Friday, 27 July 2012


Arab Spring berbeza dengan kita
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

BEBERAPA hari lalu, seorang pelajar Malaysia dari Fakulti Pengajian Bahasa Arab dan Syariah Maahad Duali di Syria, Abdullah Mohd. Shauki yang dihubungi oleh rakan saya, Sofian Baharom memberitahu, ibadat solat tarawih di masjid-masjid sekitar Damsyik terpaksa dilakukan lapan rakaat sahaja kerana huru-hara yang mengancam makmumnya.
Jemaah lain merungut kerana mahukan rakaat yang lebih. Di sempadan Syria-Iraq pula beberapa hari lepas, pengawal sempadan Iraq hanya terdaya melihat seorang kolonel Syria sedang dipotong kedua-dua belah kaki dan tangannya oleh anggota pemberontak negara berkenaan manakala 12 tentera Syria turut ditembak mati.
Kita di Malaysia bernasib baik walaupun ada pihak tertentu dalam ucapan-ucapan mereka cuba mengaitkan besar kemungkinan Malaysia akan berlaku Arab Spring seperti yang terjadi di Asia Barat, tetapi ia sukar berlaku.
Apabila Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali yang dijatuhkan oleh rakyatnya pada Januari 2011, ada pihak di negara ini mengaitkan Malaysia akan menghadapi suasana yang sama. Rakyat kononnya kata mereka akan bangun dan menolak kerajaan demokrasi yang ada.
Arab Spring berterusan lagi dengan gugurnya Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada Februari 2011, diikuti jatuhnya Presiden Libya, Muammar Gaddafi pada Ogos 2011. Semuanya terjadi pada 2011. Dan pergolakan Arab Spring di Syria sedang berlangsung.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan, mengakui pihak tertentu terutama sekali pakatan pembangkang memang ingin mengaitkan Malaysia adalah sama suasananya seperti Arab Spring.
"Ertinya suatu perbandingan tentang musim luruh yang jatuh berturutan, daun-daun yang berturutan gugur satu persatu akibat dari sistem yang rapuh.
"Sedangkan di Malaysia tidak berlaku demikian sebab Arab Spring ini mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat tersendiri," kata beliau.
Apakah sifat Arab Spring? Apakah punca revolusi Arab yang berlaku sehingga menyebabkan terjadi penolakan rakyat terhadap para pemimpin mereka.
Fuad menilai isu ini daripada sudut berikut:
1. Semua pemimpin di Asia Barat yang dijatuhkan oleh rakyat mereka naik secara kudeta (rampasan kuasa). Baik Zin al-Abidine yang mengambil kuasa daripada Habib Bourguiba, juga sama dengan Gaddafi dan Mubarak. Latar belakang mereka semuanya daripada militari. Naik secara militari dan ditolak secara militar. Oleh kerana naik secara militar, sudah tentulah dia berkuasa secara autokratik dan kuku besi.
2. Para pemimpin yang digulingkan ini sifatnya naik secara militar dan memerintah dalam tempoh begitu lama. Zin al-Abidine memerintah selama 24 tahun, Mubarak (30 tahun) tetapi sebelum itu selama enam tahun sebagai Naib Presiden. Itu bermakna 36 tahun. Mereka mempunyai rekod hak asasi manusia yang buruk. Oleh kerana dia tentera, dia empunyai kecenderungan untuk menyekat kebangkitan ataupun pandangan Arab yang berbeza.
3. Malaysia, sebuah negara yang demokratik. Pemimpin yang naik dipilih oleh rakyat melalui satu sistem demokrasi pilihan raya. Ia sudah bersilih ganti sejak 55 tahun sehingga enam Perdana Menteri. Dan masing-masing Perdana Menteri silih berganti menyambung usaha sebelumnya dalam memajukan kepentingan rakyat. Sentiasa ada pembaharuan.
4. Sentiasa berlaku pembaharuan di Malaysia. Kalau dilihat pada kadar ketelusan (transparency) negara-negara yang terlibat dalam kebangkitan Arab Spring, kebanyakannya dari segi indeks ketelusan antarabangsa mendapat markah kurang daripada 4 berbanding dengan keseluruhan 10. Kebanyakan negara yang runtuh akibat Arab Spring adalah kurang daripada 4. Tunisia cuma 3.8 daripada kadar ketelusan. Maknanya, rasuah berlaku. Di Mesir pula, kadar ketelusan hanya 2.9 peratus, Syria (2.6), Iran 2.7 dan Libya 2.
Sedangkan Malaysia mencatat 4.3 kadar ketelusan dan Turki 4.2, sekali gus bermakna Malaysia lebih baik. Walaupun pemimpin pembangkang selalu membandingkan Malaysia dengan Turki dengan mengatakan Turki lebih baik dan sebagainya, tetapi indeks transprensi international menyatakan kadar ketelusan kita lebih baik berbanding Turki, baik daripada Indonesia, baik daripada Iran 2.7.
Namun, tidak usahlah dibandingkan negara ini dengan Qatar dan Brunei sebab di sana tidak boleh sesiapa persoalkan sebab mereka sistem beraja.
5. Kadar inflasi di kebanyakan negara yang menghadapi Arab Spring adalah tinggi. Apabila inflasi tinggi, harga barang menjadi mahal, jadi, rakyat memberontak. Contohnya, Mesir mencatat 8.6 peratus inflasi, sangat tinggi. Di Tunisia pula kadar inflasinya mencecah 5.4 peratus, Turki paling tinggi 8.7 dan Malaysia sekadar berpuas hati dengan hasil 1.7 peratus.
6. Walaupun ramai bisingkan harga sesuatu barang agak mahal, kita sebenarnya mempunyai kadar subsidi yang cukup tinggi berbanding negara lain.
7. Dari segi negara selamat, Malaysia menduduki tangga ke-19 di seluruh dunia daripada 153 negara yang dikatakan selamat daripada Global Peace Index. Maknanya dari segi itu, kita patut bersyukur oleh kerana berada dalam negara yang aman.
Daripada Global Peace Index, kadar jenayah menunjukkan tanda-tanda menurun. Contohnya, melalui NKRA kadar jenayah jalanan menurun dua peratus.
8. Kehidupan rakyat Malaysia jauh lebih baik berbanding rakyat negara lain. Pada era Presiden Suharto, pembangkang menjadi senyap dan tidak terbuka. Di Libya langsung tiada pembangkang, mereka diberi tekanan.
9. Perdana Menteri ketika ini menekankan soal maqasid syariah (matlamat mengikut aturan Islam) yang dicapai untuk kepentingan umat. Sebab itu, dalam maqasid syariah, antara perkara ditekankan ialah bagaimana seseorang itu harus menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Ini ditekankan untuk kebajikan rakyat.
Menurut Fuad, pembangkang di negara ini akan cuba menggunakan Arab Spring sebagai jalan mudah untuk menakut-nakutkan rakyat dan pemimpin.
"Mereka sudah cuba sistem demokrasi tetapi mereka gagal sejak 1955 lagi. Sebabnya, dasar mereka gagal diterima rakyat. Sebab itu mereka mengalun-alunkan Arab Spring. Bila gagal cara 'demokrasi', mereka menggunakan keganasan," katanya. 

No comments: