Beijing: Seorang lelaki mabuk dikejarkan ke hospital selepas dia memasukkan dua ikan hidup ke dalam duburnya.
Kedua-dua ikan loach kolam itu berenang memasuki ususnya, malah satu daripadanya menembusi dinding usus menyebabkan lelaki berkenaan mengalami sakit perut amat teruk.
Portal berita Huanqiu melaporkan, doktor di Guangzhou di selatan China berjaya mengeluarkan ikan berkenaan dan sehingga semalam, lelaki itu dikatakan masih dirawat di unit rawatan rapi.
Menurut laporan, lelaki berusia 45 tahun itu mendakwa dia mabuk dan memasukkan sendiri ikan itu ke dalam duburnya.
Dia dikejarkan ke hospital di Universiti Jinan selepas demam serta mengalami tekanan darah rendah dan sakit perut teramat sangat.
Doktor terpaksa melakukan pemeriksaan menggunakan radiografi digital bagi mengesan ikan itu di dalam perutnya sebelum berjaya mengeluarkan satu daripada ikan itu yang sepanjang 15.24 sentimeter.
Seorang doktor dipetik sebagai berkata: “Ikan kedua sepanjang 10.16 sentimeter dan ia tersangkut di bahagian atas kiri perutnya. Lelaki itu mungkin mati sekiranya ikan itu berenang lebih jauh hingga ke organ atas.”
Menurutnya, ikan itu menyebabkan jangkitan serius pada kawasan perut pesakit dan dia dipindahkan ke unit rawatan rapi untuk rawatan lanjut.
-Metro
No comments:
Post a Comment