Cape Town: Seorang murid perempuan berusia lima tahun maut dalam keadaan menyedihkan selepas ditemui lemas dalam lubang takungan najis di sebuah sekolah di Afrika Selatan.
Lumka Mkhethwa pada mulanya disyaki diculik selepas dia hilang dari sekolahnya di Bizana, Timur Cape dan polis melancarkan gerakan mencari murid itu.
Bagaimanapun, mayat murid itu ditemui sehari kemudian dalam lubang takungan najis selepas ia dikeringkan.
Menurut laporan Daily Mail yang memetik media Afrika Selatan, mangsa dipercayai maut akibat terjatuh ketika menggunakan tandas yang dibina dengan lubang takungan najis terletak betu-betul di bawah tempat duduk tandas.
Kementerian Kesihatan Afrika Selatan mengesahkan kematian tragis murid Sekolah Rendah Luna berkenaan.
“Kematian murid itu dalam keadaan tragis adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan sangat mengganggu,” kata Menteri Pendidikan Afrika Selatan, Angie Motshekga.
Ia bukan kejadian pertama membabitkan murid sekolah yang maut akibat terjatuh ke dalam lubang takungan najis di Afrika Selatan yang masih menggunakan kemudahan tandas yang usang.
Empat tahun lalu, seorang murid lelaki berusia lima tahun, Michael Komape juga ditemui mati akibat terjatuh ke dalam lubang takungan najis ketika menggunakan tandas di sekolahnya di Polokwane.
Keluarga mangsa kemudiannya menyaman kerajaan negeri kerana gagal memastikan keselamatan murid di sekolah berkenaan.
-Metro
No comments:
Post a Comment