“
BAGAIMANA awak peluk Islam? Apa peristiwa yang berlaku yang membuat awak peluk Islam?” Soalan ini biasa ditanya kepada mereka yang berhijrah ke Islam. Tetapi jawapan yang dinantikan adalah stereotaip: saya jatuh cinta pada Islam kerana terpesona dengan kemerduan azan, atau kerana saya tengok video debat antara agama, atau kerana saya mimpi lelaki jubah putih datang menghulurkan tangan yang bercahaya kepada saya dalam mimpi!
Memang semua di atas pernah berlaku tetapi ramai juga yang makin benci pada Islam setelah suara azan yang sumbang memekik-mekik, atau setelah tengok video debat antara agama di mana dia menjadi lebih defensif! Bahkan jika datang seorang lelaki berjubah putih dalam mimpi, mungkin dia akan terus melompat terjaga dari mimpi kerana ingatkan ISIS teroris mahu serang dia!
Hidayah ALLAH SWT datang dengan pelbagai cara dan penerimaan seorang mualaf bukan Muslim pun bergantung kepada kesediaannya. Saya pernah disoal, “Xifu, kalau kaedah dakwah kamu hebat sangat, mengapa ramai yang belum peluk Islam?” Saya jawab, “Tanyalah Tuhan. Manalah saya tau! Adakah kamu sendiri berdakwah?”
Makcik saya adalah seorang Cina Buddha campur Tao campur Konfucious. Agamanya ialah campuran tiga agama. Dia sudah tinggal bersama saya lebih 30 tahun sehingga sekarang.
Saya khaskan sebuah tempat untuk sembahyangnya dalam rumah saya. Dia tak kahwin dan sayalah yang jaga maslahatnya selama ini. Tetapi sampai ke hari ini, dia belum peluk Islam.
Semua kaedah dakwah telah saya guna ke atasnya. Saya masih gagal! Mengapa saya gagal? Saya tak tau. Saya telah berdoa dan saya telah bawanya jumpa pendakwah-pendakwah yang hebat juga tetapi tetap dia belum peluk Islam. Apa makna semua ini? Saya teringat pakcik Nabi SAW, Abu Talib. Dia pun tidak memeluk Islam walaupun Nabi SAW, pendakwah terhebat, bersungguh-sungguh meyakinkannya untuk peluk Islam.
Yang saya hairan pula ialah satu hari datang seorang lelaki Cina mualaf bukan Muslim. Dia nyatakan kesudiannya untuk peluk Islam kerana dia telah hamilkan teman wanitanya yang merupakan seorang Muslimah! Dia kata bahawa dia memang sayang pada kandungan teman wanitanya. Katanya Tuhan ALLAH SWT telah kabulkan doanya untuk mendapatkan kebahagiaan hidup berkeluarga dan berzuriat!
Saya terkejut. Beginilah caranya Tuhan bagi hidayah. Unsangkarable! Peluk Islam setelah hamilkan teman wanita! Tak logik langsung! Hancur kaedah-kaedah dakwah saya.
Teringat Malcolm X yang merupakan seorang gengster kulit hitam dulu sebelum menjadi pejuang Islam yang terkenal di Amerika. Dia begitu jahat sehingga di masukkan ke dalam penjara.
Dalam penjara, dia jumpa banduan Muslim. Teman banduan inilah yang sedarkan dia tentang Islam. Seorang banduan, bukan ustaz, pula yang bawa dia ke Islam dengan izin ALLAH SWT! Peluk Islam setelah masuk penjara! Unsangkarable lagi!
Seorang GRO Muslimah pernah telefon untuk jumpa saya. Kali pertama saya jumpanya memang pakaian seksi sangat. Saya ingat dia hamil luar nikah dan memerlukan bantuan. Tetapi alangkah terkejutnya saya bila dia tanya saya bagaimana dia boleh berdakwah kepada sugar daddynya!
Rupanya dia adalah perempuan simpanan seorang ahli perniagaan bukan Muslim. Bagaimana seorang GRO kelas atasan yang berzina dengan sugar daddynya terlintas nak dakwah kepada pelanggannya?
Unsangkarable! Akhirnya, sugar daddynya ini memeluk Islam dan berkahwin dengannya setelah setahun dia berdakwah kepadanya dengan izin ALLAH SWT! Peluk Islam setelah mendapat khidmat seks GRO kelas atasan!
Contoh terakhir ialah Saidina Umar al-Khattab. Setelah kaum Quraish Musyrikin makin terancam dengan dakwah, mereka mencari seorang untuk membunuh Nabi SAW. Maka, Umar pun offer diri untuk membunuh Nabi SAW.
Semasa dalam perjalanan ke Nabi SAW, Umar mendapat berita bahawa adik perempuannya telah memeluk Islam. Tidak perlulah saya bercerita penuh di sini tentang Umar. Google sahaja!
Apa yang unsangkarable di sini ialah bagaimana seorang yang berazam membunuh Nabi SAW akhirnya menjadi pembela Islam!
Maka, janganlah begitu mudah melabel pihak tertentu sebagai kafir harbi.
* Abdul Naser Tun Rahman AJK Smash, Murshid, Macma