Friday, 28 February 2014

Telah nyata kebenaran Islam


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabnya. (Ali-Imran: 19)

Di tengah-tengah senario umat Islam dituduh sebagai pengganas, dinafikan hak mereka di bumi sendiri, dimalukan dengan insiden-insiden yang tidak langsung memahami sensitiviti masyarakat Islam, namun siapa sangka agama Islam itu semakin mendapat perhatian penduduk dunia. Malah, kalau sebelum ini agama Kristian dikatakan menduduki tangga teratas sebagai penganut teramai, kini fakta itu telah berubah. Yang dibenci itulah yang kini sedang dicari-cari dan dicintai oleh insan-insan yang Allah SWT pilih. Subhanallah

Buktiknya, jumlah penduduk dunia (2013) adalah 7,021,836,029. Sebaran maklumat menurut agama adalah: Islam 22.43 peratus, Kristian Katolik 16.83 peratus, Kristian Protestan 6.08 peratus, Orthodok 4.03 peratus, Anglican 1.26 peratus, Hindu 13.78 peratus, Buddha 7.13 peratus, Sikh 0.36 peratus, Yahudi 0.21 peratus, Baha 0.11 peratus, lainnya 11.17 peratus, Non Agama 9.42 peratus dan Atheists 2.04 peratus (www.30 days.net).

Bahkan dikatakan bahawa jumlah umat Islam pada 2012 adalah berjumlah lebih 2,000 juta. Sedangkan jumlah penganut Kristian dan Protestan adalah 2,000 juta. Sehingga Islam sekarang ini walaupun dibandingkan dengan penganut Kristian dan Protestan, sudah menjadi agama terbesar di dunia. (www.religiouspopulation).

Lima kali ganda

Menurut The Almanac Book of Facts, 2011, penduduk dunia (2011) berkembang 137 peratus dalam satu dekad terakhir, di mana Kristian berkembang hanya sebanyak 46 peratus, sebaliknya Islam berkembang sebanyak lima kali ganda iaitu 235 peratus. Disebutkan bila trend perkembangan ini terus berlaku, dijangkakan pada 2030, satu daripada tiga penduduk dunia adalah orang-orang Islam. (www.muslimpopulation.com).

Fakta ini senada dengan jangkaan Menteri Koordinator Politik Hukum dan Keamanan, Djoko Suyanto pada Persidangan Antarabangsa Cendikiawan Islam di Hotel Sultan, Jakarta, tidak lama dahulu. Beliau telah meramalkan bahawa pada 2025 nanti, umat Islam akan menjadi penduduk majoriti di dunia. Jumlahnya juga akan mendadak naik iaitu 30 peratus dari seluruh populasi warga bumi atau seperempat penduduk dunia.

Dalam persidangan yang bertemakan ‘Meningkatkan Solidaritas dan Kesatuan Muslim Dunia’ (Upholding Solidarity and Unity in the Moslem World) itu, Djoko turut meramalkan umat Islam akan mengambil peranan utama dalam bidang keilmuan dunia.

Sementara itu, jika dilihat pecahan mengikut benua, data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (2012) menunjukkan, sejak 1989 sehingga 2012, perkembangan jumlah penganut agama Islam yang paling cepat berkembang di Australia dan Oceania/Pacific iaitu 257.01 peratus, diikuti oleh Eropah 142.35 peratus, Amerika 25 peratus, Asia 12.57 peratus, Afrika 2.15 peratus dan Amerika Latin 4.73 peratus (www.30-days.net).

Menurut The Almanac Book of Facts (2011) lagi, dalam 10 tahun terakhir, penduduk dunia bertambah sebanyak 137 peratus. Di mana penganut agama Kristian bertambah sebanyak 46 peratus. Sedangkan penganut agama Islam bertambah sebanyak 235 peratus (www.geocities.com).

Dapat disimpulkan di sini, Islam adalah agama dengan perkembangan penganutnya yang tertinggi di dunia setiap tahun. Hal ini diperkukuhkan dengan fakta yang dipetik daripada Guinness Book of World Records, 2011 di mana antara 1990 hingga 2000, diperkirakan sekitar 12.5 juta orang daripada pelbagai agama, berhijrah kepada agama Islam.

Dapatan daripada tinjauan pendapat di Amerika Syarikat, didapati sekitar 200,000 orang setiap tahun berhijrah akidah dari agama Kristian kepada agama Islam (www.usislam.org).

Suatu penyelidikan yang dibuat oleh Faith Matters (2011) di Eropah, didapati bahawa dalam 10 tahun terakhir diperkirakan jumlah orang Inggeris yang bertukar daripada agama lain (Kristian) menjadi Muslim ialah seramai 5,000 orang setiap tahun (http://insideislam.wisc.edu).

Oleh IBRAHIM ABDULLAH-Utusan

Thursday, 27 February 2014

Lelaki Afrika Selatan tawar duit untuk dara wanita


JOHANNESBURG 27 Feb. - Seorang lelaki di Afrika Selatan menawarkan sejumlah ganjaran bernilai AS$9,300 (RM 30,528) dan pingat kepada wanita dalam kalangan usia sehingga 35 tahun, yang masih memelihara dara mereka.

Tawaran itu dilakukan lelaki tersebut sebagai usaha untuk memerangi jangkitan virus kekurangan imuniti manusia (HIV) dan gejala kehamilan di kalangan remaja.

Seorang pekerja komuniti, Rabelani Ramali yang berasal dari daerah Limpopo memberitahu akhbar The Times bahawa dia akan menghadiahkan calon yang berjaya dengan wang tunai sehingga 100,000 rand (RM 30,444) dan beberapa pingat daripada emas, perak dan gangsa, berdasarkan umur mereka.

Bagaimanapun, inisiatif itu telah menerima pelbagai reaksi.

- AFP/Utusan

Wednesday, 26 February 2014

Kisah pakar anatomi Thailand masuk Islam...

 
”Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada
ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali
kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya
mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (QS.
An-Nisa: 56)

Bagi sebahagian besar umat Islam, ayat di atas terdengar
seperti ayat-ayat serupa dalam Al-Quran yang menjelaskan pedihnya siksa neraka
bagi orang-orang yang tidak beriman. Namun tidak demikian bagi Tagatat Tejasen,
seorang saintis Thailand di bidang anatomi. Baginya, ayat itu adalah sebuah
keajaiban.

Persidangan Perubatan Saudi ke-6 di Jeddah yang diikuti
Tejasen pada Mac 1981 menjadi awal detik pertemuannya dengan keajaiban itu.
Dalam persidangan yang berlangsung selama lima hari itu, sejumlah ilmuan Muslim
mendedahkan kepada Tejasen beberapa ayat Al-Quran yang berkaitan dengan
anatomi.

Tejasen yang beragama Buddha kemudian mengatakan bahawa agamanya
juga mempunyai bukti-bukti sama yang secara tepat menjelaskan tahap-tahap
perkembangan embrio. Para ilmuan Islam yang ada ketika itu tertarik
mempelajarinya dan meminta profesor yang berasal dari Thailand itu untuk
menunjukkan ayat-ayat tersebut kepada mereka.

Setahun kemudian, pada
bulan Mei 1982, Tejasen menghadiri persidangan perubatan yang sama di Dammam,
Arab Saudi.

Apabila ditanya tentang ayat-ayat anatomi yang pernah
dijanjikannya, Tejasen meminta maaf dan mengatakan bahawa ia telah menyampaikan
kenyataan tersebut sebelum mempelajarinya. Ia telah memeriksa kitabnya, dan
mendapati bahawa tidak ada rujukan di dalamnya yang dapat dijadikan bahan
kajian.

Ia kemudian menerima cadangan para ilmuan Muslim untuk membaca
sebuah makalah penelitian karya Keith Moore, seorang profesor bidang anatomi
yang berasal dari Kanada.

Makalah itu berbicara tentang keserasian antara
embriologi moden dengan apa yang disebutkan dalam Al-Quran.

Tejasen
tercengang saat membacanya. Sebagai saintis di bidang anatomi, ia menguasai
dermatologi (ilmu tentang kulit).

Dalam tinjauan anatomi, lapisan kulit
manusia terdiri daripada tiga lapisan yakni Epidermis, Dermis, dan Sub Cutis.
Pada lapisan yang terakhirlah, Sub Cutis, terdapat hujung-hujung pembuluh darah
dan saraf.

Penemuan moden di bidang anatomi telah mendedahkan bahawa luka
bakar yang terlalu dalam akan mematikan saraf-saraf yang menetapkan
sensasi.

Saat terjadi Combustio grade III (luka bakar yang telah menembus
Sub Cutis), seseorang tidak akan merasakan sakit. Hal itu disebabkan tidak
berfungsi hujung-hujung serabut saraf afferent dan efferent pengatur sensasi
yang rosak oleh luka bakar tersebut.

Makalah itu tidak saja menunjukkan
kejayaan teknologi perubatan dan perkembangan ilmu anatomi, namun juga
membuktikan kebenaran Al-Quran.

Ayat 56 surah An-Nisa ‘mengatakan bahawa
Allah akan memasukkan orang-orang kafir ke dalam neraka, dan menukar kulit
mereka dengan kulit yang baru setiap kali kulit itu hangus terbakar, agar mereka
merasakan pedihnya azab Allah.

Jantung Tejasen berdebar. “Bagaimana
mungkin Al-Quran yang diturunkan 14 abad yang lalu telah mengetahui fakta
perubatan ini?”

Sebelum berjaya mengatasi kejutan tersebut, Tejasen
dilempari soalan oleh para ilmuan Muslim yang mendampinginya, “Mungkinkah ayat
Al-Quran ini berpunca dari manusia?”

Ketua Jurusan Anatomi Universiti
Chiang Mai Thailand itu sentak menjawab, “Tidak, kitab itu tidak mungkin berasal
dari manusia. Ia kemudian termangu dan meneruskan respondnya, “Lalu dari mana
kiranya Muhammad menerimanya?”

Mereka memberitahu Tejasen bahawa Tuhan
itu adalah Allah, yang membuat Tejasen semakin ingin tahu. “Lalu, siapakah Allah
itu?” soalnya.

Dari para ilmuan Muslim tersebut, Tejasen mendapatkan
keterangan tentang Allah, Sang Pencipta yang dari-Nya berpunca segala kebenaran
dan kesempurnaan. Dan Tejasen tak membantah semua jawapan yang diterimanya. Ia
menerimanya.

Profesor yang pernah menjadi dekan Fakulti Perubatan
Universiti Chiang Mai lalu itu kembali semula ke negaranya, tempat ia
menyampaikan sejumlah kuliah tentang pengetahuan dan penemuan barunya
itu.

Maklumat yang dikutip oleh laman special.worlofislam.info
menyebutkan bahawa kuliah-kuliah profesor yang masih beragama Buddha itu, di
luar dugaan, telah mengislamkan lima mahasiswanya.

Hingga akhirnya, pada
Persidangan Perubatan Saudi ke-8 yang diadakan di Riyadh, Tejasen kembali hadir
dan mengikuti siri pidato tentang bukti-bukti Quran yang berkaitan dengan ilmu
perubatan.

Dalam persidangan yang berlangsung selama lima hari itu,
Tejasen banyak membincangkan dalil-dalil tersebut bersama para sarjana Islam dan
bukan Islam.

Di akhir persidangan, 3 November 1983, Tejasen maju dan
berdiri di podium. Di hadapan semua peserta persidangan, ia menceritakan detik
awal minatnya pada Al-Quran, juga kekagumannya pada makalah Keith Moore yang
membuatnya meyakini kebenaran Islam.

“Segala yang terakam dalam Al-Quran
1400 tahun yang lalu pastilah kebenaran, yang boleh dibuktikan oleh sains. Nabi
Muhammad yang tidak boleh membaca dan menulis pastilah menerimanya sebagai
cahaya yang diwahyukan oleh Yang Maha Pencipta, “katanya.



Tejasen lalu menutup
pidatonya dengan mengucap dua kalimah syahadat






Sumber : disini

Sakit ditipu ‘pakar’


ZOU menjalani pembedahan membuang 42 butir permata dari badannya

Changsha (China): Seorang lelaki terpaksa melalui pengalaman menyakitkan ketika doktor mengeluarkan 42 butir permata dari badannya selepas dia diperdaya ‘pakar perubatan’ alternatif.

Zou Feng - dari wilayah Hunan - berkata, selepas mengadu sakit belakang seorang jiran menyarankan dia bertemu seorang tokoh yang mahir dalam perubatan tradisional.

Lelaki berusia 61 tahun itu mengunjungi ‘pakar’ terbabit pada 2011 dan diberitahu penyakitnya itu luar biasa sehingga ia hanya boleh disembuhkan dengan menanam permata di bawah kulitnya.

Kata Zou, ‘pakar’ berkenaan membuat tebukan kecil pada kulit dan memasukkan permata itu sebelum luka berkenaan dijahit.

“Pesakit lain berkata, kaedah itu berkesan dan saya mahu mencubanya.

“Memang pada peringkat awal selepas dia memasukkan 42 butir permata ke dalam badan, saya berasa sedikit lega,” katanya.

Bagaimanapun, Zou mula menghadapi masalah baru - dia sukar berjalan dan bukan saja belakangnya sakit, malah semua sendi.

Bimbang keadaan semakin parah, Zou pergi semula ke klinik ‘pakar’ berkenaan tetapi kecewa apabila orang yang dicari sudah berpindah.

“Justeru, saya pergi mendapatkan rawatan di hospital biasa,” katanya.

Sementara itu, Dr Sying Wan dari Hospital Ortopedik Nianlun di ibu negeri Hunan, Changsha berkata, dia tidak pernah menemui kes seperti dialami Zou.

“Mula-mula saya tak tahu apa objek ada dalam badan Zou ketika melihat salinan x-ray sehinggalah dia menceritakan apa yang berlaku,” katanya.

Menurut Dr Sying, setiap butir permata itu menyebabkan tulang Zou mati, termasuk di sendi pinggulnya yang tidak dapat diselamatkan.

- Agensi/Metro

Penduduk Islam diancam bunuh


Gambar bertarikh 13 Februari lalu menunjukkan, sekumpulan penduduk Islam berehat di sebuah kem pelarian sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Mpoko di Bangui, sementara menanti giliran dibawa keluar dari Republik Afrika Tengah berikutan krisis agama. - REUTERS

CARNOT, Republik Afrika Tengah 25 Feb. - Sekumpulan 800 penduduk Islam yang kini berlindung di dalam sebuah gereja di sini, berdepan ancaman bunuh oleh militan Kristian sekiranya mereka gagal meninggalkan Republik Afrika Tengah dalam tempoh masa seminggu.

Dalam kejadian semalam, kumpulan militan Kristian itu turut berkumpul di hadapan gereja tersebut dengan membawa 40 liter minyak sambil mengugut untuk membakar rumah ibadat itu.

Keadaan itu memaksa kira-kira 30 orang anggota pengaman dari Cameroon, melepaskan tembakan ke udara bagi menyuraikan anggota kumpulan Kristian anti-Balaka tersebut.

Penduduk Islam yang mendapatkan perlindungan di gereja itu merupakan penduduk Kampung Guen, kira-kira 100 kilometer dari Carnot, yang melarikan diri setelah kumpulan anti-Bakala menyerang penempatan mereka sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang penduduk terbunuh, awal bulan ini.

Sebelum ini, penduduk Islam dan Kristian yang tinggal di Carnot hidup dalam keadaan aman damai, sehinggalah kumpulan pemberontak Muslim Seleka menggulingkan kerajaan pimpinan Presiden, Francois Bozize pada Mac tahun lalu.

Kumpulan pemberontak itu, dipersalahkan atas kejadian pembunuhan beramai-ramai penganut Kristian dan kekacauan yang berlaku di negara ini.

Menurut seorang paderi, Rigobert Dolongo yang membantu mengebumikan mayat-mayat berkenaan, kumpulan anti-Balaka melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan seperti membunuh penduduk kampung berkenaan dengan kejam.

Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam serangan hari pertama dan 43 orang lagi pada hari kedua.

Seorang saksi kejadian, Ibrahim Aboubakar, 22, berkata, anggota kumpulan anti-Balaka menyerang Kampung Guen dan membunuh dua orang abangnya, selepas anggota kumpulan tersebut mendengar mereka berkomunikasi menggunakan bahasa Arab.

"Selepas kejadian itu, kumpulan berkenaan mengumpulkan berpuluh-puluh orang dan memaksa mereka untuk baring sebelum bertindak menembak mereka satu persatu,’’ jelas Ibrahim.

Sementara itu, dua orang penduduk Islam yang enggan mendedahkan nama mereka atas faktor keselamatan mendakwa, penduduk yang masih berada di Kampung Guen bertindak menelefon pasukan pengaman Afrika di sini, untuk segera membantu menyelamatkan mereka dan menegaskan bahawa tentera anti-Balaka yang lengkap bersenjata masih mengawal kampung ini, hari ini.

- AGENSI/Utusan

Tuesday, 25 February 2014

Bakar diri tuntut tanah di India

GUWAHATI, India - Seorang aktivis hak asasi manusia, Pranab Boro membakar dirinya di depan pejabat Sekretariat Assam di sini semalam. Dia mencurahkan petrol pada badannya sendiri sebelum bertindak menyalakan api dan membakar dirinya. Boro yang berusia 45 tahun melakukan perbuatan itu bagi menuntut tanah untuk penduduk tempatan di beberapa lokasi di negeri Assam. Namun, beberapa anggota polis berjaya memadamkan api yang menjilat tubuhnya. Dia turut dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan. Boro kemudian bagaimanapun meninggal dunia selepas hampir keseluruhan badannya melecur akibat dijilat api. Lelaki itu merupakan anggota persatuan pembela hak petani iaitu Krisak Mukti Sangram Samiti. - Agensi/Kosmo

Monday, 24 February 2014

Ridhuan Tee marah Melayu ‘elak khinzir’ tapi masuk gereja


Pensyarah, Ridhuan Tee Abdullah hari ini mengecam tindakan seorang calon Melayu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang berucap di gereja demi kepentingan politik.

Menulis di ruangannya di akhbar Sinar Harian, Ridhuan mengkritik langkah calon tersebut, yang memasuki serta berucap dalam gereja Holy Family Kajang, sebagai perbuatan liberal dan keterlaluan.

"Luar biasa! Dahulu orang Melayu usahkan nak masuk gereja atau kuil, lalu sahaja di luar pun kalau boleh, cuba elakkan. Sama seperti jika mereka ke pasar, kalau boleh elak melalui atau memandang daging atau penjual khinzir. Lebih dahsyat lagi, ketika di pasar, ada yang takut ‘lalat khinzir’ terbang kawasan ‘halal’ Islam. Begitulah berhati-hatinya orang Melayu terhadap cara hidup mereka.

"Kini, tidak lagi. Melayu tanpa segan silu masuk ke rumah ibadat orang bukan Islam demi kepentingan politik. Tidak mustahil satu hari nanti, mereka akan bersama-sama menimbang khinzir. Melayu bolehlah katakan!" tulisnya.

Beliau menasihatkan calon PRK Kajang itu agar jangan menggadaikan maruah demi kepentingan politik.

"Saya memohon kepada sesiapa pun yang ingin bertanding di Kajang, jangan kerana terlalu obses untuk menang, kita menggadaikan segala-galanya. Jangan gadaikan maruah agama, bangsa dan negara, untuk mendapat undi dan nafsu serakah politik. Ingatlah, sekali maruah dan hak tergadai, sukar untuk dicari ganti," katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat tiada salahnya masuk ke gereja demi tujuan dakwah.

"Saya tidak melarang orang Melayu untuk masuk ke dalam rumah ibadat bukan Islam jika ada tujuan dakwah, seperti pernah saya lakukan membantu membawa ibu ke tokong untuk dia sembahyang, ziarah kubur ibu bapa dan lain-lain, ihsan anak kepada orang tua," katanya.

Sebelum ini, calon Pakatan Rakyat (PR) untuk PRK Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di gereja selepas upacara keagamaan mingguan penganut Kristian di gereja tersebut.

Langkahnya mendapat sokongan ramai penganut Kristian yang hadir, namun dikecam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan beberapa mufti negeri.

PRK Kajang diadakan ekoran peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di sana.

Pakatan Rakyat (PR) menamakan Anwar sebagai calon PRK sehari selepas peletakan jawatan Lee.

Calon lain yang bakal bertanding adalah Datin Paduka Chew Mei Fun untuk Barisan Nasional dan dua calon bebas termasuk Datuk Zaid Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 23 Mac sebagai hari PRK manakala 11 Mac untuk hari penamaan calon. - 24 Februari, 2014.

-The Malaysian Insider

Si panjang, si pendek cari calon isteri

Makkah: Dua lelaki yang mendakwa diri mereka lelaki tertinggi dan terpendek di dunia berkata, mereka berhajat untuk mencari jodoh yang sesuai.

Kehadiran Ajaz Ahmed, 38, dan Qamar Ali, 30, menyuarakan hasrat itu ketika ditemui di Makkah kerana mengerjakan umrah, semalam.

Ajaz berkata, dia masih belum menemui calon untuk dijadikan isteri. Dia turut menyuarakan rasa sedih kerana namanya masih belum tercatat di dalam Buku Rekod Dunia Guinness.

“Dia (Ajaz) datang bersama Qamar Ali, lelaki terpendek dunia. Qamar yang beratnya hanya 24 kilogram juga berhasrat untuk berkahwin dan mempunyai keluarga.

“Seperti Ajaz, Qamar juga sedih kerana tidak disenaraikan dalam Buku Rekod Dunia Guinness,” lapor akhbar tempatan.

Ajaz yang menggunakan tongkat berkata, kakinya patah ketika mengerjakan umrah beberapa tahun lalu.

Dengan ketinggian sekitar 2.54 meter, Ajaz dikategorikan sebagai lelaki tertinggi di dunia manakala Qamar yang tinggi 95 sentimeter, lelaki terpendek di dunia.

- Agensi/Metro

Friday, 21 February 2014

Apa beza mereka dengan Kassim Ahmad?

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

1. MALAYSIA dikejutkan dengan kemunculan semula Kassim Ahmad setelah menyepi hampir 30 tahun lamanya. Pandangan murtadnya berkenaan hadis yang membawa kepada pengharaman bukunya pada tahun 1986 kembali disuarakan apabila beliau diberi ruang untuk bercakap pada hari Sabtu lepas, 15 Februari 2014 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Selepas itu beliau mula mendapat ruang lagi di dalam media-media dan kemungkinan akan terus mendapat ruang berita.

2. Saya tidak berniat untuk mengulas tentang pandangan sang ‘idealis’ Kassim Ahmad itu kerana sudah ramai yang menyelar pandangannya. Penolakan terhadap hadis adalah penolakan terhadap al-Quran itu sendiri kerana arahan untuk berpegang dengan hadis datangnya dari al-Quran. Di sudut lain, arahan untuk berpegang dengan al-Quran itu disuarakan oleh Nabi Muhammad SAW di atas lisannya kerana al-Quran itu dibunyikan kali pertama di atas lisan Nabi Muhammd SAW. Jika hadis ditolak kerana lisan Muhammad boleh tersilap periwayatannya, maka apa jaminan bahawa periwayatan al-Quran adalah betul? Idea idealis yang celaru.

3. Akan tetapi persoalan sebenar yang patut ingin saya bincangkan, kenapa dengan mudah Kassim Ahmad sekarang mendapat pentas kembali?

4. Pada pandangan saya, Kassim Ahmad hanya menjadi tamu di pentas yang memang sudah wujud untuk golongan liberal di Malaysia. Kemunculannya bukan mencipta pentas baru. Pentas itu sudah pun wujud lama. Ada pentas dicipta oleh golongan liberal juga. Malangnya ada juga pentas yang disediakan oleh golongan yang menanggap idea Islam Liberal.

5. Pentas diberikan kepada Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar. Khalid ini pernah sedekah al-Fatihah kepada orang bukan Islam yang mati, pernah mengeluarkan pandangan bahawa Syiah perlu dipertahankan dan pelbagai lagi kelakuan peliknya. Apa bezanya dengan Kassim Ahmad?

6. Pentas juga diberikan kepada Khalid Ismath yang pernah menyindir mengenai peristiwa Israk dan menyindir bahawa Ustaz Harun Taib adalah seorang nabi. Apa juga bezanya dengan Kassim Ahmad?

7. Pentas juga masih diberikan kepada Ahmad Farouq Musa dan Fuad Rahmat dari IRF. Mereka secara halus mempromosikan penafsiran al-Quran secara hermenutika. Mereka menafsirkan secara salah pemikiran al-Maududi, Sayid Qutb dan ramai lagi ulama Islam demi menjual idea mereka. Mereka menolak negara Islam dan mempromosikan negara sekular. Malangnya, buku Wacana Pemikiran Reformis mereka diberikan prakatanya oleh Dr Zulkifli Ahmad, Pas dan tidak habis-habis dipuji oleh Dr Mujahid, Pas. Apa beza mereka ini dengan Kassim Ahmad sebenarnya?

8. Bagaimana pula dengan Zainah Anwar dari Sister in Islam? Beliau pernah menolak hudud secara terang-terangan. Pernah juga memberikan pandangan bahawa fatwa dan undang-undang adalah terpisah dengan ertikata jika Majlis Fatwa mana-mana negeri mengeluarkan fatwa umum ke atas satu-satu masalah, itu tidak akan terkena perlaksanaannya kepada semua orang. Apa beza kata-kata dan pandangannya terhadap Islam dengan Kassim Ahmad?

9. Cuba lihat pula Marina Mahathir. Scara terang-terangan menyokong segala tuntutan Comango yang liberal, tetapi masih diberikan ruang istimewa dilantik menjadi Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional. Telitilah pemikirannya di dalam pelbagai isu dan nilai dengan neraca Islam. Jauh sangatkah bezanya dengan Kassim Ahmad?

10. Satu lagi tokoh yang saya nak sebut di sini, mungkin sedikit tidak bersetuju, tetapi saya yakin majoriti umat Islam akan bersetuju. Apa pula pandangan kita terhadap Anwar Ibrahim? Bagaimana ucapannya berkenaan Religion and Pluralisme in a Divided World (Agama dan Pluralisme Dalam Dua Dunia), pada 18 Mac 2010, di London School of Economic (LSE)? Begitu juga ucapan-ucapannya selepas itu yang mengulangi konsep yang sama dengan lafaz yang berlainan? Tidakkah itu juga pandangan liberal yang bercanggah dengan Islam?

11. Dan banyak lagi yang boleh dikongsikan di sini. Ada tokoh yang memang liberal. Ada tokoh yang membawa idea liberal tapi kerana dia membacakan sikit-sikit ayat al-Quran dan Hadis (tapi secara salah), masyarakat rasa idea mereka boleh diterima di sisi Islam.

12. Penentangan terhadap tokoh-tokoh liberal ini mesti dilakukan secara menyeluruh. Golongan ini berbahaya dan idea yang mereka bawa jika meresap ke dalam masyarakat boleh meruntuhkan terus baki struktur Islam di dalam masyarakat. Mereka wujud di dalam pelbagai pertubuhan samada dalam BN atau PR atau badan-badan berjenama Islam yang lain.

13. Saya memuji pihak yang mengecam Kassim Ahmad dan ideanya. Tetapi jangan lupa juga untuk mengecam sama idea dari tokoh-tokoh liberal yang lain termasuklah Anwar Ibrahim. Tanpa menuduh niat, saya juga mengingatkan agar kecaman terhadap Kassim Ahmad memang benar-benar kerana idea liberalnya dan bukan kerana ingin menjatuhkan blok politiknya semata-mata.

14. Bagi yang mungkin menganggap penutup artikel ini sebagai bias, saya menegaskan bahawa Isma telah pun mengeluarkan kenyataan tentang Kassim Ahmad pada 17 Februari lepas. Tanpa mengira blok kepartiannya, kami menganggapnya idealis sesat dan menyokong fatwa 1986 yang menjatuhkan beliau sebagai murtad dan wajib dibunuh jika mengikut undang-undang Islam.

-Sinar

Meninggal ‘senyum’ dalam solat


Pasir Mas: “Walaupun arwah penduduk negara jiran, namun dia selalu solat berjemaah di masjid ini. Saya terkejut arwah meninggal dunia ketika sedang solat di masjid ini. “Saya lihat wajah arwah kelihatan tersenyum,” kata Samsuddin Yasin, 52, antara saksi seorang guru pondok meninggal dunia ketika solat Isyak pada rakaat pertama di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali sebagai Masjid Beijing di Rantau Panjang, di sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, Mahama Jehma, 56, dari Kampung Weng, Thailand berkunjung ke Rantau Panjang untuk membeli-belah dan solat Isyak berjemaah di masjid berkenaan sebelum pulang ke kampungnya. Ketika rakaat pertama, guru pondok itu rebah dan kemudian disahkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung. Samsuddin yang juga Setiausaha Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan masjid itu berkata, kejadian berlaku ketika kira-kira 60 jemaah sedang solat Isyak pada rakaat pertama sebelum dia terdengar bunyi seperti benda jatuh. -Metro