Perginya ulama Melayu terkemuka di Masjidil Haram
Oleh ZAINAL MOHD. JAIS
SYEIKH Mohammad Abdul Qadir Al-Mandili yang
merupakan ulama Melayu terkemuka di Masjidil Haram, Mekah meninggal dunia pada
31 Julai lalu pada usia 73 tahun.
Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada
umat Islam terutamanya masyarakat dan dunia Melayu. Beliau merupakan antara
tokoh agama di dunia Melayu yang berjaya mendapat tempat di Mekah, khususnya
Masjidil Haram.
Sebenarnya, sejak sekian lama, ramai golongan
pandai agama dunia Melayu yang merantau sehingga Tanah Suci untuk belajar dan
mendalami ilmu agama, dan tidak terkecuali Syeikh Mohammad.
Beliau merupakan anak kepada Syeikh Abdul Qadir
yang juga merupakan ulama dan guru di Masjid Haram lahir di Alor Setar pada 1939
turut terkenal di Indonesia, Patani dan Manila. Ayahnya berasal daripada
Mandiling, Indonesia dan berhijrah ke Malaysia ketika berusia 14 tahun. Beliau
belajar agama di pondok Gajah Mati, Kedah dan ketika itu hidupnya sering
dihimpit kesulitan.
Sebelum penjajahan Jepun, Syeikh Abdul Qadir
berhijrah ke Mekah dan meneruskan pengajian di Masjidil Haram. Ketika itu belum
wujud universiti dan Masjidil Haram dianggap universiti.
Penghijrahan ayahnya ini membuka laluan kepada
Syeikh Mohammad dan adik-beradiknya yang lain turut berpindah sama dan peluang
ini digunakan untuk belajar dan mendalami ilmu agama di Mekah.
Selepas mendapat bimbingan alim ulama di Masjidil
Haram, ayah beliau kemudian ditawarkan menjadi guru agama di situ hinggalah
beliau meninggal dunia ketika berumur 56 tahun.
Bagi Syeikh Mohamad pula, pendidikan awalnya
bermula di Madrasah Darul Ulum, Mekah yang diasaskan oleh rakyat Malaysia dan
Indonesia. Selepas itu beliau mendalami lagi ilmu melalui bimbingan ayahnya
sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Madinah.
Sebelum mengikut pengajian di Universiti Madinah,
beliau belajar dengan ayahnya di Masjidil Haram selama tujuh tahun dan
merupakan kumpulan pelajar pertama diterima masuk Universiti Islam Madinah.
Beliau pernah dilantik sebagai Jemaah Ahli Syura
Urusan Agama Masjidil Haram di Mekah dan bekas guru di Maahad Al-Haram di Mekah
serta dihantar ke Asia Tenggara oleh Darul Ifta, Arab Saudi untuk memerhati
hal-ehwal agama.
Syeikh Mohammad terkenal di kalangan Jemaah dari
Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara lain kerana peranan beliau mengajar
selepas Maghrib di Masjidil Haram. Beliau antara 15 guru agama yang dipilih
memberikan kelas agama dan merupakan anak Melayu tunggal.
Antara keistimewaan yang diperolehi beliau semasa
mengajar adalah pihak pentadbir masjid turut menyediakan kerusi khas untuknya
di sudut masjid itu.
Setiap kali selepas solat Maghrib, satu sudut di
Masjidil Haram bergema bagaikan suasana masjid kampung apabila Syeikh Mohammad
muncul untuk memberi ceramah di sudut yang terletak berhampiran Kaabah dan
selari dengan Hajaratul Aswad.
Semasa menyampaikan kelas atau ceramah, Syeikh
Mohamad akan mengenakan jubah dan berkopiah yang ditutup kain serban serba
putih dan dengan raut wajahnya yang bersih dan tenang, beliau menyampaikan
ceramahnya dengan cara bersahaja dan sekali sekala menggunakan loghat utara.
Walaupun menetap di Mekah sejak remaja, beliau
masih mampu bertutur bahasa Melayu dengan fasih sehingga menimbulkan kehairanan
di kalangan jemaah.
Beliau sering pulang ke Malaysia untuk melawat ahli
keluarga dan sahabat-handai.
"Kawan kawan hairan bagaimana setelah lebih
setengah abad saya tinggal di Mekah, saya masih fasih berbahasa melayu,"
beliau dilaporkan pernah berkata.
Beliau menetap di kawasan Awali, tidak jauh dari
kota Mekah. Hasil perkongsian hidup dengan dua isterinya, Syeikh Mohammad
dikurniakan 18 anak.
Cara hidup Melayu masih sebati dengan jiwanya
walaupun sudah lama di perantauan. Ketika di rumah, beliau lebih selesa memakai
kain dan baju Melayu serta bercakap Melayu dengan anggota keluarga.
Bagi Syeikh Mohamad, kemewahan tidak datang
bergolek dan ketika mula menjadi guru agama dulu, beliau terpaksa mengambil
upah menjahit kerana gaji terlalu kecil.
Pengalaman lampau membuatkan beliau bersikap
pemurah dan menurut para temannya, boleh dikatakan hampir setiap kali selepas
ceramah, beliau akan menjemput orang ramai kerumahnya dan menjamu mereka dengan
nasi bukhari.
Kedudukan dan peranan Syeikh Mohammad sebagai ulama
dan guru di Masjidil Haram merupakan suatu yang dibanggakan apatah beliau
merupakan anak Melayu, sekali gus membuktikan dunia Melayu mampu mengeluarkan
tokoh penting agama.
No comments:
Post a Comment