ZOU menjalani pembedahan membuang 42 butir permata dari badannya
Changsha (China): Seorang lelaki terpaksa melalui pengalaman menyakitkan ketika doktor mengeluarkan 42 butir permata dari badannya selepas dia diperdaya ‘pakar perubatan’ alternatif.
Zou Feng - dari wilayah Hunan - berkata, selepas mengadu sakit belakang seorang jiran menyarankan dia bertemu seorang tokoh yang mahir dalam perubatan tradisional.
Lelaki berusia 61 tahun itu mengunjungi ‘pakar’ terbabit pada 2011 dan diberitahu penyakitnya itu luar biasa sehingga ia hanya boleh disembuhkan dengan menanam permata di bawah kulitnya.
Kata Zou, ‘pakar’ berkenaan membuat tebukan kecil pada kulit dan memasukkan permata itu sebelum luka berkenaan dijahit.
“Pesakit lain berkata, kaedah itu berkesan dan saya mahu mencubanya.
“Memang pada peringkat awal selepas dia memasukkan 42 butir permata ke dalam badan, saya berasa sedikit lega,” katanya.
Bagaimanapun, Zou mula menghadapi masalah baru - dia sukar berjalan dan bukan saja belakangnya sakit, malah semua sendi.
Bimbang keadaan semakin parah, Zou pergi semula ke klinik ‘pakar’ berkenaan tetapi kecewa apabila orang yang dicari sudah berpindah.
“Justeru, saya pergi mendapatkan rawatan di hospital biasa,” katanya.
Sementara itu, Dr Sying Wan dari Hospital Ortopedik Nianlun di ibu negeri Hunan, Changsha berkata, dia tidak pernah menemui kes seperti dialami Zou.
“Mula-mula saya tak tahu apa objek ada dalam badan Zou ketika melihat salinan x-ray sehinggalah dia menceritakan apa yang berlaku,” katanya.
Menurut Dr Sying, setiap butir permata itu menyebabkan tulang Zou mati, termasuk di sendi pinggulnya yang tidak dapat diselamatkan.
- Agensi/Metro
No comments:
Post a Comment