Harare: Seorang lelaki memohon mahkamah membenarkan isterinya dihalau dari rumah kelamin mereka selepas didakwa gagal membenarkannya mengadakan hubungan seks sejak lebih 10 tahun lalu.
Godfrey Ruwande mendakwa isterinya Abigail Chingwa mula enggan melayan kemahuan batinnya sejak 2003.
Ketika memberi keterangan di mahkamah semalam, Ruwande berkata, kali terakhir mereka mengadakan hubungan asmara adalah lebih 10 tahun silam.
Memberi keterangan di depan majistret Gamuchirai Siwardi, Ruwande berkata, Abigail menjalin hubungan sulit dengan rakan sekerjanya dan mula hilang nafsu untuk bersama di ranjang.
“Jika saya bertanya mengenai hubungan mereka, Abigail akan bertindak ganas dan memukul saya,” katanya.
Ruwande berkata, pada satu ketika - disebabkan terlampau tidak tahan - dia cuba memujuk Abigail dengan membelai tangannya.
“Dia bukan saja menolak, malah memukul dan menghalau saya keluar dari bilik tidur kami,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, Abigail didakwa mengugut untuk membunuh Ruwande.
Sejak ditimpa nasib malang itu, Ruwande berkata, sofa menjadi tempat tidur hariannya.
Sesekali kata Ruwande, dia melihat Abigail saling berbalas mesej cinta dan romantik dengan lelaki terbabit.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Abigail sekeras-kerasnya.
“Saya tidak pernah memukul Ruwande dan mesej yang didakwa itu sebenarnya salah faham.
“Telefon saya dipinjam kakak dan dia menghubungi suaminya melalui mesej,” katanya.
Sementara itu, Gamuchirai menolak permohonan Ruwande itu.
“Jika benar kamu dipukul, kejadian hanya berlaku sekali dan sepatutnya kamu membuat laporan polis.
“Isteri kamu tidak boleh dihalau dari rumah itu kerana ia rumah kelamin,” katanya.
- Agensi/Metro
No comments:
Post a Comment