Wednesday, 15 August 2012

Usah boros menyambut Hari Raya Aidilfitri


MENJELANG Hari Raya Aidilfitri, di Malaysia suasana menyambutnya umpama pesta. Tidak keterlaluan dikatakan sebagai pesta membeli-belah di sana sini.

Baik di kawasan luar bandar, lebih-lebih lagi di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Ramai sungguh yang sanggup mengharungi kesesakan lalu lintas berjam-jam di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Peniaga pula menawarkan pelbagai potongan dengan harga jualan paling murah! Berebut-rebutlah pembeli seolah-olah esok sudah tiada lagi. Tidak langsung menggambarkan keletihan meskipun masih di bulan Ramadan.

Hebat! Mungkin semangat membeli belah lebih berkobar-kobar ketika begitu ramai orang memenuhi kompleks beli-belah. Lagi ramai lagi bersemangat untuk membeli-belah.

Alangkah indahnya, 10 malam terakhir ini, diperbanyakkan ibadat. Sepatutnya menjelang Hari Raya Aidilfitri, kita semakin sayu kerana Ramadan ingin meninggalkan kita dan bukannya semakin rancak bergembira sakan untuk berlumba-lumba mendapatkan tawaran harga murah daripada para peniaga.
Bagi orang yang beriman, mereka akan sentiasa menambahkan amalan di saat-saat terakhir bulan Ramadan. Tidak diketahui sama ada kita masih boleh berjumpa dengan Ramadan pada masa akan datang.

Di saat-saat akhir bulan Ramadan dan sebelum solat Hari Raya Aidilfitri, jangan sesekali kita lupa membayar zakat fitrah. Amat rugi orang yang sanggup membeli-belah beribu-ribu ringgit menyambut Hari Raya Aidilfitri tetapi zakat fitrah dilupakan. Lebih teruk lagi, golongan yang sengaja tidak mahu mengeluarkan zakat fitrah.

Sememangnya agama Islam menyarankan umatnya menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan bergembira. Tetapi rasa bergembira ini perlu disusuli dengan rasa bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana mencapai kemenangan mengawal hawa nafsu sepanjang Ramadan.

Malangnya, di penghujung Ramadan, kebanyakan umat Islam Malaysia sanggup menghabiskan wang ringgit untuk beraya sakan. Bonus dan gaji digunakan sepenuhnya.

Tidak cukup dengan itu, sanggup pula membuat pinjaman peribadi dengan bank dan ah long. Masakan tidak, banyak sungguh wang diperlukan bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri. Maklumlah setahun sekali, jadi apalah salahnya wang yang dikumpul setahun dihabiskan untuk Hari Raya Aidilfitri.

Kuih-muih, duit raya, pakaian raya, beg tangan raya, kasut raya, jam raya, perabot raya dan langsir raya sudah sinonim dengan Hari Raya Aidilfitri. Rambang mata melihat iklan-iklan tawaran harga murah. Strategi pengiklanan yang dilakukan oleh peniaga dimulakan sejak sebulan sebelum Ramadan.

Tak cukup dengan itu, kereta raya juga didambakan meskipun kereta lama masih baik untuk digunakan. Mungkin bagi mereka ini, wang penyelenggaraan kereta boleh digunakan untuk membuat pembayaran pendahuluan membeli kereta baru.

Maka, tidak hairanlah, di saat ini juga, pihak penjual kenderaan boleh tersenyum lebar kerana mengaut keuntungan lumayan. Jualan kenderaan melonjak tinggi. Inilah penangan sempena menyambut Aidilfitri.

Kerana ingin menyambut sakan Hari Raya Aidilfitri, ada yang sanggup bekerja sambilan semata-mata untuk mendapatkan wang lebih. Ada juga yang sanggup menjual makanan yang basi di bazar Ramadan. Bagi mereka matlamat menghalalkan cara.

Malahan, sesuatu yang tidak mengejutkan, ada yang sanggup menyelewengkan tapak bazar Ramadan untuk mengaut keuntungan lebih. Amat malang sekali kerana tujuan asal berniaga untuk mencari keuntungan yang diredai Allah SWT dan bukannya dengan cara menyelewengkan bazar Ramadan semata-mata ingin mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Lagi malang jika wang tersebut digunakan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga dan mengadakan rumah terbuka sepanjang Syawal. Mereka yang melakukan kerja ini langsung tidak berhati perut kerana sanggup menindas orang lain. Bagi mereka wang adalah segala-galanya, kesusahan orang lain jangan dipedulikan.

Umum mengetahui ketika bulan Syawal, ramai berlumba-lumba untuk mengadakan rumah terbuka. Ahli politik, tokoh korporat yang dikategorikan sebagai orang kenamaan VVIP dan VIP serta tidak ketinggalan orang kebanyakan tidak sabar-sabar untuk mengadakan rumah terbuka.

Tidak salah mengadakan rumah terbuka bagi menjamu makanan untuk tetamu dan pada masa sama bermaaf-maafan sesama tetamu, tetapi yang menjadi salahnya, rumah terbuka diadakan secara bermewah-mewah.

Ini yang dilarang oleh agama Islam kerana dikhuatiri boleh menyebabkan pembaziran.
Paling dirisaukan, niat awal untuk menjamu makanan kepada tetamu bertukar untuk menunjuk-nunjuk kononnya aku mempunyai wang yang paling banyak.

Islam amat menyarankan agar sambutan Hari Raya Aidilfitri disambut secara sederhana. Sederhana bermaksud tidak keterlaluan dengan bermewah-mewah tetapi pada masa sama bagi yang mampu tidak pula terlalu kedekut mengeluarkan wang sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri serba kekurangan.

Inilah indahnya agama paling suci di dunia iaitu agama Islam. Bersederhanalah dalam semua segi supaya tidak memberi kesan negatif kepada umatnya dan bukannya meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan sakan sekali. Tidaklah nanti di penghujung Syawal, ramai yang mengeluh tidak cukup wang untuk menjalani kehidupan seterusnya dan sekali lagi kedengaran suara agar bonus diberikan kepada mereka.

Saturday, 11 August 2012

Tidak perlu persetujuan musuh Islam

UMAT Islam yang mempunyai prinsip dan objektif yang mantap dalam memperjuangkan hukum-hakam Islam tidak akan berkompromi dengan parti politik yang memusuhi Islam. Allah menjelaskan kepada umat Islam ciri-ciri golongan yang boleh dijadikan sebagai sahabat atau rakan perkongsian umat Islam berhubungan dengan hal ehwal politik.

Sikap dan cara umat Islam berpolitik kadang kala boleh mengheret mereka ke arah yang boleh merosakkan keindahan dan kesempurnaan hukum-hakam Islam. Semangat yang berkobar-kobar tanpa memahami konteks masa dan suasana menjadikan mereka hilang panduan ketika membahaskan hukum-hakam Islam. Perkara berkaitan perundangan yang digariskan oleh Allah di dalam al-Quran tidak sepatutnya dijadikan sebagai bahan untuk mendapat sokongan dalam perjuangan politik.

Perkara yang paling indah dan adil yang diperintahkan oleh Allah kepada umat Islam dijadikan bahan perbahasan politik oleh parti-parti politik yang kurang matang dalam hal ehwal perundangan dan kenegaraan Islam. Tambahan pula hukum-hakam Allah ini dibahas bersama dengan pemimpin parti politik yang didokong oleh masyarakat bukan Islam yang sering menunjukkan sikap bermusuhan dengan Islam.

Persoalannya, kenapakah hukum-hakam Islam perlu dibincangkan dengan parti politik yang menentang Islam secara jelas dan terbuka? Di manakah prinsip perjuangan parti politik yang mengagungkan hukum-hakam Islam selama ini?

Senario yang dipertontonkan oleh parti politik yang mendabik dada memperjuangkan Islam selama ini semakin hari kian tersungkur di kaki parti pakatan yang jelas menunjukkan musuh kepada Islam. Jika Islam diperjuangkan kenapa harus berkompromi dengan musuh Islam dan membahaskan hukum-hakam Allah dengan manusia yang tidak mempercayai Allah?

Pemikiran yang rasional tidak dapat menerima mentaliti pendokong parti politik Islam yang begitu lemah sehingga ke tahap yang boleh menyebabkan parti politik yang memusuhi Islam menjadi angkuh dan bongkak. Persaudaraan sesama Islam diketepikan demi perjuangan politik yang sering berubah mengikut arus dan perkembangan politik.

Sikap terlalu inginkan kemenangan sehingga sanggup berkompromi dengan parti politik yang sering mempersendakan hukum-hakam Allah merupakan faktor utama kepada ketandusan strategi politik bagi memperkukuhkan kedudukan Islam dan memudahkan perlaksanaan hukum-hakam Allah secara berhemah. Sikap dan mentaliti manusia yang jahil tentang Islam sepatutnya difahami oleh pendokong parti politik umat Islam dalam membahaskan isu-isu berkaitan dengan hukum-hakam Allah.

Perkara berkaitan politik memerlukan kepada pemikiran rasional bukan keghairahan berpolitik. Jika pendokong parti politik bukan Islam menolak hukum-hakam Islam dilaksanakan dalam negara ini maka sikap begini sudah dimaklumi oleh masyarakat Islam. Apakah faedahnya mendesak mereka menerima hukum Islam sedangkan perkara asas akidah kepercayaan kepada Allah ditolak oleh mereka.

Secara logiknya sikap berkompromi dan bergabung dengan parti politik yang memusuhi Islam adalah terkeluar daripada asas berpolitik dalam Islam. Sikap yang terlalu mempercayai ucapan manis daripada pendokong atau pemimpin parti yang memusuhi Islam adalah tidak menepati akal pemikiran orang yang mempunyai tahap keimanan dan ketakwaan yang tinggi.
 
Kebijaksanaan dalam berpolitik bukan sekadar melaungkan suara mendabik dada menonjolkan diri sebagai pejuang Islam. Ia memerlukan ketajaman akal memahami tipu muslihat dalam arena politik dan pemahaman yang mendalam mengenai persekitaran dan pergolakan.



Kemenangan dalam jangka masa pendek bukan bererti kekuatan tetapi ia merupakan satu kejutan akibat ketandusan pemikiran hasil berkompromi dengan parti politik yang memusuhi Islam. Kemenangan begini boleh dianggap sebagai 'menang sorak kampung tergadai'.

Masyarakat Islam sepatutnya melihat realiti yang wujud dalam negara ini masa kini adalah hasil daripada sikap para pemimpin parti politik umat Islam yang terlalu ghairah dengan politik sehingga lalai memahami konteks berpolitik dalam Islam. Bagi pemimpin yang memegang amanah rakyat terlalu ghairah mengumpul harta dan kekayaan dalam jangka masa yang pendek sehingga membangkit kebencian masyarakat. Bagi pemimpin politik yang tidak berjawatan pula terlalu ghairah dengan kemenangan sehingga hilang pertimbangan akal berkompromi dengan parti politik yang memusuhi Islam.

Hasilnya, agama Islam yang merupakan simbol rasmi agama negara menjadi isu perbahasan yang sengit apabila kuasa politik beberapa buah negeri dalam negara ini jatuh dalam tangan parti politik yang memusuhi Islam. Kemarahan rakyat terhadap pemimpin yang korup dan tamak menjadikan umat Islam bersikap seperti 'marahkan nyamuk kelambu dibakar'. Hasilnya, umat Islam menghadapi dilema bagi memperkukuhkan kekuatan agama Islam dan umat.

Jika hukum-hakam Islam merupakan objektif perjuangan parti maka sedarilah dengan siapakah yang paling sesuai dan berkesan perkara ini dibicarakan dan dibincangkan. Dalam arena politik akal pemikiran sepatutnya disandarkan kepada firman Ilahi jika inginkan hukum-hakam Allah dilaksanakan di bumi ini. Hati nurani sepatutnya disulami dengan keyakinan dan ketakwaan yang tinggi supaya setiap keputusan yang diambilkan berdasarkan kepada gerakan hati yang murni hasil daripada dorongan Ilahi bukan hawa nafsu kemenangan yang berkobar-kobar yang boleh memusnahkan kekuatan dan keindahan agama.

Insafilah kesilapan berpolitik selama ini dan bermuhasabah secara tawaduk supaya agama Islam dan hukum-hakam Allah mudah dilaksanakan dalam suasana yang aman dan damai dalam negara ini.

 

Friday, 10 August 2012


Rebut lailatulqadar 

ALANGKAH cepatnya masa berlalu, ketika seronok melaksanakan ibadah, Ramadan kini di pusingan terakhir.
Sedih rasanya, apakah amalan kita diterima atau tidak. Apa pun, kita masih ada 10 hari terakhir membuat pecutan. Marilah kita menghidupkan malam-malam yang menjadi buruan set
iap kekasih Allah, moga kita dalam senarai pencari lailatulqadar. Antara amalan menghidupkan 10 hari terakhir Ramadan ialah solat malam seperti tahajud, hajat, taubat dan berzikir kepada Allah.

Kita digalak mengejutkan ahli keluarga bersama-sama menghidupkan malam itu dengan amal ibadah, jangan biarkan mereka terus lena dibuai mimpi.

Bagi suami isteri, 10 malam terakhir usah bersama kerana Nabi mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana sibuk dengan beribadah.

Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di akhir Ramadan iaitu dengan duduk di masjid untuk beribadat kepada Allah.

Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya: “Suatu yang pelik bagi kaum muslimin, mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkannya sejak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia”.

Rasulullah s.a.w memberikan pedoman terbaik kepada umatnya supaya melakukan transformasi dengan mengubah malam yang biasa pada bulan-bulan selain Ramadan dengan menghidupnya dengan gerak ibadah.

Antaranya, solat sunat, membaca al-Quran, beriktikaf terutama
di sepertiga malam dan membangunkan ahli keluarga untuk beribadat.

Dalam beribadah (solat), baginda tidak pernah melupakan keluarganya.

Perilaku baginda membangunkan ahli keluarganya turut diteladani Khalifah Umar al-Khattab di mana al-Imam Malik dalam Al-Muwatta’ menyebutkan, bahawasanya Umar melakukan solat malam seperti yang dikehendaki Allah, sehingga apabila tiba waktu pertengahan malam, Umar membangunkan keluarganya supaya melakukan solat seraya mengatakan kepada mereka: “solat! solat!”


Berikut perkara-perkara yang patut dilakukan di 10 terakhir Ramadan:

1. Mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian paling baik selain haruman.

Ibnu Abi ‘Asim meriwayatkan dari Aisyah: “Rasulullah jika berada dalam bulan Ramadan, baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun.


2. Mencari lailatulqadar

Baginda bersabda, maksudnya, “Carilah malam lailatulqadar pada 10 malam terakhir. (Riwayat al-Bukhari).

Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Solat berjemaah sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia mengambil menghidupkan seluruh malam itu”. (Riwayat Abu Dawud).


3. Melewatkan sahur

Daripada Sahl ibn Sa’d berkata: Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah. (Riwayat al-Bukhari).

Zaid ibnu Thabit berkata: “Kami pernah bersahur bersama Rasulullah kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (Riwayat al-Bukhari).


4. Melakukan iktikaf

Iktikaf adalah sunnah baginda demi memperoleh kelebihan dan ganjaran lailatulqadar.

Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam lailatulqadar, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5).


5. Membanyakkan doa

Aisyah diajar Rasulullah s.a.w membaca doa pada malam al-Qadar.
Doanya berbunyi: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535).
Ehsan :  Metro

Wednesday, 8 August 2012


Kiamat pasti datang
 Oleh Mona Ahmad  

Kiamat pasti datang, masa dan saatnya, hanya Allah saja mengetahuinya. Bagaimanapun, tanda-tanda awal kiamat sudah berlaku tanpa kita sedari. Malah, Nabi Muhammad SAW sendiri banyak kali mengingatkan umatnya mengenai tanda dan kedatangan kiamat.

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: Belum akan terjadinya kiamat sebelum banyak haraj. Bertanya sahabat: Apakah itu haraj ya Rasulullah? Jawab Baginda: Pembunuhan! Pembunuhan!

Kes pembunuhan bukan lagi menjadi perkara luar biasa pada zaman ini. Malah, saban hari media memaparkan pelbagai kes pembunuhan. Justeru, seperti diramalkan Rasulullah SAW, kiamat semakin hampir dengan tanda yang berlaku.

Tokoh agama, Datuk Hassan Din al Hafiz menjelaskan 16 tanda kecil kiamat sudah berlaku seperti yang diutarakan dalam kitab Udratul Nasihah Fi Asrar Assaat.

Pertama, dunia mengalami kemelesetan ekonomi. Ini sudah terbukti ketika ini, banyak negara Eropah termasuk Greece, Sepanyol, Ireland dan Portugal masing-masing mencatatkan kemelesetan ekonomi yang teruk sejak beberapa tahun dengan beban hutang terlalu tinggi.

Kedua, apabila negara dipimpin oleh pemimpin kejam. Ini juga sudah berlaku jika dilihat punca kebangkitan di negara Arab adalah disebabkan rakyat bangun menentang pemerintah mereka yang kejam.

Ketiga, apabila ramai orang kaya yang berhutang. Rumah besar, kereta besar dan perniagaan maju tetapi hutang keliling pinggang, katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tanda awal kiamat yang keempat pula apabila ramai wanita dipilih menjadi pemimpin negara dan mereka ditaati. Sejak kurun ke-20, banyak negara di dunia ini pernah atau masih diperintah golongan wanita antaranya Australia, United Kingdom, Sri Lanka, India, Israel, Argentina dan Portugal.

Tanda lain ialah apabila umat Islam saling kutuk mengutuk, salam hanya diberikan kepada orang yang dikenali dan orang agama lari ke bukit serta hutan seperti sekolah pondok atau pusat pengajian agama dibina jauh daripada penempatan penduduk, di atas bukit dan dalam hutan.

Banyak bangunan pencakar langit

Selain itu, kewujudan banyak persatuan buruh juga antara tanda awal kiamat, bangunan pencakar langit banyak dibina, diikuti semakin ramai anak menderhaka kepada ibu bapa, ramai wanita berkahwin yang tidak mahu anak atau anak ramai dan mereka lebih suka memandulkan diri.

Ramai wanita di dunia ini yang suka mendedahkan aurat serta kegiatan homoseks berleluasa, ibu lebih menghormati anak berbanding anak menghormati ibu, berlakunya perbuatan bapa merogol anak sendiri atau sumbang mahram, banyak berlaku gempa bumi dan tsunami.

Hassan berkata, sepuluh tanda besar kiamat pula seperti lahirnya Imam Mahadi, keluarnya Dajjal yang menyesatkan manusia, turun Nabi Isa, muncul Yakjud Makjud, Kaabah diruntuhkan, matahari terbit sebelah barat, keluar asap di merata-rata tempat, tiupan angin sepoi bahasa yang mematikan orang beriman, al Quran diangkat dan tiupan sangkakala oleh Malaikat Israfil.

Daripada Huzaidah bin Asid al Ghifari, Rasulullah SAW menjenguk kami semasa kami sedang ingat mengingati satu sama lain, lalu Baginda bertanya: Apa yang kamu sedang fikirkan? Kami menjawab: Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya.

10 tanda besar kiamat

Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan selepas kamu melihat sebelumnya 10 alamat. Lalu Baginda SAW menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya'juj wa Ma'juj.

Hassan menasihatkan umat Islam supaya sentiasa bersiap sedia kerana walaupun kiamat besar belum tiba, tetapi kiamat kecil iaitu kematian boleh berlaku pada bila-bila masa.

Kiamat kecil bagi manusia adalah kematian. Waktu dan saatnya tidak dapat diketahui manusia. Justeru, kita haruslah sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dengan memenuhkan masa beramal dan patuh kepada tuntutan agama, katanya. 
 

Regangan Otak : Untuk Renungan


Wanita derita selepas buang bulu kemaluan 

KUALA LUMPUR - Seorang wanita terpaksa menanggung kesakitan teruk selepas kemaluannya melecur selepas menjalani proses pembuangan bulu kekal di sebuah pusat kecantikan terkemuka di ibu negara pada 22 Julai lalu.
Lebih malang, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 39, terpaksa menghabiskan kira-kira RM35,000 hingga RM55,000 untuk mengubati kecederaan melecur di bahagian alat sulitnya itu.
Bukan itu sahaja, dia juga mungkin berhadapan dengan risiko mengalami parut kekal walaupun telah menjalani rawatan tersebut.
Mengimbau kembali kejadian tersebut, Lee berkata, dia telah menjalani proses pembuangan bulu kemaluan yang dikenali sebagai Nano Light sejak enam bulan lalu dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM3,500.
"Dalam tempoh enam bulan, tiada sebarang masalah yang berlaku dan segalanya berjalan lancar.
"Kejadian ini hanya berlaku selepas ahli terapi yang selama ini menjalani proses pembuangan bulu untuk saya diganti dengan orang lain," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Jalan Ampang di sini semalam.
Sumber: Kosmo
Nota : Kenapa manusia suka mencari penyakit ?


Tuesday, 7 August 2012


Ramadan jihad lawan hawa nafsu
 Oleh Mohd Ali Muhamad Don 
Kesungguhan mempraktikkan ajaran agama seperti solat dan puasa pada Ramadan turut mengandungi falsafah jihad yang murni. Bukan mudah untuk istiqamah melaksanakannya dengan pelbagai ujian dalam mendidik nafsu terpaksa dilalui sebelum beroleh kemenangan dijanjikan.

Beberapa peristiwa penting menunjukkan kegigihan dan kesabaran umat Islam terdahulu patut dijadikan iktibar. Walaupun dalam keadaan berpuasa, tentera Islam pimpinan Baginda Nabi Muhammad SAW pernah melalui beberapa siri peperangan dan beroleh kemenangan. 
 

Contohnya, peristiwa Perang Badar al-Kubra yang berlaku tanggal 17 Ramadan tahun kedua hijrah jelas menunjukkan puasa bukan penghalang kejayaan.

Begitu pula bilangan yang ramai belum tentu menjanjikan kemenangan jika tidak disertai semangat juang yang tinggi dan bertawakal kepada Allah SWT. Pembukaan Kota Makkah pada tahun kelapan hijrah, Peperangan Tabuk (sembilan hijrah) dan peristiwa penaklukan Bumi Palestin oleh Salahuddin al-Ayubi pada 584 hijrah turut berlaku ketika Ramadan.

Ia sekali gus menunjukkan umat Islam sebenarnya memiliki kekuatan spiritual dan fizikal pada paras tertinggi ketika sedang berpuasa. Malah, tidak salah jika dikatakan Ramadan adalah bulan kemenangan dan kejayaan bagi Muslimin secara umumnya.

Di sisi lain, golongan remaja dan muda-mudi terutama yang masih di bangku sekolah mahupun di menara gading selayaknya menghayati semangat jihad golongan terdahulu dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menyumbang bakti kepada pertiwi.

Masa muda, anugerah tidak ternilai hendaklah digunakan untuk aktiviti berfaedah dan memberi impak tinggi demi kelangsungan agama dan bangsa sendiri. Elakkan terbabit berbuat dosa dan maksiat sepanjang masa sehingga ajal datang menjelma tanpa bersedia dengan bekalan secukupnya.

Umat Islam secara umumnya diseru bersatu atas nama akidah dan kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa untuk menggembleng tenaga memajukan bangsa dan negara. Perbalahan dan perselisihan berpanjangan mesti dielakkan jika tidak ia bakal menghilangkan kekuatan kesatuan umat Islam sehingga mudah diperkotak-katikkan oleh musuh.

Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana apabila nasi sudah menjadi bubur, kenikmatan dan keharmonian yang wujud pada hari ini tidak dapat lagi diwarisi oleh generasi terkemudian.

Allah SWT berfirman: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa saja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal, ayat 60)

Kesediaan menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT juga suatu bentuk jihad yang dituntut kerana harta sangat dicintai dan sukar untuk seseorang memberikannya kepada yang lain kecuali jika dipaksa.

Segala pemberian yang ikhlas semata-mata mengharap maghfirah daripada-Nya pasti akan diberi balasan setimpal.

Sesungguhnya jihad masa kini tidak hanya tertumpu kepada usaha mengangkat senjata menentang kezaliman semata-mata. Skopnya luas termasuklah jihad menjawab segala tohmahan dan usaha keji memburuk-burukkan Islam serta umatnya di ruang siber.

Sarjana Islam dan ulama secara khususnya boleh menggunakan media baru bukan saja sebagai senjata untuk menangkis dakyah dan fitnah songsang, tetapi juga medium dakwah yang sangat berkesan dewasa ini.

Menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara keamanan dan kedamaian dikecapi dengan menunjukkan rasa kesyukuran tidak berbelah-bahagi atas nikmat pemberian Allah SWT.

Kesyukuran itu dibuktikan lagi dengan kesediaan semua untuk menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara dengan apa juga kaedah yang diredai-Nya. Pada masa sama segala perkara mengundang kemurkaan-Nya hendaklah dijauhi dan dihindari daripada kehidupan selama-lamanya.
Ehsan : Berita Harian 

Perginya ulama Melayu terkemuka di Masjidil Haram
Oleh ZAINAL MOHD. JAIS

SYEIKH Mohammad Abdul Qadir Al-Mandili yang merupakan ulama Melayu terkemuka di Masjidil Haram, Mekah meninggal dunia pada 31 Julai lalu pada usia 73 tahun.
Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada umat Islam terutamanya masyarakat dan dunia Melayu. Beliau merupakan antara tokoh agama di dunia Melayu yang berjaya mendapat tempat di Mekah, khususnya Masjidil Haram.
Sebenarnya, sejak sekian lama, ramai golongan pandai agama dunia Melayu yang merantau sehingga Tanah Suci untuk belajar dan mendalami ilmu agama, dan tidak terkecuali Syeikh Mohammad.
Beliau merupakan anak kepada Syeikh Abdul Qadir yang juga merupakan ulama dan guru di Masjid Haram lahir di Alor Setar pada 1939 turut terkenal di Indonesia, Patani dan Manila. Ayahnya berasal daripada Mandiling, Indonesia dan berhijrah ke Malaysia ketika berusia 14 tahun. Beliau belajar agama di pondok Gajah Mati, Kedah dan ketika itu hidupnya sering dihimpit kesulitan.
Sebelum penjajahan Jepun, Syeikh Abdul Qadir berhijrah ke Mekah dan meneruskan pengajian di Masjidil Haram. Ketika itu belum wujud universiti dan Masjidil Haram dianggap universiti.
Penghijrahan ayahnya ini membuka laluan kepada Syeikh Mohammad dan adik-beradiknya yang lain turut berpindah sama dan peluang ini digunakan untuk belajar dan mendalami ilmu agama di Mekah.
Selepas mendapat bimbingan alim ulama di Masjidil Haram, ayah beliau kemudian ditawarkan menjadi guru agama di situ hinggalah beliau meninggal dunia ketika berumur 56 tahun.
Bagi Syeikh Mohamad pula, pendidikan awalnya bermula di Madrasah Darul Ulum, Mekah yang diasaskan oleh rakyat Malaysia dan Indonesia. Selepas itu beliau mendalami lagi ilmu melalui bimbingan ayahnya sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Madinah.
Sebelum mengikut pengajian di Universiti Madinah, beliau belajar dengan ayahnya di Masjidil Haram selama tujuh tahun dan merupakan kumpulan pelajar pertama diterima masuk Universiti Islam Madinah.
Beliau pernah dilantik sebagai Jemaah Ahli Syura Urusan Agama Masjidil Haram di Mekah dan bekas guru di Maahad Al-Haram di Mekah serta dihantar ke Asia Tenggara oleh Darul Ifta, Arab Saudi untuk memerhati hal-ehwal agama.
Syeikh Mohammad terkenal di kalangan Jemaah dari Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara lain kerana peranan beliau mengajar selepas Maghrib di Masjidil Haram. Beliau antara 15 guru agama yang dipilih memberikan kelas agama dan merupakan anak Melayu tunggal.
Antara keistimewaan yang diperolehi beliau semasa mengajar adalah pihak pentadbir masjid turut menyediakan kerusi khas untuknya di sudut masjid itu.
Setiap kali selepas solat Maghrib, satu sudut di Masjidil Haram bergema bagaikan suasana masjid kampung apabila Syeikh Mohammad muncul untuk memberi ceramah di sudut yang terletak berhampiran Kaabah dan selari dengan Hajaratul Aswad.
Semasa menyampaikan kelas atau ceramah, Syeikh Mohamad akan mengenakan jubah dan berkopiah yang ditutup kain serban serba putih dan dengan raut wajahnya yang bersih dan tenang, beliau menyampaikan ceramahnya dengan cara bersahaja dan sekali sekala menggunakan loghat utara.
Walaupun menetap di Mekah sejak remaja, beliau masih mampu bertutur bahasa Melayu dengan fasih sehingga menimbulkan kehairanan di kalangan jemaah.
Beliau sering pulang ke Malaysia untuk melawat ahli keluarga dan sahabat-handai.
"Kawan kawan hairan bagaimana setelah lebih setengah abad saya tinggal di Mekah, saya masih fasih berbahasa melayu," beliau dilaporkan pernah berkata.
Beliau menetap di kawasan Awali, tidak jauh dari kota Mekah. Hasil perkongsian hidup dengan dua isterinya, Syeikh Mohammad dikurniakan 18 anak.
Cara hidup Melayu masih sebati dengan jiwanya walaupun sudah lama di perantauan. Ketika di rumah, beliau lebih selesa memakai kain dan baju Melayu serta bercakap Melayu dengan anggota keluarga.
Bagi Syeikh Mohamad, kemewahan tidak datang bergolek dan ketika mula menjadi guru agama dulu, beliau terpaksa mengambil upah menjahit kerana gaji terlalu kecil.
Pengalaman lampau membuatkan beliau bersikap pemurah dan menurut para temannya, boleh dikatakan hampir setiap kali selepas ceramah, beliau akan menjemput orang ramai kerumahnya dan menjamu mereka dengan nasi bukhari.
Kedudukan dan peranan Syeikh Mohammad sebagai ulama dan guru di Masjidil Haram merupakan suatu yang dibanggakan apatah beliau merupakan anak Melayu, sekali gus membuktikan dunia Melayu mampu mengeluarkan tokoh penting agama. 

Friday, 3 August 2012

Al-Quran obor hidup manusia

TURUNNYA wahyu pertama pada malam 17 Ramadan bermakna bermulalah panduan mutlak dari Allah SWT untuk membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan. Melalui perantaraan Nabi Muhammad SAW, Allah SWT sebelumnya membersihkan hati baginda lalu meniupkan roh agama dengan meletakkan kalimah 'Bacalah' sebagai asas untuk membuka minda dan seluruh jiwa umat Islam.

Pada malam menerima wahyu pertama itu, Rasullullah SAW sedang beribadat di Gua Hira' bagi mencari penyelesaian malapetaka yang sedang dihadapi oleh umat Islam, yakni serangan dan tohmahan daripada kaumnya sendiri, iaitu bangsa Quraisy yang masih tebal dengan nilai-nilai jahiliyah.

Setiap kali tibanya tarikh itu, umat Islam yang sedang mengerjakan perintah Allah SWT iaitu berpuasa sepanjang bulan Ramadan memperingatinya sebagai titik permulaan yang besar kerana ia merupakan peristiwa agung, peristiwa yang membuka pintu kepada arahan-arahan dan peringatan dalam menentukan hala tuju hidup, hakikat beribadat, menata budaya dan merintis jalan menuju kebenaran.

Al-Quran yang diturunkan secara berperingkat-ringkat membawa panduan kepada umat Islam untuk membuat sesuatu keputusan berhubung permasalahan kehidupan dan keummatan selain kejernihan dimensi beribadat selaras dengan erti Islam itu sendiri, iaitu cara hidup yang berbekalkan prinsip penyerahan kepada keesaan Allah SWT dan berada dalam jemaah yang sama-sama meniti keberkatan setiap usaha dan tindakan.

Misi al-Quran sebagai rahmatan lil-'Alamin mengajarkan setiap hati dan jiwa orang Islam untuk hidup dengan sifat kelembutan dan kebaikan. Menerusi nilai-nilai kelembutan dan kebaikan itulah merintis dimensi kerahmatan, termasuk untuk diri sendiri, keluarga dan orang lain. Untuk diri sendiri, al-Quran mengingatkan setiap orang betapa pun cerdik pemikiran yang dimiliki, ia tetap merupakan sifat sementara dan atas limpah kurnia-Nya.

Dalam meraih keberkatan untuk diri sendiri, setiap orang Islam wajib mempertingkatkan rasa dan tanggungjawab keimanannya dalam kerangka 'hidup dan mati ditentukan oleh Allah SWT'. Seluruh proses penyerahan diri itu memberikan makna keluhuran jiwa sehingga yakin setiap apa yang berlaku mempunyai kaitannya dengan restu Allah SWT, maka itulah manusia memerihalkan kekurangan diri, manusia hanya boleh merancang Allah SWT yang menentukannya.

Landasan keimanan itu perlu dibina menerusi ritual berterusan dan diulang-ulangi setiap masa. Misalnya, apabila tiba masanya mendirikan solat, umat Islam akan memulakan peribadatan itu dengan meletakkan diri sebagai hamba manakala Allah SWT sebagai 'tuan' yang berhak disembah atas kebesaran-Nya yang tidak boleh ditandingi semua makhluk dan ikon yang digambarkan sebagai perkasa, hebat dan kuat. Kekuatan yang ada pada makhluk itu tidak boleh menyaingi kekuatan Allah SWT sampai bila-bila pun.

Setelah membina keimanan dalam diri, manusia dipertanggungjawabkan pula untuk memenuhi keperluan orang lain. Manusia yang tidak memberikan perhatian kepada manusia lain pada hakikatnya ia tidak mampu mencapai sifat rahmat, kerana dalam dirinya tidak mempunyai kelembutan, kasih sayang dan kehalusan hatinya yang dapat dikongsikan bersama.

Menurut Quraish Shihab, "Rahmat yang menghiasi diri seseorang, tidak luput dari rasa pedih yang dialami oleh jiwa pemiliknya. Rasa itulah yang mendorongnya untuk mencurahkan rahmat kepada yang dirahmati. Rahmat dalam pengertian demikian adalah rahmat makhluk, Allah SWT tidak sedemikian."(Membumikan al-Qur'an Jilid 2: Memfungsikan Wahyu dalam Kehidupan, 2011 halaman 252).

Begitu juga dengan pengertian puasa kerana ia bukan sebagaimana difahami oleh segelintir manusia sekadar tidak mengambil makanan dan minuman dalam tempoh tertentu, yakni dari permulaan fajar hinggalah ke peralihan hari siang kepada malam (Maghrib). Puasa meliputi dimensi yang lebih besar dan menyeluruh kerana ia merupakan ibadat yang berusaha memberikan teladan kepada manusia untuk memahami atau mengalami situasi yang dialami oleh orang lain iaitu mereka yang hidup dalam kesusahan.

Syah Waliyyullah ad-Dihlawi seorang mujaddid sekali gus tokoh sufi yang cukup terkenal dalam karyanya Hujjatul Balighah ada menyatakan bahawa puasa itu ibarat penawar bagi racun-racun syaitan; atau semacam pembebasan spiritual dari unsur negatif dan jahat dalam diri manusia. Dengan puasa, terpukullah naluri kebinatangan (al-bahimiyyah) yang mungkin selama ini menguasai seseorang. Puasa sejati melumpuhkan syaitan dan membuka gerbang malakut (hlm. 48-50).

Itulah sebabnya mengapa dalam suatu riwayat disebutkan bahawa mereka yang berjaya sepenuhnya berpuasa dalam bulan Ramadan disertai iman dan kesungguhan, bakal dihapus dosa-dosanya sehingga kembali suci fitri bagaikan bayi baru dilahirkan daripada rahim ibunya.

Rahmat dan kasih sayang kepada semua makhluk itulah yang menuntut setiap muslim memelihara dan mengajak manusia mendekatkan seluruh jiwanya menuju tujuan penciptaan-Nya. Dalam etika Islam, misalnya, tujuan Allah SWT menciptakan binatang ternakan sebagai sumber makanan kepada manusia tetapi manusia tetap dilarang untuk memakannya ketika binatang itu belum mencapai tahap kematangannya.

Bahkan, untuk memakannya manusia diajar bagaimana untuk menghormati binatang itu sebelum boleh disembelih, yakni bukan menerusi jalan penyiksaan sebagaimana dilakukan oleh sesetengah orang hampir menyamai kaedah binatang pemangsa yang turut menjadikan binatang sebagai sumber makanan utama.

Menurut Imam al-Ghazali, setiap aktiviti yang memperoleh rahmat adalah menerusi kasih sayang untuk mengalihkan sikap lengah dengan memberinya nasihat secara lemah lembut, tidak dengan kekerasan, memandang orang berdosa dengan pandangan kasih sayang, bukan dengan gangguan, serta setiap kederhakaan yang terjadi itu tidak disisihkan begitu sahaja.

Secara keseluruhannya al-Quran memandu manusia untuk membudayakan kebajikan dalam seluruh dimensi kehidupan bagi mencapai tahap kerahmatan dari Allah SWT. Prinsip tersebut bukan hanya terhad dilaksanakan ketika Ramadan ia wajib dilaksanakan sepanjang masa. Cuma kerana Ramadan diberikan jolokan sebagai bulan yang dipenuhi amal ibadat, setiap amal kebajikan yang dilakukan diberikan pahala berganda.

Maka, dalam bulan Ramadanlah kita melihat terlalu ramai orang tampil memberikan sumbangan dan lebih ramai pula penerima yang menagih derma sehingga sesekali kita turut menyoal apakah permintaan itu benar-benar diperlukan atau kerana memahami setiap orang Islam lebih murah hati pada bulan ini.

Hakikat permulaan turunnya al-Quran terjadi pada waktu tertentu dan itu hanya terjadi sekali kerana permulaan sesuatu tidak mungkin terjadi berulang-ulang kali, tidaklah menjadi satu masalah yang perlu diperdebatkan. Tetapi, apakah ini bererti bahawa Lailatul Qadr hanya terjadi sekali sahaja iaitu pada permulaannya turunnya al-Quran itu atau malam Qadr terjadi setiap tahun?
Ada ulama yang berpendapat bahawa Lailatul Qadr hanya terjadi sekali itu dan tidak akan ada lagi sesudahnya. Seorang pakar hadis, Ibnu Hajar Al-Asqallani, menyebutkan alasan ulama-ulama itu, antara lain berdasarkan sebuah riwayat yang dinisbahkan kepada Nabi SAW bahawa beliau bersabda tentang Lailatul Qadr, Innaha rufiat (Sesungguhnya malam al-Qadr) telah terangkat) dalam erti sudah tidak akan datang lagi.

Pendapat ini tidak dapat diterima kecuali jika yang dimaksud dengannya adalah hari pertama turunnya al-Quran kerana majoriti ulama berpendapat bahawa setiap tahun terjadi Lailatul Qadr dan bahawa malam tersebut menjadi mulia bukanlah kerana al-Quran turun ketika itu, tetapi malam itu sendiri yang memiliki kemuliaan, kemudian kemuliaannya bertambah akibat turunnya al-Quran.

Seandainya kehadiran Lailatul Qadr hanya ketika turunnya al-Quran pertama kali, nescaya Nabi SAW tidak akan menganjurkan umatnya untuk berusaha mendapatkannya pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, sebagaimana terdapat dalam banyak hadis.

Menurut para ulama ayat terakhir yang diturunkan kepada Rasullullah SAW ialah suarah al-Maidah, ayat 3 yang bermaksud: Pada hari ini Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redai Islam itu agama bagimu. Dengan ayat terakhir itu juga menjadi petunjuk bahawa Islam sudah menjadi satu agama yang serba lengkap, dan kerana itulah seluruh kandungan al-Quran terus dipertahankan kesuciannya sampai bila-bila.

Atas kesempurnaan itulah sepanjang bulan Ramadan setiap umat Islam digalakkan memperbanyakkan bacaan al-Quran sebagai saluran memperbaharui rasa kasih sayang dan tahap keimanan agar seluruh makna cara hidup dan kaedah meraih keberkatan tidak mudah terpesong dengan pelbagai ancaman yang sentiasa mengasak sanubari manusia.

Bulan Ramadan menjadi isyarat untuk kita memperoleh keberkatan secara lebih besar dan menyeluruh kerana seluruh jiwa dan minda kita disaluti dengan nilai-nilai kebajikan, keimanan dan ketundukan kepada perintah-Nya, termasuk mengekang segala jenis nafsu yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kemaksiatan.

sumber: Utusan


Wednesday, 1 August 2012


Pilih kahwin jika takut zina
Imam Muda, Hizbur Rahman
Sumber :  Berita Harian 

Cara terbaik kawal nafsu, cegah gejala sosial

Penyelesaian dianjurkan Islam bagi mencegah gejala sosial dalam kalangan remaja seperti seks bebas perlu diteliti untuk difahami dan diguna pakai. Apa yang nyata seseorang yang terbabit perzinaan disebabkan kegagalan benteng diri mengawal nafsu seks yang memuncak. 
 

Budaya berzina terus menjadi isu panas kerana sering dikaitkan dengan kes pelacuran, kegiatan GRO, rumah urut, kelab malam, video porno, laman web lucah, pengguguran kandungan, pembuangan bayi, rasuah seks dan pembunuhan.  

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasaan kasih sayang ... ”

Walaupun budaya keji ini dibenci semua agama tetapi hanya Islam saja yang mengenakan hukuman paling berat kepada penzina iaitu direjam sampai mati jika pernah berkahwin dan disebat 100 kali jika dilakukan mereka yang belum pernah berkahwin.

Hukuman keras yang dikenakan Islam ini tepat kerana perbuatan berzina menjatuhkan harga diri manusia serta melahirkan status nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.

Pergaulan bebas adalah punca utama perzinaan. Ketahuilah bahawa seseorang lelaki yang mendekati wanita pada dasarnya mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti mendekati perzinaan.

Begitu juga yang senang melayari gambar porno di internet, menonton video lucah, filem yang mengghairahkan, hiburan melampau adalah mendorong kepada perzinaan. Mereka yang bukan muhrim berdua-duaan di tempat sunyi akan mendatangkan kemaksiatan pada dirinya.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.” (Surah al-Israa’, ayat 32)

Nafsu seks adalah fitrah anugerah Allah SWT kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan. Bagaimana pun hawa nafsu hendaklah disalurkan secara halal iaitu melalui perkahwinan yang sah.

Muslim meriwayatkan Abu Zarr al-Ghifari berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap kali seseorang itu bertakbir adalah satu sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyeru yang makruf itu adalah sedekah, dan menghalang yang mungkar juga sedekah, melakukan hubungan kelamin suami isteri juga adalah sedekah. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah: Adakah kami mendatangi isteri-isteri kami baginya mendapat pahala? Rasulullah bersabda: Tidakkah kamu sedar jika melakukan syahwat kepada yang haram itu berdosa, maka sebaliknya bila melakukan perbuatan yang halal itu pastilah berpahala.”

Selari dengan mengawal pintu nafsu, maka pada dasarnya hukum perkahwinan ditetapkan Islam adalah wajib. Berdasarkan pandangan ahli fiqh dan hadis, mereka yang berkemampuan zahir dan batin hendaklah mendahulukan perkahwinan daripada ibadah lain kerana dikhuatiri berlaku maksiat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya daripada syahwat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ingatlah, dasar hukum perkahwinan ditetapkan Islam tidak membebankan. Majlis walimah atau kenduri kahwin hendaklah mengelak pembaziran. Pihak berkuasa pula perlu mempermudahkan urusan bagi pasangan yang sudah mencukupi segala syarat demi menutup pintu kemaksiatan.

Jadikanlah hidup berkeluarga sebagai satu ibadah yang sentiasa dirahmati Allah SWT. Ingatlah bahawa Islam mengharamkan perzinaan tetapi mengizinkan perkahwinan secara yang sah.

Firman Allah: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasaan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Ruum, ayat 21)

Hidup tenang bila diri dihiasi takwa
Sumber : Berita Harian

Pemimpin tawaduk tak khianati amanah, kuasa

Ketika Abu Dzar Al-Ghifari meminta nasihat Rasulullah SAW, kata Rasulullah SAW kepadanya: “Saya wasiatkan kepadamu, bertakwalah engkau kepada Allah kerana takwa itu adalah pokok dari segala perkara.” 
 

Umumnya, ulama mendefinisikan takwa sebagai menjaga diri daripada perbuatan maksiat, meninggalkan dosa syirik, perbuatan keji dan dosa besar, serta berperi laku dengan adab syariah. Takwa adalah melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.  

"Barang siapa yang menghiasi dirinya dengan ketakwaan kepada Allah, maka dia akan hidup dengan penuh keyakinan dan kekuatan. Dia pun akan berjalan di muka bumi ini dengan penuh ketenangan dan kedamaian" - Riwayat Abu Nu’aim 

Firman Allah SWT: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat, ayat 13)

Firman-Nya lagi: “Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Surah Al-A’raf, ayat 26)

Tiada niat lakukan kejahatan

Orang yang bertakwa selalu memikirkan apa yang akan diucapkan dan berhati-hati ketika melakukan sesuatu perkara. Tidak ada niat di hati Muslim sama sekali untuk melakukan kejahatan yang boleh merugikan dan memudaratkan orang lain, apatah lagi merugikan masyarakat serta negara.
Orang yang menjadikan takwa sebagai hiasan hidupnya tidak mungkin mengkhianati amanah dan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga atau kroninya. Kuasa kepemimpinan adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan kepada masyarakat, bangsa dan terutama kepada Allah SWT.

Islam lahir ramai pemimpin bertakwa

Islam melahirkan ramai pemimpin bertakwa yang memimpin umat Islam dengan penuh keadilan. Contohnya, Saidina Ali bin Abi Talib yang bersifat tawaduk dan patuh terhadap keputusan Kadi, meskipun tuntutannya terhadap baju besi dimiliki seorang Yahudi, dibatalkan di sidang pengadilan.

Saidina Ali membawa saksi iaitu Saidina Hasan, puteranya sendiri dan Qanbar, pembantunya. Namun Kadi Syuraih sebagai seorang kadi yang jujur dan tegas telah menolak saksi dari kaum kerabat kerana dianggap boleh menimbulkan berat sebelah kepada Saidina Ali.

Akhirnya, Kadi telah memberikan keputusan yang adil dengan memberikan kemenangan kepada Yahudi dan Khalifah Ali menerimanya dengan ikhlas.

Sikap tawaduk yang lahir dari takwa ini telah membuka pintu hati Yahudi itu untuk menerima Islam sebagai pegangan hidupnya.

Yahudi berkata: “Wahai Amirul Mukminin, Tuan telah membuat aduan mengenai saya kepada Kadi yang juga orang bawahan tuan, tapi dia telah memberikan kemenangan kepada saya. Maka dengan ini, saya bersaksi bahawa ini adalah kebenaran dan saya bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah.”

Peroleh ketenangan di dunia, akhirat

Akhirnya, apabila takwa menjadi perhiasan hidup dalam setiap gerak gerinya, dia akan memperoleh ketenangan dan kedamaian yang hakiki di dunia serta akhirat nanti.

Maka benarlah Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menghiasi dirinya dengan ketakwaan kepada Allah, maka dia akan hidup dengan penuh keyakinan dan kekuatan. Dia pun akan berjalan di muka bumi ini dengan penuh ketenangan dan kedamaian.” (Hadis riwayat Abu Nu’aim)

Takwa adalah bekalan hidup paling berharga dalam diri seorang Muslim. Tanpanya hidup menjadi tidak bermakna dan penuh kegelisahan. Sebaliknya, seseorang akan merasai hakikat kebahagiaan hidup, baik di dunia mahu pun akhirat apabila dia berhasil menjadi seorang yang bertakwa.