KUALA LUMPUR 6 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengutuk
sekeras-kerasnya tindakan biadab sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
antarabangsa iaitu Human Rights Watch (HRW) yang menuntut Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepemimpinan negara mengkaji semula dasar
perundangan Artikel 377 Kanun Keseksaan.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata,
tindakan kurang ajar HRW tersebut adalah ibarat 'cacing naik ke mata'.
Katanya, perbuatan itu jelas menunjukkan HRW
menyokong amalan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta
langsung tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan
kesucian agama lain.
Menurutnya, rakyat perlu bangkit dan bersatu dalam
mempertahankan kesucian norma-norma masyarakat dan membantah tindakan tidak
bertanggungjawab NGO antarabangsa itu yang cuba mencampuri urusan perundangan
negara.
"HRW ini memang tidak senonoh dan saya fikir
dianggotai oleh orang yang tidak mempunyai agama dan kita perlu bangkit
menentang sebarang anasir luar yang cuba memporakperandakan pemikiran serta
norma masyarakat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan portal The Mole di www.mole.my
semalam yang mendedahkan HRW mengutus surat bertarikh 4 Disember lalu kepada
Najib bagi meminta Perdana Menteri tidak 'mendiskriminasi' golongan LGBT dan
memansuhkan Artikel 377 Kanun Keseksaan berkaitan amalan songsang itu.
Menerusi surat itu juga, HRW mendakwa undang-
undang tersebut bertentangan dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR)
yang ditandatangani Malaysia dan menegaskan orang dewasa di Malaysia perlu
bebas memilih pasangan masing-masing.
Najib pada 25 Jun lalu menegaskan, kerajaan akan
memastikan sebarang budaya songsang seperti perilaku LGBT serta pemikiran
menyeleweng seperti fahaman liberalisme dan pluralisme tidak akan mendapat
sebarang tempat di negara ini.
Ibrahim menambah, beliau memuji ketegasan Najib
dalam hal itu dan berharap Perdana Menteri serta kepimpinan negara tidak goyah
serta terus mempertahankan pendirian tersebut.
"Amalan LGBT jelas salah seperti dijelaskan
dalam al-Quran dan pada zaman moden terbukti menyebabkan penyakit AIDS, membawa
kehancuran rumah tangga dan melupuskan keturunan manusia di muka bumi.
"Individu yang mengamalkan atau menyokong
budaya LGBT mempunyai masalah mental seperti dijelaskan dalam kajian psikologi
antarabangsa dan sudah tentu tidak layak dijadikan pemimpin," katanya.
Sementara itu, Ibrahim turut menyifatkan pergaduhan
di antara dua kumpulan Melayu dari dua parti politik berhampiran masjid di
Gombak Utara dekat sini sehingga mengakibatkan kecederaan di kalangan mereka
terlibat adalah satu perkara yang amat memalukan.
Katanya, insiden itu membuktikan ada pihak yang
sanggup mengamalkan budaya politik ganas demi nafsu mengejar kuasa.
Apatah lagi, katanya, kejadian itu akibat amalan
ceramah berbentuk provokasi yang diamalkan oleh sesetengah parti politik.
"Dewan Rakyat belum dibubar tetapi ceramah
provokasi dijadikan amalan sepanjang masa dan ini pasti mencetuskan pergaduhan.
"Inikah yang dikatakan masyarakat madani yang
hendak ditegakkan. Inikah yang dikatakan mahu menegakkan keadilan walhal
perasaan diri sendiri saja yang dipentingkan," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.-Utusan
No comments:
Post a Comment