Sebanyak 10 jahitan di kepala selain lebam seluruh badan. Itulah ‘harga’ dibayar seorang lelaki berusia 51 tahun selepas menjadi mangsa belasahan teruk isterinya hanya kerana mangsa terlewat membeli juadah sarapan.
Lebih malang mangsa yang menetap di sebuah rumah di Jalan Ipoh di sini, turut dihalau sehelai sepinggang dari kediaman mereka oleh isterinya yang berusia 30-an awal pagi kelmarin.
Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang tidur dikejutkan isterinya sebelum mangsa diarahkan membeli sarapan.
“Mangsa segera masuk ke dalam bilik air untuk mandi.
Bagaimanapun, isterinya itu terus mendesak mangsa supaya cepat kononnya dia terlalu lapar.
“Lelaki terbabit memberitahu isterinya supaya bersabar sementara dia selesai mandi.
Bagaimanapun wanita terbabit bertindak memaki hamun mangsa,” katanya.
Sumber itu berkata, wanita yang berang kemudian bertindak memecahkan pintu bilik air berkenaan sebelum meluru masuk dan memukul suaminya itu dengan kayu.
“Ketika itu, mangsa hanya mampu merayu supaya tidak dipukul.
“Mangsa dikatakan berjaya melarikan diri sebelum bertindak mengurung diri di dalam satu bilik di rumah berkenaan kerana bimbang terus dibelasah isterinya itu,” katanya.
Menurutnya, suspek bagaimanapun bertindak menendang dan memecahkan pintu bilik berkenaan sebelum memukul suaminya itu menggunakan kayu.
“Wanita berlagak samseng itu hanya berhenti memukul mangsa selepas melihat kepala suaminya itu dipenuhi darah.
Mangsa yang berada dalam kesakitan kemudian dihalau dari rumah didiami itu,” katanya.
Sumber berkata, mangsa terpaksa akur dengan arahan isterinya itu kerana bimbang dipukul selain rumah didiami itu sudah dinamakan atas nama wanita berkenaan.
“Susulan itu mangsa bertindak membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, selepas tidak tahan dipukul sejak setahun lalu.
Mangsa mendakwa sudah tiga kali membuat laporan polis akibat didera isterinya sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
-Metro
No comments:
Post a Comment