cincin’.
Wanita yang panik itu terus bergegas ke hospital bersama anaknya itu.
Kanak-kanak itu bagaimanapun bernasib baik apabila doktor berjaya mengeluarkan cincin berkenaan yang tersangkut di tekaknya. - Agensi/Metro

Friday, 23 March 2018

Bunuh, makan dan masak jantung mangsa

Bunuh, makan dan masak jantung mangsa
Pisau yang ditemui di lokasi kejadian. Gambar kecil: Nikiforova

MOSCOW- RUSIA. Seorang lelaki kanibal di Rusia ditahan selepas dia membunuh ibu kepada dua anak dan turut memasak serta memakan jantungnya.
Penahanan Alexey Yastrebov, 35, dibuat di bandar Krasnoyarsk selepas dia didakwa menikam leher Ekaterina Nikiforova, 27, dengan menggunakan pisau dapur.
Menurut penguatkuasa undang-undang tempatan, dia kemudiannya mengeluarkan jantung dan paru-paru kiri mangsa sebelum memasaknya di atas dapur di flat sewa yang didiaminya.
"Suspek menelefon pemilik flat itu, Zhanna Avdeeva, 31, memberitahu tentang 'dia berbaring dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat mayat di sisinya'. Dia turut meminta Avdeeva menghubungi polis dan ambulans," jelas jurucakapnya.
Apabila paramedik tiba, Yastrebov dengan tenang menyatakan: 'Ada jantung dimasak atas dapur'.
Dia turut mengaku kepada polis: 'Saya beritahu akan makan jantungnya. Jadi, saya buat'.
Sebelum menghubungi Adveeva, dia dipercayai cuba membunuh dirinya dengan menikam gunting pada lehernya, namun gagal.
"Suspek kini ditempatkan di wad penjagaan intensif di hospital dan turut dikawal polis," ujarnya lagi.
Adveeva yang turut terkejut dengan pembunuhan mengerikan itu berkata, insiden tersebut adalah seperti satu mimpi ngeri kerana ia berlaku di dalam rumah miliknya. 

- Daily Mail/Sinar

Thursday, 22 March 2018

Bangkai makhluk misteri ditemui di tepi pantai


GEORGIA, Amerika Syarikat – Pelbagai spekulasi timbul apabila bangkai seekor makhluk laut misteri yang dikatakan seolah-olah raksasa Loch Ness ditemui terdampar di tepi pantai di sini.
Seorang lelaki, Jeff Warren sempat merakam beberapa gambar dan video mengenai hidupan aneh itu ketika dia dan anak lelakinya menaiki bot di kawasan Perlindungan Hidupan Liar di Pulau Wolf pada Jumaat lalu.
“Pada mulanya, saya menyangka bangkai itu ialah seekor anjing laut namun sangkaan itu meleset apabila ia sebenarnya memiliki leher dan ekor yang panjang menyerupai Loch  Ness,” katanya
Setakat ini, beberapa pakar hidupan marin turut bingung mengenai spesies haiwan berkenaan namun beberapa pihak lain menyifatkan ia berkemungkinan bangkai raksasa Loch Ness atau reptilia prasejarah, Plesuisaur. 
– Agensi/Kosmo

Murid maut dalam lubang tandas



Cape Town: Seorang murid perempuan berusia lima tahun maut dalam keadaan menyedihkan selepas ditemui lemas dalam lubang takungan najis di sebuah sekolah di Afrika Selatan.
Lumka Mkhethwa pada mulanya disyaki diculik selepas dia hilang dari sekolahnya di Bizana, Timur Cape dan polis melancarkan gerakan mencari murid itu.
Bagaimanapun, mayat murid itu ditemui sehari kemudian dalam lubang takungan najis selepas ia dikeringkan.
Menurut laporan Daily Mail yang memetik media Afrika Selatan, mangsa dipercayai maut akibat terjatuh ketika menggunakan tandas yang dibina dengan lubang takungan najis terletak betu-betul di bawah tempat duduk tandas.
Kementerian Kesihatan Afrika Selatan mengesahkan kematian tragis murid Sekolah Rendah Luna berkenaan.
“Kematian murid itu dalam keadaan tragis adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan sangat mengganggu,” kata Menteri Pendidikan Afrika Selatan, Angie Motshekga.
Ia bukan kejadian pertama membabitkan murid sekolah yang maut akibat terjatuh ke dalam lubang takungan najis di Afrika Selatan yang masih menggunakan kemudahan tandas yang usang.
Empat tahun lalu, seorang murid lelaki berusia lima tahun, Michael Komape juga ditemui mati akibat terjatuh ke dalam lubang takungan najis ketika menggunakan tandas di sekolahnya di Polokwane.
Keluarga mangsa kemudiannya menyaman kerajaan negeri kerana gagal memastikan keselamatan murid di sekolah berkenaan.


-Metro

Wednesday, 21 March 2018

Bayi merangkak tengah jalan

Bayi merangkak tengah jalan
Detik mencemaskan itu dirakamkan dashcam oleh seorang pengguna lalu lintas di Quang Ninh.

HANOI - VIETNAM. Seorang pemandu terkejut selepas melihat bayi merangkak melintasi jalan raya di Vietnam.
Detik mencemaskan itu dirakamkan dashcam oleh seorang pengguna lalu lintas di Quang Ninh yang kemudiannya bertindak segera menghentikan kenderaannya selepas melihat sebuah lori di lorong sebelah melakukan tindakan sama.
Pemandu lori tersebut mengeluarkan tangannya ke luar tingkap untuk memberi isyarat kepadanya sebelum menunjukkan bayi tersebut.
Bayi terbabit dapat dilihat merangkak melintasi dua lorong menuju ke pembahagi jalan di tengah jalan tersebut sebelum seorang wanita berlari dan turut melompat blok konkrit untuk mendapatkannya.
Dua lelaki lain menyusul untuk membantu wanita terbabit yang akhirnya dapat mengambil semula bayi tersebut dengan selamat.
"Saya sedang memandu apabila melihat bayi merangkak di seberang jalan. Nasib baik tidak ada apa berlaku kepadanya," kata pemandu kereta yang merakamkan insiden itu pada 13 Mac lalu. - Daily Mail/Sinar