SAYA selalu mengalami
perasaan waswas dalam ibadah. Setiap kali berwuduk, saya membasuh muka
berkali-kali kerana tidak yakin semua bahagian telah tersentuh air. Dalam solat
pula, saya sering merasa waswas dengan takbiratul ihram, sama ada ia sudah
sempurna atau belum? Akibatnya saya selalu mengulang takbir beberapa kali
sebelum meneruskan solat. Tambah menyedihkan apabila di pertengahan solat, ada
ketikanya saya lupa dan waswas dengan jumlah rakaat yang telah dikerjakan dan
saya sungguh tersiksa dengan keadaan ini. Bagaimanakah cara mengubatinya?
JAWAPAN
WASWAS adalah
muslihat syaitan untuk merosak ibadah manusia. Anda bukan satu-satunya orang
yang mengalami perasaan seperti ini. Malah ramai di luar sana yang mengalami
perkara yang sama.
Saya pernah melihat
seseorang yang waswas dalam lafaz niat dalam solat. Ia berkata: Usolli
fardu…usolli fardu tanpa pernah masuk ke dalam solat. Ia berjaya masuk ke
dalam solat hanya selepas 10 minit kemudian.
Ada juga yang
begitu waswas dalam istinjak. Ia belum merasa bersih meski telah membasuh
tangannya berkali-kali.
Semua ini tidak
lain adalah perangkap syaitan. Orang yang menjadi mangsa biasanya mereka yang
belum menguasai ilmu agama dan hukum-hakam dengan sempurna.
Berkata Imam
Al-Syarbini dalam kitab Al-Iqna: "Waswas ketika takbiratul ihram
adalah permainan syaitan. Sikap ini menunjukkan kelemahan dalam ilmu
agama."
Justeru ubat yang
paling efektif bagi mengubati penyakit ini adalah ilmu. Pelajarilah ilmu agama
secara mendalam dan berdampinglah dengan para ulama. Anda akan melihat bahawa
ajaran Islam sebenarnya sederhana lagi mudah. Dan berlebihan dalam ibadah sama
sekali tidak disukai oleh Islam.
Dengan ilmu kita
tahu bahawa niat sebenarnya di hati, bukan di lisan. Ucapan kalimat usolli
hanya untuk membantu menghadirkan niat di hati. Maka mengulang kalimat ini
berkali-kali sama sekali bukan tuntutan agama menurut kesepakatan ulama.
Ilmu juga
memahamkan kita bahawa pembaziran air sesuatu yang terlarang. Maka, berlebih
dalam membasuh anggota wuduk atau beristinjak bukan sahaja tidak dianjurkan,
malah tidak disukai. Oleh itu menurutkan bisikan dan waswas hanya menjauhkan
kita daripada kesempurnaan ibadah.
Abaikan
Dalam pelbagai
hadis, Rasulullah mengajarkan kita agar selalu mengabaikan waswas setiap kali
syaitan membisikkannya ke dalam hati kita. Jangan sekali-kali menurut bisikan
ini apalagi hanyut dalam tuntutannya. Sebaliknya, mintalah bukti atas kebenaran
dakwaannya. Setakat dakwaan tanpa bukti tidak boleh diterima.
Rasulullah SAW
bersabda: "Jika syaitan mendatangi salah seorang daripada kamu lalu
membisikkan: "Wudukmu telah terbatal", maka katakanlah: "Engkau
dusta!" Kecuali jika ia mencium bau atau mendengar suara (kentut)."
(riwayat Abu Dawud.
Jika perasaan
waswas itu tidak juga hilang, maka lakukanlah perkara yang bertentangan
dengannya. Sebab syaitan akan sangat kecewa jika kita bukan setakat mengabaikan
perintahnya, malah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah itu.
Seseorang pesakit
waswas pernah mendatangi Kyai Zuhri Mutamim, ulama besar di Singapura yang
wafat pada 1985. Ia berkata: "Saya selalu merasa waswas setiap kali
selepas beristinjak. Saya merasa tangan saya belum bersih meskipun saya telah
membasuhnya berkali-kali. Bagaimanakah caranya untuk meyakinkan hati saya
bahawa tangan saya telah benar-benar bersih?"
Beliau menjawab:
"Ceduklah air dengan kedua tanganmu, lalu minumlah."
Sungguh bijak
jawapan beliau.
Zikir
Terakhir, jangan
lupa untuk selalu menghadirkan nama Allah setiap saat. Sebab syaitan akan
mengecil dan menyusut setiap kali disebut nama Allah SWT.
Dalam sebuah hadis
riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: "Jika seseorang berkata:
Bismillah, maka syaitan mengecil hingga sebesar lalat."
Ibnu Kathir dalam
Tafsir-nya berkata: "Sanad hadis ini kuat. Ini menunjukkan bahawa apabila
hati kita menyebut nama Allah, syaitan akan mengecil dan kalah. Namun apabila
kita tidak mengingat Allah, ia menjadi semakin besar dan kuat."
Sebahagian ulama
menganjurkan membaca Lailaha illallah setiap kali seseorang merasakan
perasaan waswas dalam wuduk, solat atau ibadah lainnya. Sebab kalimat tauhid
ini adalah zikir yang terbesar. Demikian anjuran ini terdapat dalam kitab Tuhfat
Al-Habib 'ala Syarh Al-Khatib.
Bacaan lain adalah
ta'awwuz, yakni membaca: "A'uzubillah minasyaitannirrajim.
Maknanya: "Aku berlindung kepada Allah daripada (kejahatan) syaitan yang
direjam."
Selain
bacaan-bacaan ini, bacalah zikir yang anda mampu. Semakin hati kita penuh
dengan zikir, semakin syaitan dan tipu dayanya menjauh daripada diri kita.
Wallahu a'lam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121002/ba_04/Muslihat-jahat-syaitan#ixzz28IOKgEtz
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment