Friday, 2 March 2018

Sumbat bebola kaca



Beijing: Seorang lelaki di China menanggung malu apabila terpaksa pergi ke hospital untuk mendapatkan bantuan selepas bebola kaca selebar 7.62 sentimeter tersekat di dalam duburnya.
Kejadian itu berlaku di Dongguan, Wilayah Guangdong baru-baru ini apabila lelaki dikenali sebagai Xiao Ming, 31, pergi ke hospital kerana mengalami sakit perut yang teruk selepas objek itu tersekat di rektum selama tujuh jam.
Doktor kemudian membuat ujian X-ray di perutnya dan terkejut apabila mendapati objek bulat tersekat di bahagian rektumnya.
Guangdong Public Channels melaporkan, doktor berjaya melakukan pembedahan untuk menolak objek itu ke lubang duburnya dan mengeluarkannya menggunakan forsep dalam tempoh sejam.
Seorang doktor memberitahu, dia menggunakan alat untuk memeriksa bahagian dalam perut lelaki itu sebelum menggunakan tangannya untuk menekat perut bagi menolak objek besar itu.

BEBOLA kaca selebar 7.62 sentimeter yang berjaya dikeluarkan oleh doktor. -Guangdong Public Channels
Jelasnya, pesakit gagal mengeluarkan bebola itu kerana ia terlalu besar dan dia mungkin berdepan kejutan septik dan berdepan risiko usus berlubang jika lambat mendapatkan rawatan.
Xiao Ming memberitahu doktor, dia mempunyai ketagihan memasukkan objek ke dalam duburnya tetapi biasanya dia boleh mengeluarkannya semula.
Bagaimanapun kali ini, dia gagal mengeluarkan objek itu kerana ia terlalu besar.

-Metro

Thursday, 1 March 2018

Dunia oh dunia: Lelaki bersolek takut hantu janda

Bangkok: Hantu janda jahat yang dilaporkan mengganas di kampung terpencil di Thailand menyebabkan penduduk lelaki yang ketakutan memakai pakaian wanita dan bersolek sebelum tidur bagi mengelak menjadi mangsa hantu berkenaan.
Penduduk kampung Nakhon Phanom di timur laut Thailand turut menggantung patung lelaki dengan kemaluan besar di luar rumah yang dipercayai mampu menakutkan hantu berkenaan.
Kampung mempunyai 90 penduduk itu mula diselubungi panik dan ketakutan sejak beberapa minggu lalu selepas lima lelaki muda serta sihat, tiba-tiba meninggal dunia ketika tidur.
Penduduk percaya kampung mereka diganggu hantu janda yang menggoda kaum lelaki ketika tidur sebelum membawa roh mereka bersamanya.
Selepas beberapa kematian, penduduk mula menggantung patung berzakar besar berserta tulisan ‘tiada lelaki di sini’.
Penduduk percaya zakar besar adalah simbol kelelakian dan kekuatan yang menyebabkan hantu itu tertarik dengan patung berkenaan, bukannya manusia.
Kaum wanita yang bimbang memaksa suami mereka memakai pakaian perempuan dan bersolek sebelum tidur bagi menipu hantu berkenaan.
Penduduk mendakwa, ia dianggap berjaya kerana tiada seorangpun lelaki meninggal dunia sejak seminggu lalu.
Penduduk Nong Ayu, 68, berkata, semua orang takut dengan hantu janda itu dan ada khabar angin lelaki di kampung berhampiran turut menerima nasib sama.
“Tiada siapa tahu puncanya dan orang tua di kampung ini bimbang hantu itu akan membunuh remaja lelaki pula. Akhirnya tiada lagi lelaki di kampung ini,” katanya.
Lima lelaki yang masih sihat itu ditemui mati tidak lama selepas mandi dan tidur, sejak awal bulan ini.

-Metro

Wednesday, 28 February 2018

Ular berbisa 'menyorok' dalam bekal anak

Ular berbisa 'menyorok' dalam bekal anak
Reptilia kecil itu merupakan ular paling berbisa di dunia.

SYDNEY - AUSTRALIA . Seorang wanita di Australia terkejut selepas menemui ular berbisa dalam bekas bekal anaknya.
Anak ular itu ditemui pada penutup lunchbox  tersebut ketika wanita terbabit sedang menyediakan bekal makan tengah hari di kediamannya di Hahndorf berhampiran Adelaide, kelmarin.
"Hasil pemeriksaan saya mendapati ia adalah spesies eastern brown yang merupakan salah satu ular paling berbisa di dunia. Ia berjaya 'dikeluarkan' dengan selamat.
"Walaupun saiznya kecil, ia mempunyai racun yang berbahaya," menurut pengendali haiwan reptilia, Rolly Burrell.
Jelasnya, mujur wanita itu ternampak ular tersebut kerana anaknya mungkin tidak akan sedar jika ia digigit reptilia sekecil itu.
"Ular kecil tersebut mungkin memilih dapur untuk bersembunyi kerana ia adalah tempat paling gelap dalam rumah itu," katanya lagi.
Sejak 2000, spesies eastern brown  tersebut  telah menyebabkan 23 kematian di negara terbabit.

 - BBC/Sinar

Ditinggal pengantin perempuan kerana botak

Ditinggal pengantin perempuan kerana botak
Kumar mengahwini Neha Kumari, gadis yang tidak dikenalinya selepas pengantin sebenar enggan berkahwin selepas melihat kepalanya semakin botak.

NEW DELHI - INDIA. Seorang doktor di India nekad mengahwini wanita yang tidak dikenalinya selepas ditinggalkan pengantin sebenar atas alasan kepalanya semakin botak.

Pada 18 Februari lalu, Ravi Kumar melalui perjalanan sejauh hampir 1,000 kilometer dari New Delhi ke perkampungan Sugauli di Bihar sempena majlis raikan cinta itu.

Pada asalnya majlis itu berlangsung seperti yang dirancang dengan kehadiran para tetamu yang turut memeriahkan hari bahagia mereka.

Pasangan itu juga sudah selesai menjalani upacara menyarungkan kalung.

Bagaimanapun, hari bersejarah pasangan mempelai itu bertukar 'tragedi' selepas Dr Kumar menanggalkan hiasan kepalanya.

Pengantin perempuan tersebut dikatakan terkejut selepas melihat kepala bakal suaminya yang hampir botak.

Dia kemudiannya menolak untuk berkahwin dengan lelaki terbabit walaupun keluarga kedua-dua belah pihak cuba memujuknya untuk mengubah keputusan itu.    
  
Susulan insiden memalukan itu, keluarga pengantin lelaki bertindak meminta bantuan pemimpin kampung kerana Dr Kumar enggan pulang ke bandar tanpa 'isteri' di sisinya.

Mereka mencadangkan Dr Kumar mengahwini seorang anak penjual sayur.

Pasangan itu mengikat tali perkahwinan mereka di Kuil Ramjanki disaksikan keluarga pihak lelaki dua hari selepas majlis asal dibatalkan. 


- Daily Mail/Sinar

Tuesday, 27 February 2018

Kau kembali anakku...



TIDAK dapat digambarkan perasaan rindu seorang ibu yang dapat bertemu semula anaknya selepas terpisah 10 tahun.
Malah kegembiraan terpancar sehingga dia melutut memeluk kaki lelaki berusia 31 tahun itu selepas berjumpa semula menerusi pertemuan diatur oleh kumpulan sukarelawan tempatan di China.
Dua beranak itu terpisah sejak 2008 selepas anaknya keluar mencari pekerjaan di selatan China yang terletak kira-kira 1,100 kilometer dari rumah mereka di wilayah Hubei.
Bagaimanapun, dia malu dengan dirinya untuk pulang ke pangkuan keluarga kerana gagal mendapat pekerjaan.
Anaknya itu berkata dia lebih sanggup tidur di kaki lima hidup sebagai gelandangan di wilayah Guangdong.
Ibunya, 56, jatuh sakit kerana terlalu rindukan anaknya akhirnya menerima berita gembira daripada kumpulan sukarelawan itu pada 20 Februari lalu.
Menurut kumpulan dikenali sebagai ‘Let Love Go Home’ itu, lelaki terbabit dikenali sebagai Wang Yun manakala ibunya menggunakan nama keluarga Feng.
Pengasasnya, Zhang Shiwei berkata, matlamat mereka adalah menemukan gelandangan yang terpisah dengan keluarga mereka.
“Pada mulanya, Wang enggan dibantu namun kami berjaya mengesan keluarganya. Bapanya juga menyangka dia sudah meninggal dunia.
“Sebaik menemukan dia dan ibunya, wanita itu hanya menangis, melutut dan memeluk kaki anaknya dan suasana itu amat menyentuh perasaan kami selepas berjaya membantu mereka,” katanya.

-Metro

Swafoto sebelum belasah mati


Kerala: Seorang lelaki berusia 27 tahun dibelasah mati 15 penduduk kampung yang juga sempat mengambil swafoto yang disebarkan di Internet kerana dituduh mencuri dalam kejadian yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
Satu imej dimuat naik di media sosial menunjukkan seorang lelaki memegang kayu menyoal mangsa, sementara seorang lagi dilihat mengambil swafoto bersamanya.
Ketua polis negeri, Loknath Behera berkata, lelaki dikenali sebagai Madhu ditangkap orang ramai kerana disyaki mencuri sebelum dipukul dengan kejam.
Dia kemudian dibawa ke balai polis, namun pengsan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
“Ini jenayah kejam. Masyarakat yang bertamadun tidak boleh menerima perbuatan seumpama ini.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah,” kata Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan di Facebook.
Sementara itu, aktivis Dhanya Raman berkata, Madhu pesakit mental yang sering dilihat berkeliaran di kawasan itu sejak lebih setahun lalu.
Pada masa sama, polis berkata, Madhu memang sering mencuri makanan, malah pernah ditangkap melakukannya di sebuah kedai.
Ibunya Malliamma berkata, anaknya hidup gelandangan, malah pernah tinggal di dalam gua, tetapi menafikan Madhu pencuri.

-metro

Monday, 26 February 2018

Anak belasah ibu sampai mati



Anak belasah ibu sampai mati
Imej pegun video menunjukkan suspek membelasah mangsa yang juga ibunya sendiri.

NEW DELHI - Seorang anak tergamak mencekik dan menghempas ibunya yang berusia 82 tahun ke lantai dalam satu kejadian yang menggemparkan India, baru-baru ini.


Polis berkata, insiden menyayat itu berlaku di Alwar, Rajashtan.
Suspek dikenali sebagai Jogendra Choudhary, 50, seorang guru di sebuah sekolah tempatan.

"Kejadian itu sempat dirakam cucu wanita terbabit. Dia mahu mendedahkan perangai sebenar pakciknya yang sering mendera mangsa sejak enam bulan lalu," kata jurucakap polis Alwar.

Jogendra melarikan diri dan bersembunyi selepas rakaman video tersebut tular di media sosial.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat terhadap Jogendra dan polis sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 386 dan 506 Kanun Prosedur Jenayah India (IPC). 

- Times of India/Metro

Friday, 23 February 2018

'Patutlah kepalaku berat'



PAKAR bedah di sebuah hospital di Mumbai, India, mengeluarkan ketumbuhan dalam otak seorang lelaki - dipercayai paling berat di dunia.
Pakar bedah neuro, Trimurti Nadkarni, berkata hari ini, pembedahan itu mengambil masa tujuh jam dan memerlukan 561 mililiter darah.
Pesakit itu, Santlal Pal, 31, pembantu jualan di kedai, sudah lama membawa beban ketumbuhan berkenaan yang beratnya hampir dua kilogram sebelum pembedahan pada 14 Februari lalu.
“Ia pembedahan amat sukar dan kompleks,” kata Trimurti yang mengetuai pasukan pembedahan neuro di Hospital BYL Nair, Mumbai.
Menurutnya, ketumbuhan seberat 1.87 kilogram itu menjejaskan penglihatan pesakit dan menyebabkannya sakit kepala.
“Penglihatan pesakit semakin baik selepas pembedahan,” katanya.

-Metro

'Tak tahan suami suka minta'

SUDAHLAH menganggur, seorang lelaki tergamak meminta upah daripada isterinya setiap kali keluar menggunakan keretanya menyebabkan wanita itu mengambil keputusan memfailkan permohonan cerai.
Wanita tidak didedahkan identitinya itu dikatakan sudah tidak tahan dengan sikap suka meminta bayaran 500 dirham (RM533) setiap kali meminta pertolongan suaminya, lapor Al Bayan.
Wanita terbabit adalah penyara tunggal keluarga yang menanggung semua perbelanjaan dan keperluan keluarga itu yang menetap di Dubai (Emiriyah Arab Bersatu).
Suaminya mendakwa, bayaran upah itu sebagai ganti untuk membolehkannya keluar berhibur bersama rakan rakannya.
Menurut laporan media tempatan, lelaki terbabit sebenarnya sering keluar malam meninggalkan isteri serta anak-anaknya bersendirian di rumah.
Pada mulanya, si isteri bersetuju membayar 500 dirham kerana menyangkakan bayaran itu hanya diminta sekali sahaja namun sangkaan itu meleset apabila suaminya meminta bayaran beberapa kali selepas itu.
Sehari sebelum itu, satu kes dilaporkan di Turki membabitkan seorang wanita menceraikan suaminya kerana berasa ‘diabaikan’ apabila lelaki itu dikatakan lebih banyak meluangkan masa bersama basikal berbanding dirinya.
“Suami saya sering menghabiskan masa dengan basikal. Dia ada hubungan yang agak berbeza dengan basikal dan ia bukan perkara biasa.
“Dia benar-benar ‘jatuh cinta’ dengan basikalnya,” kata wanita dikenali sebagai Yagmur dari Istanbul itu.

-Metro

Thursday, 22 February 2018

China haram tarian lucah iringi pengebumian



Beijing: Pihak berkuasa China melancarkan satu operasi terbaru terhadap perkhidmatan penari separuh bogel yang kini mendapat permintaan tinggi untuk majlis pengebumian di negara itu.
Kementerian Kebudayaan China berkata, perkhidmatan penari itu yang dianggap sebagai haram dan merosakkan moral kini menjadi masalah besar di kawasan pedalaman.
Persembahan tarian dan nyanyian oleh wanita berpakaian seksi itu bertujuan menarik seramai mungkin tetamu ke upacara penghormatan terakhir si mati bagi menunjukkan kekayaan sesebuah keluarga.
Kata kementerian, pihaknya menyasarkan persembahan separuh bogel dan berbentuk lucah pada upacara pengebumian, perkahwinan dan majlis tradisional lain di China.
Pihak berkuasa China mula melancarkan operasi membasmi amalan seperti itu pada 2006 dan melancarkan operasi kedua pada 2015.
Operasi terbaru itu kini ditumpukan terhadap 19 bandar di seluruh empat wilayah di Henan, Anhui, Jiangsu dan Hebei.
Kempen berkenaan turut menawarkan ganjaran kepada orang ramai sebagai galakan menghubungi talian khas untuk melaporkan aktiviti seperti itu kepada pihak berkuasa.
Tiga tahun lalu, pihak berkuasa mendakwa sebuah kumpulan tarian kerana penarinya menanggalkan baju ketika membuat satu persembahan tradisional.
Ketua kumpulan itu dijatuhkan hukuman penjara 15 hari dan didenda 70,000 yuan (RM43,278).

-Metro