Ramadan membangun jiwa muttaqeen
PENULIS ialah Profesor Pendidikan Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
DALAM Surah al-Baqarah ayat 183 dinyatakan
dengan jelas mengenai orang yang beriman dan kewajipan untuk melakukan siyam
atau puasa. Ayat itu juga memberi perisyaratan hubungan siyam sebagai
madrasah rohiyyah untuk membangun jiwa muttaqeen.
Jiwa muttaqeen adalah puncak kepada
kemuliaan diri insan di sisi Allah (Surah al-Hujurat ayat 13). Isu takwa
ini adalah isu pokok yang membezakan orang yang beriman dengan yang lainnya.
Pancaran jiwa muttaqeen adalah gambaran hubungan rapat manusia dengan
Allah (taqarrub Ilallah).
Kedekatan hubungan Khaliq-Makhluk ini menyebabkan
seluruh pertimbangan manusia dalam percakapan, perbuatan dan amalnya mengambil
pertimbangan Allah untuk mendapatkan redha-Nya.
Siyam dalam maksud yang luas bukan sekadar menahan
diri dari lapar dan dahaga tetapi adalah madrasah rohiyyah yang melatih
insan terhadap kawalan diri zahir dan batin. Latihan ini amat penting kepada
manusia supaya jiwa abid (ahli ibadah) sentiasa dalam kehambaan dirinya
dengan Allah.
Ia membangun jiwa ibadullah dan ibadurrahman
yang membentuk watak abid menjadi orang yang berjiwa ruku' dan sujud. Asas ini
amat penting bagi menghasilkan jiwa patuh, taat, akur dan tunduk dan pekerti
taabudi yang tinggi kepada Allah.
MADRASAH ROHIYYAH
Rasulullah SAW dalam hadisnya memberi asas mengenai
disiplin dan adab. "Ya Allah didiklah aku dengan didikan yang
terbaik". Adab dan ta'dib adalah sesuatu yang amat penting dalam melakukan
tarbiyyah terhadap rijal atau manusia.
Addaba membawa maksud adab merujuk kepada disiplin
akal, hati dan amal. Perjalanan rijal membangun disiplin akal
membolehkan penjanaan ilmu berlaku, ketangkasan hati terjadi dan kebaikan amal
terlihat. Ia amat penting sebagai suatu proses pembangunan insan seutuhnya.
Tanpa disiplin, adab tidak akan lahir.
Fokus pembangunan rijal ialah hati. Faktor
dalaman diri manusia ini memerlukan tarbiyyah rohhiyyah supaya terhubung
antara faktor akal dengan faktor naql atau wahyu yang menyerasikan fikir
dan zikir supaya ia memberi makna kepada amalan.
Siyam yang dilalui adalah proses memperkukuh hati
dengan kawalan diri yang tinggi. Siyam dalam ertikata yang luas tidak sekadar
menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi ia juga mengawal pancaindera
daripada terhubung dengan perkara-perkara yang mungkar dan menyalahi. Siyam
juga meletakkan manusia memiliki daya ihsan yang tinggi dengan Allah kerana
jiwa muttaqeen meletakkan Allah itu segala-gala.
AL-QURAN SEBAGAI PETUNJUK
Al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 185
memberikan perisyaratan tentang al Quran ditanzilkan pada bulan Ramadan untuk
memberi pertunjuk kepada manusia mengenai yang hak dan batil.
Maksud petunjuk dalam Islam amat luas maknanya.
Al-Quran tidak sekadar memberikan manusia ilmu, maklumat, prinsip dan kisah
tetapi terkandung hikmah yang tinggi membentuk pemikiran yang rohhiyy
mengenai kebesaran Allah dan hikmah yang terdapat dalam kejadian-Nya.
Petunjuk tidak sekadar menjadikan manusia berilmu
tetapi sekali gus membentuk akhlak karimah yang menjadi sumber teladan dan
ikutan kepada manusia.
Al-Quran tidak sekadar ayat-ayat yang bersifat harfiah
dibaca untuk mendapatkan fadhilat atau pahala tetapi ia sarat dengan ilmu
sebagai sumber petunjuk memahami alam dan kehidupan dan bukti-bukti saintifik
bagi keperluan manusia.
Ramadan yang dilalui diiringi dengan tilawah dan
tadarus mendekatkan para abid dengan kalimatullah supaya al-Quran sentiasa
dijadikan sumber petunjuk dalam proses pengilmuan dan kehidupan.
JIHAD AN NAFS
Rasulullah SAW selepas kembali dari Perang Badr
yang berlaku dalam bulan Ramadan menyatakan kepada sahabat bahawa "Kita
baru saja kembali dari perang yang kecil ( jihad al-asghar) dan akan
berhadapan dengan jihad yang lebih besar (jihad al-akbar) atau jihad al- nafs
iaitu jihad nafsu atau jihad diri.
Manusia yang memiliki nafsu adalah sebesar-besar
cabaran dalam perjuangan hidup. Sesetengah ulama mengkategorikan nafsu dalam
tiga tahap iaitu Nafs amarah bissuk iaitu nafsu haiwani, nafsul
lawamah dan nafs al mutmainnah iaitu nafsu orang berjiwa tenang.
Faktor nafsu adalah sesuatu yang fitrah dikurniakan
Allah kepada manusia. Tanpa nafsu manusia hilang keinginan, kemahuan dan
perasaan. Daripada nafsu yang dimiliki manusia memerlukan tarbiyyah rohiyyah
supaya nafsu dapat dikawal dan mencari ititk keseimbangan dalam melaksanakan
amalan, keinginan dan perbuatan.
Contoh mudah nafsu ini ialah ibarat kuda liar. Kuda
liar apabila ditunggangi boleh menyebabkan penunggang menghadapi masalah.
Justeru kuda perlu dijinakkan dengan latihan dan kawalan tali kekang. Kuda yang
jinak dan terlatih akan ikut cakap tuannya atau penunggang itu sendiri.
Nafsu manusia juga sedemikian. Ramadan yang dilalui
dengan siyam sebagai intipati penjinakan hati dan pengawalan diri bakal
meletakkan hati insan dalam jiwa muttaqeen. Disiplin hati ini amat
penting kepada manusia kerana setiap amal bermula dengan niat.
Kalau niat manusia terbina dengan rasa taabudi yang
tinggi rasa ketakwaan akan hadir dalam diri manusia dan ia menjadi asas bagi
menatijahkan amal soleh dan solehah bagi insan.
KEMBALI KEPADA FITRAH
Sebulan Ramadan yang dilalui merupakan tazkiah an
nafs bagi orang yang beriman dengan mengalami proses pengawalan diri,
pembersihan jiwa dan hati supaya insaf ketuhanan berlaku dan ia adalah
barometer yang memberikan daya kawalan hati dan amal.
Madrasah Rohiyyah yang dilalui ini dengan
solat tarawih, qiyam dan tahajud membolehkan jiwa ruku' dan sujud
terbina, berbuka dan sahur adalah tanda kesyukuran terhadap rahmat Allah dan
ujian bangun pagi bagi yang beriman, menggunakan pancaindera secara makruf,
selalu melakukan muhasabah diri di depan Allah supaya jiwa tawaduk mengambil
tempat hingga para abid (ahli ibadah) sentiasa melakukan sesuatu dalam
redha-Nya.
Asas ini sangat penting bagi mengembalikan semula
orang yang beriman ke dalam fitrah diri. Diumpamakan sebuah kereta yang lalu di
lebuh raya kehidupan memerlukan ia dibawa ke bengkel untuk digantikan minyak
hitam atau pistonnya supaya kereta ini sentiasa dalam keadaan baik untuk
menjalani lebuh raya kehidupan yang banyak cabarannya.
Aidilfitri yang dirayakan selepas sebulan melalui
madrasah rohiyyah ibarat kelahiran anak kecil seputih kain untuk melalui
perjalanan hidup yang fitrah. Manusia yang beriman akan melalui proses
transformasi diri yang hebat.
Kalau dulunya para abid ini seorang sombong dan
takabur, melalui Madrasah Ramadan ia menjadi seorang yang tawaduk dan
menginsafi diri bahawa seluruh rahmah dan nikmah itu datangnya daripada Allah.
Dari seorang yang kedekut dan bakhil menjadi
seorang pemurah dan memiliki ihsan yang tinggi terhadap manusia lain. Dari
seorang yang gelojoh, melampau dalam cakap dan perbuatan menjadi seorang yang
tenang dan sabar. Jika ini berlaku ia adalah tanda- tanda transformasi atau
perubahan diri insan yang mengembalikan diri kepada fitrah.
Perubahan diri manusia boleh diukur apabila setiap
proses tarbiyyah berlaku. Ukuran yang paling nyata ialah terhadap akhlak
dan gelagat manusia. Kalau sebelum Ramadan amal-amal yang bersifat mazmumah
nyata ada pada dirinya.
Tetapi selepas melalui proses tarbiyyah an nafs
ini wataknya berubah dan memiliki kekuatan amal yang sifatnya mahmudah.
Sukakan hal-hal yang baik dan bermanfaat, tidak
kedekut dan bakhil, baik sangka terhadap manusia lain, memiliki sifat kasih
sayang dan belas kasihan yang tinggi. Sekiranya ini tidak terjadi bermakna tarbiyyah
rohiyyah tidak terjadi dan ia tidak kembali ke fitrah dan ramadan tidak
membentuknya menjadi orang yang berjiwa muttaqeen.
Muhasabah ini penting supaya melalui Ramadan
mestilah dengan hati ikhlas dan suci bersih. Lantaran kembalinya insan kepada
tuntutan fitrah adalah isyarat orang yang menerima redha Allah.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment