Tuesday, 31 May 2016

Tindakan disiplinkan anak bertukar tragedi



TOKYO – Seramai 130 anggota polis dan sukarelawan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak lelaki yang ditinggalkan ibu bapanya di sebuah hutan di Pulau Hokkaido, utara Jepun.

Mangsa yang berusia tujuh tahun ditinggalkan sendirian di hutan itu pada petang Sabtu lalu sebagai hukuman kerana melakukan vandalisme. Akhbar tempatan melaporkan, mangsa masih belum ditemui setakat semalam.

“Kami memaksa dia keluar dari kereta dan meninggalkan dia bersendirian kerana kami mahu mendidiknya agar lebih bertanggungjawab.

“Kami kembali ke lokasi itu lima minit kemudian tetapi tidak dapat menemuinya,” kata bapa kanak-kanak itu kepada sebuah akhbar harian.

Sebelum ini, ibu bapa kanak-kanak itu memberitahu pihak berkuasa tempatan bahawa mangsa hilang semasa mereka sibuk memetik sayur-sayuran di hutan, demikian menurut akhbar tempatan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0531&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz4ACKgPnku

Monday, 30 May 2016

Tembak mati gorila



Ohio: Seekor gorila berusia 17 tahun ditembak mati kakitangan Zoo Cincinnati selepas mengheret kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terjatuh ke dalam kandangnya.
Menurut pihak berkuasa, kanak-kanak berkenaan yang jatuh pada kira-kira 3.6 meter, dijangka pulih selepas dikeluarkan dari parit yang mengelilingi kandang gorila sebelum diheret haiwan itu selama 10 minit.

Kanak-kanak itu berada di antara kaki haiwan itu ketika gorila berkenaan ditembak.
Sementara itu, pihak zoo yang masih menyiasat kejadian percaya budak lelaki itu memanjat tembok dan terjatuh ke dalam parit.
Pegawai zoo berkata, ketika kejadian, terdapat tiga gorila di dalam kandang itu, namun dua haiwan berkenan yang juga betina berjaya dihalau masuk ke dalam kurungan.
Malangnya, gorila jantan, Harambe enggan berganjak.
Rakaman video menunjukkan saat cemas ketika kanak-kanak itu di dalam parit, dengan orang ramai yang panik dan ada antara mereka menjerit untuk menakutkan haiwan itu.
Sebahagian rakaman itu juga menunjukkan gorila terbabit mengheret kanak-kanak itu melalui air.
Kanak-kanak itu dibawa ke Pusat Perubatan Kanak-Kanak Cincinnati kerana cedera parah, namun dalam keadaan sedar ketika di bawa ke hospital.
Pengarah zoo, Thane Maynard berkata, pasukan tindakan khas haiwan berbahaya yang terlatih itu, memutuskan nyawa kanak-kanak itu dalam bahaya.
“Mereka membuat keputusan yang sukar, namun tepat kerana menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu.
“Jika tidak, mungkin keadaan lebih buruk,” katanya.
Tambah Maynard, gorila itu tidak kelihatan menyerang kanak-kanak berkenaan, tetapi ia ‘haiwan yang amat kuat’ dan dalam keadaan gelisah.
Maynard juga menjelaskan, menembak dengan ubat pelali tidak akan berkesan serta-merta dan terus membahayakan nyawa kanak-kanak itu.
Harambe tiba di Cincinnati pada 2015 dari Zoo Gladys Porter di Brownsville, Texas.

-Metro

Friday, 27 May 2016

Lelaki buta bawa motosikal, isteri bagi arahan

Beijing: Melihat seorang suami menunggang motosikal sementara isterinya membonceng di belakang bukanlah sesuatu yang pelik.
Bagaimana jika si suami itu yang membawa motosikal berkenaan buta?

Ini yang berlaku di bandar Yichun di wilayah Jiangxi.
Seorang lelaki sempat merakam seorang suami buta membawa motosikal dengan isterinya di belakang.
Si isteri dilihat menjerit dengan kuat, memberi arahan kepada suaminya sementara si suami dengan yakin dan tanpa takut, terus memandu motosikalnya.
Apabila tiba di tempat yang dituju, pasangan itu turun dan kelihatan selesa, seolah-olah ini bukan kali pertama mereka berbuat demikian.
Apabila rakaman video itu viral di media sosial minggu lalu, polis bertindak menjejaki lelaki buta itu.
Selepas disiasat, polis mengesahkan dia bekerja di sebuah rumah urut.
Untuk menjimatkan wang, dia rela menunggang motosikal bersama isterinya. Dengan demikian, mereka tidak perlu mengeluarkan wang untuk membayar tambang bas atau teksi ulang alik dari tempat kerja.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada polis bertindak ke atas lelaki itu dan isterinya.

- Agensi/Metro

Thursday, 26 May 2016

Gadis bertudung hidang nasi daging khinzir

Jakarta: Misteri gambar seorang wanita bertudung berniaga nasi daging khinzir yang viral di Internet akhirnya terbongkar.
Gambar berkenaan pada mulanya dianggap palsu, tetapi seorang pengguna Facebook Hanny Kristianto mendakwa dia bertemu dengan wanita bertudung itu.

Katanya, wanita bertudung itu berniaga nasi daging khinzir di sebuah gerai di pasar raya Lippo Puri di Jakarta Barat.
Gerai berkenaan dibuka setiap hari dan sering dikunjungi pengunjung dari dua gereja berhampiran pasar raya itu.
Terdapat satu kain rentang yang jelas memberitahu gerai berkenaan menghidangkan daging khinzir dan bukan untuk orang Islam.
Tambah Hanny, wanita bertudung itu beragama Islam bukan beragama Kristian Ortodoks seperti dakwaan beberapa pihak sebelum ini.
Bagaimanapun, jelasnya, wanita bertudung itu hanya bekerja sebagai pelayan bukannya pemilik gerai berkenaan.

- Agensi./Metro

Tuesday, 24 May 2016

Penyanyi pop ditikam peminat fanatik

Tokyo: Gara-gara memulangkan semula hadiah jam pemberian peminat fanatik, seorang bintang pop Jepun kini koma selepas parah akibat ditikam lebih 20 kali.
Mayu Tomita, 20, dalam keadaan kritikal selepas mengalami kecederaan parah di leher dan dada akibat ditikam puluhan kali apabila diserang suspek, Tomohiro Iwazaki ketika penyanyi itu menuju ke pentas bagi satu konsert di Koganei.

Suspek yang juga berusia 20 tahun itu memberitahu polis, dia marah apabila penyanyi pujaannya itu memulangkan semula jam yang dihadiahkannya.
Iwazaki ditahan selepas ditemui di tempat kejadian dengan memegang pisau berlumuran darah, manakala Mayu dikejarkan ke hospital dan menurut media Jepun, penyanyi itu masih belum sedarkan diri.
Mayu bintang terkenal dalam siri televisyen kanak-kanak dan artis JPop popular.
Dia menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatannya termasuk memaklumkan polis beberapa minggu lalu selepas diganggu lelaki itu di atas talian.
Iwazaki dikatakan menulis kata-kata ancaman di Twitternya dan juga di blog, termasuk mengugut menyakitinya.
Sumber polis memberitahu, lelaki itu naik berang apabila penyanyi itu tidak memberi jawapan yang dikehendakinya.
“Saya bersemuka dengannya dan bertanya mengenai hadiah itu. Namun, dia tidak memberi jawapan yang jelas menyebabkan saya marah dan menikamnya berulang kali,” katanya dipetik Japan Times.
Dia yang sebelum ini ditangkap atas tuduhan menyerang Mayu difahamkan akan ditahan semula bagi kesalahan cuba membunuh mangsa.

-Metro

Monday, 23 May 2016

Dua singa dikorbankan demi selamatkan lelaki ‘gila’

Dua ekor singa mengerumuni Franco Luis Ferrada Roman yang terjun
Dua ekor singa mengerumuni Franco Luis Ferrada Roman yang terjun ke dalam kandang singa untuk membunuh diri di
 
SANTIAGO 22 Mei – Dua ekor singa terpaksa ditembak mati ekoran tindakan seorang lelaki terjun ke dalam kandang singa berkenaan kerana cuba membunuh diri dalam keadaan berbogel di sebuah zoo yang penuh sesak de­ngan pengunjung di Chile.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Franco Luis Ferrada Roman, 20, cedera parah akibat diserang singa-singa tersebut, namun dia kini berada dalam keadaan stabil setelah dikejarkan ke hospital berhampiran.
Menurut laporan Mailonline, dalam kejadian itu, Roman yang dipercayai membeli tiket untuk masuk ke zoo itu telah bertin­­-
dak menceroboh masuk ke dalam kandang singa berkenaan dengan membuka atap kandang itu.
Dia kemudian membuka semua pakaiannya dan masuk ke tengah kandang sambil menjerit-jerit menyebut nama Jesus dan ajaran Kristian dengan disaksikan pengunjung lain yang ketakutan.
Singa-singa yang berada dalam kandang berkenaan segera menerkam lelaki itu sebelum mencederakannya, dan penjaga zoo itu terpaksa menembak mati singa-singa berkenaan bagi menyelamatkan lelaki itu.
Pengarah zoo itu, Alejandra Montalva berkata, dia merasa sangat sedih dengan kematian singa jantan dan singa betina itu, namun protokol zoo mengutamakan keselamatan manusia.
Kata wanita itu, pihaknya tidak mempunyai ubat penenang untuk menghentikan singa itu daripada mencederakan Roman.
Seorang saksi, Cynthia Vasquez memberitahu stesen radio Chile, Bio Bio bahawa pihak keselamatan zoo itu lambat bertindak kerana semasa lelaki itu memasuki kandang itu, haiwan tersebut tidak menyerangnya.
Menurut seorang lagi saksi, pengunjung yang membawa anak terpaksa menutup mata anak masing-masing semasa insiden itu berlaku.
Stesen televisyen, Chilevision melaporkan, satu nota bunuh diri ditemukan dalam pakaian lelaki itu yang menyebut tentang kemusnahan dan hari kiamat menjadi punca dia bertindak mahu membunuh diri.

-Utusan

Iran musuh Rasulullah: Mufti Saudi



Jeddah: Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Sheikh menyelar Iran kerana apa yang disifatkannya sebagai cubaan negara itu untuk mendapat tumpuan politik dari ibadah haji sepanjang 30 tahun lalu.
Dalam wawancara dengan sebuah akhbar tempatan kelmarin, Abdul Aziz turut mendakwa kerajaan Iran sebagai musuh ‘Masjidilharam dan Rasulullah (SAW).’

“Teheran berbohong apabila menyatakan Arab Saudi menghalang rakyatnya melnunaikan haji,” kata Abdul Aziz.
Dia juga menuduh Iran bertanggungjawab terhadap cubaan untuk mencetuskan kekacauan di Masjidilharam.
“Berapa banyak kesilapan dan pencabulan yang telah mereka lakukan sehingga ini. Antaranya, pada 1987 apabila ramai jemaah tidak berdosa terbunuh,” kata mufti itu.
Menurutnya, Iran cuba memalukan Arab Saudi dalam usaha menyembunyikan masalah yang ia sendiri cetuskan terhadap rakyatnya sehinggakan mereka tidak boleh menunaikan haji tahun ini.
Sementara itu, anggota pembangkang Iran yang juga ketua Parti Sirbitz Kurdistan, Aref Bawa Jani, berkata dasar dalam dan luar negara Iran bertujuan mencetuskan masalah antara Syiah dan Sunni.
Dia juga mendakwa pemimpin Syiah Iran cuba meyakinkan penganut fahaman itu bahawa lawatan ke tempat suci Syiah di Iraq, khususnya Najaf dan Karbala, boleh menggantikan ibadah haji di Arab Saudi.

-Metro

Friday, 20 May 2016

Pelacur, pelanggan dihukum berbogel sambil berjalan


Pelacur, pelanggan dihukum berbogel sambil berjalan
SAINT PETERBURG - RUSIA. Beberapa pelacur dan lelaki yang dicekup dalam satu serbuan maksiat di sebuah pangsapuri baru-baru ini menerima padah apabila dihukum berbogel oleh pihak berkuasa di bandar ini.
Selain tiga pelanggan lelaki yang dikatakan berjaya melarikan diri, kesemua 11 pelacur dan pelanggan lelaki pada malam itu dipaksa menanggalkan semua pakaian mereka sambil berjalan mengelilingi kawasan pangsapuri berkenaan.
Orang ramai yang sempat melihat kejadian itu berjaya membuat rakaman video melalui telefon bimbit masing-masing.
Selepas berjalan di beberapa jalan utama, mereka akhirnya diarah naik ke kereta polis dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Tindakan pihak polis itu bagaimanapun menjadi bualan hangat di laman sosial.
Ada yang bersetuju cara hukuman itu walaupun agak luar biasa, tetapi tidak kurang pula membantah kerana kata mereka, sepatutnya yang perlu dihukum ialah pelanggan di rumah maksiat itu dan bukan pelacur.

-Sinar

Thursday, 19 May 2016

Didenda RM165 ribu periksa telefon suami

Dubai: Seorang wanita berusia 30-an didenda dan diarah meninggalkan Emirah Arab Bersatu (UAE) kerana mencampuri urusan peribadi suaminya dengan memeriksa telefon lelaki berkenaan bagi memastikan suaminya tidak curang.
Wanita dari sebuah negara Arab itu didenda 150,000 dirham (RM165,366) oleh mahkamah di Ajman.

Menurut media UAE, wanita itu yang mengesyaki suaminya, juga 30-an, menjalin hubungan sulit, mengaku memeriksa telefon suaminya tanpa kebenaran dan memindahkan gambar ke telefonnya.
Suaminya membuat aduan dan minggu lalu, mahkamah memutuskan dia bersalah melakukan jenayah siber yang dihukum mengikut undang-undang menceroboh hak peribadi seseorang menggunakan teknologi maklumat.


-Metro

Wednesday, 18 May 2016

Pesakit kanser jalani pembedahan pemindahan zakar pertama di AS



BOSTON – Seorang pesa­kit kanser menjadi pe­­­nerima transplan zakar pertama di Amerika Syarikat(AS), kata pihak pengurusan sebuah hospital di Boston.

Hospital Besar Massa­chusetts mengesahkan kel­marin bahawa Thomas Manning dari Halifax, Massachusetts, menerima zakar transplan itu dalam prosedur pembedahan selama 15 jam, minggu lalu. Organ itu berasal daripada seorang penderma yang telah mati.

Akhbar New York Times melaporkan tentang pembedahan itu kelmarin.

Dalam wawancara bersama New York Times, ketua pasukan bedah ber­kenaan, Dr. Curtis Cetrulo berkata, Manning, 64, akan dapat membuang air kecil seperti biasa dalam masa beberapa minggu lagi dan melakukan hubungan kelamin beberapa bulan kemudian.

“Kami optimis tetapi berhati-hati. Kami belum pernah melakukan pembedahan seperti ini,” kata Cetrulo, seorang pakar bedah plastik dan pembentukan semula.

Manning yang tidak berkahwin menyatakan, dia sukar untuk mencari pasangan baharu selepas organ kelelakiannya terpaksa dipotong akibat barah zakar.

Kata Manning, dia bernasib baik jika zakar baharunya dapat berfungsi 75 peratus se­perti zakar normal.

“Saya berharap cepat sembuh agar dapat kembali bekerja dan bercinta semula,” katanya.

Zakar yang didermakan itu datang dari Bank Organ New England, manakala pa­sukan perubatan ber­kenaan mengambil masa tiga tahun untuk membuat persiapan sebelum melakukan prosedur itu termasuk melakukan pembedahan serupa pada beberapa mayat.

Pembedahan ke atas Manning melibatkan kira-kira 12 doktor bedah dan 30 petugas perubatan lain, demikian menurut New York Times.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz48ybIUGZB

Tuesday, 17 May 2016

Jerung melekat di lengan

Miami: Seorang wanita dikejarkan ke hospital dengan seekor ikan jerung kecil masih melekat pada lengannya selepas digigit ikan itu ketika mandi di pantai semalam.
Jerung sepanjang kira-kira 61 sentimeter itu dibunuh orang ramai di pantai dekat bandar Boca Raton namun gigitannya pada lengan wanita berusia 23 tahun gagal dilepaskan.

Jerung jenis ‘nurse’ yang boleh membesar sehingga lebih tiga meter panjang itu biasa ditemui di pantai Florida serta tidak mengganggu manusia.
Namun menurut laporan media, saksi menyatakan ada pengunjung pantai mengganggu ikan itu termasuk memegang ekornya.
Anggota paramedik yang tiba kemudian memberi bantuan oksigen kepada wanita itu yang kelihatan lemah sebelum membawanya ke hospital.
Jerung itu hanya makan ikan kecil serta hidupan laut lain namun tidak makan daging manusia.

-Metro

Monday, 16 May 2016

Gengster bertatu di muka hijrah lepas mimpi kiamat

Muhd Fadhil
Muhd Fadhil.

GARA-gara mimpi hari kiamat seorang gengster dari negara jiran yang dikenali dengan nama 'Abang Long Fadhil' atau nama sebenarnya Muhd Fadhil, 29 kini memilih untuk kembali ke jalan ALLAH SWT.

Meskipun kehadirannya di masjid mahu pun surau sering mengundang pandangan sinis berikutan penampilannya yang bertatu termasuk di wajah, namun tekad sudah dibulatkan dan beliau tidak ambil pusing lagi.

“Pada Januari 2014, saya mimpi hari Kiamat. Dalam mimpi itu saya sedang berhibur di pantai, minum arak dengan kawan-kawan, tiba-tiba ombak tinggi datang dan saya jerit ajak kawan-kawan lari dan saya terus lari. Apabila saya toleh belakang, semua kawan saya tak ada, ombak setinggi lapan tingkat tadi pun tak ada.

“Saya tak keluar rumah sebulan lepas mimpi itu. Saya takut mati. Satu hari kawan telefon tanya nak pergi masjid atau tak. Ketika itu saya tersentak sebab kalau saya keluar rumah saya mati dan kalau saya tidak keluar rumah, saya pasti mati.

“Tapi seminggu, dua minggu saya pergi masjid, bertemu jemaah tabligh dan mula berhijrah. Namun masih belum lagi mencari ALLAH dengan sempurna. Selepas genap 40 hari bersama mereka, saya benar-benar yakin Keesaan ALLAH SWT itu,” katanya melalui rakaman video yang disiarkan Ar-Rahman TV.

Fadhil turut memberitahu beliau mengambil masa selama lapan bulan hanya untuk belajar surah al-Fatihah.

“Saya kalau cakap orang tak percaya. Bukan mudah untuk saya hafal. Tapi betullah ALLAH itu benar... susah nak cakap.

“Orang kata hari-hari minum manis boleh potong kaki tapi kemanisan iman yang ALLAH beri itu tak akan potong kaki. Kemanisannya itu dapat dirasai dalam hati... sayunya semacam,” katanya.

Bercerita kisah hidupnya, Fadhil memberitahu, tatu pertama yang dicacah pada tubuhnya seawal usia 12 tahun dan terakhir pada usia 22 tahun iaitu pada wajah dan lehernya.

“Tatu pertama nama saya, Fadhil di tangan. Tapi paling sakit di dahi dan leher ini. Ini semua kawan-kawan tolong buatkan.

“Pertama kali saya ditahan pada usia 12 tahun sebab pukul budak berusia 14 tahun dan mak ayah budak itu membuat laporan polis. Saya anggap masa lalu saya itu sebagai mimpi ngeri dalam hidup saya,” katanya.

Mengakui ramai rakan-rakan lamanya yang berbangsa Cina terkejut dengan perubahannya, namun, mereka masih beri sokongan moral meskipun sudah tidak lagi bersama mereka.

Dalam nada sayu, Fadhil mengakui telah banyak melukakan hati ibunya dan jalan baharu dipilihnya itu selain demi ALLAH, ia juga demi untuk menggembirakan si ibu.

Sementara itu, ibu Fadhil dalam rakaman tersebut memberitahu meskipun anak lelakinya itu memilih jalan hitam namun beliau tidak ‘membuangnya’.

“Saya anggap ini cubaan dari ALLAH untuk melihat penerimaan kita. Sepatutnya kita doakan untuk dia bukan menyumpah seranah.

“Insya-ALLAH akan dimakbulkan tapi bukan dalam masa yang singkat. Lihat sekarang, ALLAH sudah menjawab. Sekarang saya sudah tenang,” katanya mengalirkan air mata.

-Sinar

Keluarga gadis ‘seberat 18kg’ didakwa membunuh

KEMAMAN 15 Mei - Empat beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang gadis yang juga anggota keluarga mereka sendiri dalam kejadian di Kampung Binjai, di sini akhir bulan lalu.
SITI SARAH bersama adik lelakinya berusia 14 tahun didakwa membunuh

 

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Anuar Jusoh, 49, isterinya, Murni Ahmad, 35, dan dua anak mereka iaitu Siti Sarah, 21, dan remaja berusia 14 tahun sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.
Mangsa adalah anak kandung Anuar yang juga tertuduh pertama.
Kesemua tertuduh hadir di mahkamah dengan berpakaian lokap.
Anuar dan Murni tidak menunjukkan sebarang reaksi sewaktu dibawa ke kamar mahkamah manakala riak muka Siti Sarah dan adik lelakinya jelas kelihatan keliru sepanjang prosiding yang berlangsung selama 10 minit.
Berdasarkan pertuduhan, Anuar, Murni, Siti Sarah dan adik lelakinya didakwa membunuh Siti Hajar, 22, di rumah mereka di Batu 5, Jalan Air Putih, Taman Semarak, Binjai, Cukai di sini pada pukul 10.45 malam, 26 April lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguambela.
Badrul Munir tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan mengarahkan Anuar yang merupakan seorang mekanik ditahan di Penjara Marang.
Beliau turut mengarahkan Murni yang merupakan ibu tiri Siti Hajar dan anak perempuannya, Siti Sarah ditahan di Penjara Bentong, Pahang manakala tertuduh juvenil yang keciciran persekolahan sejak setahun lalu pula diarah ditempatkan di Asrama Akhlak Rusila, Marang.
Badrul Munir juga menetapkan 13 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan forensik.
Pada 3 Mei lalu, media melaporkan punca kematian seorang gadis berusia 22 tahun yang berat badannya cuma 18 kilogram pada 26 April lalu terbongkar apabila mangsa dipercayai meninggal dunia akibat didera keluarganya sendiri.
Pada mulanya, bapa mangsa mendakwa bahawa anak gadisnya itu meninggal dunia disebabkan demam panas namun punca sebenar kematiannya akibat kelaparan, jangkitan kuman manakala tubuhnya mempunyai kesan gigitan manusia.

-Utusan

Friday, 13 May 2016

Teh lebih mahal daripada emas

Fujian, China: Membelanjakan wang AS$10,000 (RM40,200) untuk seteko teh mungkin kedengaran keterlaluan.
Bagaimanapun, itulah harga yang peminat teh sanggup bayar untuk menghirup Da Hong Pao asli, teh paling jarang ditemui di dunia.

Harga untuk satu gram boleh mencecah AS$1,400 (RM5,600). Teh yang terkenal mahal ini sebenarnya 30 kali lebih mahal daripada segram emas.
Apa yang menyebabkan teh ini sangat mahal?
Menurut pakar teh China, Xiangning Wu, Da Hong Pao begitu berharga kerana ia sangat sukar untuk ditemui.
Katanya, pokok teh Da Hong Pao asli hampir pupus.
Beberapa jenis teh yang tumbuh di pergunungan Wuyi di daerah Fujian, China juga sangat jarang ditemui sehingga dianggap tidak ternilai harganya.
Pembuat teh generasi lama turut mengadakan ritual tahunan khas untuk Da Hong Pao supaya pokok teh itu tumbuh subur.
Mereka pergi ke kawasan pergunungan pada setiap musim bunga dan berdoa kepada tuhan teh, Lu Yu supaya pucuk baru tumbuh.
Daun teh itu dikatakan disapu dengan susu kambing ketika ia membesar dan selepas ia dituai.
Daunnya kemudian dikeringkan dan dibiarkan selama 80 tahun untuk mendapatkan rasa teh yang istimewa. - Agensi/Metro

Thursday, 12 May 2016

Menteri tarik seluar dalam wartawan

Paris: Menteri Kewangan Perancis Michel Sapin mengaku bertindak kurang sopan terhadap seorang wartawan selepas dakwaan tersebar bahawa dia menarik getah seluar dalam wanita itu.
Pengakuan kelmarin yang dibuat beberapa jam selepas pada mula menafikan kejadian itu, susulan skandal sehari sebelumnya, apabila lapan wanita menuduh timbalan speaker Parlimen, Denis Baupin, melakukan gangguan seksual.

Sapin dalam satu kenyataan berkata: “Ketika lawatan pada Januari 2015 ke Davos, saya menegur seorang wartawan wanita mengenai pakaiannya sambil meletakkan tangan pada belakangnya.
“Saya tidak berniat bertindak agresif, tetapi terkejut apabila dia menunjukkan kata-kata dan perbuatan saya itu tidak wajar. Disebabkan itu saya memohon maaf.”
Hanya beberapa jam sebelumnya dia mendakwa semua itu sebagai fitnah.
Kejadian itu pertama kali timbul bulan lalu apabila dua wartawan menerbitkan buku bertajuk ‘Elysee Off’ menceritakan, antara lain, bagaimana rakan mereka membongkok untuk mengambil pen yang jatuh menyebabkan Sapin kononnya berkata “Eh, apa yang kamu tunjukkan ini?”
Dia kemudian didakwa menarik getah seluar dalam wanita itu yang secara tidak sengaja terdedah ketika membongkok. - AFP /Metro

Wednesday, 11 May 2016

Nenek 70 tahun lahirkan bayi di India

baby
NEW DELHI 10 MEI - Mohinder Singh Gill, 79, duduk bersama isterinya, Daljinder Kaur, 70, yang memangku bayi lelaki yang dilahirkannya pada minggu lepas setelah menjalani rawatan rawatan pembenihan in vitro (IVF) selama tahun di sebuah pusat rawatan kesuburan di Haryana, India. - AFP
 
NEW DELHI 10 Mei - Seorang wanita India yang melahirkan anak pada usia 70 tahun berkata, dia tidak terlalu tua untuk menimang cahaya matanya yang pertama.

Daljinder Kaur melahirkan seorang anak lelaki bulan lepas setelah menjalani rawatan pembenihan in vitro (IVF) di sebuah klinik kesuburan di Haryana bersama suaminya yang berusia 79 tahun.
Menurut wanita itu yang telah berkahwin selama 46 tahun, pada mulanya mereka berputus asa selepas berdepan dengan pelbagai rintangan oleh masyarakat India yang melihat kemandulan sebagai sumpahan Tuhan.
“Tapi, Tuhan mendengar permintaan kami. Hidup saya juga kini sempurna. Saya akan menjaga bayi ini sendiri dan berasa sangat bertenaga ketika ini,” katanya. - AFP/Utusan

Tuesday, 10 May 2016

Bapa ambil kesempatan kahwin baru

Riyadh: Seorang bapa yang mengiringi anaknya untuk berkahwin, akhirnya melangsungkan perkahwinannya sendiri selepas si anak tidak jadi berkahwin.
Akhbar Sada melaporkan, si bapa bersama anggota keluarganya yang lain pergi ke rumah bakal isteri anaknya.

Bagaimananapun, ibu gadis itu enggan mengahwinkan anaknya pada saat akhir atas alasan dia mahu kahwinkan kakak gadis itu terlebih dahulu.
“Anak lelaki itu berang dan membatalkan perkahwinannya sebelum meninggalkan majlis. Bapanya tidak mengekorinya, sebaliknya melamar kakak pengantin perempuan berkenaan. Si ibu serta-merta bersetuju dan menerima lamaran lelaki itu,” lapor akhbar itu dalam laporannya dari Jaza, wilayah di selatan Saudi. - Agensi/Metro

Empat gajah mati dipanah petir

COLOMBO – Sebanyak empat ekor gajah termasuk dua anak gajah mati akibat dipanah petir di utara Sri Lanka dalam satu insiden terburuk melibatkan hidupan liar, lapor pihak berkuasa semalam.

Seekor gajah betina berusia 25 tahun dan dua ekor anaknya, berusia 10 bulan dan dua tahun selain gajah betina berusia lapan tahun ditemui mati semalam di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Wilpattu.

“Penduduk kampung di kawasan kejiranan memaklumkan insiden itu kepada pihak berkuasa dan kami telah menjalankan bedah siasat,” ujar pakar veterinar hidupan liar, Chandana Jayasinghe yang mengesahkan kematian akibat panahan petir.

Orang ramai di perkampungan Mahavilachchiya, iaitu 250 kilometer di utara Colombo melaporkan hujan lebat diikuti guruh dan petir di kawasan hutan sejak Jumaat lepas iaitu lokasi haiwan tersebut mati.

Insiden itu merupakan yang terburuk melibatkan gajah sejak Februari 2011 apabila seekor anak gajah lemas di dalam banjir besar di bahagian tenggara Colombo.

Walaupun gajah berada dalam status paling dihormati, hampir 200 ekor haiwan tersebut dibunuh oleh penduduk kampung selepas secara tidak sengaja tersesat ke ladang tanaman mereka, manakala haiwan itu sendiri telah menyebabkan kematian 50 orang setiap tahun. – AFP/Kosmo

Monday, 9 May 2016

Secawan kopi, sebiji kurma untuk mas kahwin



Al Ain: Seorang bapa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) hanya meminta secawan kopi Arab dan sebiji kurma kepada bakal suami enam anak perempuannya sebagai mas kahwin.
Menurut laporan yang kini menjadi viral di media sosial UAE, lelaki itu yang menetap di Al Ain mengambil keputusan itu bagi mengurangkan beban bakal pengantin lelaki.

Dia juga menggesa ibu bapa lain mencontohi tindakannya.
Menurut bapa itu, kos untuk melangsungkan perkahwinan di UAE kini terlalu mahal sehingga menyebabkan ramai lelaki tempatan menangguhkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga.
Mereka berbuat demikian untuk menyimpan wang secukupnya bagi hantaran dan mas kahwin serta perbelanjaan untuk majlis itu.
Lelaki berkenaan juga berkata, kos yang terlalu tinggi itu juga menyebabkan lelaki UAE memilih untuk mengahwini wanita asing.
Ramai pengguna media sosial memuji keputusan lelaki itu.
“Ibu bapa perlu membenarkan anak perempuan mereka berkahwin dengan lelaki yang baik, termasuk latar belakang mereka, bukan kerana kekayaan. Dengan mengambil keputusan itu, bapa itu menjamin anaknya akan hidup bahagia dengan suami mereka tanpa perlu menanggung beban hutang untuk berkahwinan,” kata seorang pengguna, Mohammed. - Agensi/Metro

Friday, 6 May 2016

Remaja perempuan mati dibakar hidup-hidup



Peshawar, Pakistan: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dibunuh dengan kejam selepas diberi dadah sebelum dibakar hidup-hidup dalam van jenis Suzuki oleh penduduk kampung kerana disyaki membantu rakannya melarikan diri dengan teman lelaki minggu lalu.
Mayatnya yang rentung ditemui Jumaat lalu, terikat di tempat duduk belakang van berkenaan di Kampung Galyat Makool di daerah Abbottabad.
Penduduk mendakwa kononnya remaja itu mengalami masalah mental dan cuba membunuh diri.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati pelajar itu diculik dari rumahnya selepas diberi makan sesuatu menyebabkan dia pengsan sebelum dibakar atas arahan ketua jawatankuasa kampung atau jirga sebagai hukuman membantu rakan sekolahnya itu, melarikan diri, pada malam yang sama dia diculik dari rumah.
Berikutan itu, polis menahan 14 orang, termasuk ketua jawatankuasa kampung, Muhammad Pervez, serta ibu remaja malang itu kerana menyokong keputusan jirga.
Timbalan Ketua Polis Abbottabad, Khurram Rasheed, berkata Muhammad yang mengaku melakukan jenayah itu, berkata dia ke rumah mangsa dan memanggil remaja berkenaan keluar pada malam 28 April lalu, memberinya makan sesuatu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudian diikat dan dimasukkan ke dalam van sebelum dibakar kira-kira jam 3 pagi. Jirga bukan saja menyalahi undang -undang malah tidak berperikemanusiaan,” katanya.

-Metro

Thursday, 5 May 2016

Kejamnya kamu wahai lelaki

Jakarta: Aktivis Indonesia mendesak kerajaan menggubal undang-undang dengan mengenakan hukuman lebih berat terhadap keganasan seksual selepas kejadian seorang pelajar perempuan 14 tahun dirogol beramai-ramai sebelum dibunuh oleh sekumpulan 14 lelaki ketika pulang dari sekolah di Bengkulu, Sumatera.
Kejadian itu berlaku 2 April lalu, namun ia hanya tersebar sejak beberapa hari lalu, selepas disiarkan di media sosial.
Dalam kejadian di sebuah kampung kecil itu, mangsa dikenali sebagai Yuyun, ditarik ke dalam hutan sebelum dirogol kumpulan lelaki yang sebahagian besarnya berusia bawah 18 tahun. Mayat mangsa ditemui tiga hari kemudian dalam keadaan penuh lebam, bogel dan terikat dalam parit.
Menurut polis mereka dikatakan mabuk minuman keras ketika kejadian dan 12 orang daripada kumpulan itu sudah ditahan.
Kejadian itu menimbulkan kemarahan orang ramai yang mendesak kerajaan bertindak tegas berikutan peningkatan kes kekejaman seksual dan jenayah terhadap wanita.
Presiden Joko Widodo turut memberi perhatian dengan mengutuk kejadian itu melalui Twitter menegaskan remaja dan kanak kanak perlu dilindungi daripada keganasan.- Metro


Komen Presiden Joko Widodo melalui Twitter yang mengutuk keganasan terhadap mangsa rogol yang dibunuh di Bengkulu. - Foto Twitter

Wednesday, 4 May 2016

Gadis cantik bak bidadari ditemukan nelayan

 Gadis yang dikatakan mirip patung Barbie ini sebenarnya anak patung
BANGGAI, Sulawesi Tenggara - Sekumpulan nelayan di daerah ini gempar apabila menemukan seorang gadis cantik mirip patung Barbie di tepi pantai Banggai Laut, baru-baru ini.

Portal pojoksatu melaporkan, tambah menghairankan penduduk Desa Kalupapi mukim Bakurun, daerah Banggai Laut, gadis itu sama sekali berbeza dengan remaja perempuan di kampung berkenaan, malah ditemukan tanpa memakai pakaian.
Ketika ditemukan pada 19 April lalu, gadis cantik itu seperti sedang menangis dan tubuhnya hanya ditutupi selendang nipis berwarna putih.
Hingga kini, penduduk kampung menganggap gadis itu adalah anak bidadari.
Ini kerana, wajahnya amat mirip anak patung Barbie yang mempunyai kening yang merah, mata yang bulat dan kulit yang putih bercahaya.
Gadis itu kini ditempatkan di sebuah rumah penduduk di Desa Kalupapi.
Menurut penduduk, gadis itu ditemukan mereka hanya beberapa saat selepas mereka mendengar bunyi kuat yang jatuh dari langit.
“Didapati gadis itu sedang menangis tanpa memakai apa-apa, hanya selendang putih yang membalut badannya.
“Selepas ditemukan, gadis itu ditempatkan di sebuah rumah penduduk kampung dan dia diberikan baju serta tudung,’’ kata Rano, nelayan yang menemukan gadis cantik itu.
Meskipun ada dalam kalangan penduduk percaya gadis itu adalah bidadari yang turun dari langit, tetapi ada juga yang tidak mempercayainya.
Namun, setelah siasatan dilakukan, ternyata gadis bidadari itu hanyalah patung mirip manusia dan dipercayai digunakan bagi tujuan seks.
“Setelah diteliti dan disiasat oleh anggota Polsek di lokasi penemuan gadis itu di Desa Kalupapi, ternyata bidadari itu tidak ada, sebaliknya ia hanyalah boneka silikon yang ditemukan nelayan.
“Anak patung itu dibawa pulang ke rumah nelayan, diberi pakaian dan diambil gambar sebelum ada pihak menyebarkannya dalam internet,” kata seorang anggota Polsek.

-Utusan