ASSABIAH secara harfiah bererti fanatisme kesukuan
atau golongan. Fanatisme ini melahirkan sikap pembelaan bermati-matian segala
hal yang dianggap sebagai milik sukunya sendiri, terutama bersangkutan dengan
nilai, tradisi, harta benda dan kekuasaan.
Apabila merasakan adanya ancaman daripada suku
lain, maka anggota suatu suku itu tidak akan 'segan-segan' memerangi dan
membinasakan suku atau golongan lain.
Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab sering kali
mengalami peperangan pertumpahan darah antara suku kerana didorong oleh
assabiah atau rasa fanatisme kesukuan yang sangat kuat (assabiah jahiliah).
Suku yang kuat mengalahkan suku yang lemah dan akan tampil sebagai di antara
suku-suku lain yang ditaklukkannya.
Nabi Muhammad SAW melarang assabiah dalam erti
sempit ini, namun menganjurkan assabiah yang yang berasaskan Islam (assabiah
Islamiah), iaitu semangat nasional yang berjiwa Islam.
Assabiah merupakan istilah kunci teori Ibnu
Khaldun, pemikir Islam dari Tunisia. Dalam bab ketiga bukunya, Muqaddimah,
ia membahas masalah assabiah dan kaitannya dengan perkembangan masyarakat dan
negara.
Menurut Ibnu Khaldun, tujuan assabiah ialah
kekuasaan negara demi kebaikan rakyat. Kerana itu, assabiah tidak cukup hanya
dilandasi kekuasaan fizikal yang mungkin saja cenderung kepada kejahatan tetapi
juga harus dilandasi moral, iaitu agama dan akhlak.
Dari sudut pandang ini, kelihatan bahawa Ibnu
Khaldun memandang positif sikap assabiah.
Istilah assabiah dalam Islam memiliki konotasi yang
tidak baik, kerana mengandungi unsur ekstremisme atau sikap patriotik yang
berlebihan terhadap kelompok suku atau golongannya, yang merupakan salah satu
ciri kehidupan jahiliah (assabiah jahiliah).
Rasulullah SAW sendiri pernah merasa prihatin atas
adanya bibit-bibit permusuhan antara suku di kalangan orang Arab. Nabi menentang
sikap fanatisme kesukuan (assabiah jahiliah) ini dengan persatuan secara
menyeluruh (jemaah; assabiah Islamiah).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Muslim (202 Hijrah /817 Masihi - 261 Hijrah /875 Masihi), Rasulullah SAW
menegaskan bahawa barang siapa meninggalkan jemaah, lalu mati membela assabiah,
maka ia mati secara jahiliah.
Assabiah kesukuan atau golongan diperlukan untuk
mendorong seseorang sampai ke puncak kekuasaan. Oleh kerana itu, menurut Ibnu
Khaldun, assabiah sangat penting pada awal berdirinya sebuah negara.
Bagaimanapun, apabila kekuasaan negara yang diperjuangkan itu telah tercapai,
maka assabiah kesukuan harus segera diganti dengan kebangsaan atau
nasionalisme.
Dalam Islam, semua manusia, suku dan bangsa
memiliki darjat yang sama di hadapan Allah SWT yang membezakan mereka adalah
kadar ketakwaan kepada Allah SWT (rujuk az-Zukruf: 13)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121002/ba_02/Assabiah-Islamiah#ixzz28IOkuJuc
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment