Wednesday, 30 April 2014

Lelaki paling kotor di Eropah


Novy Bydzov (Czech): Lelaki tidak berumah ini dilabel “lelaki paling kotor di Eropah” kerana tidur dalam timbunan abu sampah yang panas.

Ludvik Dolezal, 58 membakar apa saja yang dijumpai untuk dijadikan “tempat tidur selesa” sebelum merangkak ke atasnya untuk melelapkan mata.

Dolezal yang dikenali oleh orang yang lalu lalang di kawasan itu sebagai syaitan dalam kisah dongeng berkata: “Tahun lalu saya berhenti bekerja. Sejak itu saya tinggal di sini dengan unggun api.

“Setiap malam saya baring di atas abu panas dalam baju dan menggunakan abu sebagai bahan memanaskan badan. Saya kelihatan teruk selepas itu.

“Saya mempunyai pelbagai kelengkapan sebelum ini - jaket, but, tilam dan selimut. Namun, saya bakar semua untuk memastikan api tidak padam.

“Ramai orang membantu saya, kadang-kala mereka membawa sesuatu seperti tayar lama dan saya akan membakarnya.” Menurutnya, dia akan membiarkan api berterusan sepanjang hari sehinggalah dia masuk tidur pada jam 7.30 malam.

“Kebanyakan benda yang dibakar adalah kayu dari semak berdekatan.

“Ia harus kering untuk dibakar. Apabila saya tidak mempunyai apa-apa untuk dibakar, saya terpaksa menggunakan kapak dan meotong papan di sekeliling bangsal tempat saya berteduh,” katanya ketika ditemui.

Dolezal mengaku dia menghadapi kesukaran bernafas. Saya menghisap rokok setiap masa, saya menghabiskan sebungkus rokok sehari. Ia membantu saya. Saya bernafas lebih baik apabila menghisap rokok. Menurutnya, dia mendapat bantuan kira-kira RM444 daripada kerajaan Czech setiap bulan.

Bagaimanapun, pegawai kerajaan tidak memberikan dia wang itu sekali gus kerana khuatir dia akan membakarnya.

Sebaliknya, mereka memberi duit berkenaan kepada kedai yang dikunjungi Dolezal setiap hari untuk membeli makanan.

- AFP/Metro

Biar anak mati kebuluran kerana nak jual organ


Doha: Pasangan suami isteri yang dituduh membiarkan anak angkat mereka kebuluran sehingga mati semalam merayu atas sabitan cuai dikenakan, kata sumber mahkamah.

Matthew dan Grace Huang hadir di mahkamah dan sumber berkata, pendakwa hanya dimaklumkan mengenai hukuman penjara tiga tahun itu pada 27 Mac lalu.

Menurutnya, prosiding diadakan semalam hanyalah untuk formaliti. Pasangan suami isteri keturunan Asia itu ditahan pada Januari 2013 selepas anak perempuan mereka, Gloria, 8, meninggal dunia.

Gloria yang diambil daripada keluarga asalnya di Ghana didakwa mati akibat masalah pemakanan yang dialami sejak bayi. Bagaimanapun penyiasat mendapati kanak-kanak malang berkenaan sengaja dibiarkan mati bagi membolehkan pasangan suami isteri terbabit menjual organnya. Mereka dibebaskan November tahun lalu sementara siasatan dijalankan tetapi dihalang meninggalkan Qatar.

Terdahulu pendakwa memohon mahkamah mengenakan hukuman mati ke atas kedua-dua tertuduh. Mereka juga didenda RM12,300 setiap seorang dan akan diusir sebaik saja menamatkan hukuman.

- Agensi/Metro

Tuesday, 29 April 2014

Kerana marahkan isteri orang ramai dilanggar


Beijing: Seorang lelaki yang mengalami masalah rumah tangga merempuh keretanya ke arah orang ramai dan pejalan kaki berhampiran sebuah sekolah rendah semalam, menyebabkan enam orang termasuk tiga kanak-kanak maut. Seramai 13 lagi mangsa cedera.

Jurucakap polis berkata, lelaki terbabit keluar dari kereta Lexus yang sudah rosak akibat rempuhan itu dan mengancam untuk meletupkan sebotol petrol sebelum dia diberkas polis menggunakan meriam air.

Media melaporkan, lelaki berusia 37 tahun itu kecewa kerana isterinya menuntut cerai. Keganasan di China menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu dan kebanyakannya dilakukan individu menghadapi masalah peribadi.

Bulan lalu seorang lelaki menyebabkan kematian 47 orang termasuk dirinya selepas membakar sebuah bas di Xiamen.

- AFP/Metro

Biar mati anak, jangan hilang kekasih


Chicago: Seorang remaja perempuan tergamak membiarkan bayi baru dilahirkannya mati hanya kerana bimbang ditinggalkan kekasih selepas wajah anak malang itu saling tak tumpah seperti bekas teman lelakinya.

Ana Rosa Mora, 18, kini berdepan tuduhan membunuh tahap pertama akibat perlakuan yang tidak munasabah, lapor akhbar Chicago Tribune.

Remaja terbabit melahirkan anaknya pada hujung minggu lalu dan datang ke sekolah seperti biasa semalam selepas melakukan kesalahan berkenaan.

Malah dia turut menunjukkan gambar bayi perempuan baru dilahirkan yang dimuat turun dari Internet.

Bagaimanapun kelakuannya menimbulkan syak menyebabkan pekerja di sekolah itu menghubungi pihak berkuasa.

Bayi berkenaan yang dimasukkan ke beg dan dibiarkan di luar rumah untuk mati ditemui seorang pekerja pembinaan beberapa jam kemudian.

Bayi itu gagal diselamatkan kerana meninggal dunia akibat sesak nafas dan pendedahan terhadap cuaca melampau.

Ana Rosa mengaku bayi itu adalah hasil hubungan haramnya dengan kekasih lama. Sumber polis berkata, Ana berasa bimbang kekasih terkininya akan mengesan kecurangan dilakukan.

“Lebih ditakuti Ana, kekasihnya akan berpisah dengannya kerana bayi itu,” katanya dalam satu kenyataan. Ana sepatutnya tamat sekolah menengah Jun ini dan menghadiri kolej pada musim luruh depan dibenarkan dijamin AS$500,000 (RM1.6 juta).

- Agensi/Metro

Monday, 28 April 2014

Lelaki letup kekasih hamil


Beijing: Seorang lelaki menculik kekasihnya berusia 21 tahun yang sarat mengandung sebelum mengikat kanister gas pada belakangnya yang dinyalakan apabila polis datang menyelamatkan wanita berkenaan.

Li Moulian, 36, mengheret Xu Fan, 21, yang sedang tidur dari katilnya dan disumbat ke belakang keretanya sebelum dia mencederakan wanita berkenaan dengan kejam di Huizhou, wilayah Guangdong di selatan China.

Akibatnya pasangan itu terlantar sebelah-menyebelah di hospital manakala doktor berusaha menyelamatkan kedua-duanya. Namun ajaibnya, bayi dikandung Xu terselamat walaupun kecederaan dialami wanita terbabit begitu teruk.

Xu dipercayai mengandung selepas hubungan satu malam dengan Li, namun pasangan itu bersetuju terus menjalin hubungan, malah memilih untuk tinggal bersama.

Bagaimanapun, Li dipercayai tertekan selepas enam bulan. Dia menyerang Xu ketika tidur, malah mengugut berkali-kali akan membunuhnya.

Dia memandu di sekitar bandar itu sebelum dijejaki polis yang dihubungi jiran selepas melihat Xu diheret ke dalam kereta teman lelakinya itu, namun ketika itu Li sudah meletupkan kanister gas berkenaan.

Anggota polis berjaya menarik Xu keluar dari kereta itu sebelum memadamkan api dan membawa kedua-duanya ke hospital untuk rawatan. Kecederaan dialami Li amat serius dan dia tidak dijangka dapat diselamatkan.

Bapa saudara Xu, Wu Chin, 47, berkata, keluarganya pernah menasihatkan wanita itu supaya berhati-hati dalam hubungannya dengan Li.

- Agensi/Metro

Wanita paling gemuk mahu turun berat badan untuk berkahwin


DES MOINES, Iowa - Wanita paling gemuk di dunia, Charity Pierce berikrar akan menurunkan berat badannya yang kini mencecah 349 kilogram(kg) supaya dia dapat menari pada hari perkahwinannya, lapor akhbar MailOnline.

Pierce, 38, mengimpikan untuk berkahwin dengan kekasihnya, Tony Sauer yang berusia 22 tahun.

"Saya mahu berkahwin seperti orang lain. Saya mahu memakai gaun pengantin dan saya mahu menari sepanjang malam," katanya.

Sebuah hospital di Amerika Syarikat sanggup melakukan pembedahan pintasan gastrik ke atas Pierce untuk membantu dia menurunkan berat badannya sekali gus merealisasikan impiannya.

Namun, wanita yang juga ibu tunggal kepada seorang anak itu perlu menurunkan beratnya kepada 226kg sebelum boleh menjalani pembedahan tersebut.

Selain itu, dia juga memerlukan wang AS$5,000 (RM16,350) untuk membayar kos ambulans persendirian yang akan membawanya ke hospital tersebut di Houston, Texas pada jarak sekitar 1,600 kilometer dari sini.

Pierce mempunyai tabung dalam talian, Go Fund Me untuk mengumpul dana bagi membiayai kos perjalanan jauh tersebut.

- Agensi/Kosmo

Friday, 25 April 2014

Umat Islam tak digalak ucap 'Rest in Peace'


KUALA LUMPUR - Individu beragama Islam amat tidak digalakkan untuk mengucapkan "Rest in Peace" kepada seorang yang bukan Islam apabila berlaku kematian.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, ucapan tersebut mempunyai implikasi dari sudut akidah sekiranya tidak difahami secara jelas kerana ia merupakan amalan keagamaan orang bukan Islam yang sepatutnya tidak diikuti oleh orang Islam.

"Dalam konteks ucapan Rest in Peace, ia adalah bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18.

Ia juga biasanya diukir di batu nisan mereka yang telah meninggal dunia dalam kalangan masyarakat Kristian.

"Versi penuh ucapan tersebut yang berasal daripada bahasa Latin adalah 'May his soul and the souls of all the departed faithful by God's mercy rest in peace'. Ia juga mengandaikan orang bukan Islam tersebut akan mendapat rahmat daripada Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan Fatwa Malaysia dalam laman Facebooknya 17 April lalu berkenaan isu ucapan tersebut yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Othman berkata penjelasan Fatwa Malaysia dalam laman sosial itu merupakan penjelasan hukum dan nasihat yang diberikan oleh Felo Fatwa berdasarkan kemusykilan dan persoalan yang dikemukakan masyarakat umum, dan ia bukan fatwa yang dikeluarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Katanya, Islam melarang umatnya mendoakan untuk keampunan bagi orang bukan Islam seperti yang dijelaskan dalam al-Quran, Surah Taubah, ayat 113 dan dinyatakan juga oleh Imam an-Nawawi dalam Kitab al-Majmu.

Bagaimanapun, dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, Islam tidak melarang umatnya mengucapkan rasa simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti 'saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda', katanya.

"Panduan hukum yang diberikan mengenai 'Rest in Peace' ini bukan merupakan fatwa, tetapi ia perlu dijadikan panduan oleh umat Islam kerana panduan ini berdasarkan nas-nas yang jelas selaras dengan hukum syarak," katanya.

Othman juga menasihatkan semua pihak agar tidak mempolemikkan isu itu kerana pandangan hukum yang dikeluarkan adalah sebagai panduan dan nasihat khusus kepada umat Islam dan sama sekali tiada kaitan dengan unsur-unsur penghinaan atau menidakkan hak kehormatan dan kemanusiaan mana-mana pihak atau individu.

- Bernama/Sinar

Wanita bakar diri kerana mentua


Hazaribagh (India): Seorang wanita beranak dua mati selepas membakar diri sendiri akibat tidak dapat menahan desakan menyerahkan wang hantaran kahwin oleh mentuanya walaupun sudah memenuhi perjanjian mendermakan sebelah ginjal kepada suaminya.

Poonam Devi, 28, sering didesak dan didera keluarga mentuanya sejak berkahwin beberapa tahun lalu kerana dianggap masih berhutang 25,000 rupee (RM1,300) selepas menerima 131,000 rupee (RM7,000) ketika pasangan itu berkahwin pada 2006.

Bagaimanapun, enam bulan lalu selepas suaminya, Sudama Giri, sakit akibat kegagalan buah pinggang, ibu mentuanya membuat perjanjian bertulis bahawa keluarga itu tidak akan mendesaknya untuk wang hantaran lagi jika Poonam mendermakan ginjalnya.

Ayah Poonam, Barhan Bharati dalam laporan polisnya mendakwa anaknya sering didera dan didesak untuk menyerahkan wang.

Kata Bharati, Poonam akhirnya terlalu kecewa apabila keluarga mentuanya tidak berhenti berbuat demikian walaupun sudah membuat perjanjian bertulis.

Akibatnya, Poonam membakar diri pada 16 April lalu sebelum meninggal dunia, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Hazaribagh Manoj Kaushik berkata, belum ada penangkapan dalam kes itu.

“Kami masih menyiasat kes ini dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang bersalah,” katanya.

- Agensi

Thursday, 24 April 2014

‘Puasa’ 10 tahun


Harare: Seorang lelaki memohon mahkamah membenarkan isterinya dihalau dari rumah kelamin mereka selepas didakwa gagal membenarkannya mengadakan hubungan seks sejak lebih 10 tahun lalu.

Godfrey Ruwande mendakwa isterinya Abigail Chingwa mula enggan melayan kemahuan batinnya sejak 2003.

Ketika memberi keterangan di mahkamah semalam, Ruwande berkata, kali terakhir mereka mengadakan hubungan asmara adalah lebih 10 tahun silam.

Memberi keterangan di depan majistret Gamuchirai Siwardi, Ruwande berkata, Abigail menjalin hubungan sulit dengan rakan sekerjanya dan mula hilang nafsu untuk bersama di ranjang.

“Jika saya bertanya mengenai hubungan mereka, Abigail akan bertindak ganas dan memukul saya,” katanya.

Ruwande berkata, pada satu ketika - disebabkan terlampau tidak tahan - dia cuba memujuk Abigail dengan membelai tangannya.

“Dia bukan saja menolak, malah memukul dan menghalau saya keluar dari bilik tidur kami,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Abigail didakwa mengugut untuk membunuh Ruwande.

Sejak ditimpa nasib malang itu, Ruwande berkata, sofa menjadi tempat tidur hariannya.

Sesekali kata Ruwande, dia melihat Abigail saling berbalas mesej cinta dan romantik dengan lelaki terbabit.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Abigail sekeras-kerasnya.

“Saya tidak pernah memukul Ruwande dan mesej yang didakwa itu sebenarnya salah faham.

“Telefon saya dipinjam kakak dan dia menghubungi suaminya melalui mesej,” katanya.

Sementara itu, Gamuchirai menolak permohonan Ruwande itu.

“Jika benar kamu dipukul, kejadian hanya berlaku sekali dan sepatutnya kamu membuat laporan polis.

“Isteri kamu tidak boleh dihalau dari rumah itu kerana ia rumah kelamin,” katanya.

- Agensi/Metro

Wednesday, 23 April 2014

9 Mimpi Nabi Muhammad SAW


Daripada Abdul Rahman Bin Samurah RA berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israqkan……..”

1-Aku telah melihat seorang dari umatku telah di datangi oleh malaikatul maut dengan keadaan yg amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya,maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.

2-Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.

3-Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.

4-Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikat Ahzab,tetapi SOLATNYA YANG KHUSUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.

5-Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga di halang dari meminumnya,ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT memberi minum hingga ia merasa puas.

6-Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan-kumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka dengan MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA membolehkan dia menyertai kumpulan para nabi dan duduk di sebelahku.

7-Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadan gelap gelita di sekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang-benderang.

8-Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidak pun membalas bicaranya,maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya,lalu berbicara mereka dengannya.

9-Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya, maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH SWT lalu terbentenglah muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut.

Sabda Rasulullah SAW yang mulia, “sampaikanlah pesananku kepada umatku yang lain walaupun dengan sepotong ayat”

-Zonkuliah