BOSTON – Seorang pesakit kanser menjadi penerima transplan zakar pertama di Amerika Syarikat(AS), kata pihak pengurusan sebuah hospital di Boston.
Hospital Besar Massachusetts mengesahkan kelmarin bahawa Thomas Manning dari Halifax, Massachusetts, menerima zakar transplan itu dalam prosedur pembedahan selama 15 jam, minggu lalu. Organ itu berasal daripada seorang penderma yang telah mati.
Akhbar New York Times melaporkan tentang pembedahan itu kelmarin.
Dalam wawancara bersama New York Times, ketua pasukan bedah berkenaan, Dr. Curtis Cetrulo berkata, Manning, 64, akan dapat membuang air kecil seperti biasa dalam masa beberapa minggu lagi dan melakukan hubungan kelamin beberapa bulan kemudian.
“Kami optimis tetapi berhati-hati. Kami belum pernah melakukan pembedahan seperti ini,” kata Cetrulo, seorang pakar bedah plastik dan pembentukan semula.
Manning yang tidak berkahwin menyatakan, dia sukar untuk mencari pasangan baharu selepas organ kelelakiannya terpaksa dipotong akibat barah zakar.
Kata Manning, dia bernasib baik jika zakar baharunya dapat berfungsi 75 peratus seperti zakar normal.
“Saya berharap cepat sembuh agar dapat kembali bekerja dan bercinta semula,” katanya.
Zakar yang didermakan itu datang dari Bank Organ New England, manakala pasukan perubatan berkenaan mengambil masa tiga tahun untuk membuat persiapan sebelum melakukan prosedur itu termasuk melakukan pembedahan serupa pada beberapa mayat.
Pembedahan ke atas Manning melibatkan kira-kira 12 doktor bedah dan 30 petugas perubatan lain, demikian menurut New York Times.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz48ybIUGZB
No comments:
Post a Comment