Muzaffarnagar (India): Pasukan keselamatan diarah menembak perusuh ketika keganasan antara penganut agama semalam merebak di utara India.
Rusuhan meletus walaupun tentera menguatkuasakan perintah berkurung selepas penganut Islam dan Hindu bertempur pada hujung minggu. Polis berkata, tembakan dan pertempuran di jalanan tercetus Sabtu lalu di beberapa kampung sekitar Muzaffarnagar di negeri Uttar Pradesh yang menyebabkan sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh dan ramai lagi hilang.
Tentera yang dikerah ke daerah itu diberi arahan menembak perusuh, kata pegawai kerajaan Kamal Saxena.
Menjelang pagi semalam polis menahan 90 orang. Namun, keganasan masih merebak ke daerah bersebelahan iaitu Shamli dan Meerut sepanjang malam.
Beratus-ratus orang, sesetengahnya bersesak dalam kereta lembu cuba melarikan diri.
Sebuah keluarga cuba meninggalkan Kampung Kuttba dibelasah dengan batang besi dan batang kayu apabila ditangkap ketika berbalah.
“Suasana di seluruh kampung sangat tegang. Saya mahu menghantar keluarga ke tempat lebih selamat,“ kata Munavar, 24, ketika isteri dan anak perempuannya yang berusia lapan tahun dan anak saudara perempuannya yang berusia enam tahun terbaring di katil hospital dengan baju berlumuran darah dan kepala berbalut.
Keganasan tercetus malam Ahad lalu selepas beribu-ribu penduduk Hindu menuntut keadilan terhadap pembunuhan tiga penduduk Kampung Kawal 27 Ogos lalu.
- AP/Metro
No comments:
Post a Comment