BANGKOK 29 Mac – Seekor ayam ‘tanpa kepala’ di Thailand masih hidup selepas seminggu haiwan itu ‘hilang’ anggota penting itu dan lebih menakjubkan, unggas terbabit tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan mati.
Mail Online melaporkan, ayam luar biasa ditemukan di daerah Mueang Ratchaburi di wilayah Ratchaburi di tengah Thailand dan ia kini dipelihara seorang doktor haiwan dengan menyifatkannya sebagai wira sebenar.
Gambar yang tular merakamkan ayam itu dengan hanya pangkal kepala tanpa wajah serta berdarah masih bebas bergerak seperti unggas lain.
Haiwan malang itu kini dipelihara doktor haiwan yang dikenali sebagai Supakadee Arun Thong dan dia dilapor memberikan ayam berkenaan makan menerusi lehernya selain memberikannya antibiotik.
Kata doktor wanita itu, ayam itu agak jinak dan masih memberikan tindak balas yang baik.
“Haiwan mempunyai kehidupannya sendiri dan jika ia mahu terus hidup, kami akan memberinya makan,” kata Supakadee.
Bagaimanapun pencinta haiwan itu berkata, dia bimbang lidah ayam itu lambat laun akan tercabut kerana organ tersebut terus mengering.
Namun masih tidak jelas bagaimana haiwan itu hilang kepalanya namun menurut penduduk tempatan unggas terbabit mungkin telah diserang haiwan lain.
Supakadee berkata, dia berharap akan ada pihak yang mahu mengambil dan menjaga haiwan itu.
“Siapa yang mahu mengambil dan menjaganya? Ayam itu perlukan penjagaan sepanjang hayat. Saya perlu akui haiwan ini adalah wira sebenar dengan jiwa yang kental,” katanya.
Untuk rekod, ayam yang terus hidup paling lama di dunia dikenali sebagai Mike. Ia bertahan selama 18 bulan setelah kehilangan kepalanya di Utah, Amerika Syarikat (AS) antara tahun 1945 hingga 1947.
-Utusan
No comments:
Post a Comment